English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PENGANUGERAHAN PERKHIDMATAN CEMERLANG 1999 UNIT PERANCANG EKONOMI JABATAN PERDANA MENTERI
Lokasi : UNIT PERANCANG EKONOMI JABATAN PERDANA MENTERI
Tarikh : 10-11-2000
 
Yang Berusaha Pengerusi Majlis

Y.Bhg. Dato' Iskandar Dzakurnain b. Badarudin, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi.

Y. Bhg Dato' Halipah bte. Esa Timbalan Ketua Pengarah (Makro) Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya berasa amat berbesar hati kerana sekali lagi telah diberi penghormatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai-pegawai yang berjaya dipilih oleh Panel Penilai dan Pergerakan Gaji UPE.

2. Saya sendiri tahu bukanlah mudah bagi Panel menentukan siapakah yang patut menerima Anugerah ini kerana ramai daripada pegawai dan kakitangan UPE yang layak diberi pertimbangan. Ini menunjukkan sebahagian besar daripada pegawai dan kakitangan UPE mempunyai kredibiliti dan kualiti yang baik dan saya berharap komitmen yang tinggi dariapada tuan-tuan dapat dipertingkatkan di masa hadapan. Tidak ada sebab kenapa pegawai-pegawai dan kakitangan UPE tidak dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti masing-masing. UPE telah berpindah ke bangunan baru di Putrajaya sejak Februari lalu. Dengan bangunan yang canggih dan serba lengkap ini, kita telah dapat menempatkan pegawai dan kakitangan dengan tempat kerja yang lebih selesa. Kerajaan juga telah menyediakan kemudahan perumahan yang selesa dan pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Putrajaya dengan kadar sewaan yang minima. Semua kemudahan ini diharapkan dapat meningkatkan tumpuan pegawai dan kaitangan dalam melaksanakan kerja harian mereka.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

3. Kecekapan dan mutu perkhidmatan yang tinggi akan memberi kesan yang bermakna kepada perkembangan ekonomi negara. Kita amat berbangga bahawa ekonomi negara telahpun beransur pulih dari kegawatan yang melanda sejak Julai 1997 dan kini berkembang semula dengan kadar yang tinggi dengan kadar inflasi yang rendah. Perkembangan ekonomi yang pesat ini adalah sebahagian hasil daripada usaha yang gigih dan sikap bertanggungjawab yang diberikan oleh pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam. Khususnya melalui strategi perancangan yang diaturkan oleh agensi perancangan seperti UPE.

4. Perubahan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial telah berlaku dengan pantas di tahun-tahun lampau akibat daripada revolusi IT dan proses globalisasi. Di peringkat global juga, suasana politik dan ekonomi dunia juga telah banyak berubah. Semua ini membawa kesan yang ketara yang memerlukan perubahan dan penyesuaian dalam budaya kerja perkhidmatan awam. Oleh itu, perkhidmatan perlu menjadi lebih responsif dan proaktif untuk membolehkan kita menangani perubahan dan membuat penyesuaian supaya terus menjadi relevan. Tanpa penyesuaian ini tidak mungkin pegawai-pegawai Kerajaan dapat memberi perkhidmatan yang baik dan cekap kepada pelanggan yang lebih celek dan lebih berpengetahuan.

Oleh itu, peningkatan ilmu dan latihan secara berterusan menjadi sesuatu yang kritikal.

5. Kita masih terdengar akan kelemahan pegawai dan kakitangan Kerajaan yang sering diperkatakan oleh beberapa pihak terutamanya sektor swasta. Ini berpunca daripada sifat negatif dan kurang bertanggungjawab segelintir kakitangan Kerajaan. Sikap seperti ini perlu di kikis dan dibuang sama sekali oleh pegawai-pegawai Kerajaan, termasuklah pegawai-pegawai UPE sendiri.

Sebagai badan perancang ekonomi utama negara ini, sebarang perakuan dan keputusan yang dibuat oleh UPE menyentuh nasib rakyat, nasib syarikat-syarikat dan akhirnya nasib ekonomi negara sendiri. Dengan tugas dan tanggungjawab yang begitu luas dan berat, Kerajaan dan rakyat mengharapkan tingkat professionalism, kecekapan dan keutuhan yang paling tinggi dari pegawai UPE.

Sebarang syak wasangka terhadap integriti dan tingkah laku pegawai akan menjejaskan imej dan reputasi UPE sendiri. Oleh itu penerapan dan amalan nilai murni seperti bersih, cekap, amanah adil, telus dan tanggungjawab perlu dipegawai dan dipertahanakan tanpa kompromi. Kerajaan memandang berat sebarang tingkah laku yang menjejaskan keutuhan pegawai mahupun organisasi. Seperti yang sering saya tekankan, Perkhidmatan Awam bukanlah tempat bagi seseorang yang mementingkan semata-mata kuasa dan wang, tetapi adalah bagi mereka yang sanggup berkhidmat untuk bangsa dan negara. Kepuasan berkhidmat dengan Kerajaan datangnya dari keupayaan dan kejayaan kita memberi perkhidmatan yang baik yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa gaji dan bonus penting, tetapi itu tidak seharusnya menjadi pertimbangan utama kerana Kerajaan negara kita selama ini amat prihatin dan responsive terhadap kesejahteraan dan kebajikan pegawai- pegawai. Saya percaya bahawa jika negara semakin maju dan sumbangan pegawai-pegawai kepada kemajuan ekonomi negara meningkat, Kerajaan rela menimbangkan kemudahan yang lebih baik lagi di masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan

6. Saya mengambil kesempatan mengucapkan syabas kepada UPE kerana telah memainkan peranannya dalam merancang pemulihan ekonomi negara. Sekarang peranan UPE semakin mencabar kerana perlu berusaha untuk meningkat dan mengekalkan pertumbuhan yang stabil di masa hadapan.

Saya menyeru semua pegawai dan kakitangan supaya bersama- sama membantu menjayakan penyediaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan yang merupakan tugas utama UPE sekarang ini. Penyediaan ini bukan sahaja memerlukan pengorbanan masa tetapi juga memerlukan satu pemikiran yang berpandangan jauh lagi strategik.

7. Di samping itu juga UPE telah mempertingkatkan imej negara bukan saja dikalangan negara membangun malahan dijadikan model kepada beberapa negara mengenai perancangan pembangunan negara, termasuk program penswastaan. Penglibatan UPE dalam membantu menyediakan rancangan pembangunan ekonomi di beberapa negara membangun, melatih sebilangan pegawai negara membangun melalui Malaysian Technical Cooperation Programme telah mengharumkan lagi negara dan menjadi sebutan di negara- negara luar. Ini dapat dilihat mengenai dasar pembangunan negara. Peranan UPE sebagai focal point dalam penglibatan membangunkan negara seperti di Afrika, Eropah Timur, negara-negara Kepulauan Pasifik dan Indo- China amat berkesan dan membanggakan.

Tuan-tuan dan puan-puan

8. Peranan UPE sebagai organisasi perancang ekonomi unggul perlu dikekalkan. Semua pegawai dan kakitangan perlu meningkatkan keilmuan mereka agar dapat melahirkan satu pendekatan baru untuk menangani cabaran masa depan.

Budaya kecemerlangan perlu terus dipupuk untuk melahirkan lebih banyak output yang berkualiti. Dengan cara ini Unit Perancang Ekonomi akan terus menjadi agensi yang akan memimpin perancangan ekonomi negara.

9. Sebagai mengakhiri ucapan saya, sekali lagi ingin saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada mereka yang berjaya dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang Tahun 1999. Saya berharap anugerah yang akan disampaikan selepas ini akan mendorong pegawai dan kakitangan untuk terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan menambah rasa tanggungjawab kepada Unit ini khususnya dan negara amnya.

10. Semoga anugerah yang diterima oleh mereka juga memberi perangsang dan mendorong pegawai dan kakitangan lain berusaha meninggikan mutu perkhidmatan, sesuai dengan moto UPE iaitu MERANCANG KE ARAH KECEMERLANGAN.

Sekian. Terima kasih.

Kami menerima 4,468,184 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri