TEKS UCAPAN
YAB TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA MERANGKAP PEMANGKU MENTERI PENDIDIKAN
MAJLIS PELANCARAN DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN
13 FEBRUARI 2020 (KHAMIS), JAM 9.00 PAGI
DEWAN CANSELOR TUN ABDUL RAZAK (DECTAR),
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)
1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berhimpun di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia ini bagi menjayakan Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan.
2. Majlis yang julung-julung kali diadakan ini memperlihatkan kesungguhan pihak Kerajaan untuk menjadikan amalan membaca satu budaya yang pastinya bertujuan untuk membentuk satu masyarakat yang berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.
HUBUNGAN MEMBACA DENGAN ILMU PENGETAHUAN
3. Budaya membaca sebagai suatu amalan adalah asas kepada pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan pula merupakan asas kepada pembangunan diri manusia.
4. Ini bermakna, melalui amalan membaca seseorang itu bukan sahaja kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan, bahkan berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan tersebut dengan baik dan berkesan.
5. Daripada segi sains, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baharu.
6. Dan jika kita membaca sesuatu berulang kali, apa yang kita baca itu akan lebih lekat di dalam ingatan dan tidak mudah dilupakan.
7. Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (intelligence Quotient atau IQ) seseorang. Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri.
MEMBUDAYAKAN AMALAN MEMBACA
8. Jika kita kaji sejarah, setiap tamadun besar mempunyai bentuk penulisannya sendiri, umpamanya, tamadun Mesopotamia memperkenalkan cuneiform dan tamadun Mesir purba muncul dengan hierogliphs. Lain-lain tamadun juga turut memperkenalkan bentuk tulisan dan tidak kurang juga
yang menceduk atau menerima bentuk tulisan dari tamadun yang terdahulu dan diguna oleh tamadun yang kemudian.
9. Kenapa bentuk tulisan ini amat penting kepada sesuatu tamadun. Ia memberi ruang berkomunikasi dalam bentuk yang lebih teratur dan mudah.
10. Tulisan-tulisan ini menjadi alat untuk merekod kejadian, peristiwa, kelahiran, resipi dan perubatan.
11. Dalam lain perkataan, tulisan-tulisan ini wujud untuk dibaca dan pembacaan inilah yang menjadi ilmu dan pengetahuan kepada sesuatu masyarakat. Ilmu dan pengetahuan inilah yang menyumbang kepada membangunkan sesuatu tamadun.
12. Tanpa sebarang keraguan, pengetahuan dan ilmu itu terhasil dari pembacaan. Malahan, ayat pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad ialah “iqra’” iaitu bacalah. Bacalah jika mahu menimba ilmu pengetahuan.
MENGGALAKKAN PEMBACAAN DALAM ERA DIGITAL
13. Salah satu cabaran yang kita hadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca ialah pengaruh digital ke atas masyarakat.
14. Pengaruh digital kepada masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku-buku semakin diketepikan.
15. Banyak syarikat akhbar terpaksa menggulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak.
16. Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan. Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital.
17. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya.
18. Yang membimbangkan ialah sumber pembacaan di dalam arus digital itu begitu banyak tanpa sekatan sehingga ia menjadi gelanggang untuk menyebar berita palsu “fake news” dan lain-lain kandungan yang merosakkan masyarakat.
19. Disinilah letaknya cabaran pembacaan hari ini – untuk membezakan yang benar dan yang palsu, yang dihasil melalui kajian dan yang dicipta secara picisan.
MENYEDIA BAHAN ILMIAH DAN BERKUALITI
20. Kerana itu usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik. Usaha ini harus diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara. Program demikian hendaklah diadakan secara berterusan dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh semua pihak yang terlibat bagi melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.
21. Ini akan menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
22. Untuk mencapai tujuan ini, kita perlu memastikan industri buku di negara kita berdaya saing dan dapat memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri 4.0.
23. Bagi membudayakan amalan membaca ini, usaha untuk menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan Negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak. Golongan penulis, editor dan penerbit buku perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif ini. Daya beli dalam kalangan masyarakat juga perlu diambil kira dalam usaha kita mewujudkan pasaran buku yang kompetitif yang mampu dibeli oleh rakyat Malaysia.
24. Selain itu, kita perlu memastikan “accessibility” atau keboleh-capaian masyarakat kepada bahan- bahan bacaan tersebut.
PENUTUP
25. Saya menyokong sepenuhnya usaha pembudayaan amalan membaca melalui program Dekad Membaca Kebangsaan ini. Usaha ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang berilmu pengetahuan.
26. Saya menyeru semua rakyat Malaysia menjadikan amalan membaca sebagai suatu budaya. Bacalah walau di mana kita berada. Saya harap dan berdoa agar Dekad Membaca Kebangsaan dapat mendukung aspirasi Rakyat Membaca Malaysia berjaya.
27. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, saya dengan rasminya melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di seluruh negara bermula pada tahun 2021 hingga tahun 2030.
Sekian. Terima kasih.