Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : DI MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA,
Lokasi : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR
Tarikh : 12-12-1983
 
Jawatankuasa Malam Wartawan Malaysia; Dif-dif Kehormat; Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Malam Wartawan Malaysia kerana menjemput saya untuk berucap dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada wartawan-wartawan yang berjaya pada tahun ini.

2. Majlis yang meriah ini diadakan untuk memberi pengakuan dan penghargaan kepada wartawan-wartawan yang terpilih kerana kecemerlangan mereka dalam bidang yang tertentu.

Saya percaya saudara-saudari sekalian sentiasa berusaha untuk meninggikan lagi prestasi masing-masing. Dengan adanya peraduan dan penghargaan seperti ini, secara tidak langsung akan mendorong para wartawan kita untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi, bagi meninggikan mutu kewartawanan mereka.

Saudara-saudari sekalian,

3. Media massa dan para wartawan, terutamanya dalam negara membangun, mempunyai peranan yang tertentu dan mereka, seperti juga golongan profesional yang lain, memikul beban tanggungjawab yang berat. Apatah lagi apabila media massa ini berfungsi dalam masyarakat yang bukan sahaja sedang pesat membangun, tetapi juga masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini. Dalam keadaan yang sedemikian, para wartawan dan media massa mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.

Mereka juga bertanggungjawab mempastikan agar kegiatan mereka tidak bercanggah dan tidak menghalang arus pembangunan negara.

4. Dalam konteks ini media massa hendaklah sentiasa menentukan bahawa sebarang penulisan, rencana dan laporan yang dibuat hendaklah objektif, balanced dan membina untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kemusykilan di kalangan rakyat. Penulisan-penulisan yang dapat memberi sumbangan ke arah meningkatkan lagi tahap pencapaian dalam bidang sosial, ekonomi, politik, kemasyarakatan dan lain-lain hendaklah diberi tumpuan dan keutamaan. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti bahawa berita dan rencana yang kritikal dan menegur tidak seharusnya diterbitkan.

Sepertimana yang saudara-saudari maklum, memang terdapat dalam akhbar-akhbar kita, bukan sahaja teguran tetapi juga pendedahan atau expose dari masa ke semasa mengenai sesuatu kelemahan atau penyelewengan yang berlaku. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengulangi sekali lagi, bahawa Kerajaan sedia menerima teguran dan kritikan ini.

Malahan kami sentiasa memberi perhatian terhadap kritikan dan expose ini. Kami anggapkan expose dan teguran ini sebagai satu jenis feedback yang perlu dikaji, dan sekiranya didapati benar, kami akan berusaha untuk membetulkan keadaan. Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan menerima tuduhan-tuduhan yang melulu dan yang tidak berasas, yang sengaja dibesar-besarkan untuk menarik minat pembaca atau kemasyhuran pemberita-pemberita tertentu. Sebarang niat buruk seperti ini, sekiranya terdapat, akan ditentang.

5. Di sini izinkan saya membuat sedikit teguran terutama kepada akhbar dan majalah dalam Bahasa Malaysia. Banyak dari akhbar dan majalah ini menyiarkan cerita seram, cerita hantu dan bermacam-macam lagi perkara ganjil dan ghaib.

Akibatnya ialah pembaca mereka, dan masyarakat Melayu terutamanya sudah jadi takut kepada bayang-bayang. Mereka nampak hantu di mana-mana sahaja. Ramai dari murid perempuan sekolah Melayu, terutama yang berasrama sering dilanda histeria, menjerit-jerit dengan ketakutan. Ada kalanya sekolah terpaksa ditutup dan pokok terpaksa ditebang.

6. Kesan dari pupukan kepercayaan kepada hantu dan lain-lain makhluk khayalan ialah masyarakat yang hidup dalam ketakutan. Masyarakat yang hidup dalam ketakutan ini tidak mungkin berjaya, bahkan tidak mungkin mempertahankan diri.

Kekalahan orang Melayu dalam peperangan dahulu kala berasas kepada kepercayaan bahawa musuh mereka mempunyai kuasa ghaib. Ini menghapuskan kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri. Dengan itu maka mudahlah mereka ditewaskan.

7. Saya percaya bahawa cerita-cerita seram dan cerita hantu ini amat menarik. Tetapi saya ingin merayu kepada akhbar dan majalah supaya tidak menggunakan jalan yang mudah ini untuk mendapat pelanggan. Kita akan kesal kemudian hari jikalau kerana hendak menjual surat khabar kita jadikan orang Melayu bangsa yang kolot yang takut kepada bayang-bayang.

Saudara-saudari sekalian,

8. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan Kerajaan kepada media massa kita atas peranan dan khidmat mereka. Pada keseluruhannya media massa kita telah menjalankan tugas masing-masing dengan penuh tanggungjawab, sensitif akan environment di mana mereka bergerak, serta berhati-hati dan cermat dalam laporan-laporan yang dibuat.

9. Akhir-akhir ini pula pihak media massa kita telah sekali lagi membuktikan tanggungjawab mereka. Sebagai contoh, akhbar-akhbar dan para wartawan telah berhati-hati apabila membuat laporan mengenai pindaan perlembagaan.

Mereka telah menunjukkan kedewasaan dan kematangan mereka dalam membuat lapuran mengenai perkara ini. Walaupun terdapat pihak-pihak tertentu yang mempunyai bermacam cerita yang juicy, yang mengghairahkan dan yang sengaja disebarkan dengan tujuan untuk mendapat tempat di dalam akhbar, tetapi akhbar-akhbar kita tidak rela memakan umpan ini. Ini adalah bukti yang jelas tentang profesionalisme para wartawan kita.

Mereka tidak rela menjadi alat kepada golongan yang mempunyai tujuan-tujuan tertentu yang bertentangan dengan kehendak ramai. Walaupun cerita-cerita seumpama ini sedap dibaca dan sudah tentu akan melariskan jualan akhbar, tetapi akhbar-akhbar kita tidak mudah dipengaruhi. Media massa kita benar-benar sedar akan tanggungjawab utama mereka kepada masyarakat dan negara. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara-saudari sekalian.

Saudara-saudari sekalian,

10. Tidak berapa lama dahulu saya telah menulis satu rencana yang disiarkan dalam akhbar The New Straits Times berkenaan dengan pandangan saya terhadap akhbar dan pemberita. Tulisan saya itu agak kritikal sedikit terhadap press dan peranan pressmen. Saya sebutkan rencana ini kerana dalam TIME magazine keluaran minggu lepas terdapat satu rencana mengenai pandangan orang-orang Amerika terhadap akhbar dan pemberita mereka. Orang Amerika nampaknya baru sedar bahawa laporan yang mereka terima dari pemberita mereka adalah tidak tepat, tidak factual tetapi sebaliknya mencerminkan pendirian politik pemberita. Mereka juga sedar akan ambition pemberita-pemberita yang ingin mendapat nama sehingga tidak sama sekali memperdulikan tekanan jiwa yang mereka lakukan dengan pendedahan terhadap masalah dan penderitaan sasaran laporan mereka.

11. Inilah extract dari rencana TIME magazine itu; "The most fundamental of these question is: Can you believe what you read or see? The credibility of all journalists was damaged in 1981 when Washington Post Reporter Janet Cooke was forced to return a Pulitzer Prize after admitting that she had invented the title character of "Jimmy's World", a portrait of an eight-year-old heroin addict. A month later, New York Daily News Columnist Michael Daly admitted that he had made up the name of a British soldier who, he reported, had shot a juvenile in Belfast....... The rash of fraud infected the New York Times when its Sunday magazine published a report from Cambodia by Freelancer Christopher Jones. In fact, Jones had written the story while at his home in Spain and for part of it had plagiarized a 1930.

12. Inilah jenis laporan yang dibuat oleh pemberita dan akhbar terkemuka di Amerika. Sudah tentu apabila mereka melaporkan tentang negara kita, fitnah mereka tidak ada had sama sekali. Tidak ada yang terlalu buruk untuk dilapor tentang kita. Sebaliknya sebarang kebaikan tidak ada tempat dalam halaman akhbar mereka.

13. Sebaliknya pemberita dan akhbar kita tidak demikian.

Walaupun ada yang tertarik dengan cara-cara pemberita asing umumnya kita masih bersikap bertanggungjawab.

14. Sikap dan tanggungjawab akhbar tempatan tidak menyenangkan beberapa wartawan Malaysia who are in the pay of the foreign press. Orang-orang ini, terutama yang berasa kecewa kerana tidak mendapat sesuatu bagi diri sendiri di masa berkhidmat dalam negara, tidak jemu dengan memutar-belitkan berita negara sendiri, supaya they are given a pat on the back by their foreign masters. We watch the antics of these pet poodles with utter contempt and derision.

15. Hubungan erat antara kerajaan dengan media massa dalam negeri bererti bahawa kedua-dua pihak boleh bekerjasama demi kepentingan dan kebaikan umum. Ia juga adalah bukti, bahawa dalam melaksanakan tugas mereka, pihak akhbar tidak seharus dan semestinya bersikap konfrantasi dengan Kerajaan. Media massa yang bekerjasama dengan pihak berkuasa tidak akan hilang credibilitynya. Saya menyebut demikian oleh kerana ada yang berpendapat, terutamanya di Barat, bahawa kononnya sebarang kerjasama antara media massa dan pihak berkuasa akan lama kelamaan mengikis credibility media massa. Di Malaysia kerjasama rapat dan persefahaman antara media massa dan Kerajaan telah menghasilkan ikatan yang menguntungkan ke dua-dua pihak. Sebagai bukti kita dapat melihat pertumbuhan readership atau pembaca akhbar-akhbar Malaysia, terutama akhbar dalam bahasa Malaysia. Sementara di negara-negara membangun yang lain akhbar-akhbar kurus-kurus belaka, di Malaysia akhbar semakin tebal dan semakin tinggi mutu cetakan dan isikandungannya.

16. Kita di Malaysia telah beberapa kali dapat mengatasi masalah yang kita hadapi dengan jayanya. Setiap kali kita menghadapi masalah yang besar, golongan-golongan asing termasuk beberapa akhbar dan majalah di Barat, meramalkan Malaysia akan hancur. Tetapi kita bukan sahaja dapat mengatasi masalah-masalah itu, bahkan dapat mengambil dan mengatur langkah-langkah yang tertentu bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya semula perkara seumpama itu. Dalam hal ini Kerajaan yakin bahawa kita akan dapat mencapai penyelesaian kepada perkara yang kita hadapi sekarang ini melalui rundingan, demi untuk kepentingan rakyat dan negara. Isu yang lebih besar daripada ini telah dapat kita atasi di masa-masa yang lepas. Maka tidak ada sebab mengapa soal ini tidak boleh pula diatasi. Insya Allah, kita akan dapat mencari penyelesaian yang membawa manfaat kepada kita semua.

Saudara-saudari sekalian,

17. Kerajaan memang sentiasa berusaha untuk membantu pihak media massa dalam tugas-tugasnya. Bukanlah menjadi niat Kerajaan untuk menyulitkan kerja saudara-saudari dengan merahsiakan segala urusan kerajaan. Kerajaan sedar bahawa bersikap sedemikian hanya akan menimbulkan khabar-khabar angin yang mungkin membawa kesan yang memudaratkan public opinion. Walau bagaimanapun saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan kadang-kadang tidak dapat memberi maklumat dan keterangan dengan sewenang-wenangnya apabila sahaja diminta oleh para wartawan. Memang ada maklumat dan keterangan yang boleh diberi, dan ini memang sudah pun dilakukan oleh pegawai-pegawai Kerajaan yang diberi tanggungjawab untuk berbuat demikian. Tetapi mengenai perkara-perkara yang penting, yang menyentuh umpamanya keselamatan negara, sudah pasti pihak kerajaan tidak dapat memberikan maklumat itu dengan begitu mudah. Perkara-perkara yang penting, yang melibatkan keselamatan negara dan orang ramai, hanya boleh diumumkan setelah ianya dikaji dengan teliti dan mendalam dan setelah difikirkan bahawa pengumumannya tidak akan mendatangkan apa-apa masalah. Oleh itu saya berharap saudara-saudari sekalian memahami akan hal ini dan bersabar dan tidak pula cepat menuduh pegawai-pegawai Kerajaan tidak mahu bekerjasama.

18. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan sedikit pendapat saya mengenai rencana-rencana luar negeri yang selalu disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan. Sepertimana kita maklum kebanyakan daripada rencana-rencana ini, adalah yang diterima dari agensi-agensi berita dan akhbar-akhbar asing terutamanya dari negara-negara Barat. Sebagai contoh kita membaca mengenai nasib orang-orang Palestin, politik antarabangsa, perkembangan-perkembangan di negara-negara membangun dan lain-lain yang ditulis oleh wartawan-wartawan Barat. Memang benar ada di antara mereka ini yang sungguh bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin dan negara-negara yang membangun, dan rencana-rencana mereka inilah yang selalunya disiarkan oleh akhbar-akhbar kita. Mungkin akhbar-akhbar kita memetik rencana-rencana tersebut oleh kerana agensi-agensi berita dan akhbar-akhbar Barat ini mempunyai wartawan-wartawan atau wakil-wakil mereka yang bertugas di hampir seluruh pelusuk dunia, dan oleh itu mereka mengeluarkan lebih banyak lagi rencana jika dibandingkan dengan agensi-agensi berita dan akhbar-akhbar negara-negara membangun. Saya rasa ini tidak harus menjadi alasan bagi akhbar-akhbar Malaysia untuk bergantung kepada mereka dalam mendapatkan rencana-rencana sepertimana yang saya sebutkan tadi. Akhbar-akhbar kita, saya fikir, sepatutnyalah berusaha untuk membuat rencana-rencana seperti yang ditulis oleh wartawan-wartawan asing ini. Memang ini sudah dibuat, tetapi belum begitu banyak lagi. Saya berpendapat bahawa perkembangan mengenai hubungan Utara-Selatan, perjuangan rakyat Palestin, perkembangan ekonomi dan politik dunia dan sebagainya, seharusnya dapat ditulis oleh wartawan-wartawan kita sendiri, dari kacamata dan perspektif kita sendiri.

Saya percaya ramai di antara saudara-saudari yang mempunyai kebolehan, bukan sahaja untuk menghasilkan penulisan-penulisan seumpama ini, bahkan juga yang lebih bermutu. Mungkin apa yang perlu sekarang ini ialah kepercayaan yang lebih kepada diri sendiri, kesungguhan dan kesanggupan untuk mengubah sedikit corak bekerja daripada yang biasa dibuat. Dewasa ini, apabila Malaysia sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh, supaya dalam beberapa aspek kita tidak terlalu bergantung kepada sesuatu pihak atau punca, adalah diharapkan bidang kewartawanan juga tidak terlalu bergantung kepada punca-punca tradisional mereka bagi mendapatkan bahan-bahan berita dan rencana. Sebaliknya akhbar-akhbar yang terkenal dan maju di Malaysia, hendaklah menghantar foreign correspondent mereka ke tempat-tempat yang menjadi tumpuan berita sekarang. Janganlah tunggu hingga Perdana Menteri membuat lawatan, barulah diadakan liputan.

19. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Malam Wartawan Malaysia kerana menjemput saya dan isteri saya ke majlis ini. Kepada pemenang-pemenang saya mengucapkan tahniah dan kepada mereka yang tidak berjaya kali ini, cubalah lagi.

Terima kasih.


Kami menerima 4,856,832 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2021 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri