English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk : JAMUAN MAKAN MALAM MERAIKAN TYT GERHARD SCHROEDER CANSELOR REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN
Lokasi : SERI PERDANA, PUTRAJAYA
Tarikh : 12-05-2003
 
Saya berbangga dan berasa terhormat kerana dapat mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama serta rombongan ke Kuala Lumpur. Lawatan Tuan Yang Terutama memberikan saya peluang untuk membalas balik layanan mesra yang saya dan rombongan saya terima sewaktu melawat negara Jerman pada bulan Mac tahun lalu. Ini juga merupakan lawatan yang pertama kali dilakukan oleh seorang Canselor Jerman ke Malaysia.

2. Saya berharap Tuan Yang Terutama akan dapat lebih memahami kepelbagaian budaya Malaysia dan pembangunan kami yang mendapat banyak faedah daripada kepakaran dan sokongan Jerman.

3. Saya berasa dukacita bahawa tidak ada ahli-ahli perniagaan yang turut serta dalam rombongan Tuan Yang Terutama. SARS bukanlah satu ancaman kepada Malaysia. WHO tidak pun meletak Malaysia dalam senarainya. Saya berharap peniaga-peniaga Jerman akan datang kemudian. Tahun lepas Jerman adalah pelabur terbesar di Malaysia. Kami amat berminat untuk melihat lebih banyak lagi pelaburan Jerman bagi faedah bersama kedua-dua negara kita.

4. Sejak pertemuan terakhir kita pada bulan Mac tahun lalu, keadaan dunia telah menjadi semakin buruk. Hari ini ekonomi dunia semakin lembab. Tambahan, kami negara-negara kecil kini hidup dalam ketakutan, bukan sahaja daripada pengganas-pengganas tetapi juga daripada tindakan unilateral oleh negara-negara yang kuat. Kita tidak boleh mengharapkan perlindungan daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana negara- negara yang kuat seperti Amerika Syarikat dan Britain boleh menyerang Iraq tanpa keizinan PBB.

5. Apabila undang-undang dan konvensyen-konvensyen antarabangsa diketepikan oleh mereka yang menggubal dan memperjuangkannya maka huru-hara antarabangsa boleh berlaku. Negara-negara yang lemah tidak boleh lagi diharap akan mematuhi undang-undang dan konvensyen-konvensyen antarabangsa jika keselamatan mereka terancam.

6. Saya ingin ucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama kerana Jerman di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama telah mengambil pendirian yang berprinsip berkenaan pencerobohan negara Iraq. Kami berasa lega sedikit melihat negara Tuan Yang Terutama dan beberapa negara Eropah masih percaya kepada PBB dan konsensus antarabangsa. Kami mengharapkan Jerman dan negara-negara yang seperjuangan berusaha untuk mengembalikan keyakinan terhadap PBB dan undang-undang antarabangsa.

7. Malaysia percaya ketegangan dan pergolakan yang berlaku di dunia sekarang mempunyai kaitan dengan tindakan merampas tanah wilayah Arab Palestin untuk dijadikan negara Israel. Sejak dari itu tidak ada lagi kestabilan dan keamanan di Timur Tengah. Dan sekarang ketidakstabilan itu telah merebak hingga ke seluruh dunia. Ini adalah punca sebenar berlakunya keganasan di seluruh dunia yang kita lihat hari ini.

8. Kita seharusnya berusaha untuk mengenalpasti sebab- sebab berlakunya konflik Palestin - Israel. Tetapi sebaliknya kita lihat terdapat usaha untuk mengganas terhadap pengganas-pengganas bagi menyekat mereka. Sekarang negara-negara di dunia sedang diancam dan ditakluk walaupun tiada bukti penglibatan mereka dalam keganasan.

9. Serangan ke atas Iraq dilihat oleh dunia Islam sebagai satu usaha untuk menakutkan negara-negara Islam. Tetapi pengganas-pengganas bukanlah di bawah kawalan Kerajaan. Mereka juga tidak selalunya berada di negara sendiri. Mereka boleh berada di mana-mana, di United Kingdom, umpamanya, dan sebagai orang yang sudah putus asa dan marah mereka tidak berasa terhalang. Peperangan menentang keganasan tidak akan berjaya walaupun semua negara Islam ditakluki. Sebagai pejuang pembebasan negara mereka akan bermati-matian untuk menentang penjajahan.

10. Serangan Wabak SARS telah mencetuskan kesan yang buruk kepada ekonomi Asia Timur dan juga dunia. Penyakit yang baru sekarang muncul dengan kerapnya. HIV - Aids, penyakit Mad Cow, Ebola, Japanese Encephalitis dan jenis denggi, malaria, batuk kering yang tidak boleh diubati adalah antara penyakit baru. Tindakan kita menangani wabak penyakit- penyakit ini adalah tidak tersusun. Ada kemungkinan penyakit-penyakit ini dan penyakit-penyakit baru akan merebak ke seluruh dunia dan menyebabkan kerosakan yang amat besar.

11. Secara logiknya kita boleh menjangka lebih banyak penyakit baru akan muncul. Dunia kini perlu merangka satu strategi dan mempunyai kebolehan untuk menghadapi penyakit- penyakit baru ini. Wang hendaklah diperuntukkan untuk pusat- pusat untuk menjalankan pengesanan awal dan menyekat merebaknya penyakit-penyakit ini. Adalah sungguh baik sekali sekiranya sebahagian kecil peruntukan kewangan untuk senjata diperuntukkan kepada penubuhan pusat-pusat yang dapat bertindak pantas ke atas penyakit-penyakit baru ini di seluruh dunia.

12. Lawatan Tuan Yang Terutama ke Malaysia jelas menunjukkan keinginan Jerman untuk mengukuhkan lagi jalinan persahabatan demi kepentingan kedua-dua belah pihak negara kita.

13. Izinkan saya sekali lagi untuk mengalu-alukan kedatangan Tuan Yang Terutama serta rombongan. Lawatan Tuan Yang Terutama, walaupun singkat, telah memberi tekanan baru kepada hubungan dua hala kita. Saya yakin hubungan ini akan terus dapat dipertingkatkan lagi dan semakin maju di masa- masa akan datang.

Terima kasih.


Kami menerima 4,454,883 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri