Dengan hormat dan penuh takzimnya, pihak Kerajaan, pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam serta rakyat keseluruhannya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku sempena ulangtahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari ini. Rakyat sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahuwata'ala semoga dilanjutkan usia serta dilimpahkan rahmat dan hidayah-nya ke atas Tuanku dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah dan semoga Tuanku berdua sentiasa berada di dalam kandungan sihat, bahagia dan penuh kedaulatan.
2. Hari Keputeraan Tuanku hari ini adalah amat istimewa kepada semua rakyat jelata. Institusi di-raja yang diterajui Tuanku adalah lambang kebanggaan rakyat. Sejak ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku telah berjaya memainkan peranan yang penting dan efektif mendekatkan lagi institusi di-raja dengan rakyat jelata.
3. Kehadiran Tuanku di acara-acara rasmi dan perayaan hari kebesaran kaum-kaum juga mendapat perhatian rakyat yang amat menghargai peranan aktif yang dimainkan Tuanku dan Raja Permaisuri bagi menyemarakkan dan memupuk semangat perpaduan dan harmoni antara rakyat berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya di negara ini.
4. Lawatan rasmi Tuanku dan Raja Permaisuri ke jabatan-jabatan dan kementerian Kerajaan serta ke institusi awam dan swasta lain juga menunjukkan keperihatinan Tuanku berdua terhadap perkembangan dalam negara.
5. Akhir-akhir ini, perkembangan politik dan ekonomi dunia menjadi agak rumit. Keganasan, pencerobohan dan penindasan kuasa besar ke atas negara-negara kecil dan lemah, serangan wabak penyakit serta konflik serantau menjadikan persekitaran global tidak menentu.
6. Di dalam suasana ini, negara tidak terkecuali daripada turut merasai impak ketidak tentuan persekitaran ekonomi, politik dan sosial. Sebagai negara pedagang (trading nation) Malaysia banyak bergantung kepada pasaran eksport barangan tempatan ke luar negara. Kemerosotan ekonomi rakan dagang serta kejatuhan nilai matawang dolar telah memberikan kesan negatif terhadap prestasi ekonomi negara.
7. Namun begitu, langkah pro-aktif kerajaan memperkenalkan pakej strategi baru untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara seperti yang diumumkan baru- baru ini dijangka dapat menangani impak kelembapan ekonomi dunia dengan menggalakkan "domestic consumption" dan pelaburan swasta dalam negeri serta menjana pertumbuhan baru.
8. Di dalam merangka strategi pertumbuhan baru ini, Kerajaan juga telah memberi tumpuan khusus kepada menggalakkan perniagaan kecil bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan lagi taraf ekonomi mereka. Kerajaan juga telah memberi tumpuan terhadap mempertingkatkan daya saing negara dengan memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalakkan pelabur asing dan domestik.
9. Di samping strategi baru, Kerajaan juga telah memperluaskan aktiviti ekonomi dengan membuka pasaran baru untuk barangan eksport negara terutama di kalangan negara Selatan Afrika, Amerika Selatan, negara-negara Arab serta wilayah Asia Barat agar negara tidak begitu bergantung kepada pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
10. Kejatuhan nilai Dolar Amerika berbanding matawang Euro juga telah mempengaruhi eksport negara. Nilai barangan eksport yang menggunakan matawang Dolar menjadi kurang. Walaupun Kerajaan tidak berhasrat menukar tambatan ringgit, Kerajaan merasakan adalah perlu bagi pihak swasta terutamanya yang terlibat di dalam sektor pengeksportan barangan mengambil langkah menggunakan matawang Euro sebagai bayaran kerana kemungkinan besar nilai Dolar akan merosot lagi.
11. Baru-baru ini negara juga telah diserang Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Alhamdulillah, langkah- langkah pencegahan awal yang diambil telah berjaya membendung penyakit tersebut daripada merebak dengan lebih teruk dan negara tidak tersenarai sebagai antara negara-negara yang dilanda wabak tersebut. Langkah "decisive" Kerajaan menangani wabak SARS ini juga diakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
12. Kerajaan memandang serius hal-hal kesihatan rakyat, terutamanya wabak penyakit yang boleh membawa maut. Kebersihan merupakan elemen penting mencegah wabak penyakit berjangkit dan Kerajaan memerlukan sokongan dan usaha sepenuhnya daripada setiap individu bagi menjaga kebersihan.
13. Rakyat mestilah menerima teknologi pelupusan sampah yang bersesuaian dengan sebuah negara membangun seperti Malaysia. Kerajaan tidak mampu lagi menyediakan kawasan pelupusan sampah terbuka (land-fill), yang pada jangka panjang akan mengakibatkan pencemaran dan keracunan air bawah tanah, selain menjadi tempat pembiakan kuman. Jika rakyat terus menerus menolak sistem dan amalan pelupusan sampah yang diterima negara maju, ianya akan meyulitkan usaha membersihkan persekitaran kita bagi mencegah penyakit.
14. Kerajaan percaya kejayaan kita menangani pelbagai tekanan ke atas negara telah berjaya menyelamatkan rakyat daripada pelbagai bencana. Justeru itu rakyat perlu yakin terhadap kebolehan negara menghadapi krisis. Namun ada segelintir daripada rakyat yang kurang percaya akan kebolehan kita dan menyertai orang asing memburuk-burukkan negara. Sikap golongan ini amat mengecewakan. Sesungguhnya Kerajaan sanggup menghadapi apa jua cabaran dan masalah yang melanda negara.
15. Usaha menghalang pembekalan air dan elektrik dan pelupusan sampah kerana kononnya ianya akan merosakkan alam sekitar adalah tuduhan yang tidak bertanggungjawab. Kita harus ingat bahawa orang asing yang menghasut sudah pun musnah persekitaran mereka supaya negara mereka dapat dibangunkan. Kini mereka ingin kekalkan taraf hidup yang rendah bagi kita dengan menyekat pembangunan negara kerana kepentingan persekitaran mereka.
16. Walaupun kita semua dapat melihat negara-negara yang bermasalah ditindas dan ditakluk, ramai juga yang sedang berusaha untuk memecah-belah dan melemahkan negara ini. Perlakuan mereka akan mengundangkan malapetaka bagi negara ini. Harapan Kerajaan ialah supaya puak ini sedar akan kesan buruk daripada tindakan mereka dan akan hentikannya.
17. Alhamdulillah, majoriti rakyat amat setia kepada negara. Anggota Kabinet serta pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam yakin dengan sokongan rakyat di bawah naungan Tuanku, negara akan terus mencapai pertumbuhan dan kemajuan pesat. Sesungguhnya negara ini amat bertuah kerana di bawah naungan Tuanku, negara diberkati dengan keupayaan untuk menangani pelbagai cabaran dan rintangan.
18. Sempena ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku, Ahli-ahli jemaah menteri dan semua anggota Kerajaan ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa segala kerjasama dan sokongan akan diberi kepada Tuanku dalam menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kepada Raja Permaisuri Agong selaras dengan prinsip-prinsip dan keperluan Sistem Raja Berperlembagaan.
19. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, Kerajaan, pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta rakyat keseluruhannya dengan penuh hormat dan takzimnya mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kepada Tuanku dan menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku sebagai Raja yang memerintah dan juga kepada Raja Permaisuri Agong.
|