Saudara Pengerusi Majlis Y.Bhg. Datuk Dr. Yusof Basiron Yang Di Pertua Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia
Y.Bhg. Datuk Ir. Dr. Haji Ahmad Zaidee Laidin Naib Canselor Universiti Teknologi MARA
Y.Bhg. Dato' Abdul Halil Mutalib Pengerusi Biro Sukan Dan Sosial Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia
Y.Bhg. Dato' Dr. Sabree Salleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola
Y.Bhg. Dato'-Dato', Pegawai-pegawai Kanan Universiti Teknologi MARA,
Ahli-Ahli Jawatankuasa Persatuan Badan- badan Berkanun Malaysia
Tuan-tuan, Puan-puan dan para peserta sekelian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia khasnya Yang DiPertua Y.Bhg. Datuk Dr. Yusof Basiron yang sudi menjemput saya pada malam ini untuk merasmikan Karnival Sukan Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia yang merupakan kali yang pertama diadakan. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada Y.Bhg. Datuk Ir. Dr. Haji Ahmad Zaidee Laidin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA kerana bermurah hati menawarkan penggunaan stadium di Kampus UiTM Shah Alam untuk menganjurkan karnival sukan ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengelola yang mana tanpa pengorbanan dan komitmen mereka, penganjuran sulong karnival sukan ini mungkin tidak akan menjadi kenyataan. Kepada 2086 atlit dan pegawai yang terlibat, anda semua adalah terpilih dan kepada anda diletakkan harapan untuk mempamer yang terbaik, bukan saja dari segi kepimpinan serta pencapaian dalam jenis sukan yang dipertandingkan, tapi yang lebih penting, semangat kesukanan yang terpuji.
Para hadirin Yang Dihormati Sekalian,
2. Kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memaju dan memanfaatkan sukan dalam masyarakat, melalui usaha melahirkan bakat baru yang berpotensi, serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal dikalangan setiap warganegara pada umumnya. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah meluluskan Dasar Sukan Negara pada 20 Januari 1988 yang berlandaskan konsep sukan untuk semua. Dalam konteks ini, saya berbangga kerana penganjuran karnival sukan pada malam ini boleh dianggap sebagai usaha untuk mencapai hasrat dan aspirasi Kerajaan agar sukan dijadikan alat untuk menyumbang kepada penggalakkan pertandingan yang sihat, ikatan muhibbah, sikap toleransi dah kesefahaman. Di samping itu, adalah diharapkan agar semangat kesukanan yang lahir dari karnival ini akan menjadi asas penting dalam usaha mengintegrasi pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa Malaysia yang megah, bersatupadu dan harmoni. Oleh itu, Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia mempunyai peranan penting untuk bersama-sama menghayati Dasar Sukan Negara bagi membentuk masyarakat yang aktif, sihat dan cergas melalui aktiviti-aktiviti sukan dan rekreasi fizikal. Usaha ini juga sejajar dengan usaha-usaha keseluruhan Kerajaan untuk mencapai objektif dan matlamat Wawasan 2020.
3. Kebelakangan ini, Kerajaan giat membangunkan industri sukan negara termasuklah penyediaan prasarana sukan yang serba canggih di seluruh negara. Tidak hairanlah bahawa dengan pelaburan besar yang dibuat ini, Malaysia telah berjaya menarik perhatian masyarakat dan badan-badan sukan antarabangsa sehingga kerapkali diberi peluang untuk menganjurkan berbagai jenis kejohanan sukan diperingkat antarabangsa. Di antaranya adalah Sukan Komanwel, Kejohanan Ping Pong Piala Dunia, Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik, Lumba Kereta Formula Satu, dan tidak lama lagi menjadi tuan rumah kepada Pertandingan Badminton Piala Thomas. Tidak dapat dinafikan bahawa penganjuran kejohanan-kejohanan seumpama ini, telah banyak menguntungkan negara, bukan saja dari segi pulangan kewangan daripada penjualan tiket dan aktiviti-aktiviti penajaan, malah berjaya menarik lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.
Kejohanan-kejohanan sukan di peringkat kebangsaan dan negeri seperti karnival ini juga tentu sekali dapat menggiatkan sektor pelancongan domestik bersesuaian dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan pelancongan dalam negeri di kalangan masyarakat negara ini.
Para Hadirin Yang DiHormati Sekalian,
4. Langkah Persatuan menganjurkan karnival sukan yang sulung ini merupakan satu platform baik untuk kakitangan dan ahli persatuan menilai bakat dan kemampuan masing- masing. Bermula pada peringkat ini, atlit-atlit yang berbakat hendaklah diketengahkan dan diberikan pendedahan latihan dan penyertaan di dalam kejohanan- kejohanan di peringkat yang lebih tinggi. Saya harap melalui kejohanan ini akan dapat melahirkan jaguh-jaguh pelapis yang mampu menyumbang ke arah kecemerlangan sukan negara di masa depan, yang sama pantas dan sama tangkas dengan jaguh-jaguh sukan antarabangsa yang lain.
5. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Bertanding dan Selamat Bersukan kepada setiap atlit yang menyertai karnival sukan ini, dan juga Selamat Maju Jaya kepada barisan Jawatankuasa Pengelola yang sekian lama berusaha gigih memastikan agar acara-acara kejohanan ini nanti dapat berjalan dengan licin dan teratur.
6. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Karnival Sukan Persatuan Badan- badan Berkanun Malaysia Tahun 2000 buat kali pertama pada malam ini.
Terima kasih.
|