1. Saya dan isteri saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru kepada semua kaum Cina di Malaysia.
2. Kita percaya Tahun 2020 adalah tahun yang amat dinantikan oleh seluruh kaum Cina di negara ini. Ia merupakan tahun yang penting kerana telah diperkatakan sejak 30 tahun yang lalu. 2020 adalah tahun bagi kita mencapai Wawasan menjadi Negara Maju. Setelah hampir sebulan kita berada di dekad baru ini, ada beberapa perkara yang kita merasa bersyukur walaupun dunia sedang menghadapi ketidak- tentuan dari segi prestasi ekonomi dan juga hal-ehwal politik antarabangsa.
3. Pertamanya, kita merasa syukur kerana Malaysia tidak berada di dalam keadaan rusuhan dan peperangan yang terdapat di beberapa negara lain. Kita dapat mempertahankan kedaulatan negara tanpa terlalu bergantung kepada mana- mana pihak. Realitinya, Malaysia pada hari ini adalah aman dan rakyat dapat hidup dengan harmoni antara satu sama lain. Ini adalah kemenangan besar untuk setiap warganegara Malaysia. Kita hidup bersatu padu dan setiap ahli masyarakat saling membantu dan bekerjasama walaupun kita berlainan kaum ataupun agama. Kita boleh bekerja di dalam sesebuah organisasi tanpa mengira keturunan kerana setiap dari kita sayangkan keamanan. Ini adalah satu rahmat yang mungkin kita tidak sedar. Tapi percayalah, Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman yang berpanjangan.
4. Kedua, pertumbuhan ekonomi negara tahun ini yang diunjurkan antara 4.3% ke 4.8% juga masih memberangsangkan. Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar pertumbuhan yang tinggi berbanding dengan negara-negara lain di Asia. Kita sedar ekonomi negara kita masih kecil, tetapi pertumbuhan
menggalakkan ini adalah bukti rakyat negara kita boleh berganding bahu menjayakan pembangunan Malaysia. Apabila negara stabil dan rakyatnya cukup kemahiran untuk bekerja, pelabur dari dalam dan luar negara juga tertarik untuk melabur di Malaysia. Pelaburan yang diluluskan bagi Januari hingga September 2019 adalah lebih tinggi dari tahun sebelumnya bagi tempoh yang sama. Kerajaan telah meluluskan pelaburan sebanyak RM149 billion di dalam 9 bulan pertama tersebut. Ini kerana Kerajaan lebih aktif dalam menarik para pelabur untuk melabur di dalam Malaysia. Ini secara tidak langsung dapat menjanakan peluang pekerjaan yang banyak kepada kita. Kerajaan mempunyai cara untuk menguatkan ekonomi negara tetapi ia memerlukan sedikit masa dan kesabaran rakyat, terutamanya dari pihak swasta. Apabila ekonomi kita kuat, semua pihak akan mendapat manfaat.
5. Ketiga, kekuatan negara Malaysia sebenarnya terletak pada sikap matang rakyat yang tidak mudah termakan dakyah penghasut. Mereka ini mahu menyemai kebencian antara kita. Agenda jahat mereka hanya bertujuan untuk memecah belahkan keharmonian kaum di Malaysia. Jika kita tidak rasional dan mula membenci satu sama lain hanya kerana perkara yang remeh maka puak puak jahat ini pasti menganggap mereka telah berjaya. Setelah berdekad lamanya kita menerima hakikat negara kita adalah negara berbilang kaum yang memerlukan toleransi di antara kita, hidup mesra terhadap jiran dan rakan taulan. Kita tidak mahu membiarkan negara ini porak peranda dengan kebencian kaum.
6. Justeru saya berharap, kedatangan tahun baru ini akan menguatkan lagi azam semua pihak supaya berusaha ke arah mengukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara yang kita sayangi ini.
7. Sempena perayaan Tahun Baru Cina ini, rakyat kita yang terkenal dengan semangat Muhibbah yang tinggi, hendaklah meneruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah rakan-rakan mereka yang mengadakan rumah-rumah terbuka. Kepada kaum Cina, saya dan isteri saya sekali lagi mengucapkan Selamat Tahun Baru. Gong Xi Fa Cai.
Terima kasih.