Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH KEWARTAWANAN ANJURAN INSTITUT AKHBAR MALAYSIA,
Lokasi : HOTEL SUBANG VIEW, SUBANG JAYA, SELANGOR
Tarikh : 09-11-1984
 
Yang Berbahagia Encik Mazlan Nordin, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya sekali lagi untuk menyampaikan hadiah kepada para wartawan yang memenangi Hadiah Kewartawanan 1983 bagi karya yang terbaik pada tahun lalu. Kepada pemenang "Hadiah Kajai", hadiah terulung, saya mengucapkan tahniah istimewa. Begitu juga saya mengucap tahniah kepada pemenang-pemenang hadiah dalam kategori lain.

2. Seperkara yang menarik perhatian saya ialah bagi kali pertama "Hadiah Khidmat Bakti Masyarakat" diadakan pada tahun ini. Bahawa akhbar-akhbar di Malaysia, sambil menjual akhbar dan majalah, juga berlumba-lumba untuk berbakti kepada masyarakat adalah satu petanda baik.

3. Namun demikian saya ingin menarik perhatian kepada beberapa perkembangan dalam dunia akhbar. Peranan akhbar dalam masyarakat dewasa ini sudahpun berubah. Akhbar tidak sahaja membuat laporan mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku, tetapi adalah alat yang paling berkesan dalam membentuk fikiran masyarakat. Demikianlah berkesannya peranan akhbar sehingga ada Presiden dan Kerajaan yang jatuh kerana pendedahan dan rencana dalam akhbar. Dengan perkataan lain, akhbar sudah menjadi satu daripada kuasa terpenting dalam masyarakat, kuasa yang boleh menegak sesuatu pemerintahan atau menjatuhkannya. Sudah tentu lain-lain sasaran lebih mudah ditentukan nasibnya oleh akhbar.

4. Dari satu sudut, kuasa ini amat baik dan berguna. Segala keburukan dan kecuaian yang terdapat dalam masyarakat dapat didedah dan pembetulan dibuat. Tetapi kuasa, seperti kata pepatah Inggeris, membawa kepada rasuah, dan kuasa yang tidak terhad membawa rasuah yang juga tidak terhad. Demikian juga dengan kuasa yang ada pada akhbar sekarang ini.

5. Di Eropah pembunuh ditawarkan beribu pound untuk mendapat ceritanya. Di Amerika cerita rekaan disiarkan sebagai 'fact' untuk menarik minat pembaca. Cerita lucah dan seks dilaporkan tanpa segan-segan. Rahsia negara didedah sehingga musuh dapat mengetahui semua kelemahan. Sesiapa yang berkuasa dijadikan sasaran berita skandal sehingga ianya jatuh. Dan penggantinya juga akan mengalami nasib yang sama.

6. Aliran ini sudah sampai ke Malaysia. Berita yang benar kerap kali tidak dihiraukan. Jika ada mesyuarat atau lawatan atau pameran atau apa-apa jua peristiwa, yang diberi perhatian bukan peristiwa itu tetapi soal-soal lain yang menjadi minat akhbar. Soalan dibuat dalam berbagai bentuk dan bertalu-talu untuk menjadikan sesuatu perkara itu sebagai isu yang hangat. Selepas menyoal seseorang, maka disoal pula orang-orang lain yang diketahui mempunyai pandangan yang bertentangan -- untuk memberi pandangan terhadap pendapat sasaran pertama. Maka dengan itu akan terjadilah satu kontroversi -- yang dipuja dan dihembus oleh akhbar sehingga panas berapi.

7. Bahawa akibatnya ialah ketegangan dan kegelisahan dalam masyarakat sehingga terjejas ekonomi, kestabilan politik dan perpaduan, tidak sama sekali dipedulikan. Yang penting ialah akhbar yang kononnya ingin melapor yang benar.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

8. Satu lagi perkara yang ingin saya sebutkan ialah tentang pemberita kita yang tidak segan-segan menjadi tali barut kepada akhbar-akhbar di luar negeri. Mereka ini apabila menulis dalam akhbar tempatan lain bunyinya. Tetapi untuk akhbar luar negeri, mereka mencerca dan menghina negara sendiri, mencaci pemimpin dan Raja-Raja dan sanggup menjatuhkan maruah negara mereka sendiri. Nama mereka sendiri tidak disiarkan tetapi mereka tentulah dipuji oleh wartawan asing. Sebenarnya mereka sudah menjadi alat kepada bangsa-bangsa yang tidak senang melihat kejayaan Malaysia. Saya amat kesal adanya manusia jenis ini di kalangan pemberita kita.

9. Saya memberanikan diri untuk membuat teguran ini walaupun imej saya boleh dirosakkan oleh akhbar. Malaysia belum menjadi negara yang maju dan kuat, yang kebal dan yang tidak boleh dihancurkan. Kita masih lemah. Biarlah amalan masyarakat yang kukuh dan kuat di negara barat tinggal di barat. Kita perlu berhati-hati. Jika tidak, mungkin kita akan kekal dengan kelemahan kita tanpa sedikitpun mengecap kejayaan. Dan kita akan terus diperhamba dan dihinakan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

10. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana mengadakan pertandingan ini yang antara lain akan dapat meningkatkan lagi mutu profesionalisma serta penulisan di kalangan wartawan. Saya difahamkan bahawa pertandingan ini mendapat sambutan baik daripada para wartawan dan ini sangatlah menggalakkan. Walau bagaimanapun, saya ingin melahirkan sedikit pendapat saya mengenai hadiah-hadiah kewartawanan yang telah diadakan sejak beberapa waktu.

11. Dengan kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan, bilangan terbesar rakyat Malaysia yang hampir kesemuanya dari golongan generasi muda memahami dan fasih dalam Bahasa Malaysia. Oleh yang demikian, akhbar dalam Bahasa Malaysia adalah akhbar yang dibaca oleh sebilangan besar masyarakat Malaysia. Di samping itu pula, akhbar-akhbar dan majalah-majalah yang diterbitkan dalam bahasa-bahasa lain menyiarkan berita-berita yang menyentuh masyarakat keseluruhannya atau dalam lain-lain perkataan berita-berita nasional atau regional dan tidak semestinya mengenai golongan-golongan atau kumpulan-kumpulan yang tertentu sahaja. Laporan-laporan di dalam akhbar-akhbar kita, selain daripada menyiarkan peristiwa di luar negeri, adalah berita-berita mengenai masyarakat dan negara kita Malaysia dan ia ditulis, saya harap, dari kacamata rakyat Malaysia sendiri. Maka sudah tentulah skop, semangat dan keikhlasannya adalah mengikut jiwa rakyat Malaysia, walaupun ianya ditulis di dalam berbagai bahasa.

12. Memandangkan kepada hal ini, saya berpendapat ada baiknya jika kita memberi penghargaan kepada tulisan-tulisan yang secocok dengan semangat pembangunan dan perpaduan negara kita, walaupun tulisan ini dibuat dalam bahasa yang lain daripada bahasa kebangsaan. Oleh itu, saya syorkan supaya hadiah-hadiah diadakan, selain daripada yang sedia ada, bagi memberi penghargaan kepada isi kandungan yang menarik tetapi membina.

Tuan-tuan dan puan-puan,

13. Kebebasan akhbar memang terdapat di negara kita. Tetapi kebebasan dalam apa jua bidang memang ada hadnya. Sepertimana kita maklum, akhbar kita bebas membuat teguran-teguran yang kritikal dan ini memang dialu-alukan. Walau bagaimanapun apa yang mengecewakan kita ialah kadangkala terdapat di mana sesebuah akhbar itu, sama ada secara sedar atau tidak, telah termasuk ke dalam perangkap golongan-golongan tertentu dalam menyuarakan kepentingan golongan tersebut. Kerana terlampau asyik dengan isu-isu yang disuarakan oleh golongan yang tidak mendapat sokongan kuat daripada rakyat itu, akhbar-akhbar atau majalah-majalah tersebut secara tidak langsung telah sedikit sebanyak diperalatkan oleh mereka. Dengan secara tidak langsung juga akhbar atau majalah berkenaan telah hilang kebebasan mereka. Ini adalah satu perkara yang mendukacitakan.

14. Akhbar yang bertanggungjawab seharusnya boleh menghalusi jiwa masyarakat. Memang untuk bersikap bertanggungjawab bukanlah mudah. Tetapi sebaliknya kita tidak boleh lari atau mengelakkan diri daripada kewajipan ini. Semakin besar dan semakin kukuh kita, maka sewajarnyalah semakin besar tanggungjawab yang kita pikul. Dan kita tidak harus mengabaikan perkara ini kerana ia merupakan satu amanah yang besar. Pengabaian kepada tanggungjawab terutamanya oleh akhbar-akhbar yang mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk peribadi masyarakat, mungkin akan membawa akibat yang buruk kepada kita semua.

15. Peranan akhbar-akhbar kita di dalam negara yang sedang meningkatkan usahanya ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera adalah penting. Akhbar-akhbar tidak seharusnya bersikap "berikan sahaja apa yang digemari oleh pembaca". Sikap mengambil mudah dan cuai seperti ini yang lambat laun akan memberi kemudaratan kepada masyarakat kita, haruslah dibanteras sebelum ianya melarat. Sebenarnya ini adalah satu penyakit yang amat merbahaya jika dibiarkan tanpa kawalan. Sebaliknya, akhbar-akhbar kita haruslah dapat mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang akan mendatangkan atau memberi kesan yang negatif kepada masyarakat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Saya juga tertarik hati dengan penubuhan Organisasi Pengarang-Pengarang Akhbar baru-baru ini dan persetujuan yang telah dicapai mengenai kod etika kewartawanan. Saya difahamkan bahawa di antara tujuan-tujuannya ialah untuk meningkatkan mutu kewibawaan dan menerima aduan-aduan terhadap sesebuah akhbar atau wartawan, selain daripada menegakkan kebebasan akhbar. Bahawa kebebasan akhbar terjamin di negara kita telahpun terbukti, antaranya dengan terbitnya sekian banyak akhbar dan majalah dalam pelbagai bahasa. Bahawa Organisasi Pengarang-Pengarang Akhbar ini ditubuhkan oleh mereka sendiri, menjadi satu lagi bukti kebebasan akhbar di negara kita.

Terima kasih.


Kami menerima 4,856,833 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2021 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri