Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : MAJLIS MALAM WARTAWAN MALAYSIA 1988 ANJURAN INSTITUT AKHBAR MALAYSIA
Lokasi : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 19-11-1988
 
Encik Ahmad Rejal Arbee, Pengerusi Institut Akhbar Malaysia; Encik Mazlan Nordin, Pengerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis Malam Wartawan Malaysia 1988 ini. Saya merasa bangga kerana diberi penghormatan juga untuk menyampaikan hadiah-hadiah kewartawanan. Saya percaya Majlis ini akan berjaya menjalinkan lagi hubungan rapat antara para wartawan. Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Sebagai wartawan saya yakin tuan-tuan dan puan-puan menghargai kebebasan media massa yang menjadi satu daripada rukun demokrasi. Kebebasan media merupakan salah satu aspek yang penting untuk mempertahankan demokrasi. Tanpa kritikan dan teguran daripada media yang bebas, tanpa maklumbalas berkenaan dengan pemikiran dan reaksi masyarakat, besar kemungkinan Kerajaan dan anggotanya akan tersilap jalan, akan menyeleweng dan akan melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik. Sebaliknya tanpa maklumat yang disampaikan oleh media yang bebas rakyat pula akan berada dalam kegelapan, tidak mengetahui dan tidak memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Dengan perkataan lain tanpa media massa yang bebas, masyarakat dan Kerajaan akan berada dalam keadaan tidak sedar akan hasil dasar-dasarnya dan tidak dapat menilai kekesanan sesuatu tindakan atau peristiwa. Kita akan meraba-raba dalam kegelapan tanpa mengetahui ke arah mana kita menuju atau ke arah mana kita dibawa.

3. Ada negara-negara di mana media massa diletakkan terus di bawah kuasa Kerajaan. Dengan itu media tidak dapat menilaikan dengan baik dan dengan adil tindakan-tindakan dan dasar-dasar Kerajaan. Semua yang dibuat oleh Kerajaan dikatakan baik dan dipuji. Oleh yang demikian apabila Kerajaan tersilap jalan maka Kerajaan akan sesat tanpa disedari. Negara komunis sesat 70 tahun sebelum mereka mengetahui bahawa mereka sesat. Sepanjang masa, media yang dikongkong oleh Kerajaan memuji dasar-dasar dan strategi-strategi komunis sehingga rakyat mereka hilang keupayaan membezakan di antara yang baik dengan yang buruk.

4. Goebbels, Menteri Propaganda Nazi Jerman, biasa berkata sesuatu yang tidak benar, jika berulangkali dikatakan benar, akhirnya akan diterima sebagai benar oleh masyarakat. Demikianlah dengan negara komunis. Oleh kerana kegagalan sistem ekonomi komunis dikatakan juga satu kejayaan, akhirnya semua pihak percaya bahawa sistem komunis berjaya. Apabila sudah sampai ke tahap ini kebenaran sukar hendak diperkata dan diutarakan kerana ia akan dianggap tidak benar dan akan ditentang keras. Hanya pemimpin yang gagah dan berani sahaja yang akan sanggup memperkatakan yang benar, iaitu sistem ekonomi komunis gagal dan perlu digantikan dengan sistem yang dahulu dikatakan oleh pihak komunis tidak baik. Demikian glasnost dan perestroika anjuran Gorbachev.

5. Inilah satu daripada kesan kongkongan media massa oleh Kerajaan. Tetapi apakah kebebasan penuh untuk media massa akan menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara? Di beberapa negara di mana media bebas sepenuhnya, akhbar-akhbar dan media elektronik tidak segan-segan menyalah-gunakan kebebasan mereka. Media yang bebas tidak memberi kebebasan kepada pihak lain. Sasaran mereka dikejar sehingga ke lubang cacing. Segala-galanya didedahkan sehingga keaipan yang dirasai oleh subjek adalah lebih daripada semua hukuman yang boleh dikenakan. Gambar-gambar lucah didedah dan cerita-cerita lucah disiarkan sehingga kepada kanak-kanak. Bahasa yang kotor tidak lagi disembunyikan. Keganasan dipamer sehingga mempengaruhi budaya masyarakat. Penjenayah dibayar wang yang banyak untuk cerita jenayah mereka yang menggambarkan mereka sebagai hero. Rahsia Kerajaan didedah sehingga keselamatan negara terancam. Pemimpin-pemimpin dilaga-lagakan dan cerita-cerita yang tidak benar dicipta dan disiarkan.

6. Akibat daripada semua ini ialah masyarakat keliru dan ada yang tidak dapat menilai antara yang baik dengan yang buruk. Ada di antara mereka menjadi bingung kerana percaya kepada yang tidak benar. Nafsu dan seks menjadi tumpuan bagi setengah-setengah pihak sehingga mereka dikuasai hanya oleh keperluan memuaskan nafsu. Akhlak hancur dan institusi sosial seperti perkahwinan dan keluarga hilang kedudukan dalam masyarakat. Pendek kata, kebebasan akhbar yang ekstrim membawa kesan yang tidak banyak berbeza daripada kongkongan oleh Kerajaan.

7. Apa yang digambarkan di sini ialah kes-kes yang ekstrim, kongkongan media yang menyeluruh dan kebebasan yang tidak terhad. Jika diakui bahawa kedua-dua contoh ekstrim ini adalah tidak baik dan mempunyai kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara, soal yang timbul ialah apakah had sekatan kebebasan dan kongkongan ke atas media massa yang baik untuk masyarakat? Soal ini perlu dijawab melainkan kita mempunyai falsafah kebebasan semata-mata untuk kebebasan dan bukannya kebebasan untuk kebaikan.

8. Malaysia adalah sebuah negara membangun yang demokratik. Lebih daripada itu Malaysia mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang sukar diintegrasikan. Jika Malaysia ingin maju maka peranan semua pihak mestilah disesuaikan dengan dasar-dasar dan usaha-usaha membangunkan negara.

9. Tidak sesiapa pun boleh menafikan peranan penting yang boleh dimainkan oleh media massa dalam pembangunan Malaysia. Jika diakui bahawa kebebasan akhbar menjadi sebahagian daripada demokrasi, tetapi kebebasan secara absolute membawa keburukan. Kita perlu menentukan apakah yang patut mempengaruhi Kerajaan, wartawan dan masyarakat mengenai peranan media massa dalam negara kita ini.

10. Saya percaya tidak ada sesiapa pun dalam negara ini yang dengan sengaja mahu menghalang pembangunan dan kemajuan. Masalahnya ialah kadang-kadang terdapat konflik antara kepentingan negara dan kepentingan kumpulan serta kepentingan individu. Oleh kerana ini, kita kadang-kadang tidak jelas tentang pendirian yang perlu diambil oleh masing-masing, walaupun kita percaya kita mengetahui tindakan yang mesti diambil oleh pihak lain.

11. Sebagai contoh ramai anggota masyarakat yang mengecam akhbar yang sengaja membesar-besarkan masalah yang kecil umpamanya tentang perkembangan politik. Tetapi di masa yang sama masyarakat lebih suka akhbar-akhbar yang sensational ini dan menyebabkan penjualannya lebih laris. Di masa yang sama juga pembaca memuji sikap sederhana dan berita yang tepat yang dibuat oleh akhbar-akhbar yang bertanggungjawab tetapi mereka tidak begitu berminat membacanya. Ramai juga daripada anggota masyarakat yang menyoal mengapa Kerajaan tidak bertindak.

12. Kerajaan sekarang ini tidak bebas seperti dahulu di waktu mana rakyat tidak begitu sophistikated. Sekarang rakyat tahu mengguna undang-undang dan Kerajaan dengan mudah boleh disekat kerana kesilapan prosidur atau sebab-sebab lain. Lagi pula Kerajaan tidak mahu dituduh tidak demokratik dan menyekat kebebasan akhbar.

13. Dilema kita ialah jika kita membenarkan kebebasan yang ekstrim dalam media, kesejahteraan masyarakat akan terancam dan kemajuan negara akan terganggu. Sebaliknya, jika kita mengambil tindakan untuk menyekat, kita akan dituduh sebagai tidak demokratik. Berhadapan dengan dilema ini kita hanya boleh berharap kepada perasaan tanggungjawab wartawan dan patriotisme mereka. Kawalan diri atau self-discipline diperlukan walaupun ini akan menjejaskan sedikit kelarisan penjualan akhbar masing-masing.

14. Bagi negara kita, perkara yang utama ialah kestabilan politik atau lebih tepat lagi persepsi rakyat serta orang asing terhadap kestabilan ini. Sebenarnya semenjak negara kita merdeka, selain daripada peristiwa 13 Mei 1969, keadaan politik negara adalah stabil. Sudah tentu ia lebih stabil daripada kebanyakan negara-negara membangun. Adanya usaha merebut jawatan dan kempen-kempen adalah perkara biasa dalam sesebuah demokrasi.

15. Tetapi kegiatan-kegiatan ini boleh mencemar gambaran stabiliti kerana tekanan laporan dan bahasa yang digunakan. Seseorang yang membuat kritikan biasa boleh menimbulkan kemarahan yang lebih oleh pihak sasaran jika pengkritik dilaporkan sebagai telah membuat `tamparan hebat` terhadap seseorang. Kadangkala keadaan tenang boleh menjadi ribut hanya dengan bertanya kepada satu pihak dan kemudian menyampaikan jawapannya kepada pihak yang menentang untuk mendapatkan reaksi.

16. Pihak akhbar mencipta berbagai jenis hak di bawah kebebasan media dalam demokrasi. Sekarang ini ada yang bercakap berkenaan dengan hak mengetahui atau `the right to know`. Dalam pengurusan sesuatu organisasi, rahsia diperlukan. Umpamanya semasa rundingan, semua pihak perlu menyembunyikan apakah yang boleh dipersetujui oleh mereka, supaya dapat konsesi yang lebih menguntungkan. Sama ada perundingan ini adalah antara syarikat atau pertubuhan atau negara, masing-masing akan cuba mendapatkan sesuatu keputusan yang lebih menguntungkan.

17. Media massa pula ingin mendedahkan kesemuanya secepat mungkin sebelum pun rundingan diadakan. Dengan terdedahnya pendirian terakhir mana-mana pihak, maka flexibility dalam rundingan akan hilang. Mungkin juga jika pihak yang satu lagi tidak bersetuju dengan pendirian sebenar pihak pertama, maka rundingan tidak akan diadakan sama sekali. Dengan itu sesuatu usaha akan gagal sebelum pun ia bermula.

18. Sebaliknya jika tidak berlaku pendedahan dan rundingan diadakan, mungkin juga pihak-pihak yang terlibat akan bertolak-ansur setelah mendengar hujah-hujah masing-masing dan rundingan akan berhasil. Tetapi media massa kerapkali tidak mempedulikan sesuatu usaha yang baik. Kepentingan `scoop` lebih diutamakan, kononnya kerana kebebasan dan hak mengetahui.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

19. Di negara Malaysia kita perlu berusaha ke arah pembangunan yang pesat. Jika kita membuat kajian mengenai sebab-sebab setengah negara mudah maju dan setengah lagi tidak dapat mencapai kejayaan walaupun ada keinginan untuk berjaya, kita akan mendapati bahawa pencapaian sesuatu negara bergantung kepada peribadi dan sikap penduduk negara itu. Jika sesuatu bangsa itu rajin, beramanah, tekun berusaha, maka lambat laun bangsa itu akan berjaya. Sebaliknya jika sesuatu bangsa itu malas, tidak beramanah dan tidak tekun dalam menjalankan kerja, maka bangsa itu akan gagal dan mundur selama-lamanya.

20. Menyedari akan hakikat ini maka kita haruslah menggunakan segala cara untuk membentuk peribadi yang sesuai dengan kemajuan ini. Oleh kerana media massa adalah satu alat yang penting untuk membentuk fikiran rakyat maka media massa haruslah memberi sumbangan kepada usaha-usaha menyemaikan nilai-nilai yang disebutkan tadi di kalangan penduduk-penduduk negara ini.

21. Kita berasa dukacita kerana kadang-kadang terdapat akhbar-akhbar yang bukan sahaja tidak memberi perhatian kepada pembinaan sifat-sifat ini tetapi menunjukkan sikap sinis terhadap usaha-usaha Kerajaan. Menukar peribadi sesuatu bangsa bukanlah perkara yang mudah, terutama jika ianya adalah ke arah kebaikan. Tetapi usaha mesti dibuat juga kerana selagi kita tidak dapat memiliki nilai-nilai yang sesuai untuk kemajuan, kita tidak akan maju.

Tuan-tuan dan puan-puan,

22. Musuh kita yang besar sekali ialah diri kita sendiri. Terdapat sikap yang negatif di kalangan kita yang menyebabkan kita selalu memandang rendah terhadap kebolehan kita dan membesar-besarkan kebolehan orang lain. Jika ada sahaja sesuatu usaha, kita terus meramalkan ianya tetap tidak akan berjaya. Jika akhirnya berjaya juga usaha itu, kita akan memperkecilkan kejayaan usaha itu atau mencari kesalahan titik-bengek. Dengan ini maka sukar bagi rakyat Malaysia mempunyai keyakinan terhadap apa juga yang diusahakan.

23. Mengikut aliran baru apa yang dipanggil sebagai `investigative reporting`, sesuatu yang dicipta di Barat, segala usaha dijalankan bagi mencari yang salah untuk didedahkan. Memang benar ada kalanya kita perlu mendedahkan sesuatu supaya pembetulan boleh dibuat. Tetapi yang baik dan betul pun perlu didedahkan supaya kita tidak mempunyai inferiority complex.

24. Dalam usaha membangunkan sesebuah negara, Kerajaan yang kuat amat diperlukan. Bagi negara yang maju sekalipun, jika Kerajaannya lemah maka kemajuan sukar dicapai. Ini adalah kerana Kerajaan bukan sahaja dikehendaki mentadbir tetapi juga dikehendaki menolong pihak swasta dalam kegiatan ekonomi. Dalam hal ini jika pihak swasta dikehendaki meningkatkan perniagaan dan perusahaan, melabur dan mengeksport, Kerajaan mesti memberi kerjasama dan bantuan.

25. Sebagai contoh sekarang ini kita ingin menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Industri pelancongan bukan sahaja membawa aliran matawang asing ke dalam negeri tetapi juga dengan pertumbuhan industri perhotelan dan industri-industri sampingan, peluang-peluang pekerjaan akan bertambah. Rakyat yang ramai menganggur akan mendapat peluang-peluang pekerjaan.

26. Kerajaan dikehendaki membelanjakan wang untuk mengadakan pegawai-pegawai dan aktiviti-aktiviti promosi dan lain-lain. Jika Kerajaan lemah dan tidak tentu sama ada akan mendapat sokongan yang cukup atau tidak, usaha menolong pihak swasta akan mendapat prioriti yang rendah. Dengan itu pihak swasta dan ekonomi negara akan terjejas.

27. Kita lihat perkara ini berlaku dalam sebuah negara maju di mana ketua kerajaan terdiri daripada satu parti dan dewan-dewan undangannya dikuasai oleh parti lawan. Kesannya ialah pemerintahan yang tidak berkesan dan ekonomi meleset. Rakyat pula tidak bersemangat untuk menjayakan apa-apa usaha.

28. Keadaan di Malaysia tidaklah seperti ini. Tetapi tumpuan yang terlalu sangat kepada politik boleh membawa kesan seperti ini. Sebagai negara membangun kesan Kerajaan yang lemah lebih buruk lagi. Untuk memperbaiki keadaan ekonomi, sosial dan politik, mana-mana Kerajaan mestilah berani mengambil tindakan yang tidak popular. Kerajaan yang lemah akan hanya menghabiskan masa dan tenaga untuk mencari populariti.

29. Semua pihak di dalam dan di luar negara sekarang mengiktiraf kejayaan Malaysia memulihkan ekonominya. Kejayaan ini dicapai kerana Kerajaan mampu mengambil tindakan-tindakan yang berkesan walaupun tidak popular seperti mengurangkan perbelanjaan Kerajaan, mengurangkan import, membantu eksport, membuka peluang perniagaan dengan mengurangkan syarat-syarat yang terlalu ketat dan lain-lain lagi. Tetapi usaha-usaha Kerajaan ini menjadi lebih sulit kerana ada pihak-pihak yang tidak faham dan pandangan mereka kadang-kadang mendapat publisiti yang luas.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

30. Sementara kita tidak patut disaji dengan masalah politik semata-mata dalam akhbar, pengetahuan mengenai politik perlu dipertingkatkan, terutama berkenaan dengan sistem demokrasi yang kita amalkan. Ramai yang berpendapat bahawa demokrasi akan membawa kebahagiaan kepada negara jika ia diamalkan sepenuhnya. Apa yang kurang difahami ialah demokrasi juga boleh meruntuhkan negara jika tidak diamalkan dengan bijak dan bertanggungjawab.

31. Di Malaysia kita bernasib baik kerana terdapat sebuah parti politik nasional yang mampu bertanding di seluruh negara. Dengan itu kemungkinan sebuah parti mendapat majoriti yang cukup untuk membentuk Kerajaan memang nyata. Oleh kerana demokrasi memberi hak kepada sesiapa sahaja menubuhkan parti dan bertanding, bahkan individu juga boleh bertanding, di beberapa negara berpuluh-puluh parti politik ditubuhkan dan beribu-ribu calon bertanding. Akibatnya tidak ada satu parti pun yang memperolehi majoriti. Dalam keadaan ini Kerajaan campuran terpaksa dibentuk yang tidak mempunyai dasar atau ideologi yang sama. Jika mana-mana parti menarik diri, maka akan jatuhlah Kerajaan.

32. Demikian juga jika sistem dua parti diadakan. Apabila kedua-dua parti memenangi hampir sama bilangan kerusi, Kerajaan yang ditubuhkan oleh parti yang mendapat kemenangan yang lebih sedikit, tidak mampu memerintah dengan tegas kerana takut jatuh.

33. Di setengah-setengah negara pula sistem proportionate representation digunakan, iaitu bilangan wakil rakyat dari sesuatu parti diasaskan kepada peratusan undi yang diperolehi. Akibatnya banyak parti bertanding dan ada kalanya tidak ada parti yang mempunyai majoriti yang cukup. Kerajaan yang didirikan terpaksa berbentuk Kerajaan campuran, yang seperti biasa amat lemah.

34. Kepercayaan kepada sistem demokrasi memang baik tetapi tanpa pengetahuan tentang kegunaannya, demokrasi tidak dapat menjamin kesejahteraan negara. Pihak akhbar harus memainkan peranan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai demokrasi, kekuatan dan kelemahannya. Dengan ini maka kita akan lebih selamat.

35. Tujuan saya membangkitkan perkara-perkara tersebut di majlis ini bukanlah kerana saya bercita-cita untuk menghapuskan kebebasan media massa atau menghapuskan demokrasi. Ada pihak yang mudah membuat tuduhan seperti ini apabila sahaja saya menyebut mengenai sesuatu. Demokrasi berjaya diamalkan di negara ini. Kebebasan akhbar wujud di negara kita. Tetapi kita harus sedar tentang berbagai kemungkinan. Dengan adanya kesedaran ini, saya percaya kita akan lebih bertanggungjawab untuk menegakkan demokrasi di Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

36. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis ini. Kepada para pemenang hadiah-hadiah kewartawanan, saya mengucapkan tahniah. Saya berharap Majlis ini akan dapat menebalkan tekad kita untuk berkhidmat kepada negara.

Terima kasih

Kami menerima 4,856,836 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2021 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri