Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : UCAPAN SEMPENA PERASMIAN BALAI ISLAM TNB
Lokasi : SEPERTI DINYATAKAN DI BAWAH
Tarikh : 16-01-2020
 


TEKS UCAPAN YAB TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
PERDANA MENTERI MALAYSIA





MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS BALAI ISLAM TNB
SEMPENA ULANG TAHUN KE-70 TENAGA NASIONAL BERHAD





PADA 16 JANUARI 2020 (KHAMIS), JAM 10.00 PAGI BERTEMPAT DI DATARAN IBU PEJABAT TNB, BANGSAR, KUALA LUMPUR





Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,


1. Alhamdulillah, bersyukur kita kerana dapat hadir bersama-sama pada majlis perasmian Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada pagi ini.


2. Saya ucap terima kasih kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah dan seluruh barisan pengurusan TNB yang sudi menjemput saya untuk melakukan perasmian Balai Islam ini.


3. Tahniah juga kepada TNB yang telah membina bangunan Balai Islam yang baru ini yang saya pasti akan diguna sebaik mungkin oleh warga kerja TNB dan juga penduduk sekitar Bangsar ini.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
MENCARI KESEIMBANGAN DUNIA DAN AKHIRAT


4. Balai Islam ini mencermin kehendak kita untuk mengisi keperluan rohani atau jiwa nurani kita.


5. Pengisian ini bagi kita bukan sahaja satu tuntutan agama malahan ia melengkap kemanusiaan itu sendiri. Kita tidak sempurna sebagai satu manusia jika kerohanian kita tidak diisi dengan apa yang telah digariskan oleh agama kita.


6. Namun begitu, kadangkala apabila kita mengejar tuntutan agama itu kita lupa atau tidak sedar bahawa penekanan yang sama juga diberi kepada keperluan jasmani.


7. Keseimbangan inilah yang saling melengkapkan kehidupan kita sebagai umat Islam. Dalam lain perkataan, tuntutan Islam untuk kita beribadat sama beratnya dengan tuntutan untuk kita bekerja dan memaju diri di dunia.


8. Besar harapan saya agar semua warga kerja TNB dan juga orang lain yang mengguna Balai Islam ini akan melihat ianya sebagai seruan untuk beribadat dan di masa yang sama mengingat kita bahawa bekerja itu juga satu ibadat yang sama penting.


Tuan-tuan dan Puan-puan,
EVOLUSI TNB DAN DASAR PENSWASTAAN NEGARA


9. TNB sebagai sebuah GLC berperanan penting sebagai pemangkin kemajuan negara sepanjang 70 tahun. Melalui Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan pada tahun 1983, Lembaga Letrik Negara (LLN) ketika itu, adalah antara agensi Kerajaan yang telah disenaraikan untuk melalui proses penswastaan. Antara objektif utama penswastaan ialah mengurang beban kewangan Kerajaan. Di masa yang sama ia diyakini akan membawa banyak faedah kepada organisasi itu sendiri, termasuklah kakitangannya.


10. Hasil dari penswastaan LLN, lebih 20,000 kakitangan TNB ketika itu menjadi pemegang saham, menikmati gaji dan struktur gaji yang lebih baik serta pelbagai faedah termasuk bonus dan sebagainya.


11. Penswastaan TNB telah membawa banyak manfaat kepada rakyat negara ini. Perkhidmatan bertambah baik dan produktiviti meningkat hasil sistem imbuhan (reward) berdasarkan prestasi.


12. Selain itu, lebih 60 peratus saham TNB dipegang oleh pelbagai Syarikat-Syarikat Pelabur Berkaitan Kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).


13. Ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada puluhan juta pemegang akaun badan-badan berkenaan. Bayaran dividen bukan sahaja dinikmati oleh para pelabur, tetapi juga rakyat biasa yang mendapat faedah melalui caruman dan simpanan masing-masing.


14. Kita merenung kembali perubahan dan pencapaian TNB sejak penswastaan supaya kita sedar bahawa kejayaan pada hari ini adalah hasil usaha dan perancangan lampau. Untuk mencapai kejayaan masa depan, ini bermakna kita perlu berterusan berdaya saing dan merencanakan strategi-strategi baru bersesuaian dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
PENCAPAIAN TNB: WORLD BANK REPORT


15. Bank Dunia dalam laporannya – Doing Business 2020 menyatakan bahawa Malaysia kekal dua tahun berturut-turut di tangga ke-4 bagi urusan mendapatkan elektrik (getting electricity). Laporan Bank Dunia itu menilai 190 negara/ekonomi dan pencapaian kita adalah satu lonjakan besar berbanding pertama kali dinilai dari segi mendapatkan bekalan elektrik pada 2011, yang mana kita berada di tangga ke-60.


16. Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa TNB berjaya mencapai peringkat ini kerana berani melaku perubahan yang kadang-kala dianggap melawan arus dan cekal untuk mengejar cita-cita tersebut.


17. Saya dimaklumkan jenama TNB semakin dikenali di luar negara dengan penglibatan dalam bidang penjanaan di seberang laut termasuk di United Kingdom dan Turki. Malah, sudah tiga kali TNB merangkul anugerah jenama terbaik kebangsaan bagi kategori tenaga pada World Branding Awards dengan terbaru bagi tahun 2019.


18. Tahniah kepada TNB dan warga kerjanya atas semua pencapaian ini. Kerajaan menghargai semua usaha tersebut, lebih-lebih lagi apabila TNB tidak lupa untuk terus berkongsi kemakmuran dengan rakyat dan negara.


19. Kejayaan ini meletakkan TNB sebagai salah satu “success story” dasar dan program penswastaan yang kita perkenalkan dan kejayaan ini telah secara langsung mempercepatkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan yang lebih besar dan membawa kepada perkembangan sektor korporat.


INDUSTRI BEKALAN ELEKTRIK MALAYSIA (MESI) 2.0


20. Buat masakini, TNB pasti sedang memberi perhatian terutama dalam fasa transformasi Industri Bekalan Elektrik Malaysia (Malaysia Energy Supply Industry - MESI) 2.0 sekarang ini.


21. Hakikatnya, banyak peluang terbuka luas sempena liberalisasi pasaran dan penjanaan di bawah pembaharuan MESI 2.0 di samping TNB terus menerajui pengendalian sistem grid dan pengagihan tenaga.


Tuan-tuan dan Puan-puan,
PENUTUP


22. Sebelum saya akhiri, saya sekali lagi ingin ucap tahniah kepada TNB yang telah menyedia sebuah Balai Islam serba lengkap demi pembangunan ummah, khususnya dalam kalangan warga kerja TNB.


23. Saya harap usaha ini mendapat keredhaan dan keberkatan Allah jua. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Balai Islam ini dengan nama barunya Kompleks Balai Islam An-Nur Ibu Pejabat TNB.


Sekian. Terima kasih.


Kami menerima 6,744,102 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri