Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI ABDUL HALIM BIN ALI
Tajuk : MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM
Lokasi : AUDITORIUM, INTAN BUKIT KIARA KUALA LUMPUR
Tarikh : 24-02-2000
 
Y.A.B. Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia

Y.Bhg. Tan Sri Dato' Samsudin bin Osman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri,

Dato'-Dato' Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Asalammualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu sukacita saya mengucapkan selamat datang dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri kita kerana sudi meluangkan masa pada pagi ini untuk menyampaikan amanat beliau kepada Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan seterusnya mengadakan sesi dialog bersama mereka.

2. Kehadiran YAB Dato Seri di Majlis pada pagi ini sesungguhnya melambangkan komitmen pucuk pimpinan Kerajaan terhadap usaha-usaha yang diambil untuk meningkatkan prestasi Perkhidmatan Awam ke arah pencapaian Wawasan 2020. Di samping itu, kehadiran YAB Dato Seri di Majlis ini juga merupakan satu tanda penghargaan kepada anggota-anggota Perkhidmatan Awam di atas sokongan dan sumbangan mereka terhadap usaha-usaha memajukan pembangunan negara.

3. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai kanan Kerajaan yang dapat hadir pada pagi ini untuk mendengar amanat yang akan disampaikan oleh YAB Perdana Menter, di samping mengambil kesempatan untuk mempertingkatkan kefahaman masing-masing terhadap isu-isu penting yang berkaitan dengan dasar-dasar utama Kerajaan dan Perkhidmatan Awam di alaf baru. Sebagai pelaksana dasar-dasar Kerajaan, pegawai-pegawai Kerajaan perlu memahami dan mengetahui latar belakang dan sebab- sebab dasar-dasar tertentu dibuat. Tanpa kefahaman dan tafsiran yang tepat, pelaksanaan dasar-dasar dan rancangan-rancangan Kerajaan mungkin menjadi tidak sempurna dan matlamatnya mungkin tidak akan tercapai.

4. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada INTAN di atas inisiatifnya untuk menganjurkan Majlis ini. Peluang yang ada ini sehausnya dimanfaatkan termasuklah menghayati amanat dan mengadakan perbincangan terbuka dengan YAB Perdana Menteri. Saya bangga kerana ia merupakan satu lagi contoh bagaimana Perkhidmatan Awam sentiasa berusaha untuk mempereratkan perhubungan dan mempertingkatkan kesefahaman di antara anggota-anggotanya dengan Kerajaan.

5. Sepertimana yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, pilihanraya umum telah selesai pada akhir tahun yang lepas dan Kerajaan baru di bawah kepimpinan YAB Dato Seri telahpun ditubuhkan. Di samping itu, kita juga telah melangkah ke abad ke-21 dan alaf ketiga. Oleh itu, penganjur Majlis ini sesuai pada waktunya bagi kita mendengar amanat daripada YAB Dato Seri sendiri dan merenung semula tindakan-tindakan yang kita perlu ambil untuk meningkatkan lagi kewibawaan anggota-anggota Kerajaan serta tahap kecemerlangan Perkhidmatan Awam supaya dapat terus memainkan peranan aktif ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Sejak awal dekad 1980an hingga sekarang, di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri, Perkhidmatan Awam telah memperkenalkan berbagai program pembaharuan untuk memantapkan lagi peranan dan fungsinya. Pelaksanaan pembaharuan-pembaharuan ini di bawah Kerajaan kepimpinan YAB Dato Seri telah membawa mesej yang jelas kepada anggota-anggota Perkhidmatan Awam, iaitu, sentiasa bersedia serta mampu untuk berubah, selaras dengan arus perubahan sosial, ekonomi, politik dan teknologi semasa.

7. Saya percaya bahawa YAB Dato Seri adalah merupakan sumber inspirasi dan transformasi kepada anggota-anggota Perkhidmatan Awam di semua lapisan pada kedua-dua dekad yang lepas. Dan saya juga yakin bahawa YAB Dato Seri akan terus menjadi sumber inspirasi dan transformasi kepada anggota-anggota Perkhidmatan Awam di alaf dan abad yang baru ini. Oleh itu, amanat pagi adalah amat penting dan bermakna. Saya berharap tuan-tuan dan puan- puan tidak akan melepaskan peluang ini untuk menghayati amanat YAB Dato Seri dan seterusnya berdialog dengan harapan beliau supaya dapat terus mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kefahamanan kita mengenai dasar-dasar utama Kerajaan dan hala tuju Perkhidmatan Awam di alaf baru.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

8. Dengan harapan ini, saya dengan segala hormat dan sukacitanya menjemput YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri untuk menyampaikan amanat.

Sekian, terima kasih.

Kami menerima 6,884,868 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri