Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri,
Yang Berhormat menteri-menteri, pegawai-pegawai tertinggi dalam Pejabat Perdana Menteri,
Seterusnya hadirin sekalian yang ada kaitan dengan segala urusan pelaksanaan dasar-dasar daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Kita tahu bahawa kumpulan kita ini memain peranan yang amat penting. Sama ada negara kita ini dibangun ataupun tidak bergantung banyak kepada kita semua. Iaitu, bukan saja jentera kerajaan tetapi juga menteri-menteri yang berkaitan. Kerjasama antara menteri dengan pegawai-pegawai amatlah penting dan kita harus ketepikan perasaan peribadi untuk menentukan bahawa segala dasar untuk membangunkan negara dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kita telah perkenalkan dasar baru iaitu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama. Kita bukan saja menyatakan wawasan ini tetapi kita harus melaksanakannya. Untuk ini banyak kerja-kerja perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan Jentera kerajaan yang kekal. Kerjasama ini amat penting sekali kalau kita ingin melihat kejayaan negara kita. Perasaan diri sendiri tidak sepenting seperti kejayaan pembangunan negara. Kita lihat sekarang bahawa kemungkinan kita berjaya dalam mencapai matlamat kita amat besar tetapi kita harus tahu bagaimana nak jayakan dasar-dasar kita, rancangan-rancangan kita, strategi kita.
Sebab itu saya berpendapat bahawa bagi tahun ini kita perlu bekerja lebih kuat selain merayakan Hari Tahun Baru. Tahun baru memang memberi satu permulaan bagi kita membuat resolusi supaya negara kita ini dapat mencapai kemajuan supaya ia tidak lagi dipandang rendah, dipandang hina oleh orang lain kerana kita tidak mampu untuk mentadbirkan negara kita dan tidak mampu membangunkan negara kita.
Rancangan-rancangan sudah diadakan, pendekatan juga sudah dicipta dan saya cuma berharap semua pihak akan tumpukan kepada negara, bukan kepada diri sendiri tetapi kepada negara. Ya memang kita bekerja untuk mendapat pendapatan tertentu, tetapi itu adalah hanya sebahagian sahaja daripada tanggungjawab kita. Yang lebih utama ialah kejayaan kerja kita bukan sahaja memenuhi masa tetapi memenuhi masa dengan kerja-kerja yang akan menyumbang kepada pembangunan negara.
Wawasan Kemakmuran Bersama ini adalah satu wawasan yang terbaik mungkin yang diperkenalkan di dalam negara kita. Kita sedar terdapat perbezaan antara pihak-pihak tertentu, antara bandar dan luar bandar, antara negeri dengan negeri, antara wilayah dengan wilayah dan juga antara kaum-kaum yang terdapat di Malaysia. Untuk mengatasi masalah-masalah ini, bukan saja perancangan daripada kerajaan yang diperlukan ataupun tindakan oleh kerajaan yang diperlukan tetapi sambutan daripada rakyat juga perlu untuk menjayakan dasar kita.
Kita sedar bahawa ramai yang miskin di dalam negara kita. Dahulu cara kita untuk mengatasi kemiskinan ialah dengan memberi bantuan tetapi memberi bantuan tidak mengatasi kemiskinan. Kemiskinan akan berterusan. Kenapakah mereka miskin? Sebabnya ialah kerana mereka tidak produktif, tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat yang mana masyarakat akan membalas dengan memberi upah dan balasan kepada mereka. Tetapi sambutan oleh pihak yang miskin perlu diadakan dan ini perlu dijelaskan oleh semua pihak sama ada kerajaan pilihan rakyat ataupun jentera kerajaan yang kekal ini.
Kalau kedua-dua pihak ini menumpu kepada menjelaskan kepada rakyat bahawa kemiskinan tidak mungkin diatasi dengan subsidi, dengan bantuan sebaliknya dengan produktiviti orang yang miskin ini. Kita akan perkenalkan cara-cara si miskin menambah pendapatan mereka. Tetapi mereka mestilah sambut cara-cara ini dan amalkannya. Memang ada yang tidak mampu, tidak boleh, tidak ada kemahiran, tidak ada pengetahuan. Tetapi semua ini boleh diatasi kalau kita sanggup belajar untuk membuat sesuatu. Bukan saja membuat kerja tetapi cara-cara, sikap kita terhadap tugas-tugas kita.
Kita mesti ikhlas. Kita mesti pegang kepada segala amalan-amalan yang baik. Kita jangan tipu sama sekali, jangan terlibat dengan rasuah kerana itu semua menyekatkan pembangunan kejayaan negara kita. Kita sudah lihat negara-negara di mana rasuah berleluasa, walaupun negara itu kaya raya tetapi ia tidak dapat dibangunkan. Sebaliknya di mana rakyat berpegang teguh kepada sumbangan mereka tanpa rasuah maka negara itu akan mencapai kejayaan. Inilah yang patut kita ingat sepanjang masa.
Kita berada di sini dan rakyat bersedia untuk memberi jawatan kepada kita, memberi upah kepada kita, sebabnya kita ditugas untuk menentukan kejayaan negara untuk rakyat. Rakyat akan berterima kasih kalau kita berusaha untuk memenuhi kehendak mereka. Dan bagi yang miskin, tentulah mereka ingin mendapat tambahan pendapatan supaya mereka juga tidak termasuk dalam golongan yang miskin.
Negara kita ini adalah negara yang mengamalkan free economy, yang membenar siapa yang sanggup berusaha untuk menambah pendapatan mereka. Kita tidak iri hati ada yang mereka yang begitu kaya sekali dalam negara kita. Ada yang mendapat berbillion-billion ringgit, ada dari kita yang berasa iri hati melihat mereka begitu kaya terutama apabila mereka menjadi kaya hasil daripada sumbangan kita. Tetapi perasaan iri hati ini perlu dipendam, jangan dibiar untuk mempengaruhi diri kita kerana yang kaya ini diperlukan supaya mereka membayar cukai yang tinggi.
Kadang-kadang ratusan juta dibayar kepada kerajaan dan wang inilah yang kita guna untuk membayar gaji kita semua. Wang ini juga kita guna untuk membangunkan negara kita. Kalau semua penduduk negara kita ini miskin belaka ataupun tidak ada keupayaan untuk membayar cukai, dari manakah kita akan dapat dana untuk mentadbirkan negara kita. ini adalah perkara yang harus kita fikir sepanjang masa. Ada tempat bagi yang miskin, ada tempat bagi yang kaya. Tetapi yang kaya mestilah berusaha untuk menolong yang miskin sekurang-kurangnya. Bukan saja CSR, tetapi juga membayar cukai sepenuhnya.
Kita tidak ingin mendera sesiapa tetapi cukai yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan mestilah dibayar kerana cukai ini diperlukan untuk mendirikan kerajaan, untuk mentadbir negara. Kalau kita ingin melihat negara kita ini maju, pentadbiran mestilah pentadbiran yang terbaik mungkin, yang bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa. Apabila negara kita mencapai kemajuan, sumbangan daripada orang yang berusaha dan mendapat kekayaan, sumbangan daripada si miskin yang berusaha untuk memperbaiki pendapatan mereka, nescaya negara kita akan capai tahap negara maju dalam jangkamasa 2030.
Sebaliknya saya yakin kalau kita betul-betul berusaha, kita akan capai taraf negara maju lebih awal daripada itu. Hari ini pun kita sudah lihat dalam bidang teknologi, Malaysia telah mampu mengambil bahagian dan mengeluarkan barangan mereka sendiri. Kita hari ini mampu membuat 'drone' umpamanya. Sesuatu alat yang canggih yang diperlukan untuk pembangunan negara. Dan kita akan terus melibatkan diri dalam bidang-bidang canggih yang lain supaya kita akan dianggap sebagai negara termaju, yang moden, yang boleh bersaing dengan negara-negara maju yang lain.
Inilah harapan kita pada tahun ini. Buatlah resolusi untuk negara. Resolusi untuk menjayakan negara kita ini supaya kita boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa maju di dunia ini. Saya harap kita semua sambut tahun ini dengan resolusi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi Juga kepada negara. Insya Allah kalau kita berusaha bersungguh-sungguh kita akan capai matlamat yang kita tujukan. Itu sajalah yang dapat saya perkatakan pada pagi ini dan saya harap tahun 2020 yang penuh bermakna bagi kita akan menjadi tahun permulaan bagi langkah yang tetap akan membawa kejayaan kepada negara kita supaya pada tahun 2030 kita akan diiktiraf sebagai negara maju.
Sekian terima kasih.