Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL MS 1S0 9001 KEPADA KOLEJ TENTERA LAUT DI RAJA KD PELANDOK
Lokasi : LUMUT, PERAK
Tarikh : 21-07-2000
 
Y.Bhg. Dato' Hashim bin Meon Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan

Y.Bhg. Laksamana Madya Dato' Seri Abu Bakar bin Abdul Jamal Panglima Tentera Laut

Panglima-panglima, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan,

Tuan- tuan dan Puan-puan Sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Tentera Laut Di Raja Malaysia kerana menjemput saya untuk menyampaikan Sijil MS ISO 9001 kepada Kolej Tentera Laut Di Raja KD Pelandok.

2. Saya merasa sungguh bangga bahawa Kolej Tentera Laut Di Raja KD Pelandok, seperti agensi-agensi Kerajaan yang lain, turut mempertingkatkan sistem pengurusan kualiti dengan memperolehi pensijilan MS ISO 9001 selaras dengan hasrat Kerajaan.

3. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Kolej Tentera Laut Di Raja KD Pelandok khasnya dan TLDM amnya kerana telah dipersijilkan MS ISO 9001 oleh pihak MAMPU dalam skop pendaftaran "Rekabentuk, Pembangunan dan Penyampaian Program Latihan Kepakaran dan Kerjaya Tentera Laut Di Raja Malaysia" yang termaktub dalam rancangan latihan tahunan.

4. Pensijilan ini mencerminkan Kolej Tentera Laut Di Raja KD Pelandok mempunyai satu sistem kualiti yang menyeluruh bagi mengendalikan kursus dan latihan TLDM.

Kursus latihan yang berkualiti bukan sahaja penting bagi menghasilkan anggota-anggota dan pegawai-pegawai TLDM yang cekap, berdisiplin serta berwibawa, tetapi juga amat penting bagi memastikan TLDM kekal sebagai sebuah organisasi yang dapat memikul tanggungjawabnya dalam pertahanan negara secara effektif setiap masa.

5. Kursus dan latihan yang diberi mestilah komprehensif, merangkumi bukan sahaja kepakaran dalam bidang tertentu, tetapi juga pembangunan fizikal dan mental yang sama tinggi mutunya. Pembentukan sikap yang positif yang diterapi dengan nilai-nilai murni seperti bersih, jujur, amanah, dan bertanggungjawab, mestilah diberi perhatian yang serius. Anggota-anggota TLDM, sama seperti anggota-anggota pasukan lain dalam AngkatanTentera Malaysia, mestilah menghayati nilai- nilai ini sepanjang masa kerana nilai-nilai ini bukan sahaja dapat menjamin keutuhan diri serta organisasi, bebas dari unsur-unsur negatif seperti penyelewengan, dan rasuah, tetapi juga akan meningkatkan semangat berpasukan, kata sepakat, kerjasama dan perpaduan ke arah mencapai objektif TLDM memelihara keselamatan serta kedaulatan negara. Sebagai kakitangan Kerajaan, tuan-tuan adalah dikehendaki berpegang teguh kepada prinsip taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Kerajaan yang memerintah. Sebagai kakitangan Kerajaan tuan-tuan mestilah menjalankan tugas selaras dengan arahan dan dasar Kerajaan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang menentang Kerajaan.

Aktivit-aktiviti bertujuan menjatuhkan imej Kerajaan atau menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Kerajaan bolehlah dianggap sebagai mengkhianati negara dan bertentangan dengan prinsip taat setia yang perlu dipegang oleh tiap-tiap anggota Perkhidmatan Awam termasuk Angkatan Tentera Malaysia.

6. Sejak kebelakangan ini terdapat usaha dari pihak- pihak tertentu untuk mempengaruhi pegawai-pegawai Kerajaan, termasuk anggota ATM, untuk menentang Kerajaan dengan memburuk-burukkan peranan Kerajaan serta menyebar berbagai fitnah terhadap pemimpin Kerajaan dengan tujuan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Kerajaan. Peristiwa di Sauk baru-baru ini dikatakan oleh pihak-pihak tersebut sebagai satu sandiwara yang melibatkan pihak Tentera dan Polis. Anggapan ini adalah kejam dan jahat yang bertujuan menjatuhkan imej pasukan keselamatan kita. Negara kita tidak pernah bersandiwara dengan nyawa manusia.

Pasukan keselamatan kita mempunyai rekod yang cukup cemerlang bagi mempertahankan keamanan dan keselamatan di dalam dan di luar negeri, menyelamat nyawa manusia dan bukan bersandiwara dengan membunuh orang yang tak bersalah. Rekod ini menjadi kebanggaan kita semua.

Saya berharap bahawa tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa berwaspada dan tidak dipengaruhi oleh dakyah- dakyah ini, dan samasekali tidak terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang mengancam keamanan dan kestabilan negara. Keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini sebahagian besar adalah hasil dari perpaduan di kalangan semua anggota Perkhidmatan Awam termasuk ATM dan kepatuhan kita kepada prinsip taat setia kepada Kerajaan yang memerintah. Janganlah kita samasekali berganjak dari prinsip ini, iaitu prinsip yang telah memberi kita kekuatan dan kejayaan yang cemerlang..

7. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada Kolej Tentera Laut Di Raja KD Pelandok khasnya dan TLDM amnya atas pensijilan MS ISO 9001 pada majlis yang sungguh bermakna ini. Saya berharap kejayaan ini akan mendorong lain-lain bahagian dalam ATM untuk berusaha mendapatkan persijilan dan pengiktirafan yang sama.

Sekian, terima kasih.

Kami menerima 6,690,512 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri