Bismillahirrahmanirrahim,
Saudara Pengacara Majlis, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Samsudin Osman, Ketua Pengarah, Perkhidmatan Awam Malaysia,
Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid dan Puan Sri Y.Berusaha Dr. Zulkarnain Haji Awang, Pengarah INTAN Dif-dif Kehormat,
Para Graduan yang diraikan,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera.
Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada INTAN kerana sekali lagi telah memberi penghormatan kepada saya untuk berucap dan menyampaikan Sijil Diploma kepada pegawai- pegawai yang baru tamat latihan di sini dan juga bagi menyampaikan Anugerah Fellow INTAN bagi tahun 2000. Penyampaian Diploma Pengurusan Awam, Diploma Pengurusan Maklumat serta Anugerah Fellow INTAN melambangkan dinamisme (dynamism) serta kekuatan Perkhidmatan Awam sendiri, iaitu penyuntikan darah baru ke dalam tubuh Perkhidmatan Awam, latihan dan peningkatan kemahiran serta sistem pengiktirafan dan penghargaan yang wujud di dalam Perkhidmatan Awam. Dinamisme inilah yang telah menjadikan Perkhidmatan Awam kita satu Perkhidmatan Awam yang cekap dan sentiasa relevan kepada negara dari dahulu hingga sekarang. Majlis pada pagi ini jelas melambangkan juga bahawa walaupun kita mendapat tenaga baru dalam Perkhidmatan Awam, kita tidak lupa kepada mereka yang telah memberi khidmat cemerlang kepada rakyat serta berbakti kepada Perkhidmatan Awam.
2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pegawai yang akan menerima diploma mereka hari ini. Semoga latihan yang diperolehi di INTAN ini dapat menyediakan diri mereka untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dalam Perkhidmatan Awam. Kepada para pegawai yang akan menerima Diploma Pengurusan Awam, ingin saya peringati bahawa latihan yang diterima di INTAN adalah latihan asas semata-mata. Mereka perlu meningkatkan kemahiran serta kebolehan mereka menerusi latihan-latihan tambahan samada yang dianjurkan oleh Kerajaan mahupun melalui inisiatif sendiri. Dalam era IT ini, peluang untuk meningkatkan ilmu dan kepakaran melalui usaha sendiri atau self-directed learning adalah luas terbuka. Mereka yang mengambil peluang ini sudah tentu akan mendapat banyak manfaat dan besar kemungkinan akan mendahului rakan-rakan mereka yang lain dari segi kemajuan kerjayanya.
Para hadirin sekalian,
3. Kita telah menyaksi bagaimana pantas dan cepatnya perubahan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial di tahun- tahun yang lampau akibat revolusi IT dan proses globalisasi. Politik antarabangsa telah banyak berubah. Ekonomi dunia juga telah banyak berubah. Persekitaran kerja juga berubah. Semua ini membawa kesan yang besar ke atas Perkhidmatan Awam. Pegawai-pegawai Kerajaan terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ini. Di tahun- tahnun yang akan datang, lagi banyak perubahan dijangka akan berlaku, hasil kemajuan teknologi, globalisasi dan penggunaan IT yang lebih pesat. Oleh itu Perkhidmatan Awam mesti menjadi lebih agile dan flexible, yang memerlukan kesediaan pegawai-pegawai menerima perubahan dan membuat penyesuaian dengan pantas supaya terus relevan dan sesuai dengan keadaan zaman. Tanpa penyesuaian ini tidak mungkin Perkhidmatan Awam dapat memberi perkhidmatan yang baik dan cekap kepada rakyat yang lebih celek dan lebih berpengetahuan. Oleh itu, peningkatan ilmu dan latihan secara berterusan menjadi sesuatu yang kritikal.
4. Perkhidmatan Awam Malaysia telah mencapai banyak kejayaan sejak merdeka dan peranannya disanjung tinggi oleh masyarakat. Walaupun kadangkala terdapat kritikan yang dituju kepada pegawai Kerajaan mahupun organisasi tertentu, secara keseluruhannya pencapaian Perkhidmatan Awam adalah menyerlah. Perkhidmatan Awam berjaya memajukan negara kita dari sebuah negara membangun biasa kepada sebuah negara membangun yang paling maju dan stabil, dari sebuah negara yang bergantung kepada satu dua komoditi tertentu kepada negara perindustrian yang canggih. Hari ini perdagangan Malaysia adalah yang ke-17 terbesar di dunia. Perkhidmatan Awam juga telah berjaya mengatasi ancaman dari dalam dan luar negeri seperti ancaman komunis dan konfrantasi Indonesia. Tetapi kemakmuran dan kestabilan yang zahir pada hari ini bukanlah semata-mata hasil sumbangan Perkhidmatan Awam sahaja. Tidak mungkin kejayaan ini dicapai sepenuhnya tanpa kestabilan politik dan kepimpinan politik yang dinamik, pragmatik dan adil yang dapat menyatu- padukan rakyat dari berbilang kaum dan bangsa. Inilah rahsia kejayaan negara kita. Adalah jelas bahawa kerjasama rapat antara Perkhidmatan Awam dan kepimpinan politik khususnya Kerajaan yang memerintah, menjadi tunggak kepada kemajuan dan kestabilan negara. Saya berharap semua pegawai akan sentiasa ingat faktor ini dan dengan itu memegang teguh prinsip kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Kerajaan yang memerintah demi kemakmuran dan keamanan negara serta kewibawaan Perkhidmatan Awam sendiri.
5. Banyak yang diperkatakan tentang cabaran-cabaran kepada Perkhidmatan Awam di Alaf Baru. Pegawai-pegawai kita telah berjaya menghadapi berbagai cabaran di tahun- tahun lampau sejak kemerdekaan. Saya yakin pegawai- pegawai sekarang dan yang akan datang dapat menghadapi apa jua cabaran baru yang akan timbul. Walaupun ada perubahan dan penyesuaian yang perlu dibuat oleh pegawai, penerapan dan amalan nilai-nilai murni perlu dipegang dan dipertahankan tanpa kompromi. Nilai murni yang dibahagikan kepada nilai teras, iaitu amanah, benar, bijaksana, adil, telus dan bersyukur, dan nilai kembangan iaitu nilai-nilai lain yang sesuai dan relevan dengan kepakaran dan operasi sesuatu organisasi, mestilah dijadikan pegangan oleh setiap pegawai dalam apa keadaan sekalipun bagi menjamin keutuhan individu dan organisasi, meningkat kualiti dan produktiviti dan mengelak penyelewengan, salah laku dan rasuah.
Kerajaan memandang berat sebarang tingkah laku yang menjejas keutuhan pegawai mahupun organisasi, dan telah mengarahkan supaya tindakan tatatertib yang lebih berkesan diambil terhadap pegawai-pegawai yang berkenaan. Jabatan Perkhidmatan Awam telah diminta mengkaji semula prosidur tatatertib supaya tindakan tegas dan konsisten dapat diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan. Saya berharap semua anggota Perkhidmatan Awam akan sentiasa menjaga nama baik perkhidmatan kita agar kedudukannya yang dihormati dan disanjung oleh masyarakat tidak tercemar. Perkhidmatan Awam bukanlah tempat bagi seseorang yang mementingkan semata-mata kuasa dan wang, tetapi adalah bagi mereka yang sanggup berkhidmat untuk bangsa dan negara. Kepuasannya berkhidmat dengan Kerajaan datangnya dari keupayaan dan kejayaan kita memberi perkhidmatan yang baik yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa gaji dan elaun itu penting, tetapi itu tidak seharusnya menjadi pertimbangan utama kerana Kerajaan negara kita selama ini amat prihatin dan responsive terhadap kesejahteraan dan kebajikan pegawai-pegawai. Sudah beberapa kali gajian dan kemudahan yang diberi kepada semua pegawai dikaji semula. Kita juga mempunyai salah satu system pencen yang terbaik di dunia. Saya percaya bahawa jika negara semakin maju dan sumbangan pegawai-pegawai kepada kemajuan ekonomi negara meningkat, Kerajaan rela menimbangkan kemudahan yang lebih baik lagi di masa hadapan.
Para hadirin sekalian,
6. Pada majlis ini juga, kita turut berbangga kerana dapat meraikan seorang tokoh yang berwibawa lagi terkenal bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga diiktiraf di arena antarabangsa. Tokoh ini ialah Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid yang telah menunjukkan prestasi `par excellence' sebagai seorang pentadbir dan pemimpin Perkhidmatan Awam. Beliau bukan sahaja mencurahkan banyak jasa dan khidmat baktinya kepada negara, tetapi telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Tan Sri Dato' Seri Ahmad Sarji telah dilantik memegang jawatan-jawatan penting sejajar dengan pengalaman dan sumbangan beliau yang besar kepada Perkhidmatan Awam dan negara. Yang terakhir sekali ialah beliau dilantik menjadi Pengerusi, Majlis Perundingan Ekonomi Negara II (MAPEN II).
Di peringkat antarabangsa pula, beliau turut menunjukkan kecemerlangan dan kemampuan seorang anak Malaysia sehingga berjaya dilantik sebagai Presiden, Commonwealth Association for Public Administration and Management (CAPAM). Saya sendiri banyak terhutang budi kepada Tan Sri atas tunjuk ajar dan bimbingan yang diterima dari beliau sewaktu beliau masih dalam Perkhidmatan Awam.
7. Di sini saya, bagi pihak Perkhidmatan Awam keseluruhannya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Y.Bhg. Tan Sri Dato' Seri Ahmad Sarji bin Abdul Hamid kerana terpilih untuk menerima anugerah INTAN Fellow bagi tahun 2000. Semoga Allah memberi beliau kekuatan dan iltizam serta kesihatan yang baik dalam meneruskan khidmat baktinya kepada negara.
8. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya meningkuti kursus Diploma Pentadbiran Awam dan Diploma Pengurusan Maklumat dengan jayanya.
Adalah menjadi harapan saya agar graduan-graduan baru dapat berkhidmat kepada negara dengan penuh dedikasi dan komitmen, selaras dengan pengharapan dari rakyat dan Kerajaan. Akhir sekali, saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga ke arah menjayakan majlis hari ini.
Sekian,, Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |