English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PENGUMUMAN PAKEJ STRATEGI BARU KE ARAH MERANGSANG PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA
Lokasi :
Tarikh : 21-05-2003
 
1. Kerajaan telah menyediakan satu pakej strategi baru yang mengandungi langkah komprehensif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Strategi baru ini diperlukan kerana perkembangan politik dan ekonomi dunia akhir-akhir ini, pencerobohan ke atas iraq dan ancaman SARS. Persekitaran global kini menjadi tidak menentu dan rumit, dan akan menghalang pemulihan ekonomi dunia.

2. Setakat ini ekonomi negara masih mampu mengekalkan tahap pemulihan yang kukuh. Pada 11 Mac tahun ini, Kerajaan telah pun mengumumkan 10 langkah baru untuk merangsang dan memantapkan lagi pasaran modal negara. Bagaimanapun, pakej strategi baru ini adalah perlu bagi merangsang lagi pertumbuhan ekonomi dan tahap keyakinan pelabur dan pengguna. Pakej ini memberi tumpuan kepada empat strategi utama iaitu menggalakkan pelaburan swasta, memperkukuhkan daya saing negara, menjana punca pertumbuhan baru dan meningkatkan keberkesanan delivery system Kerajaan dan swasta. Pakej ini mengandungi 90 langkah termasuk untuk mengatasi kesan SARS.

Strategi Pertumbuhan

3. Kerajaan peka kepada keluhan berterusan mengenai akses kemudahan pinjaman kepada peniaga kecil. Kerajaan akui walaupun bank memenuhi kuota bagi peniaga kecil dan sederhana, tetapi kelemahan penyaluran dana oleh institusi kewangan telah mengakibatkan kegiatan pinjaman haram. Oleh itu, antara langkah utama pakej ini ialah penubuhan Skim Kredit Mikro untuk peniaga kecil di bawah Bank Pertanian Malaysia dengan dana permulaan RM 500 juta. Di samping itu, Dana Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan ditambah sebanyak RM 200 juta dan diletakkan di bawah Bank Pertanian Malaysia. Satu lagi Skim Kredit Mikro sebanyak RM 300 juta diletakkan di bawah Bank Simpanan Nasional. Ini bermakna Kerajaan menyediakan tambahan dana sebanyak RM 1 bilion di bawah Skim Kredit Mikro. Syarat pinjaman skim ini dipermudahkan dengan kadar faedah pinjaman pada empat peratus tanpa cagaran, sementara pembayaran balik akan dijadualkan mengikut penerimaan aliran tunai yang viable.

4. Bagi IKS, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan atau TEKUN sebanyak RM 200 juta. Di samping itu, Bank Negara Malaysia akan menyediakan sejumlah RM 600 juta kepada Tabung IKS dan RM 400 juta kepada Tabung Usahawan Baru.

5. Pembangunan luar bandar juga diberi tumpuan. Kerajaan akan meningkatkan taraf infrastruktur dan delivery system luar bandar dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 300 juta. Di samping itu, tambahan dana sebanyak RM 200 juta di bawah AIM akan memudahkan accessibility pinjaman oleh rakyat di luar bandar.

6. Bagi sektor pertanian, tabung makanan juga akan ditambah sebanyak RM1 bilion lagi untuk membiayai projek pengeluaran makanan. Di samping itu, untuk membolehkan nelayan meningkatkan penangkapan, Kerajaan akan membina 1,000 bot yang dilengkapi dengan peralatan moden untuk disewa beli kepada mereka melalui Nekmat.

7. Bagi menggalakkan pelaburan asing, Kerajaan akan melonggarkan garis panduan FIC untuk menjadi lebih mesra pelabur, selaras dengan matlamat menarik Foreign Direct Investment.

8. Untuk mempertingkatkan daya saing negara, antara langkah cukai ialah memanjangkan tempoh taraf perintis dan elaun cukai pelaburan di bawah skim pra-pakej. Di samping itu, taraf perintis atau elaun cukai pelaburan kali kedua diberikan kepada syarikat R&D, sementara pengecualian sepenuhnya cukai pendapatan diberikan kepada OHQ (operational HQ). Insentif juga diberi kepada hypermarkets dan syarikat jualan langsung yang mengeksport produk buatan tempatan.

9. Keupayaan negara untuk menarik FDI dalam sektor perkhidmatan bergantung kepada kualiti gunatenaga negara. Oleh itu, program latihan dan latihan semula amat penting. Kita masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kualiti gunatenaga negara bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan seperti ini. Tabung pembangunan kemahiran bagi membantu pelajar teknikal dan vokasional mendapat pinjaman, akan disusun semula dan ditambah sebanyak RM 500 juta. Di samping itu, tabung latihan semula ditubuhkan dengan dana sebanyak RM 100 juta bagi program latihan dan re-skilling graduan baru dalam bidang seperti ICT dan perakaunan. Syarikat Kerajaan diminta menyediakan latihan kepada graduan baru dan pihak swasta harus juga menyediakan latihan yang sama sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka.

10. Bagi membolehkan rakyat memperolehi tempat tinggal yang lebih selesa dan persekitaran yang sihat dan bersih, Kerajaan akan melaksanakan Projek Harapan (harapan rakyat memiliki perumahan). Langkah bagi sektor perumahan ini dijangka menjana kegiatan ekonomi sambil meningkatkan prestasi anak-anak dalam bidang akademik, mengelakkan masalah sosial seperti budaya lepak sambil mengurangkan jurang antara golongan the haves and the have-less.

11. Ciri utama Projek Harapan ialah pemberian subsidi bayaran kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak tiga peratus untuk tahun pertama, atau pinjaman tanpa faedah untuk 10 peratus deposit bagi tahun pertama bagi pembelian rumah di bawah RM 100,000. Ini adalah bagi pinjaman yang diperolehi dari Bank Simpanan Nasional. Untuk rumah berharga antara RM100,000 dan RM180,000, pelepasan cukai akan diberi sebanyak RM 5,000 ke atas faedah pinjaman bagi tahun taksiran 2003, RM 3,000 untuk 2004, dan RM 2,000 untuk 2005. Insentif ini diberikan bagi perolehan rumah dalam tempoh setahun mulai 1 Jun 2003.

12. Bagi pinjaman perumahan dari bank-bank lain, bayaran sebanyak RM 600 akan diberi kepada mereka yang memperolehi rumah berharga di bawah RM100,000.

13. Pengecualian duti setem juga akan diberi ke atas surat cara bagi perolehan perumahan tidak lebih daripada RM180,000, sementara cukai keuntungan hartanah pula dikecualikan untuk tempoh setahun mulai 1 Jun.

14. Kerajaan juga akan membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. Sebagai permulaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 150,000 unit lagi rumah rakyat. Ini akan memberi peluang kepada kontraktor yang mempunyai rekod yang baik.

15. Bagi ibu tunggal, Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan mereka. Untuk ini, mereka juga akan diberi keutamaan untuk memiliki unit rumah kos rendah dan sederhana yang akan dibina dan diperolehi di bawah program perumahan SPNB.

16. Untuk menambah pendapatan boleh guna rakyat, caruman pekerja kepada KWSP dikurangkan daripada 11 peratus kepada 9 peratus untuk setahun bermula dari 1 Jun 2003. Kerajaan berharap pihak MTUC akan menyokong langkah ini.

17. Bagi kakitangan Kerajaan pula, Kerajaan akan memberi bonus sebanyak setengah bulan gaji. Syarikat Kerajaan yang menjangkakan keuntungan pada tahun ini, juga disarankan untuk memberi insentif kewangan yang sama kepada kakitangan mereka.

18. Untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan, kadar campurtangan BNM (BNM intervention rate) dikurangkan sebanyak 50 mata asas. Pengurangan ini hendaklah dimanfaatkan (pass through) kepada semua peminjam oleh institusi kewangan.

Meningkatkan Keberkesanan Delivery System

19. Antara langkah untuk meningkatkan keberkesanan delivery system ialah mempercepatkan urusan memproses dan memberi kelulusan CFO dan menggunakan sistem fast track bagi urusan pemberian milik dan penukaran kegunaan tanah. Proses permohonan permit dan lesen perniagaan yang lain akan dipendekkan. Pada masa yang sama, pihak swasta juga perlu memperbaiki delivery system mereka.

Langkah-langkah Mengatasi Kesan Negatif SARS

20. Pakej ini juga menggariskan langkah spesifik bagi menangani kesan negatif wabak SARS. Langkah ini termasuk pemberian diskaun lima peratus daripada jumlah bil elektrik bulanan bagi pengusaha hotel. Cukai perkhidmatan dikecualikan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh hotel dan restoran. Kedua-dua ini diberikan mulai 1 Jun hingga 31 disember 2003. Di samping itu, cukai perkhidmatan ke atas complimentary room yang disediakan oleh pengusaha hotel dihapuskan mulai 1 Jun 2003.

21. Bagi syarikat pelancongan, pembayaran ansuran cukai pendapatan mereka ditangguhkan mulai 1 Jun sehingga 31 Disember 2003. Syarikat pelancongan dan hotel juga diberi pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi tempoh yang sama. Cukai jalan teksi bagi tempoh enam bulan pula dikurangkan sebanyak 50 peratus sekali sahaja.

22. Bagi membantu pengurusan aliran tunai pengusaha di sektor pelancongan, satu special relief guarantee facility berjumlah RM 1 bilion disediakan. Bagi pekerja yang dipotong gaji, institusi perbankan akan menyediakan skim penyusunan dan penjadualan semula pinjaman, termasuk rumah dan kereta mereka.

23. Langkah-langkah awal dan decisive yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya mencegah wabak SARS, satu hakikat yang diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Namun tanpa usaha sepenuhnya daripada setiap individu bagi menjaga kebersihan, ancaman penyakit dan wabak tidak akan dapat diatasi. Kerajaan akan memperuntukkan RM 200 juta kepada pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan kerja-kerja pembersihan, termasuk memastikan kebersihan tandas- tandas awam.

24. Pelupusan sampah mestilah diterima oleh rakyat pada standard yang bersesuaian dengan negara yang sedang membangun. Menolak sistem dan amalan yang diterima oleh negara maju hanya akan menyulitkan usaha untuk membersihkan persekitaran kita. Jika sampah terpaksa dilonggok di kawasan terbuka, iaitu di rubbish dump, ia akan meracun air bawah tanah, selain dari menjadi tempat untuk serangga dan kuman membiak.

25. Bagi membendung dan mengawal penyakit-penyakit mudah berjangkit, Pusat Kawalan Penyakit atau CDC (Centre for Disease Control) akan ditubuhkan di bawah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

26. Pembiayaan pakej ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM 1.7 bilion dalam bajet Kerajaan Persekutuan. Di samping itu, Bank Negara akan menyediakan RM 2 bilion, manakala institusi kewangan pembangunan seperti Bank Pertanian Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Bank Pembangunan dan Infrastruktur dan Bank Industri menyediakan sebanyak RM 3.6 bilion. Institusi-institusi ini akan memperolehi sumber kewangan daripada excess liquidity in the market, terutamanya daripada KWSP.

Penutup

27. Pada keseluruhannya, strategi dan langkah baru ini digubal bagi merangsang kegiatan ekonomi, serta menjamin asas ekonomi yang lebih teguh. Pakej strategi baru ini juga menekankan aspek harapan dan peluang kepada rakyat untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Kerajaan yakin negara akan dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini dibanding dengan tahun lepas. Kerajaan juga yakin semua lapisan rakyat akan memperolehi faedah daripada langkah-langkah yang diambil di bawah pakej ini. Untuk menjayakan pakej ini, saya berharap semua rakyat Malaysia memberi kerjasama sepenuhnya dan sokongan padu serta memainkan peranan dengan lebih berkesan.

Kami menerima 4,454,849 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri