English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : UCAPAN DI MAJLIS AMANAT & ASPIRASI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Lokasi : SEPERTI DINYATAKAN DI BAWAH
Tarikh : 06-02-2020
 


TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI, TUN DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD, MERANGKAP PEMANGKU MENTERI PENDIDIKAN





MAJLIS AMANAT & ASPIRASI YAB PERDANA MENTERI MERANGKAP PEMANGKU MENTERI PENDIDIKAN BERSAMA WARGA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BAGI TAHUN 2020 6 FEBRUARI 2020 (KHAMIS), JAM 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA





1. Alhamdulillah pagi ini dapat kita berhimpun di sini untuk membicara berkenaan satu agenda yang amat penting bagi negara kita.


2. Kita bicara berkenaan dasar dan pendekatan pengurusan sistem Pendidikan atau Pelajaran di negara kita.


3. P & P ini penting kerana ia merupakan usaha membekal kita dengan ilmu dan kecekapan supaya dapat kita tangani masalah yang kita akan hadapi dalam kehidupan kita. Jika kita memiliki cukup ilmu pengetahuan dan kecekapan maka kebolehan kita untuk atasi cabaran hidup akan menjadi lebih baik.


BUDAYA DAN NILAI HIDUP


4. Budaya dan nilai hidup menjadi faktor yang amat penting dalam kehidupan kita. Jika kita memiliki nilai hidup yang baik maka akan lebih mudahlah kita berjaya dalam kehidupan kita. Sebaliknya jika nilai hidup yang kita amal tidak baik maka akan gagallah kita dalam menangani cabaran-cabaran dalam kehidupan kita.


5. Apakah nilai hidup yang boleh menjayakan kita? Mungkin yang pertamanya ialah kesanggupan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar kejayaan dalam kehidupan. Kita perlu rajin dan tekun dan tidak mudah kecewa.


6. Sebaliknya mereka yang tidak sanggup berusaha keras, iaitu tidak rajin dan tekun, maka mereka akan gagal mencapai kejayaan. Mereka tidak akan nikmati kehidupan dan segala balasan baik yang dikejar.


7. Ini hanya satu sahaja dari nilai hidup yang memain peranan dalam menentukan kita berjaya atau tidak dalam kehidupan kita. Ada banyak lagi nilai hidup yang boleh menentukan jaya atau tidaknya kehidupan kita. Umpamanya amanah, menolak sesuatu yang dilarang (mencuri umpamanya) gigih dan tekun, disiplin dan lain-lain. Nilai hidup perlu diajar kepada penuntut dalam sistem pelajaran kita.


ILMU PENGETAHUAN


8. Selain nilai yang mulia kita perlu menguasai ilmu sebanyak mungkin. Hari ini ilmu boleh diperolehi secara teratur di sekolah-sekolah dari peringkat rendah sehingga yang tertinggi. Sebenarnya tuntutan ilmu tidak mungkin berhenti. Ia adalah usaha seumur hidup.

9. Kita bernasib baik kerana banyak ilmu sudah diterokai oleh orang yang terdahulu dari kita. Dan ilmu ini dibukukan. Kita hanya perlu baca dan lengkapkan ilmu dalam ingatan kita. Sesuatu naluri manusia ialah apabila mereka mengulang sesuatu berkali-kali maka ilmu akan tersemat dengan kukuh dalam ingatan mereka.


10. Untuk akses kepada ilmu yang dibukukan kita perlu tahu membaca dan menulis.


11. Ada ilmu yang berpunca dari kita. Tetapi ada juga ilmu yang datang kepada kita dari lain punca.


12. Di sini ingin saya sentuh dengan mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sains dan Matematik bukan hasil terokaan oleh kita dalam bahasa kita. Hampir semuanya datang dalam bahasa Inggeris.


13. Kita boleh terjemah ke bahasa kita tetapi pendekatan kita berbeza dalam bidang ini. Sains adalah hasil dari hasrat menentukan sesuatu yang sebenar.


14. Sebelum Sains, apabila kita berhadapan dengan fenomena yang kita tidak tahu asasnya, maka kita akan salahkan kuasa ghaib yang tidak dapat ditangani oleh kita.


15. Umpamanya apabila kita diserang oleh penyakit kita salahkan kuasa ghaib. Ada yang berkata ia adalah perbuatan orang, atau hantu jembalang, atau orang halus dan lain-lain makhluk yang kita tidak boleh lihat.


16. Sains lebih suka mencari sebab yang sebenar. Sesuatu penyakit dikenal pasti disebabkan oleh kuman, atau virus atau tekanan darah, atau ketumbuhan dan lain-lain. Dengan ini penyelidikan boleh dilakukan dan ubat boleh dikenal pasti.


17. Mentality yang berpegang kepada kuasa ghaib mungkin mengubat dengan cara membakar kemian dan menghembus. Kita perlu berdoa tetapi ingatlah Tuhan tidak akan memakbulkan permintaan kita jika kita tidak berusaha sendiri terlebih dahulu. Usaha kita tentulah dengan diasaskan kepada yang benar.


18. Ilmu sains datang kepada kita, kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris. Kita boleh terjemah kepada bahasa kita. Tetapi perkataan-perkataan yang diguna bukanlah bahasa Inggeris biasa. Terjemahan kepada bahasa kita mungkin tidak menggambarkan makna yang sebenar.


19. Lagi pun sains bukan ilmu yang statik. Tiap hari ada sahaja perkara baharu yang di kenali dan diperalatkan. Untuk memahami, dan menterjemah dan tafsir ke dalam bahasa kita amatlah sukar. Tidak mungkin kita punyai pakar sains yang akan terjemah hasil selidik berpuluh-puluh kertas selidik dalam pelbagai bidang tiap hari. Jika kita tidak mempunyai ilmu yang terbaharu kita akan ketinggalan kerana tidak mengguna ilmu ini. Kita semua tahu hari ini terdapat banyak hasil selidikan tiap hari. Banyak perkataan baru yang dicipta.


20. Di Malaysia terdapat tiga kaum dengan mengguna bahasa mereka untuk mengajar. Jika bahasa Kebangsaan diguna untuk mengajar Sains dan Matematik dalam sekolah Kebangsaan maka sekolah Cina akan guna bahasa Mandarin dan India guna bahasa Tamil. Dalam bidang sains ahlinya perlu berbincang sesama mereka masalah sains yang ditemui. Mungkinkah mereka yang berbahasa Kebangsaan, Mandarin dan Tamil berbincang sesama mereka.


21. Bahasa yang kerap diguna dalam industri biasanya bahasa Inggeris. Tentulah sukar bagi mereka yang tidak faham Sains dalam bahasa Inggeris memahami arahan yang diberi. Hari ini pun kita dapati

mereka yang tidak fasih dalam bahasa Inggeris sukar mendapat kerja. Konferensi sains antarabangsa kerap diadakan. Biasanya Bahasa Inggeris menjadi bahasa konferensi. Jika pakar sains kita tidak fasih dalam Bahasa Inggeris, Sains, maka kita tidak mungkin faham perbincangan yang diadakan.


22. Saya Melayu. Saya sayang kepada bangsa dan bahasa Melayu. Tetapi kita perlu beri pertimbangan kepada kemajuan bangsa. Sebenarnya jika sayang kepada bangsa, utamakan kejayaan sebagai satu bangsa dan kemajuannya lebih dari hanya kegunaan bahasa sendiri sahaja.


23. Fikirlah baik-baik. Pepatah berkata “Sayang anak, tangan-tangankan, sayang isteri, tinggal-tingalkan” Sayang bangsa utamakan kejayaan bersaing lebih dari hanya bertutur kata dalam bahasa sendiri.


PENDIDIKAN DAN KEMAKMURAN BERSAMA


24. Saya telah mengadakan perjumpaan dengan pengurusan tertinggi Kementerian dan telah diberi penerangan terperinci mengenai maklumat asas serta isu-isu dasar berkaitan pendidikan.


25. Saya telah terangkan bahawa Kerajaan telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai satu hala tuju baharu ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun. Salah satu daripada 7 teras strategik dalam Wawasan ini ialah strategi transformasi modal insan.


26. Transformasi ini harus fokus kepada penyediaan halatuju sumber tenaga yang lebih produktif, efektif, berkemahiran, berteknologi dan bernilai tinggi, termasuk dalam industri ekonomi baharu.


27. Justeru, sebagai kementerian peneraju dalam mendidik dan melahirkan modal insan negara, Kementerian Pendidikan akan menyesuaikan dasar dan halatuju selaras dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama. Bagi tahun 2020, fokus utama KPM akan tertumpu ke arah ‘Merealisasikan Kemakmuran Bersama Melalui Pendidikan’. Ini bermakna semua rakyat mesti berupaya bersaing dengan jayanya dalam kehidupan mereka. Keengganan merebut peluang tetap akan mengagalkan matlamat wawasan kerana mereka yang tidak merebut peluang dan bekerja kuat tetap akan miskin selama-lamanya. Kekayaan tidak akan datang bergolek atau melayang.


PEMBENTUKAN NILAI MODAL INSAN


28. Saya telah sebut berkenaan nilai hidup dan peranannya dalam kehidupan kita. Sebab itu saya menyarankan supaya satu kurikulum Pendidikan Islam baharu perlu diadakan menekankan penyemaian nilai-nilai kehidupan Islam. Kita gemar menyatakan bahawa Islam bukan sahaja satu agama tetapi ia juga adalah satu cara hidup. Kita perlu tahu apakah dianya cara hidup Islam. Umpamanya apakah cara hidup Islam menyuruh kita berperang dan membunuh?


29. Dalam masa yang sama, Kementerian juga telah menyediakan Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik yang merangkumi Modul Exemplar untuk kurikulum, Manual Perhimpunan Sekolah dan Amalan Nilai Murni serta Manual Amalan Pendidikan Sivik dalam kokurikulum.


30. Manakala di peringkat pendidikan tinggi pula, pembentukan nilai ditekankan melalui aktiviti Service Learning Malaysia – University For Society atau SULAM, iaitu kaedah pembelajaran yang memberi pengalaman pembelajaran kepada pelajar melalui penyelesaian permasalahan komuniti.

PENDIDIKAN SAINS, TEKNOLOGI, KEJURUTERAAN DAN MATEMATIK (STEM)

31. Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan diberikan perhatian oleh semua pihak dalam usaha melahirkan masyarakat yang mempunyai literasi STEM serta berkemahiran tinggi.


32. Bagi menyediakan murid mengharungi Revolusi Industri ke-4, Kementerian akan pastikan peningkatan STEM dari pelbagai segi iaitu bilangan murid yang mengambil mata pelajaran STEM, kemahiran penyampaian guru-guru yang mengajar, aktiviti kolaboratif bersama-sama pihak industri dan juga penglibatan ibu bapa dalam memupuk minat murid untuk mengambil STEM.


33. Untuk menarik lebih ramai murid menyertai bidang STEM, mulai tahun ini, Kementerian telah menyediakan lebih banyak opsyen untuk murid memilih mata pelajaran elektif di bawah pakej STEM selain sastera dan kemanusiaan.


PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET)


34. Selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, pendidikan dan Technical and Vocational Education Training atau TVET dijadikan sebagai salah satu pembolehdaya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif. Tumpuan turut diberikan untuk membawa bidang latihan teknikal dan vokasional atau TVET ini ke arus perdana bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor ekonomi masa hadapan.


35. Untuk itu, penawaran program pengajian akan dikaji dan dijajarkan semula agar bersifat industry driven bagi menyediakan graduan berdasarkan bidang tumpuan ekonomi mengikut wilayah/lokaliti yang telah dikenal pasti dalam Wawasan Kemakmuran Bersama.


36. Tahun 2019 telah mempamerkan pemantapan pendidikan TVET di negara ini dengan penerimaan pelajar-pelajar daripada Kolej Vokasional dan aliran Kemahiran Malaysia untuk mengikuti program pengajian Sarjana Muda Teknologi di 4 buah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).


37. Bagi tahun 2020, saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan dan semua kementerian penyedia TVET yang lain akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan Peta Strategi Pemerkasaan TVET yang telah dihasilkan oleh Jawatankuasa Kabinet Pemerkasaan TVET bagi menghasilkan graduan TVET yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan seterusnya menjadi pekerja berkemahiran tinggi yang menyumbang terhadap produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.


38. Kesemua pihak terbabit perlu memastikan wawasan Industry-led TVET bagi mengurangkan permasalahan skills mismatch, kebergantungan kepada buruh asing dan akhirnya menghasilkan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri dapat kita capai.


PENDIDIKAN DIGITAL


39. Malaysia menghadapi pelbagai cabaran globalisasi dan perkembangan dalam teknologi komunikasi. Oleh yang demikian, transformasi pendidikan harus berlaku selari dengan arus pemodenan dunia, terutamanya dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).


40. Pelantar Pembelajaran Digital Kementerian yang telah dibangunkan mulai 1 Julai 2019 akan terus digiat dan dimantapkan pada tahun 2020 ini sebagai pemangkin pengajaran dan pembelajaran digital dalam kalangan guru dan murid melalui aksesibiliti bahan yang lebih mudah dan lebih meluas.

41. Malah, kandungan kurikulum juga dirangka merangkumi elemen-elemen seperti Internet of Things (IoT), pengekodan, robotik dan data raya atau big data dalam mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah untuk menarik minat murid dan memudahkan penguasaan ilmu yang hendak disampaikan.


MEMPERKUKUH PENDIDIKAN BAHASA INGGERIS


42. Kerajaan juga sedar bahawa penguasaan Bahasa Melayu adalah penting sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah. Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris juga amat perlu bagi membolehkan mereka menguasai ilmu zaman ini dan, berkomunikasi dengan lebih baik dan menyediakan mereka untuk alam pekerjaan.


43. Pelancaran English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap 2015-2025 menunjukkan komitmen Kementerian dalam memastikan pengukuhan Bahasa Inggeris di kalangan guru dan murid pada setiap peringkat pendidikan dari pra sekolah sehingga ke peringkat pendidikan tinggi berlandaskan piawaian antarabangsa.


44. Cara mengajar bahasa Inggeris perlu diberbaharui dengan mengguna program yang akan disediakan oleh guru yang fasih, ditayang di skrin dan dipimpin oleh guru darjah. Sesungguhnya inilah cara moden untuk mengajar bahasa. Program -program ini akan disediakan oleh pakar bahasa.


PENDIDIKAN KEWANGAN


45. Pelaksanaan Strategi Nasional dalam Literasi Kewangan 2019-2023 yang telah dilancarkan pada Julai tahun lalu merupakan pemangkin untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan masyarakat.


46. Kecekapan mengurus wang, terutama dalam perniagaan amatlah penting. Amanah juga penting. Tidak akan ada perniagaan jika tidak ada amanah. Atau lebih tepat lagi, perniagaan tidak akan berjaya jika tidak ada amanah. Yang perlu diutamakan dalam pengurusan wang ialah catatan keluar masuk wang.


PERPADUAN SEKOLAH WAWASAN


47. Perpaduan nasional adalah elemen penting untuk melahirkan negara bangsa di samping mengekalkan kestabilan, kemajuan, dan tamadun bangsa di Malaysia. Usaha mengukuhkan perpaduan adalah perlu sewaktu usia kanak-kanak lagi dan sekolah merupakan platform yang penting untuk menyemai, dan memupuk semangat perpaduan di kalangan murid.


48. Pengasingan pelbagai jenis atau aliran sekolah yang wujud dalam sistem pendidikan pada masa ini tidak menyumbang kepada interaksi antara kaum di usia muda. Untuk itu, Sekolah Wawasan telah diperkenal untuk meningkat perpaduan antara kaum khususnya kaum Melayu, Cina dan India dengan menempatkan tiga sekolah rendah yang berlainan aliran ini di dalam satu kawasan. Sekolah Wawasan bertujuan meletak sekolah-sekolah berlainan bahasa dalam satu kampus supaya murid berbagai kaum dapat bercampur. Di masa-masa tertentu mereka akan berkumpul bersama tanpa mewakili sekolah.


PEMERKASAAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI


49. Kementerian Pendidikan pada masa ini sedang giat melaksanakan usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih baik dan komprehensif. Ini selaras dengan Janji 50 Kerajaan dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pendidikan tinggi.

50. Saya agar akta baharu yang menggantikan AUKU kelak akan menjurus kepada kualiti dan kecemerlangan universiti bagi mewujudkan IPT yang peka dan berupaya untuk bertindak balas dengan keperluan perubahan persekitaran.


51. Sesuai dengan usaha transformasi pendidikan tinggi negara, saya harap Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) dapat diaktifkan semula untuk memantapkan sistem tadbir urus dan pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi baharu yang sedang digubal.

KECEMERLANGAN INSTITUSI DAN KEUNGGULAN GLOBAL


52. Selaras dengan peruntukan sebanyak RM400 juta untuk penyelidikan, bagi tahun 2020, sinergi ekosistem penyelidikan dan inovasi akan ditambah baik bagi membolehkan universiti menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi. Tumpuan seharusnya diberikan terhadap pengukuhan kolaborasi dengan institusi yang disenaraikan sebagai Top 100 di dunia oleh QS World University Rankings.


53. Saya juga harap agar peningkatan hubungan tripartite turut dipertingkat dalam usaha menawarkan penyelesaian kepada masyarakat. Ia boleh dilaksanakan melalui co-investment di antara industri dan juga universiti melalui penyelidikan.


54. Selain itu, dalam menggalakkan penyelidikan yang dipacu permintaan atau demand driven, pelaksanaan Public Private Research Network 2.0 (PPRN 2.0) dan Prototype Research Grant Scheme (PRGS 2.0) pada tahun ini, akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi oleh Industri Kecil Sederhana (SME) melalui bidang berasaskan teknologi.


DOKUMEN STRATEGIK PEMANTAPAN IPTS


55. Kementerian menghargai peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh 446 buah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dalam membantu penjanaan ekonomi negara melalui penyediaan pendidikan tinggi berkualiti yang menggalakkan kemasukan pelajar antarabangsa. Bagi tahun 2018, IPTS telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM31.5 bilion melalui yuran pengajian dan kos sara hidup serta RM11.3 bilion melalui pengambilan pelajar antarabangsa.


56. Sebagai sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan oleh IPTS, Kementerian telah membangunkan dokumen Way Forward for Private Higher Education Institutions (PHEIs): Education as An Industry (2020-2025). Dokumen yang akan dilancarkan dalam masa terdekat ini akan menjadi sumber rujukan bagi IPTS dalam menentukan hala tuju menjelang tahun 2025.


PENUTUP


57. Dalam mengejar arus teknologi pendidikan, amalan membaca masih menjadi tonggak dalam ilmu pengetahuan. Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan yang telah disempurnakan pada 23 April 2019, bersempena dengan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia dan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KL BACA) merupakan manifestasi Kerajaan terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.


58. Sebelum saya akhiri ucapan, saya ingin tekankan bahawa kita semua mempunyai matlamat yang sama, iaitu memastikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dapat disampaikan kepada rakyat. Agenda pendidikan yang dirancang memerlukan iltizam, usaha dan kerja keras untuk dilaksanakan, demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan beretika.

59. Oleh itu saya harap semua warga Kementerian Pendidikan Malaysia dapat bersama saya untuk memberi komitmen terbaik bagi memenuhi amanah ini dan memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran bersama melalui pendidikan.


Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.






Kami menerima 4,510,486 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2020 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri