Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : PELANCARAN KAD PENGENALAN BERMUTU TINGGI
Lokasi : IBU PEJABAT, JABATAN PENDAFTARAN NEGARA, PETALING JAYA
Tarikh : 13-08-1991
 
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan izinNya dapat kita bersama-sama di majlis hari ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melancarkan Kad Pengenalan Baru yang bermutu tinggi ini.

2. Pelancaran kad pengenalan baru ini merupakan satu lagi detik penting dalam sejarah negara. Oleh kerana bentuk kad pengenalan plastik sekarang ini telah berusia lebih daripada 30 tahun, langkah mengemaskini sistem kad pengenalan sekarang melalui Kad Pengenalan Bermutu Tinggi, adalah wajar. Kad pengenalan diperkenalkan pada mulanya untuk membanteras ancaman komunis. Walaupun Parti Komunis Malaya telah meletakkan senjata, kad pengenalan wajib dikekalkan. Ini perlu dari sudut iktisad, sosial dan pentadbiran.

3. Sistem Kad Pengenalan baru ini adalah lebih canggih dan melibatkan penggunaan komputer. Sebagai mengganti cara man- ual yang mempunyai serba kelemahan, rangkaian komputer digunakan untuk meningkat kecekapan dan keberkesanan proses mengumpul data penduduk negara ini.

4. Kad Pengenalan baru ini merupakan fasa pertama projek pengkomputeran Jabatan Pendaftaran Negara. Fasa kedua, yang akan dimulakan pada tahun hadapan, merupakan pengwujudan sistem pengumpulan data penduduk negara dan bertujuan membina "data base" yang akan membolehkan Kerajaan membuat perancangan dan mengurus masalah negara dan rakyat dengan lebih tepat dan berkesan. Melalui penggunaan komputer dan mesin-mesin pengeluaran yang moden, kita yakin dapat membaiki kelemahan-kelemahan sistem lama dan memenuhi keperluan dan cabaran-cabaran semasa dan masa hadapan.

5. Walaupun projek Kad Pengenalan ini melibatkan perbelanjaan yang besar, iaitu $64 juta, Kerajaan mendapati faedahnya amat luas. Teknologi yang digunakan adalah yang termoden. Kad Pengenalan baru ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang bermutu tinggi.

6. Sehaluan dengan projek Kad Pengenalan ini, satu sistem pengumpulan dan pengemaskinian yang lengkap dengan data-data penduduk negara akan juga dibentuk. Melalui sistem ini maklumat-maklumat penting individu akan dapat disimpan dan dikumpulkan di dalam komputer, dengan itu mengwujudkan satu Pengkalan Data (Data Base) penduduk yang kemaskini.Pengkalan Data ini juga akan dapat dimanfaatkan oleh semua agensi Kerajaan yang berkaitan. Sistem ini akan dapat dijadikan asas kepada pembinaan daftar penduduk negara yang amat penting dalam mengendalikan pentadbiran awam. Daftar tersebut akan berguna kepada semua agensi Kerajaan bagi maksud perancangan operasi atau pembangunan masing-masing.Ianya juga akan menjadi sebagai pusat rujukan informasi bagi mendapatkan maklumat untuk mengetahui kedudukan penduduk dan petaburan mereka.

7. Oleh kerana Malaysia sedang pesat membangun dan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan bertambah dengan pesatnya, maka ramai warganegara asing yang berminat bekerja di Malaysia. Penghijrahan dari satu negara ke satu negara lain sudah berkembang sehingga menjadi masalah besar kepada banyak negara yang lebih maju daripada negara jiran terutamanya. Masalah ini perlu dibendung jika hak dan kepentingan warganegara kita hendak dipelihara.

8. Cara yang terbaik untuk menjaga kepentingan warganegara kita ialah dengan mendaftarkan mereka dan mengadakan sistem kad pengenalan. Dengan itu kita dapat pastikan siapa warganegara dan siapa pendatang haram.

9. Ramai rakyat asing berminat untuk mendapat kerakyatan Malaysia. Ini adalah kerana sebenarnya menjadi warganegara Malaysia dianggap sebagai satu keistimewaan, satu privilege yang besar yang memberi banyak manfaat kepada pemegang kerakyatan itu. Sekaligus ini bermakna pemegang kad pengenalan Malaysia adalah orang yang istimewa, dan privi- leged. Justeru itu pemegang-pemegang kad pengenalan mestilah menjaga kad pengenalan mereka dengan baik, kerana ia adalah harta yang tinggi nilainya dan ramai yang berminat untuk mendapatkannya dengan apa cara sekalipun.

10. Demikian juga kad pengenalan mestilah selamat daripada ditiru atau dipalsukan. Kad yang baru ini mempunyai banyak ciri-ciri keselamatan atau safety features untuk mengelak daripada dipalsukan. Janganlah kerana soal wang yang lebih sedikit dan masa yang diperlukan untuk mendapat kad pengenalan baru, yang begitu diminati oleh bukan rakyat Malaysia, dijadikan masalah.

11. Kad pengenalan memudahkan pengenalan rakyat dan warganegara. Oleh itu ia boleh menentukan seseorang warganegara mendapat haknya, umpamanya hak mengundi dalam menentukan politik negara, hak mendapat pasport untuk keluar-masuk negeri, hak mendapatkan bantuan Kerajaan, hak menggunakan kemudahan seperti persekolahan dan khidmat kesihatan dan banyak lagi. Tetapi hak ini tidak percuma. Tidak ada apa-apa yang percuma, baik di dunia atau di akhirat. Hak kerakyatan mestilah dibayar dengan kesetiaan kepada negara dan bertanggungjawab terhadapnya.

12. Ada orang yang begitu taksub dengan nilai-nilai Barat sehingga mereka memikirkan kerakyatan tidak memerlukan kesetiaan. Mereka ini sanggup diperalatkan oleh orang asing yang berniat buruk terhadap kita. Mereka menerima wang daripada orang asing untuk sabotaj negara mereka sendiri. Kononnya mereka berjuang untuk hak asasi manusia dan untuk alam sekitar. Hak asasi dan alam sekitar adalah tanggungjawab rakyat negara ini dan rakyat Malaysia yang sepatutnya menentukan apa dianya yang perlu dipertahankan.

13. Apabila kita mulakan pengeluaran kad pengenalan baru ini kepada orang ramai, banyak masalah dan rungutan akan didengari. Ini memanglah perkara biasa apabila sesuatu yang baru diperkenalkan. Mungkin akan kedengaran bahawa perkhidmatan Pejabat Pendaftaran tidak cekap, dan tidak memuaskan. Sungutan-sungutan tertentu mungkin berasas, dan mungkin juga tidak. Tetapi apabila orang ramai berinteraksi dengan kakitangan Kerajaan, banyak perkara dan masalah akan timbul. Dalam hal ini, orang ramai berpendapat kakitangan Kerajaan yang bersalah, dan kakitangan Kerajaan pula akan mendakwa orang ramai yang bersalah.

14. Sebenarnya dalam kebanyakan kes-kes salah faham seperti ini, kedua-dua pihak bersalah. Jika kakitangan Kerajaan bersalah sekalipun, bukan dalam semua kes mereka bersalah. Demikian juga jika orang ramai bersalah, bukan dalam semua kes mereka bersalah.

15. Rakyat Malaysia perlu selalu bertimbangrasa dan menghormati perasaan orang lain. Tidak ada salah jika kakitangan Kerajaan berlemah lembut semasa bertugas dan senyum selalu, walaupun kadangkala terdapat pelanggan- pelanggan yang kasar. Sebenarnya lebih ramai yang bersopan daripada yang kasar. Kita hendaklah menganggap siapa sahaja yang menjadi pelanggan kita sebagai orang yang baik budi pekerti, dan kita melayan mereka dengan baik.

16. Setiap pegawai dan kakitangan Kerajaan harus beringat- ingat bahawa mereka juga akan menjadi pelanggan di waktu yang lain. Sepertimana mereka tidak ingin dilayan dengan kasar apabila mereka sendiri menjadi pelanggan, janganlah mereka berkasar semasa giliran mereka melayan pelanggan.

17. Negara yang mempunyai penduduk-penduduk yang selalu berhati-hati dan bersopan santun akan membuat kehidupan diri sendiri lebih tenang dan lebih selesa. Sebagai bonus, kita semua akan mendapat pendapatan yang kian meningkat jika kita semua, sama ada pihak swasta atau awam, memberi layanan yang baik dalam menjalankan tugas. Sebaliknya pembangunan negara dan pendapatan kita juga akan terjejas jika kita menjadi satu bangsa yang perongos, yang tidak tahu senyum, dan tidak tahu berbahasa.

18. Justeru itu saya menyeru semua kakitangan Kerajaan termasuk anggota Jabatan Pendaftaran Negara supaya memberi khidmat yang cemerlang, disertai dengan senyuman dan kesopanan semasa menjalankan tugas. Insya-Allah, kita semua akan mendapat nikmat dan ganjaran daripadaNya.

19. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Kad Pengenalan Bermutu Tinggi ini.

Kami menerima 6,744,099 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri