Saya bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana berpeluang untuk berada dalam majlis Pelancaran Al- Quran Mushaf Malaysia, Cetakan Koleksi yang unik dan bersejarah ini.
2. Saya rasa inilah kali pertama umat Islam di negara kita berjaya melahirkan mushaf salinan tangan yang indah yang bertaraf Cetakan Koleksi dan mencapai piawaian antarabangsa dalam bidang penerbitan kitab suci Al-Quran.
3. Membina sesuatu yang berkualiti bukan perkara yang mudah. Kejayaan membina perkara yang bermakna adalah suatu pencapaian besar yang harus kita syukuri dan banggakan.
4. Saya amat gembira kerana Malaysia mampu melakukan berbagai-bagai perkara yang menaikkan nama Islam di mata dunia sehingga mendapat pengiktirafan sebagai salah sebuah negara yang dianggap sebagai contoh dalam dunia Islam. Kejayaan mencapai kualiti yang tinggi dalam penerbitan Al-Quran termasuk di dalam senarai kejayaan tersebut. Pencapaian dalam bidang ini akan menyumbang kepada wawasan negara.
5. Saya ucapkan tahniah kepada Yayasan Restu yang telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk meningkatkan aspek seni dalam agama Islam. Kegigihan yang ditunjukkan sepanjang usaha ini dimajukan harus dijadikan contoh dalam usaha lain ke arah pencapaian standard kecemerlangan yang tinggi. Sesungguhnya jika ada kemahuan dan kesanggupan bertekun kita mampu mencapai kecemerlangan dalam apa juga jurusan seperti bangsa-bangsa yang maju.
6. Mencapai tahap cemerlang bermaksud melakukan sesuatu dengan tahap kebaikan yang lebih daripada batas kebiasaan. Untuk menjadi bangsa yang berdaulat, inilah satu-satunya kunci baginya.
7. Negara-negara di Asia seperti Jepun dan Korea adalah negara yang tidak mempunyai kekuatan ekonomi pada suatu masa dahulu. Namun dengan semangat ingin maju, disiplin yang kuat dan budaya kerja yang cemerlang, mereka telah berjaya membawa negara mereka keluar daripada kedaifan dan kemiskinan sehingga menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju.
8. Jika di dorong dengan semangat yang kental, kebolehan orang Melayu tidak kurang daripada orang lain. Membuat sesuatu kerana agama menjadi dorongan yang kuat bagi orang Melayu. Sudah tentu meninggikan seni Islam menjadi pendorong yang boleh memeras segala kebolehan dan kecekapan yang terpendam dalam hati sanubari dan tubuh badan orang Melayu. Di Galeri Restu saya dapat lihat dengan nyata potensi yang tetap ada pada orang Melayu.
9. Bagi menghasilkan pengeluaran yang berkualiti dan berdaya saing, tidak mencukupi jika ianya dinikmati oleh segelintir manusia sahaja. Pengeluaran berkuantiti tidak semestinya berkualiti rendah. Jika di usaha dengan cermat dan teliti, Insyaallah kualiti boleh dicapai. Dahulu barangan yang "mass produce" tetap berkualiti rendah. Tetapi hari ini walaupun jumlah pengeluaran berjuta, namun kualiti masih amat tinggi. Kita harus anggap pengeluaran yang banyak dan berkualiti tinggi adalah sebahagian daripada fardzu kifayah kerana ia tetap akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup kita ummat Islam.
10. Pengeluaran Al-Quran adalah satu ibadat. Di zaman sebelum ada percetakan, Al-Quran terpaksa ditulis dengan tangan, kerapkali di atas kulit atau daun. Mereka yang menghasilkan Al-Quran tulisan tangan ini, memberi perhatian bukan sahaja kepada tulisan yang baik tetapi juga kepada hiasan. Tidak ada cara untuk mengeluarkan jumlah Al-Quran dengan banyak melainkan dengan menulis dengan tangan. Masalah menjadi bertambah rumit di zaman dahulu kerana tidak ramai di kalangan orang Islam yang pandai menulis.
11. Dalam satu-satu masyarakat Islam di masa itu jumlah Al-Quran tetap sedikit sahaja. Dan sepanjang masa terdapat bahaya satu dua salinan Al-Quran yang ada pada satu-satu masyarakat musnah kerana kebakaran atau sebab-sebab lain. Kerugian ini tidak mudah ditampal atau diatasi. Oleh kerana itu adalah menjadi fardzu kifayah bagi tiap masyarakat Islam mempunyai sebilangan orang yang hafal seluruh isi kandungan Al-Quran. Jika berlaku kehilangan semua Al-Quran untuk masyarakat berkenaan, maka isi kandungan Al-Quran tidak akan hilang dan hafiz-hafiz akan membacanya untuk ditulis semula.
12. Sebagai fardzu kifayah tidaklah perlu semua anggota masyarakat menghafal Al-Quran. Memadailah jika sebilangan yang munasabah menghafalnya untuk melepaskan masyarakat daripada menanggung dosa.
13. Tetapi di zaman ini cetakan Al-Quran begitu mudah dan murah sehingga tiap anggota masyarakat akan memiliki satu atau dua atau lebih kitab suci ini. Kemungkinan semua yang dimiliki oleh sesuatu masyarakat hilang amatlah tipis. Lagipun Al-Quran yang dimiliki masyarakat lain mudah didapati. Namun demikian tiap masyarakat wajib mempunyai beberapa orang hafiz untuk memenuhi fardzu kifayah.
14. Demikian juga dengan Al-Quran yang ditulis dengan tangan. Sesungguhnya keperluannya tidak ada lagi. Tetapi menulis Al-Quran adalah satu ibadat yang penting untuk mengekalkan apa yang dipanggil oleh orang Melayu sebagai tulisan Jawi. Sebenarnya ia bukanlah tulisan yang berasal dari Jawa tetapi adalah tulisan Arab. Seni tulisan Arab atau khad adalah antara seni tulisan yang mencerminkan keindahan seni halus dalam Islam. Tanpa lukisan berbagai-bagai makhluk seperti yang terdapat dalam seni lukisan yang lain daripada Islam, tulisan khad dapat membukti bahawa hanya tulisan sahaja boleh menjadi begitu cantik dan menarik.
15. Tetapi Al-Quran bukanlah untuk seni khad sahaja. Al-Quran dijunjung oleh kita ummat Islam kerana ia adalah kitab suci yang mengandungi panduan hidup dan mati orang Islam. Sekarang ini ayat-ayat Al-Quran bukan terdapat dalam kitab yang di tulis atau di cetak, tetapi juga dalam media elektronik termasuk komputer, cakerapadat dan Internet. Tentulah tidak mungkin secara fizikal kita junjung alat-alat ini kerana adanya Al-Quran dalamnya. Namun isi kandungan dalam alat elektronik tidak kurang pentingnya daripada isi kandungan Al-Quran yang di tulis atau di cetak. Yang penting ialah kita boleh rujuk kepada Al-Quran dalam alat-alat ini untuk mendapat panduan akan cara hidup sebagai orang Islam.
16. Yang jelas bukanlah media yang di guna tetapi isi kandungan surah dan ayat-ayat yang dapat dijadikan rujukan bagi kita.
17. Di sini timbul beberapa masalah yang telah mengurangkan nikmat yang boleh didapati daripada Al- Quran. Yang pertamanya ialah pengetahuan bahasa Al- Quran iaitu bahasa Arab. Ramai yang berpendapat tanpa penguasaan bahasa Arab kita tidak mungkin faham isi kandungan Al-Quran. Tetapi hakikatnya ialah memahami bahasa Arab pun tidak menjamin isi kandungan Al-Quran di fahami dengan tepat.
18. Ini adalah kerana ayat-ayat Al-Quran terbahagi kepada yang tepat dan jelas dengan yang merupa perumpamaan yang terbuka kepada bermacam-macam tafsiran. Tanpa pentafsir isi kandungan Al-Quran tidak akan difahami dengan tepat. Apatah lagi mereka yang tidak faham bahasa Arab, tidak mungkin mereka mendapat panduan hanya kerana boleh membaca Al-Quran.
19. Malang bagi kita orang Islam sejak wafatnya Nabi, rujukan kepada Baginda tidak dapat dibuat lagi untuk tafsiran yang satu dan tidak berbeza-beza. Rujukan sekarang perlu di buat kepada pentafsir yang terdiri daripada mereka yang memahami bahasa Arab, bahasa Al- Quran dan yang telah mengkaji dan meneliti latar belakang ayat-ayat dan perkataan yang terdapat dalam Al- Quran. Tetapi kita dapati alim ulama kerap membuat tafsiran yang berbeza-beza. Demikianlah perbezaan ini sehingga agama Islam yang satu yang dibawa oleh Nabi mengikut wahyu yang diterimanya sudah berpecah kepada beratus-ratus fahaman yang didakwa sebagai Islam.
20. Tetapi Alhamdulillah, Al-Quran tidak berubah. Walaupun ada yang cuba menulisnya semula tetapi umat Islam tidak menerima sebarang pindaan kepada Al-Quran. Demikian juga percubaan untuk memansuhkan ayat-ayat tertentu di tolak oleh masyarakat Islam. Selagi kita dapat kekalkan teks Al-Quran tanpa diubah apa-apa, kita dapat mengurangkan kesesatan hasil daripada tafsiran Al- Quran oleh orang-orang yang berkepentingan atau orang yang jahil. Al-Quran tidak silap. Tetapi pentafsir, sebagai manusia biasa, walaupun terpelajar dalam bidang agama dengan mendalam masih boleh membuat tafsiran yang salah. Perpecahan di kalangan umat Islam sekarang bukan disebabkan oleh ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih tetapi kerana tafsiran yang berbagai-bagai dan bertentangan oleh orang-orang yang terpelajar. Pentafsir yang salah, bukan Islam, bukan Al-Quran yang salah. Pentafsir yang takbur yang mendakwa dia sahaja yang tahu agama Islam, dan tafsiran serta ajaran orang lain tidak betul dan dianya tidak boleh ditegur, pentafsir seperti inilah yang kerap menyebabkan umat Islam keliru, sesat dan berpecah. Mereka ini suka menjual ayat Al-Quran dengan harga yang murah sedangkan Allah berfirman dalam Al-Quran supaya tidak melakukan perbuatan ini.
21. Samada kita suka atau tidak suka, hakikatnya ialah kita yang tidak berbahasa Arab, memahami ajaran Islam dalam bahasa kita sendiri. Mereka yang mendakwa mereka faham isi kandungan Al-Quran kerana mereka fasih dalam bahasa Arab masih terpaksa jelaskan tafsiran mengikut fahaman mereka dalam bahasa yang difaham oleh kita iaitu bagi orang Melayu dalam bahasa Melayu. Apa yang disampaikan kepada kita ialah fahaman orang yang fasih dalam bahasa Al-Quran dan terjemahan fahaman ini kepada bahasa kita. Jika salah fahamannya atau terjemahannya maka salahlah fahaman kita akan ajaran Islam yang sebenar. Sebab itu kita sering bersengketa sesama kita kerana kelainan fahaman, kelainan tafsiran dan kelainan terjemahan oleh mereka yang menyampaikan ajaran Islam kepada kita. Mungkin tidak ada niat buruk, tidak ada kepentingan lain tetapi Islam yang kita amali adalah Islam pentafsir. Jika pentafsir tidak boleh ditegur, dan segala-gala yang disampaikan oleh mereka diterima bulat-bulat tanpa di rujuk kepada pihak lain maka kemungkinan kita sesat amatlah besar. Sebab itu terdapat orang yang mendakwa mereka adalah orang Islam tetapi keIslaman mereka dinafikan oleh orang Islam lain.
22. Al-Quran menjadi panduan kita sebagai umat Islam. Apabila kita keliru atau sesat atau kita tidak bersaudara dan bersahabat dengan orang Islam lain, tidak aman dan selamat, kita perlu rujuk kepada Al- Quran. Tetapi haruslah kita ingat bahawa oleh kerana ayat-ayat dalam Al-Quran boleh ditafsir secara berbeza- beza oleh pentafsir-pentafsir, rujukan kita mungkin menghasilkan panduan yang salah, kerana sebenarnya kita rujuk kepada pentafsir dan bukan kepada Al-Quran.
23. Yang jelas ialah individu yang membuat tafsirannya sendiri walaupun ianya alim tidak semestinya benar dan betul. Untuk menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan, tafsiran hendaklah dibuat oleh sekumpulan ulama yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain daripada kepentingan umat Islam dan agama Islam, dan mereka tidak takbur dengan anggapan bahawa mereka sebagai pewaris Nabi, tidak mempunyai kecacatan atau kelemahan apa-apa seperti yang ada pada manusia lain. Mereka yang sering mendakwa mereka adalah pewaris Nabi tetap tidak mempunyai sifat-sifat ulama yang sebenar.
24. Islam bukan sahaja agama ibadat tertentu untuk diri sendiri tetapi ia adalah Ad-din, atau cara hidup. Segala urusan kehidupan kita tertakluk kepada ajaran Islam. Dan kehidupan melibatkan makan minum, berpakaian dan berteduh di bawah bumbung. Selain daripada itu ia melibatkan pengeluaran bahan makanan, keluaran kain pakaian, bahan binaan. Ia juga melibatkan kegiatan menguasai ilmu dan perniagaan serta perusahaan. Sudah tentu ia juga melibatkan keselamatan dan pertahanan, pemerintahan yang cekap, penjagaan keamanan dan penguatkuasaan undang-undang. Dan beribu macam lagi usaha untuk menentukan cara hidup Islam membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada umat Islam.
25. Ramai yang menentang segala pendapat yang berbeza sedikit dengan tafsiran yang katanya tradisional yang dibuat terdahulu. Kononnya ini adalah percubaan untuk mengubah Al-Quran. Tidak ada perubahan yang dibuat kepada Al-Quran kerana Al-Quran mengandungi wahyu daripada Allah. Yang perlu dibuat ialah pindaan kepada tafsiran mengikut perkembangan zaman. Pertahanan di zaman Nabi memerlukan kuda perang, pemanah, tombak dan pedang. Pertahanan di zaman ini memerlukan senapang, meriam, kereta kebal, kapal perang, pesawat pengebom dan pejuang. Desakan agama Islam supaya orang Islam bersedia untuk mempertahankan diri tidak berubah. Ini yang menjadi pokok. Kelainan tafsiran hanyalah berkenaan dengan jenis senjata yang hendak disediakan.
26. Demikian juga dengan larangan terhadap lukisan rupa manusia dan makhluk Allah yang lain. Di zaman Jahilliah manusia yang kolot akan sembah gambar-gambar sebagai tuhan. Hari ini dengan adanya alatan membuat gambar, bahkan gambar yang bergerak 3D, larangan ini tidak dapat dikuatkuasakan. Pemimpin-pemimpin agama juga mempunyai gambar yang diedar ke merata tempat.
27. Tujuan larangan lukisan dalam Islam ialah supaya kita tidak akan sembah lukisan berkenaan, terutama lukisan yang dikatakan gambar Nabi atau Tuhan. Oleh itu dilarang gambar seperti itu. Gambar lain tidak dapat ditegah lagi tetapi menyembah gambar masih di haramkan bagi orang Islam. Tidaklah sesuai jika gambar orang tertentu digantung dalam masjid umpamanya.
28. Allah berfirman yang bermaksud "Jika kamu hukum, hukumlah dengan adil." Yang penting ialah keadilan, bukan proses kehakiman. Tetapi ada yang menolak keadilan dan mengutamakan proses kehakiman sehingga berlaku zalim. Mengutamakan keadilan, seperti juga mengutamakan pertahanan umat Islam, atau tidak menyekutukan gambar dengan Allah dan menyembah gambar, tidak bertentangan dengan ajaran Al-Quran, atau membuat tafsiran yang lain daripada yang terkandung dalam Al- Quran.
29. Sebaliknya mereka yang sering mengecam apa yang mereka dakwa sebagai tafsiran bukan tradisional berkenaan dengan ajaran Al-Quran, merekalah yang kerap kali membuat tafsiran baru yang bertentangan dengan tafsiran lama dan tepat berkenaan ajaran Al-Quran. Demikian apabila mereka berkata Tuhan mencarut dan Tuhan samseng besar, ini adalah tafsiran baru yang tetap berbeza dengan tafsiran tradisi dan asal. Demikian juga apabila didakwa kononnya seseorang itu hanya Islam jika ia menyertai atau menyokong sebuah parti politik ciptaan manusia, maka ini juga merupakan tafsiran baru akan ajaran yang terkandung dalam Al- Quran. Soalnya kenapakah mereka boleh buat tafsiran baru yang tidak sama sekali berasas kepada Al-Quran sedangkan tafsiran yang dibuat yang berasas kepada isi kandungan Al-Quran di dakwa sebagai menolak ajaran Al- Quran?
30. Sesungguhnya Al-Quran adalah panduan yang terpenting untuk umat Islam. Jika hari ini umat Islam berpecah dan bermusuh sesama sendiri, sebabnya bukanlah Islam dan Al-Quran tetapi tafsiran yang berbeza-beza yang dibuat oleh ulama-ulama di zaman dahulu dan sekarang. Sebagai manusia biasa mereka tidak mungkin bebas daripada kecacatan dan kesilapan. Apabila kesilapan mereka jelas dan terang dan membawa perpecahan dan kelemahan kepada umat Islam, tafsiran mereka berkenaan surah dan ayat Al-Quran perlu dikaji dan dipinda supaya umat Islam dapat kembali kepada Al- Quran dan Islam yang sebenar dan mereka kembali bersatu dan hidup bahagia sebagai khalifah Allah di bumi ini. Pengembalian umat Islam kepada ajaran Islam yang sebenar hendaklah dibuat secara hikmah seperti yang dikehendaki oleh Islam.
31. Al-Quran bukan hanya hiasan walaupun penulisannya perlu mencerminkan penghargaan yang tinggi oleh umat Islam. Al-Quran adalah rujukan yang penting bagi umat Islam. Penyembunyian sebahagian besar daripada isi kandungan Al-Quran atau lebih buruk lagi percubaan untuk memansuhkan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran adalah sejenis pengkhianatan kepada agama Islam.
32. Kita berbangga dengan penulisan yang cantik Mushaf Malaysia ini. Kita ucap tahniah kepada semua yang terlibat dengan penyediaan Mushaf Malaysia ini. Kita berdoa pengeluaran Mushaf ini akan meningkatkan lagi minat untuk ibadah yang mulia ini. Mudah-mudahan kita semua akan mendapat banyak nikmat daripada usaha ini. Mudah-mudahan kita akan lebih mengetahui isi kandungan Al-Quran tanpa sebarang salah tafsiran untuk kepentingan yang lain daripada maksud kitab suci ini sebagai panduan kepada kita semua umat Islam. Mudah- mudahan dengan pengeluaran Mushaf Malaysia selangkah lagi dimajukan untuk mengembalikan Islam sebagai agama yang termulia bagi umat manusia.
33. Dengan penuh syukur dan rendah diri saya lancarkan Al-Quran Mushaf Malaysia Taba`ah Ain At Takwa Cetakan Koleksi ini dengan rasminya dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. |