Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS KHIDMAT BAKTI 2/2000
Lokasi : HOTEL NIKKO, KUALA LUMPUR
Tarikh : 01-11-2000
 
Pengacara majlis, Dif-dif yang diraikan, Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian.

Assalamualaikum wrbt dan salam sejahtera.

Saya amat berbesar hati dan amat berterima kasih atas kesudian saudara-saudari melapangkan waktu untuk hadir sama dalam majlis yang istimewa pada malam ini. Majlis ini istimewa kerana kita sebenarnya meraikan tetamu yang selama ini telah mencurah bakti kepada perkhidmatan dan negara. Mereka adalah sebahagian daripada pengurus dan pemimpin perkhidmatan awam yang kini harus berpisah setelah memanfaatkan minda, tenaga dan usia mereka kepada kerajaan. Majlis ini juga meraikan pegawai- pegawai kanan yang dinaikkan pangkat ke jawatan lebih tinggi.

2. Kepada tetamu yang telah dan akan bersara, perjumpaan ini sudah tentu akan mengingatkan mereka kepada pengalaman serta pahit manis dalam Perkhidmatan Awam. Yang lebih penting ialah ilmu dan pengalaman yang telah dikumpul dan diperkayakan sepanjang perkhidmatan dengan Kerajaan. Ia amat bernilai dan menjadi sumber kekuatan yang amat berharga dalam menempuh cabaran di alam persaraan. Namun ia menjadi sia-sia jika tidak dimanfaatkan. Dengan itu saya mengambil kesempatan ini untuk mempelawa rakan-rakan kita untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada dan negara.

Hadirin sekalian,

3. Setelah beberapa kali saya menghoskan majlis yang serupa, saya tetap dapat menyaksikan raut wajah dan mood yang berbeza, terutama di kalangan mereka yang akan bersara. Ada yang kelihatan tenang dan bersahaja, dan ada pula yang nampak gembira dan jovial. Bagi sesetengah orang pula saat-saat menunggu persaraan merupakan satu detik yang mendebarkan.

4. Harapan saya, tidak ada di kalangan kita di sini yang terlalu terbawa-bawa dengan perasaan gusar atau dihantui dengan pelbagai gambaran yang mencemaskan. Anggaplah persaraan sebagai satu lagi peringkat yang perlu dilalui dalam perjalanan hidup kita, sebagaimana kata Allen Lagarbo, "Christmas, weddings, funerals, graduations, retirements, and births are like speed bumps in life; we slow down, look around, think about our lives, and then once over the bump, we speed up to our usual pace." Jika kita bersetuju dengan kata-kata ini, kita akan terdorong untuk meneruskan kehidupan harian secara aktif, dan ini boleh menghilangkan pelbagai kegusaran termasuk, kerisauan tentang umur yang semakin meningkat. Bob Hope, pelawak terkenal, membuat ukurannya sendiri mengenai umur; katanya, "You know you are growing old when candles cost more than the cake."

5. Salah satu cara untuk mengurangkan tekanan menjelang persaraan ialah dengan mengadakan perancangan awal. Saya tidak pasti, berapa ramai antara kita yang membuat persediaan rapi sebelum bersara. Tetapi terdapat pandangan yang menganggap persaraan tidak perlu dirancang. Saya petik di sini beberapa kenyataan dari buku Comfort Zone, oleh Elwood N. Chapman, yang saya rasa amat relevan untuk kita sama-sama fikirkan.

6 . Pertama adalah pendapat daripada mereka yang menganggap persaraan adalah sesuatu yang tidak perlu dirisaukan. Kata mereka "My retirement plan consists of putting all my work problems in my briefcase and presenting them to my boss as a farewell gesture." dan "Retirement is a pot of gold at the end of rainbow. You don't have to plan for something that beautiful."

7. Pandangan seterusnya mungkin menarik kepada pagawai wanita dan isteri-isteri pesara. Bunyinya begini: "Some people, often women themselves, continue to believe that only men retires. This misconception ignores career women who have the same retirement adjustment problem that men have. Also, it falsely assumes that women not holding down 9-to-5 jobs cannot retire. This may stem from an old saying, `A man's work is from sun to sun, but a women's work is never done'. Homemakers often have a more difficult voyage than those who retire from jobs. Women who have been homemakers all their lives need to insist on being a full partner when their spouses retire."

8. Petikan selanjutnya pula ditujukan kepada suami yang bersara, supaya lebih berhati-hati. Katanya: "The word has been out for years that some men put off retirement because they fear their wives will control their free hours. It will be `Honey, do the dishes,' and `Honey, do the windows. Normally these individuals need not worry because most women don't want someone underfoot, monitoring their activities and invading their space. One wife expressed it well: `The only time you will never hear me use honey-do expression is when I say `Honey, do something on your own, away from the house, so we can both have room to breathe." Spouses need the same autonomy after retirement that they did before, may be more." 9. Petikan terakhir adalah pandangan mengenai tanggapan bahawa mereka yang memegang jawatan tinggi dan berjaya sebelum bersara lebih mudah untuk berjaya selepas bersara, seperti kata-kata, success breeds success; failure breeds failures. Mengikut Chapman, tanggapan ini meleset. Katanya, "Those who earned high psychic rewards from their careers may have trouble finding replacements after retirement. It may be difficult to find a retirement role that provides enough ego satisfaction." Saya tinggalkan kepada anda semua untuk menilai sama ada pandangan ini betul atau sebaliknya. Tetapi yang jelas daripada petikan-petikan di atas ialah persediaan sebelum persaraan adalah penting untuk menentukan kejayaan selepas bersara. Saya percaya bagi kebanyakan rakan kita yang bersara ini mereka telah pun ada rancangan sendiri. Ada yang akan berpindah majikan atau menjadi majikan. Ada pula yang lebih selesa to mend and make amendment. Oleh itu jadikan persaraan sebagai persaraan kreatif dengan melakukan sesuatu yang memberi kepuasan serta berfaedah kepada masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian,

10. Perkhidmatan Awam akan kehilangan sekumpulan lagi pegawai kanan yang berkebolehan dan berpengalaman. Kita amat menghargai jasa mereka dan pada masa yang sama berharap agar mereka akan terus mengingati, mendampingi dan memberi sumbangan kepada perkhidmatan kita, mengikut kemampuan masing-masing. Sesungguhnya khidmat bakti yang ditabur akan terus berkembang dan mewangi, di mana sahaja kita berada dan apa pun bidang yang kita ceburi "The fragrance always remains in the hand that gives the rose." Budi dan jasa tuan-tuan tidak terbalas dengan emas-perak. Kita doakan agar ia diterima sebagai amal jariah.

Pisang emas di bawa belayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi di bawa mati.

11. Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

Begitulah lumrahnya. Bersama-sama kita malam ini adalah pemimpin-pemimpin baru yang akan meneruskan usaha dan mempastikan kesinambungan kecemerlangan perkhidmatan awam. Sememangnya masa depan membawa bersama pelbagai cabaran yang semakin sukar ditangani. Percaturan ekonomi antarabangsa dengan gagasan globalisasi dan liberasi perdagangan sejagat perlu dihadapi dengan penuh hikmah dan bijaksana. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT semakin pantas menjanjikan pelbagai peluang untuk direbut. Sebaliknya kepesatan ICT akan meminggirkan mereka yang lemah dan lengah.

Dengan itu agenda penting yang memerlukan tindakan berterusan ialah meningkatkan keupayaan diri dan organisasi agar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia. Ini perlu diteguhkan dengan pegangan dan amalan nilai dan etika yang menjurus kepada keutuhan yang tinggi. Matlamat akhirnya ialah untuk menyediakan sebuah perkhidmatan awam yang utuh dan cemerlang yang berupaya membantu negara menggerakkan semula pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

12. Untuk terus berjaya, kita harus berupaya mengadakan perancangan yang lebih strategik dan mengatur tindakan- tindakan baru yang mungkin berbeza dengan yang pernah kita laksanakan. Di sini saya ingin ulangi saranan yang pernah saya ajukan di majlis yang sama sebelum ini.

Pada majlis tersebut saya telah menekankan betapa perlunya tumpuan diberi kepada usaha mensejajarkan perkhidmatan awam dengan peralihan paradigma ekonomi masa depan yang menuju ke arah k-ekonomy. Untuk ini, kita perlu melihat semula keseluruhan dimensi pentadbiran dan pengurusan termasuk peranan, struktur, sistem, peraturan dan prosedur. Proses ini memerlukan kita lebih terbuka dan bersedia serta berani membuat perubahan dengan cepat, malah sebahagiannya mungkin lebih drastic daripada sebelumnya. Kita juga harus benar- benar fokus kepada pembangunan sumber manusia di semua peringkat agar berupaya menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan. Akhirnya jangan kita lupa bahawa perubahan hanya boleh berlaku sekiranya kita semua, secara kolektif, menerima dan komited untuk melaksanakan. Antara perubahan baru ini sudah tentu akan melibatkan perubahan kepada cara dan kaedah yang kita telah amalkan begitu lama, seperti cara kita bekerja; cara kita berhubung dan berinteraksi sesama kita atau dengan pihak-pihak luar; atau gaya pengurusan dan kaedah membuat keputusan. Ini bermakna, kita perlu sanggup mengalih minda kita untuk mengubah kelaziman, tabiat, malah budaya kerja kita supaya sejajar dengan keperluan dan tuntutan paradigma pentadbiran dan pengurusan era maklumat dan ilmu.

Hadirin sekalian

13. Saya tidak berhajat untuk mengeruhkan majlis yang ceria ini dengan mesej dan gambaran yang boleh merisaukan. Cukup sekadar mengingatkan bahawa kenaikan pangkat membawa bersama tanggungjawab dan akauntabiliti yang semakin tinggi. Saya yakin bahawa sebagai pegawai yang senior dan mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang, tuan-tuan berupaya untuk memikul tanggungjawab dan menyempurnakan amanah yang diserahkan.

14. Akhirnya marilah kita sama-sama mendoakan kebahagiaan dan kejayaan kepada rakan-rakan kita yang telah dan akan memulakan penghidupan atau kerjaya baru selepas bersara. Tidak lupa, sekalung penghargaan kepada isteri dan suami yang selama ini begitu setia mengharungi hidup bersama serta tabah memberi sokongan dan dorongan kepada pasangan masing-masing. Kepada pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya.

15. Sekian, wasallam mualaikum wbt

Kami menerima 6,884,843 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri