Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin yang sudi melapangkan waktu untuk bersama-sama kita pada malam ini untuk meraikan pegawai-pegawai yang telah dan akan bersara, serta pegawai-pegawai yang telah dinaikkan pangkat baru-baru ini.
2. Sepatutnya majlis ini diadakan pada akhir tahun lalu, tetapi oleh sebab pilihanraya umum serta sebab- sebab lain yang tidak dapat dielakkan, maka baru malam ini saja dapat kita mengadakan majlis ini. Namun demikian, saya kira tidaklah terlalu lambat bagi kita untuk mengucapkan kepada pesara-pesara ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat bakti, sokongan dan bantuan yang mereka telah berikan kepada Kerajaan dan negara selama rata-rata 30 tahun atau lebih.
3. Bagi 37 pesara yang kita raikan dan kenangkan malam ini, perkhidmatan mereka dengan Kerajaan meliputi satu tempoh yang cukup mencabar. Era mereka melihat, antara lain, ketegangan kaum berikutan peristiwa 13 Mei 1969, recessi tahun 1985 - 86 dan terakhir sekali kegawatan ekonomi tahun 1997 -1998. Selain itu, timbul juga cabaran berikutan liberalisasi ekonomi dan politik dunia, serta ledakan IT yang memerlukan pengubahsuaian dalam cara perkhidmatan awam berfungsi dan beroperasi.
Kita berasa amat megah dan bangga Perkhidmatan Awam kita telah berjaya menghadapi cabaran-cabaran itu dengan cemerlang. Perkhidmatan Awam bersama kepimpinan politik yang dinamik dan adil bukan saja dapat mengembalikan kepercayaan dan persefahaman antara kaum di negara ini selepas tragedi 13 Mei, tetapi, bahkan dapat membangun negara ke taraf negara membangun yang termaju dan stabil. Seterusnya dalam keadaan ekonomi yang gawat pada tahun 1985/86 dan 1997/98, pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam kita sanggup bite the bullet dan tighten the belt dan terus memberi khidmat yang cemerlang bagi meneruskan program pembangunan negara.
Semua ini dapat dilaksanakan kerana kita mempunyai pegawai-pegawai yang komited dan professional dalam Perkhidmatan Awam. Antara mereka adalah pegawai-pegawai kanan yang kini menjadi pesara yang kita raikan. Mereka bukan saja menjadi pemimpin dan pemikir dalam Perkhidmatan Awam, tetapi adalah guru serta sumber inspirasi kepada pegawai-pegawai muda yang satu hari nanti akan mengambil alih kepimpinan Perkhidmatan Awam kita. Oleh itu amatlah wajar kita berikan pengiktirafan dan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka, disertai doa semoga mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, dan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi - Jasamu tetap dikenang.
4. Persaraan merupakan satu tahap baru dalam kehidupan seseorang manusia. Kebanyakan dari kita akan mengekalkan ciri-ciri personaliti dan kemahiran yang diperolehi sebelum ini. Yang membezakannya adalah sikap kita dalam menghadapi persaraan. Jika kita berpandangan positif, persaraan tidak menimbulkan masalah, malah mungkin lebih menyeronokkan. Kita akan melihat bahawa peluang untuk terus aktif sentiasa wujud. We have a new role to play. Or, we are free to enjoy new adventures.
And we have more time for creative accomplishment, cultural events or golf. Walaupun cabaran masih perlu dihadapi, ianya lebih mudah ditangani berbanding dengan seorang yang pasimis. Namun ini tidak bermakna perilaku dan sikap seseorang tidak boleh berubah. Kita mungkin pernah melihat antara rakan kita yang berubah selepas bersara. Kata seorang bekas pakar perunding dan penulis, "sometimes, people with a negative outlook earlier in life `come into their own' after retirement.
They find a way to make up for things they didn't accomplish earlier. But becoming a `late bloomer' is not easy. The opportunity is present, but it takes determination and self-discipline to change".
5. Saya percaya, kita semua ingin menggunakan tempoh persaraan dengan sesuatu yang bukan sahaja memberi kepuasan kepada diri dan keluarga, tetapi juga memanfaatkan masyarakat dan negara. Dengan itu saya berharap saudara-saudara akan terus memberi sumbangan ke arah ini. Umur "50 plus" belumlah boleh dikatakan "tua". Usia bukanlah merupakan batu penghalang bagi seseorang untuk memberikan khidmat yang lebih cemerlang. Saya yakin saudara-saudara berupaya untuk melaksanakannya kerana saudara-saudara merupakan orang yang pernah berjaya dan berjasa. Walaupun Perkhidmatan Awam akan kehilangan pegawai-pegawai kanan yang berpengalaman, ia tidak bermakna berakhirnya sumbangan saudara-saudara kepada perkhidmatan, negara dan bangsa, tidak kira apa bentuk sumbangan yang diberi. Saudara- saudara mungkin boleh menjadi pemangkin kepada pelbagai usaha Kerajaan dalam melaksanakan program-program tertentu. Dengan kepesatan pembangunan ICT pada hari ini, usaha-usaha ke arah pengwujudan masyarakat bermaklumat merupakan asas penting bagi membantu melonjakkan pencapaian negara. Hubungan kerjasama di antara Kerajaan, pihak swasta dan komuniti akan dipertingkatkan. Inilah di antara ciri-ciri governance dalam era ICT. Untuk itu, sebagai bekas pegawai-pegawai Kerajaan, saudara-saudara mungkin dapat memainkan peranan dalam membantu Kerajaan merealisasikan hasrat ini.
6. Satu lagi sumbangan yang amat dialu-alukan ialah bagaimana pengalaman yang terkumpul selama berpuluh- puluh tahun boleh dimanfaatkan oleh pegawai-pegawai muda. Di sini saya ingin mencadangkan agar saudara- saudara dapat merakamkan kembali pengalaman-pengalaman yang dilalui bagi dijadikan panduan dan pedoman oleh pegawai-pegawai yang masih berkhidmat.
7. Bersama kita malam ini juga ialah pegawai-pegawai kanan yang telah dilantik bagi memegang jawatan yang lebih tinggi dan menerajui pelbagai kementerian dan jabatan. Penghormatan ini membawa bersama amanah besar yang perlu ditunai dengan penuh tanggungjawab. Selain menentukan kesinambungan kepada usaha-usaha yang ditinggalkan oleh seniors, saudara-saudara juga akan berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang lebih hebat.
Agenda penting yang tersedia ialah untuk mengekalkan kecemerlangan Perkhidmatan Awam agar terus berupaya membantu negara menggerakkan semula pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi. Tugas ini adalah lebih mencabar berbanding dengan sebelum ini kerana kita terpaksa menangani pelbagai isu kesan daripada globalisasi yang semakin ketara. Jika kita bijak mengahadapinya, ia menyediakan peluang yang paling besar kepada negara untuk terus menyerlah di arena antarabangsa. Sebaliknya jika kita gagal mengikut rentak perubahan yang pesat ini, ia akan menjadi ancaman yang paling bahaya, sehingga boleh menggugat kedaulatan negara. Untuk berjaya, kita harus berupaya mengadakan perancangan yang lebih strategik dan mengatur tindakan-tindakan baru yang mungkin berbeza dengan yang pernah kita laksanakan.
8. Sebagaimana kita semua maklum, Kerajaan telah mengumumkan mengenai keperluan mengadakan pelan induk bagi k-ekonomi sebagai persediaan bagi menghadapi peralihan paradigma ekonomi masa depan. Perbincangan sedang berjalan melibatkan pelbagai pihak dan input serta kepakaran saudara-saudara tentunya akan diperlukan bagi maksud ini. Dalam konteks Perkhidmatan Awam tumpuan seharusnya diberi kepada melihat semula keseluruhan dimensi pentadbiran dan pengurusan termasuk peranan, struktur, sistem dan tidak kurang pentingnya, sumber manusia dengan matlamat untuk mensejajarkannya dengan keperluan menggerakkan k-ekonomi. Proses ini memerlukan kita lebih terbuka dan bersedia membuat perubahan. Kita mungkin perlu mentakrif semula peranan yang perlu di mainkan oleh Perkhidmatan Awam, menyusun semula struktur pentadbiran atau terus memperkenalkan sistem-sistem baru yang lebih sesuai dan cekap terutama dengan memanfaatkan kecanggihan ICT. Kita juga harus benar-benar fokus kepada pembangunan sumber manusia di semua peringkat agar berupaya menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan.
9. Saya jangka mesej tadi cukup sebagai mukadimmah kepada pemimpin-pemimpin baru kita. Saya tidak berhajat untuk mendalaminya di majlis ini kerana masih banyak forum untuk kita berjumpa dan berbincang. Apa yang penting ialah keperihatinan saudara-saudara kepada tanggungjawab masing-masing di jawatan yang baru dan kesungguhan kita semua, secara kolektif untuk membawa Perkhidmatan Awam dan negara ke tahap kejayaan yang lebih tinggi.
10. Bagi mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan selamat menjalani hidup baru bagi mereka yang bersara. Bagi pihak Perkhidmatan Awam dan Kerajaan saya merakamkan ucapan penghargaan atas sumbangan saudara-saudara kepada perkhidmatan dan negara. Kita sama-sama berdoa agar saudara-saudara sentiasa sihat wal-afiat dan terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Bagi pegawai-pegawai yang baru dilantik ke jawatan lebih tinggi, sekali lagi di ucapkan tahniah dan selamat maju jaya.
Burung merpati terbang melayang; Terbang tinggi membelah angkasa; Harimau mati meninggalkan belang; Hidup manusia menabur jasa; Tarik temali di pagi hari; Tali dibuat mengikat mengkuang; Patah ` kan tumbuh, hilang berganti; Bulatkan tekad dalam berjuang.
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh .
|