Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS ANUGERAH KHIDMAT CEMERLANG BAHAGIAN KESELAMATAN NEGARA JABATAN PERDANA MENTERI
Lokasi : HOTEL RENAISSANCE, KUALA LUMPUR
Tarikh : 07-11-2000
 
Yang Berusaha Pengerusi Majlis,

Y.Bhg. Datuk Jaafar Ismail, Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Negara,

Dif Kehormat,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekelian,

Assalamualaikum w.b.t.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Y.Bhg. Datuk Jaafar kerana menjemput saya ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Bahagian Keselamatan Negara bagi tahun 1999 pada malam ini. Kepada pegawai dan kakitangan yang berjaya menerima anugerah, saya ucapkan tahniah .

2. Kerajaan sentiasa peka terhadap kebajikan anggota perkhidmatan awam dan telah memperkenalkan berbagai bentuk anugerah, kemudahan dan ganjaran untuk mengujudkan suasana kerja yang selesa, ceria dan bebas dari unsur-unsur yang boleh menjejaskan produktiviti.

Sebagai salah satu strategi pembangunan sumber tenaga manusia, insentif-insentif adalah perlu untuk memberi dorongan dan pengiktirafan kepada anggota yang menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan tugas. Majlis malam ini mempunyai erti yang lebih luas dari apa yang sering ditanggapi oleh banyak pihak. Ia bukan semata-mata bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada anggota perkhidmatan awam yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang, tetapi merupakan langkah jangka panjang dalam usaha pembentukan budaya kerja cemerlang. Dengan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada anggota-anggota yang menunjukkan prestasi yang cemerlang, Kerajaan berharap untuk menggerakkan proses pembentukan budaya kerja yang berteraskan pencapaian prestasi tinggi dalam sektor awam. Ini adalah kerana Kerajaan yakin bahawa perkhidmatan awam yang cekap adalah amat perlu untuk menggerakkan jentera pembangunan negara ke tahap yang paling optimum. Berasaskan maklum balas dari berbagai pihak, kita semua pasti dapat menilai sendiri bahawa masih terdapat banyak ruang yang memerlukan penambahbaikan, jika perkhidmatan awam Malaysia ingin menempatkan kedudukan di taraf world class.

3. Untuk mencapai standard yang lebih tinggi dalam perkhidmatan, setiap organisasi perlu mempunyai matlamat, objektif dan strategi-strategi serta kaedah yang sistematik bagi mengukur pencapaian. Anggota- anggota organisasi juga perlu memahami dengan jelas misi dan visi organisasi untuk membolehkan mereka menghayati tugas dan peranan masing-masing. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk menyediakan sistem komunikasi dalaman dan forum-forum supaya pengaliran maklumat dan interaksi sosial dikalangan anggota berjalan dengan lancar. Hal ini perlu bukan sahaja untuk penyebaran maklumat dari atas ke bawah tetapi juga untuk mendapat maklum balas dari bawah supaya wujud kesepakatan dalam segala tindakan. Sistem berinteraksi yang informal pula akan menggalakkan pewujudan suasana kerja yang harmonis, membentuk semangat berpasukan, mengeratkan hubungan silaturrahim dan seterusnya mengikis konflik dalaman yang sering dikaitkan dengan kelemahan organisasi. Untuk maksud itu adalah penting diwujudkan etika kerja untuk diamalkan dan dihayati oleh setiap anggota organisasi agar suasana saling hormat menghormati, bantu membantu dan persefahaman yang erat menjadi budaya organisasi. Bagi pegawai-pegawai Bahagian Keselamatan Negara yang mempunyai fungsi penting dalam penggubalan dasar, strategi dan program yang berkaitan dengan keselamatan negara, budaya kerja yang berteraskan persefahaman adalah amat penting dan perlu dipupuk secara berterusan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

4. Sehingga kini, tidak dapat dinafikan bahawa Bahagian Keselamatan Negara telah dapat memainkan peranannya dengan begitu baik dalam pelbagai sudut keselamatan negara. Rekod prestasi keselamatan dan kestabilan negara sepanjang dekad yang lalu merupakan manifestasi kejayaan yang telah dicapai. Peranan BKN masih tetap penting di hari ini. Syabas diucapkan kepada Bahagian Keselamatan Negara atas kejayaannya melaksanakan tugas-tugas yang diberi dalam memelihara keselamatan negara.

5. Sungguhpun begitu, saya berharap kejayaan ini tidak akan tidak menimbulkan complacency di kalangan pegawai dan kakitangan Bahagian Keselamatan Negara. Malah kita harus terus peka terhadap keperluan untuk terus memperbaiki kualiti perkhidmatan yang diberikan. Usaha- usaha pembaharuan, tindakan-tindakan inovatif perlu diambil setiap masa supaya pentadbiran dan pengurusan jabatan dapat maju selari dengan peredaran masa. Kita harus sedar bahawa sebagai negara yang telah membangun dengan pesat, Malaysia telah mula kehilangan beberapa kekuatan daya saing terutamanya dari segi kos tenaga manusia, kekurangan tenaga pekerja dan juga kepakaran. Beberapa negara membangun lain mula menjadi saingan ketat dari segi keupayaan menarik pelabur-pelabur asing. Namun demikian, dari segi kestabilan politik, keamanan dan keselamatan, Malaysia masih menjadi pilihan para pelabur tradisional. Oleh itu, peranan Bahagian Keselamatan Negara akan terus menjadi relevent dalam usaha mengekalkan suasana keamanan dan keharmonian untuk terus menjadikan Malaysia pilihan utama kemasukan modal asing yang amat diperlukan untuk menjana pertumbuhan.

tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

6. Dalam kerancakan pembangunan, negara kita harus berwaspada terhadap pergolakan dalaman yang boleh menggugat kestabilan. Percaturan ekonomi dan politik antarabangsa yang bertujuan mengekalkan kuasa ekonomi dan politik dunia di kalangan negara-negara maju tertentu juga menggugat usaha-usaha negara untuk terus maju ke hadapan dengan pesat. Sekiranya kita tidak bersungguh-sungguh mempertahankan kekuatan perkhidmatan awam dengan membenarkan kuasa-kuasa dan pihak-pihak tertentu melemahkan ekonomi dan sistem kerajaan kita, maka prestasi negara untuk mencapai wawasan yang dirancangkan akan terjejas. Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap taktik dan helah yang dirangka oleh pesaing kita agar segala pencapaian negara sehingga kini tidak merosot. Untuk itu, amat perlu sekali organisasi Kerajaan membentuk sistem jaringan (networking) yang kemas supaya segala tindakan menjadi selaras serta bersepadu dan hasilnya akan dapat menutup ruang-ruang bagi pihak yang tidak bertanggungjawab mengesan kelemahan untuk menimbulkan masalah kepada negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

7. Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi harapan saya agar Bahagian Keselamatan Negara terus memainkan peranan dengan lebih berkesan lagi. Saya berharap agar semua pegawai dan kakitangan Bahagian Keselamatan Negara akan terus berganding bahu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk menjayakan usaha-usaha mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Sejajar dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi dan proses globalisasi, adalah amat perlu semua anggota organisasi melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang terkini. Selain dari menggunakan kaedah tradisional seperti penganjuran kursus-kursus yang relevan secara sistematik dan berterusan, setiap anggota perlulah mengamalkan konsep continuous learning supaya kita sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan cabaran- cabaran yang sedang dan akan ditempuhi. Usaha Kerajaan untuk membentuk kerajaan elektronik akan membawa perubahan yang radikal dalam pelbagai aspek pengurusan dan pentadbiran. Tanpa peningkatan kecekapan dalam penggunaan peralatan moden seperti komputer dan lain- lain di kalangan anggota perkhidmatan awam, misi kerajaan elektronik tidak mungkin tercapai. Saya yakin tahap penggunaan komputer dan IT di BKN telah meluas dan dengan itu akan dapat memasuki era electronic government tanpa apa-apa masalah.

8. Saya akhiri ucapan dengan mengucapkan syabas dan tahniah khusus kepada semua pegawai dan kakitangan BKN yang telah menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tahun 1999. Bagi mereka yang tidak terpilih pada kali ini, janganlah putus asa. Kerjasama dan sokongan mereka sebagai satu pasukan turut menyumbang kepada pencapaian rakan-rakan yang lain. Saya yakin bahawa tanpa kerjasama yang padu di antara semua anggota kerja, agak sukar bagi mana-mana individu mencapai prestasi yang tinggi. Oleh itu tahniah juga saya ucapkan kepada semu warga kerja BKN di atas segala usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan misi Kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang aman, stabil dan harmonis.

Sekian, terima kasih

Kami menerima 6,596,777 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri