Terlebih dahulu saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia kerana telah sudi sekali lagi mengundang saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan yang ke-30 pada tahun ini.
2. Kepada semua para perwakilan dan pemimpin Parti Gerakan saya ucapkan selamat bersidang. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan dapat melaksanakan tugas sebagai wakil bahagian atau cawangan masing-masing dengan sempurna kerana saya percaya anggota-anggota parti yang tidak berpeluang menjadi wakil ke perhimpunan ini meletakkan harapan yang besar kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil mereka. Walaupun mereka tidak berpeluang hadir bersama mereka pasti inginkan suara atau harapan mereka disampaikan di perhimpunan ini. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan hendaklah menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh para penyokong masing-masing dengan berkesan dan jujur.
3. Negara kita sungguh bertuah kerana walaupun penduduknya terdiri daripada berbilang kaum, budaya dan agama, negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan rakyatnya hidup sejahtera dan makmur. Keadaan aman yang terdapat di negara kita bukannya datang dengan sendiri tetapi adalah kerana usaha murni setiap kaum untuk hidup bersama-sama. Saya percaya terdapat kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat kita untuk terus melihat negara kita aman makmur dan penduduknya bersatu padu.
4. Negara kita baru-baru ini menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-44 tahun, satu tempoh yang panjang bagi kehidupan seorang manusia tetapi pendek bagi hayat sebuah negara. Kita dapat menyambutnya dengan meriah kerana rakyat kita sendiri bertungkus lumus mengambil bahagian dalam setiap acara sambutan kemerdekaan kerana hendak menunjukkan bahawa nasib rakyat adalah Keranamu Malaysia, kerana negara ini aman dan tenang dan rakyat dapat hidup sempurna, bekerja dan berniaga dengan pulangan yang tinggi kerana peluang-peluang yang terdapat di negara ini. Barang sudah tentu keamanan, ketenteraman dan peluang-peluang adalah hasil daripada pemerintahan yang cekap dan prihatin yang dipimpin oleh Barisan Nasional yang mana GERAKAN adalah anggota dalamnya.
5. Saya percaya jika rakyat kita sentiasa bersyukur dan berterima kasih kerana keuntungan nasib kita di negara ini, kita akan bersedia menjaga supaya keadaan terus kekal dan selamat. Lihat sahaja keadaan negara berbilang kaum yang lain, bahkan negara yang diduduki oleh satu kaum sahaja; bukan sahaja keadaan tidak aman tetapi ekonomi tidak tumbuh dan rakyat sering menderita. Justeru itu kita harus banyak-banyak berterima kasih kerana keuntungan yang banyak yang kita dapati dari negara bertuah ini.
6. Hitungkan sahaja pembangunan pesat di negara kita. Ramai pelawat asing menganggap kita adalah sebuah negara yang sudah maju. Kuala Lumpur umpamanya tidak banyak berbeza dengan kotaraya-kotaraya terkenal di dunia. Bangunan pencakar langit termasuk yang tertinggi sekali di dunia, jalan bertingkat, `light rail' dan monorel, taman-taman bunga dan jalan-jalan yang bersih dan dihias dengan bunga dan lampu, `shopping-mall' yang besar dan seribu satu lagi tanda-tanda kemajuan terdapat di Kuala Lumpur. Di bandar-bandar lain dan di luar bandar juga terdapat kemudahan yang moden seperti jalan bertar, klinik perubatan, sekolah, hospital, lebuh raya, bekalan elektrik dan air.
7. Semua ini adalah hasil kerjasama parti-parti komponen Barisan Nasional yang bersikap nasionalis, sanggup bertolak-ansur dan bekerjasama secara pragmatis. Konsep Barisan Nasional adalah sesuatu yang unik dalam dunia. Semua pihak mendapat layanan tetapi semua pihak juga membuat pengorbanan sedikit. Umpamanya di Malaysia sekolah Cina dibenar tetapi sistem dan kurikulumnya hendaklah mengikut sistem kebangsaan. Dengan itu orang Cina dapat belajar dalam bahasa Cina tetapi bahasa Kebangsaan dan isi kandungan kurikulum adalah isi kandungan Malaysia. Saya ingin ingatkan bahawa tidak ada negara lain selain daripada China dan Taiwan yang secara rasmi mengiktiraf hak orang keturunan Cina seperti yang terdapat di Malaysia. Ini adalah satu contoh toleransi yang terdapat dalam Barisan Nasional. Tidak ada parti komponen yang cuba mendapat populariti yang lebih baginya dengan menonjol diri sebagai juara kaumnya lebih daripada parti-parti lain. Dengan cara ini kita dapat bekerjasama dan menjayakan Barisan Nasional. Sekali lagi ingin saya tekankan bahawa kejayaan Barisan Nasional membawa kejayaan kepada kita semua. Sebaliknya jika kita terlalu berlumba untuk menjadi lebih popular, tidak dapat tidak Barisan Nasional akan berpecah dan Barisan Nasional yang berpecah tentu akan menjadi lemah dan tidak akan dapat memajukan negara. Kita semua tentu akan rugi.
8. Sebab itu saya ingin menyeru semua parti komponen supaya mengurangkan persaingan sesama parti komponen tetapi sebaliknya merapatkan hubungan antara parti-parti Barisan Nasional serta menumpukan kepada usaha mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional.
9. Kadang-kadang terdapat juga persaingan yang hebat dalam parti-parti komponen Barisan Nasional untuk menerajui parti. Kepimpinan parti patut berubah dari satu masa ke satu masa tetapi persaingan hendaklah secara sihat, tanpa meretakkan parti. Apabila tamat persaingan barisan ahli dalam parti hendaklah dirapatkan semula dan sokongan dan kesetiaan diberi kepada kepimpinan yang berjaya. Pemimpin yang berjaya pula tidak harus belakangkan pemimpin yang kalah dan penyokongnya. Ingatlah yang utama dan penting ialah parti dan bukan orang tertentu. Ingatlah kekuatan Barisan Nasional bergantung kepada kekuatan parti-parti komponennya. Bijak-bijaklah menguatkan parti sendiri tanpa melemahkan parti-parti komponen yang lain.
10. Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan serangan oleh pengganas ke atas Amerika Syarikat. Beribu orang yang tidak bersalah mati kerana serangan itu. Semua pimpinan parti politik di Malaysia, baik Kerajaan atau parti lawan telah mengutuk perbuatan itu. Kita tidak bersetuju dengan keganasan kerana negara kita telah diserang pengganas sejak sebelum merdeka lagi. Setelah pengganas dikalahkan pada 1990 kita sekarang menghadapi pengganas jenis lain yang ingin cuba merebut kuasa dengan mengguna kekerasan.
11. Jika di negara ini tidak ada cara yang halal bagi menukar Kerajaan, penggunaan kekerasan mungkin menjadi pilihan. Tetapi di Malaysia yang demokratik ini mengundi mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan dan mendiri Kerajaan lain. Sebenarnya hari ini pun kita dapat lihat bagaimana parti lawan berjaya menawan dua buah negeri.
12. Justeru itu, tidak ada sebab kenapa pihak yang tidak puas hati perlu mengguna kekerasan untuk merebut kuasa di negara kita. Tetapi ada antara puak militan yang mendakwa bahawa demokrasi bukan cara Islam. Jika demokrasi bukan cara Islam apakah rampasan kuasa melalui tindakan `terrorist' cara Islam? Sudah tentu tidak. Islam tidak suka kepada orang yang mencetuskan huru- hara. Justeru itu, UMNO akan menentukan keganasan untuk merebut kuasa tidak akan berjaya di negara ini.
13. Negara ini tetap akan kekal sebagai negara demokrasi di mana rakyat berbilang kaum berhak menentukan siapa yang akan memerintah negara ini. Rakyat Malaysia sudah matang dan bijak dan mereka tahu memilih Kerajaan yang baik. Jika kerana marah terhadap sesuatu mereka sengaja menolak yang baik dan memilih parti yang tidak dapat mentadbirkan negara dengan cekap, maka yang akan menjadi mangsa ialah rakyat sendiri. Lebih buruk lagi ialah apabila mereka memilih parti yang disokong oleh kumpulan militan yang berpendapat bahawa demokrasi bukan sistem Islam dan mereka akan dirikan Kerajaan oleh sekumpulan orang yang mendakwa diri mereka sebagai ulama dan mereka sahaja yang boleh memutuskan semua dasar dan undang-undang. Di sini ingin saya memperingati DAP supaya jangan main dengan api. Kawan mereka kurang percaya kepada demokrasi. `Democratic action' akan hapus jika kawan mereka memerintah. Diharap pemisahan DAP dari Barisan Tiruan bukanlah satu sandiwara.
14. Kita dalam Parti Barisan Nasional telah bersama- sama membangunkan negara kita Malaysia. Bersama-sama kita telah hadapi cabaran dan rintangan. Dan bersama- sama telah kita atasi cabaran dan rintangan ini.
15. Bukanlah mudah bagi kita mencapai kejayaan. Untuk mengekalkan keamanan dan kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum yang berlainan dan kepentingan politik yang kadang-kadang bertentangan bukanlah mudah. Ada kalanya sementara pemimpin parti sanggup membuat pengorbanan sedikit untuk menjayakan perpaduan dalam Barisan Nasional, ahli-ahli tertentu tidak sanggup membuat pengorbanan ini. Mereka cuba gagalkan tolak- ansur pemimpin dengan mengambil tindakan yang berlainan. Tetapi umumnya puak yang tidak sanggup bertolak-ansur dalam parti gagal merosakkan kerjasama antara parti- parti Barisan Nasional.
16. Parti-parti lawan cuba memainkan isu ras dan agama untuk menguji kesetiaan parti tertentu dalam Barisan Nasional kepada konsep bertolak-ansur dalam parti. Isu sekolah Cina digunakan untuk memisahkan parti kaum Cina daripada kaum Melayu. Jika kita tidak berjaga-jaga kita boleh terperangkap dengan mencuba berlawan dengan parti lawan tentang siapa yang lebih mendokong hak kaum kita.
17. Baru-baru ini Presiden PAS mencabar UMNO mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Harapan PAS ialah apabila UMNO mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam maka rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional akan menentang UMNO seperti DAP menentang PAS kerana cadangan PAS untuk mendirikan Malaysia sebagai negara Islam.
18. UMNO ingin menyatakan secara terang-terang bahawa Malaysia adalah negara Islam. Pendapat ini berasas kepada pendapat ramai daripada ulama-ulama di zaman dahulu yang telah menjelaskan apa dianya negara Islam. Untuk pengetahuan umum seorang ulama telah menulis buku yang bertajuk `Malaysia adalah sebuah negara Islam'.
19. Dalam dunia sekarang terdapat lebih kurang 50 buah negara yang diterima dan diiktiraf sebagai negara Islam. Mereka diterima sebagai ahli OIC, walaupun ada dalam OIC negara yang bukan Islam tetapi ada penduduk yang ramai terdiri daripada orang Islam. Penyelidikan yang telah kita buat menunjuk bahawa hampir semua dari negara Islam ini tidak dapat melaksanakan hukum hudud. Namun mereka masih dianggap dan mereka mengakui bahawa negara mereka adalah negara Islam.
20. Oleh itu, apabila kita mendakwa bahawa Malaysia adalah negara Islam kita memang mempunyai hak untuk berbuat demikian. Jika Malaysia bukan negara Islam kerana tidak melaksanakan hukum hudud, maka dalam dunia ini tidak ada negara Islam kerana semua negara yang dikatakan negara Islam juga tidak dapat melaksanakan hukum hudud.
21. Malaysia adalah negara berbilang kaum yang menganuti agama-agama yang berlainan. Majoriti rakyat negara ini adalah orang Islam. Dan orang Islam berkuasa di Malaysia. Kuasa yang dimiliki oleh orang Islam bukan untuk menindas orang bukan Islam. Sebaliknya apabila orang Islam berkuasa maka mereka hendaklah memerintah dengan adil. Ini adalah ajaran Islam. Sebab itu di Malaysia kita tidak menindas orang bukan Islam walaupun agama rasmi Malaysia adalah agama Islam. Sebaliknya kita tentukan orang bukan Islam mendapat keadilan dalam Malaysia sebagai negara Islam. Kita dapati orang bukan Islam di Malaysia tidak menentang sistem Kerajaan yang ada sekarang, yang juga menjadi satu sistem yang diterima oleh agama Islam sebagai sesuai dengan negara Islam.
22. Kita telah minta PAS memberi penjelasan secara bertulis akan bentuk dan konsep negara Islam yang hendak didirikan oleh PAS. Apakah mereka akan gugurkan undang- undang sivil dan undang-undang jenayah yang ada sekarang? Dengan penjelasan ini mereka boleh menunjuk perbezaan antara negara Islam yang dibentuk oleh UMNO dan diterima oleh dunia dengan negara Islam PAS.
23. Apakah jawapan PAS? Mereka hanya akan menjelaskan jenis negara dan pemerintahan Islam yang akan mereka dirikan selepas mereka menang. Ini menunjuk bahawa mereka ingin menipu pengundi supaya mengundi dengan mata tertutup. Orang Islam akan mengundi mereka kerana percaya mereka akan dirikan Kerajaan Islam yang berbeza dengan yang ada sekarang. Sementara orang bukan Islam pula akan undi mereka kerana memikir negara Islam seperti yang ada sekarang tidak merugikan orang bukan Islam, dan negara Islam PAS juga demikian.
24. Parti yang dikatakan berasas dan berjuang kerana agama Islam tidak sepatutnya cuba menipu. UMNO berterus- terang dengan rakyat berbilang kaum Malaysia. Jika UMNO mendakwa bahawa Malaysia kini adalah negara Islam, ini adalah oleh kerana dalam negara Islam orang bukan Islam mempunyai hak tertentu. Walaupun kita isytihar Islam sebagai agama rasmi, penganut agama lain bebas menganuti agama mereka. Ini adalah sejajar dengan ajaran Islam. Tidak ada paksaan dalam Islam. Dan Islam tidak suka kepada huru-hara yang mungkin berlaku jika undang-undang Islam cuba dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam. Jika kerana ini orang bukan Islam menganggap Malaysia sebagai negara sekular, ini adalah tafsiran mereka dan mereka bebas membuat tafsiran mereka.
25. Parti DAP telah bincang dengan mendalam dengan parti PAS berkenaan rancangan PAS untuk mendirikan negara Islam ala PAS. Sekarang DAP telah tarik diri daripada Barisan Tiruan kerana sudah sedar akan rancangan PAS untuk menipu mereka. Rakyat dan pengundi sama ada Islam atau bukan Islam tidak harus percaya kepada PAS, kerana PAS sering menipu.
26. Barisan Nasional dan parti-parti komponennya menyatakan dengan terang pendirian-pendirian masing- masing. Sejak kita memerintah kita telah tunaikan semua janji kita. Kita adakan 10 kali pilihan raya dalam jangkamasa 44 tahun. Kita telah bangunkan seluruh negara, dari luar bandar hingga ke bandar-bandar. Kita telah majukan Malaysia sehingga ia menjadi negara dagangan yang ke-18 terbesar di dunia.
27. Rakyat percaya kepada Barisan Nasional dan parti- parti komponennya. Oleh itu semua parti komponen hendaklah pegang kepada prinsip-prinsip perjuangan Barisan Nasional, menguatkan parti masing-masing dan bekerjasama untuk menjayakan Barisan Nasional dan rancangan masa depan negara tercinta ini.
28. Dengan ini, dengan sukacitanya saya merasmikan Persidangan Perwakilan ke-30 Parti Gerakan Rakyat Malaysia. |