Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : UPACARA MENANDATANGANI PERJANJIAN REKABENTUK DAN BINA KUARTERS KERAJAAN
Lokasi : PUTRAJAYA
Tarikh : 15-08-2000
 
Yang Berbahagia Tan Sri, Datuk-Datuk,

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Majlis Menandatangani Perjanjian Rekabentuk Dan Bina Kuarters Kerajaan di Putrajaya pada petang ini merupakan satu lagi detik sejarah penting dalam pembangunan Putrajaya. Perjanjian ini yang melibatkan penyediaan rekabentuk dan pembinaan 5,794 Kuarters bagi pegawai Kerajaan sehingga tahun 2002 akan memberi kemudahan perumahan bagi lebih kurang 28,970 orang pegawai dan ahli keluarga. Apabila siap nanti, kuarters-kuarters ini bukan saja akan menambahkan lagi penduduk di Putrajaya, tetapi akan menjadikan bandar bistari ini satu tempat yang aktif dan ceria. Pembangunan 5,794 kuarters merupakan hanya sebahagian dari keperluan sebenar pegawai-pegawai Kerajaan, kerana jumlah yang diperlukan adalah lebih dari itu.

Menjelang tahun 2001, seramai 7,600 orang kakitangan dari 13 agensi akan berpindah ke Parcel C dan D, dan kebanyakan mereka ingin tinggal di Putrajaya. Oleh itu tanggungjawab Putrajaya Holdings untuk menyediakan rumah-rumah dan kemudahan bagi kakitangan Kerajaan secukupnya adalah satu tanggungjawab yang cukup berat. Saya berharap bahawa Putrajaya Holdings boleh mempercepatkan pembinaan kuarters berkenaan supaya bukan saja keperluan pegawai-pegawai dapat dipenuhi, tetapi juga Putrajaya dapat berkembang dan menjadi suatu bandar yang selesa dan serba lengkap.

2. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.Bhg. Dato' Hashim Hassan dan pegawai-pegawainya yang telah bekerja keras bagi melaksanakan pembinaan infrustruktur dan juga bangunan-bangunan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk membangun Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang canggih dan modern, bukan sahaja untuk pegawai-pegawai yang ada sekarang, tetapi juga untuk generasi yang akan datang.

3. Sebagai satu pusat pentadbiran yang berkonsepkan Bandar Dalam Taman, saya percaya Putrajaya Holdings akan memberi perhatian yang sewajarnya kepada bukan saja keindahan alam sekitar di Putrajaya, tetapi juga kepada kesempurnaan rekabentuk dan kualiti bangunan- bangunan yang dibangunkan. Harapan Kerajaan adalah supaya Putrajaya Holdings akan menjadi sebuah bandar contoh, yang akan mempengaruhi perancangan dan bentuk bandar-bandar lain di negara ini.

4. Apa yang dibangunkan oleh Putrajaya setakat ini adalah menggalakkan. Pegawai-pegawai yang menghuni apartment yang telah siap semuanya merasa amat bertuah dapat tinggal di sini. Namun demikian saya percaya beberapa aspek dari segi rekabentuk dan kualiti boleh diperbaiki lagi.

5. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Putrajaya Holdings atas kejayaannya. Semoga tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya bagi membangun bandar Putrajaya dapat dilaksanakan dengan jayanya, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikannya sebagai sebuah bandar bistari dan bandar contoh yang tidak ada tolok bandingnya di negara ini.

Sekian, terima kasih.

Kami menerima 6,884,903 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri