Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : UCAPAN SEMPENA MAJLIS PERASMIAN TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1441H/2020M
Lokasi : SEPERTI DINYATAKAN DI BAWAH
Tarikh : 16-02-2020
 


TEKS UCAPAN
YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA





MAJLIS PERASMIAN TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1441H/2020M
16 FEBRUARI 2020 (AHAD), JAM 8.30 MALAM BERTEMPAT

SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC),
KOTA KINABALU, SABAH





UCAPAN ALU-ALUAN

1. Bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berhimpun dalam majlis yang mulia ini. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan yang berterusan ke atas Negara kita ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmat dan hidayah kepada sekalian alam, seterusnya kepada kaum keluarga serta para sahabat Baginda.


2. Alhamdulillah, Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi dapat dilangsungkan pada tahun ini di negeri Sabah, dengan tema “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”.


3. Kehadiran kita di Sabah ini memperlihatkan bahawa syiar Islam ini telah kita bawa kepada semua dan bersifat inklusif. Semoga segala usaha kita mendapat keredhaan dan keberkatan, In Sya Allah.


PENTADBIRAN NEGARA BERTERASKAN GAGASAN RAHMAH


4. Apabila kita bertekad untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara maju, kita sedar terdapat keraguan akan hala tuju Negara pada masa depan. Ada yang risau apabila maju ia bermakna kita hilang keinsafan dan meminggirkan nilai dan seruan Islam.


5. Tetapi jelas, kemajuan dan kemakmuran yang kita capai itu saling berkait dan ketika kita meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di dalam Negara, syiar Islam berkembang pesat dan turut menjadi pemangkin kepada kemajuan yang tercapai.


6. Perseimbangan ini dapat kita capai dan kekalkan jika kita berpegang dan melalui hidup kita seharian dengan berpegang kepada asas Islam iaitu ad deen, satu cara hidup.


7. Seiring dengan falsafah tersebut, pada 25 Oktober 2019, Kerajaan bersetuju agar gagasan RAHMAH dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin – yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.


8. Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada rakyat dan Negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama, selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang telah dilancarkan oleh Kerajaan.

Al-QURAN MERUPAKAN PANDUAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM

9. Kitab suci al-Quran merupakan kitab agung yang menjadi panduan umat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Kita ketahui, perkara ini begitu mudah untuk disebut dan sering diulang-ulang di mana sahaja. Namun begitu, sejauh mana kita dapat memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al- Quran?


10. Adakah memadai dengan kita hanya membaca atau menghafaz al-Quran semata-mata tanpa memahami maksud, tafsiran mahupun pengajaran daripada setiap ayat yang dialunkan?


11. Sudah tentu perkara ini suatu yang amat merugikan kita kerana disebalik ayat-ayat al-Quran itu, terkandung intipati, pengajaran dan ilmu yang menjadi khazanah bernilai untuk umat Islam mencapai kejayaan.


12. Perlu kita ingat dan amalkan juga nilai-nilai murni seperti rajin bekerja, amanah, jujur, adil, berdisiplin, menitikberatkan kebersihan, cintakan negara, hormat-menghormati dan banyak lagi nilai-nilai murni lain adalah tuntutan Islam selain amal dan ibadah harian yang perlu kita laksanakan.


13. Nilai-nilai inilah yang mahu kita semai kepada anak-anak kita sejak kecil lagi supaya apabila dewasa kelak mereka menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.


KEMAJUAN YANG SEIMBANG


14. Dalam perjuangan kita ke arah mencapai status negara maju, peranan keluarga, sekolah dan komuniti harus terus diperkukuh untuk menerap nilai-nilai murni dan memupuk budaya kebangsaan khususnya dalam kalangan generasi muda.


15. Ini juga selari dengan Islam sebagai ad deen. Setiap gerak-geri, perbuatan dan tindakan kita adalah tertakluk kepada nilai agama kita. Oleh itu, janganlah kita ikuti perbuatan mahupun perkara-perkara lain yang bertentangan dengan Al Quran dan Hadis sahih yang akan membawa kerosakan, seterusnya menghalang kita daripada mencapai kejayaan dan kemajuan.


CABARAN DALAM ARUS REVOLUSI PERINDUSTRIAN 4.0


16. Kita sedia maklum dunia hari ini menyaksikan arus Revolusi Perindustrian 4.0 yang begitu cepat dan kuat cabarannya. Kita mesti bersedia berhadapan dengan cabaran-cabaran tersebut.


17. Kita mesti lebih berinovatif, kreatif dan terus memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran tinggi, daya saing dan jati diri, dalam membangun dan memajukan bangsa Malaysia mengikut acuan kita sendiri.


18. Ini adalah Negara kita. Kitalah yang akan menentukan nasib kita. Tidak ada orang lain yang boleh mencorakkan masa hadapan kita melainkan diri kita sendiri, dengan izin Allah SWT.


19. Negara juga memerlukan rakyat yang matang, berilmu, bekerja keras dan mementing perpaduan. Oleh itu, marilah kita bersama bersatu-padu untuk terus membina negara yang maju lagi makmur, untuk Malaysia yang lebih berdaya saing, bersih dan berintegriti.

PENUTUP


20. Dikesempatan ini, saya ingin ucap syabas dan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Sabah dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi.


21. Saya harap agar majlis ini dapat menjadi medan pengembangan dan penghayatan ilmu dan dakwah diasaskan Al Quran.


22. Semoga kita semua menjadi insan yang lebih baik, beriman dan bertakwa dalam rahmat dan peliharaan Allah SWT jua.


Sekian. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah,Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.






Kami menerima 6,763,933 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri