English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI ABDUL HALIM ALI
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL MS ISO 9001 JKR
Lokasi : DEWAN SERBAGUNA, KOMPLEKS KERJARAYA,KUALA LUMPUR
Tarikh : 08-12-2000
 
Assalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Yang Berhormat Dato' Seri S. Samy Vellu Menteri Kerja Raya Malaysia Y.Bhg. Dato' Megat Muihayaddin Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Yang Berbahagia Dato' Ir. Haji Zaini Bin Omar Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Tetamu-tetamu jemputan Dato'-Dato', Tuan-Tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Jabatan Kerjaraya (JKR) Malaysia kerana memberi penghormatan kepada saya untuk menyampaikan Sijil MS ISO 9001 kepada Ibu Pejabat JKR, termasuk 12 JKR Negeri dan Wilayah Persekutuan.

2. Saya juga amat berbesar hati atas kesudian YB. Dato' Seri S Samy Vellu, Menteri Kerja Raya Malaysia meluangkan masa untuk menghadiri majlis pagi ini. Kehadiran YB Dato' Sri menunjukkan betapa tingginya keprihatinan serta komitmen beliau terhadap usaha-usaha meningkatkan sistem kualiti di Kementerian Kerja Raya khususnya di JKR Malaysia. Tidak teragak-agak saya mengatakan bahawa dalam diri Dato' Seri Samy Vellu, Kementerian Kerja Raya mempunyai seorang pemimpin yang dinamis dan sentiasa memperjuangkan kepentingan Kementerian termasuk JKR dan seluruh pegawai-pegawainya.

3. Penyampaian sijil pada pagi ini merupakan julung- julung kali sebuah jabatan kerajaan di Malaysia dianugerahkan Sijil MS ISO9001 dalam aspek Perancangan, Rekabentuk, Perolehan, Pengurusan Pembinaan serta Kontrak dan Khidmat susulan. Persijilan yang diterima oleh JKR ini agak berlainan kerana ia bukan sahaja menyentuh bisnes utama tetapi merentasi semua peringkat, dari peringkat Ibu Pejabat hingga ke Tapak Pembinaan Projek.

4. Pencapaian ini sangat dikagumi kerana ia telah mencatatkan sejarah sebagai sebuah organisasi yang di anugerahkan sijil MS ISO 9001 dalam skop yang begitu luas dan meliputi keseluruhan fungsi utamanya. Komitmen semua ketua jabatan dalam memberi sokongan padu, memimpin serta memandu kakitangannya bagi melaksanakan sepenuhnya keperluan - keperluan yang telah ditetapkan adalah diakui menjadi faktor pendorong yang utama. Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Ketua-ketua Jabatan yang terlibat dalam usaha ini.

YB. Dato' Seri , Tuan-Tuan dan puan-puan,

5. Peranan JKR dalam pembangunan negara amatlah besar sekali. Sejak sebelum merdeka hinggalah ke hari ini JKR telah melaksanakan berbagai-bagai projek, dari jalan raya, jembatan, lapangan terbang, pelabuhan, pejabat Kerajaan hingga ke sekolah, hospital, klinik, masjid dan berbagai kemudahan lain. Dengan adanya infrastruktur dan kemudahan-kemudahan ini, negara telah dapat membangun dengan pesat dan rakyat menikmati keselesaan dan kesejahteraan hidup pada tahap yang tinggi. Pencapaian ini diiktiraf oleh Kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.

6. Banyak perubahan telah berlaku sejak tahun 80-an. Namun, peranan JKR terus menjadi relevan walaupun akhir- akhir ini Kerajaan telah melaksanakan dasar penswastaan bagi beberapa sektor pembinaan. Kepakaran dari segi teknikal dan profesional di tahap yang tinggi adalah perlu dalam bentuk khidmat nasihat dan perundingan untuk membantu Kerajaan melaksanakan projek-projek melalui konsep penswastaan. Ini perlu bagi mempastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan yang terbaik dan dalam masa yang sama,mempastikan hak rakyat dan Kerajaan dilindungi sepenuhnya. Oleh itu pegawai-pegawai mestilah terus mempertingkatkan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang- bidang berkenaan untuk mengekalkan status JKR sebagai perunding utama kepada kerajaan dalam bidang teknikal dan pengurusan projek. Dalam hubungan ini, saya berharap bahawa visi yang ditetapkan oleh JKR iaitu "to be an organisation well known at the international level in Infrastructure Development" akan benar-benar menjadi penggerak kepada usaha-usaha peningkatan profesionalisme Jabatan.

7. Untuk mencapai tahap kecemerlangan bertaraf antarabangsa, amalan dan pemakaian standard yang diiktiraf di peringkat dunia adalah perlu. Perkhidmatan Awam secara keseluruhan juga mempunyai matlamat untuk mencapai taraf dunia dari segi sistem, teknik dan kaedah penyampaian perkhidmatan. Untuk itu Kerajaan telah memperkenalkan MS ISO 9000 sebagai sistem kualiti perkhidmatan awam untuk membantu agensi awam mewujudkan sistem kualiti yang cekap dan berkesan. Dalam aspek yang lain, dengan berpandukan Standard ISO 9000, Kerajaan berharap apa juga tindakan oleh Jabatan akan sentiasa diurus dengan penuh tanggungjawab, telus, terbuka dan memenuhi kehendak pelanggan.

8. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia kini telah mencapai taraf kehidupan yang lebih tinggi.

Mereka adalah lebih berpengetahuan dan celek. Mereka kini mempunyai kehendak, keperluan dan cita rasa yang berbeza. Malah dengan sikap Kerajaan yang liberal, rakyat semakin aktif memberikan pendapat dan ingin menyertai dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan ke atas kehidupan mereka. Dalam konteks ini, adalah diharap sistem kualiti MS ISO 9000 akan mengukuhkan sistem maklum balas pelanggan untuk menghasilkan satu sistem perancangan dan pengurusan yang benar-benar memberi perhatian kepada kehendak pelanggan dan "mesrat rkayat".

9. Prinsip-prinsip yang ditekankan oleh sistem kualiti ISO 9000, jika diterapkan dengan meluas dalam organisasi, pasti akan menaikkan imej perkhidmatan awam bukan sahaja di kalangan rakyat, tetapi juga di kalangan pelabur, baik di dalam mahu pun di luar negara. Saya sentiasa menekankan bahawa dalam era yang penuh persaingan ketika ini, negara yang mampu menawarkan insentif yang terbaik untuk menggalakkan pelaburan dan kemasukan modal asing pasti akan mengekalkan prestasi ekonomi yang tinggi. Dalam hubungan ini, kita semua maklum bahawa di antara insentif yang menjadi daya tarikan pengusaha dan pelabur ialah kepantasan dan kecekapan perkhidmatan awam berurusan dengan sektor swasta. Selain itu mereka juga menekankan kepada ketelusan dan kejujuran, yakni bersih dari amalan sogokan dan sebagainya. Oleh itu, saya berharap, dengan bertambahnya jumlah jabatan-jabatan yang mendapat pengiktirafan ISO 9000, Malaysia akan terus dapat meningkatkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan bagi pelabur-pelabur luar.

YB. Dato' Seri, tuan-tuan dan puan-puan.

10. Selaras dengan perkembangan dan kemajuan dalam bidang ICT, berbagai perkhidmatan Kerajaan telah mula disampaikan melalui rangkaian elektronik. Proses penyampaian Perkhidmatan Awam akan terus berubah dengan pesat apabila aplikasi Kerajaan Elektronik dilaksanakan sepenuhnya. Hasrat Kerajaan Elektronik adalah untuk mengubah cara agensi-agensi Kerajaan beroperasi, di mana matlamat akhir Kerajaan ialah untuk melihat semua pihak, iaitu Kerajaan, pihak swasta dan orang ramai dapat berurusan di antara satu sama lain dengan mudah, cepat dan selesa. Perubahan ini memerlukan setiap anggota Kerajaan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dengan era elektronik. Usaha Kerajaan untuk membudayakan ICT dalam masyarakat perlu diterajui olehPerkhidmatan Awam.

11. Saya merasa gembira kerana JKR telah menyahut saranan Kerajaan dengan melaksanakan beberapa kaedah elektronik untuk melapur, memantau, mengiklankan tender, melaksanakan kerja kontrak dan menyebarkan maklumat semasa. Melalui kaedah ini semua maklumat terkini dan tepat mengenai Jabatan dan projek - projek yang dilaksanakan oleh JKR Malaysia dapat diperolehi dengan mudah, cepat dan tepat.

12. Harapan saya, dengan memperolehi pengiktirafan ISO 9001 ini, akan berlaku proses perubahan ke arah pembentukan budaya kerja yang cemerlang dalam JKR.

Berasaskan pengalaman agensi yang sudah berjaya melaksanakan sistem kualiti ini, kita dapati bahawa proses formulasi dasar kualiti, penyediaan dokumentasi, sesi-sesi latihan dan sebagainya telah memakan masa dan tenaga. Akan tetapi, di lihat dalam konteks yang positif, saya yakin bahawa dalam proses tersebut, pegawai dan kakitangan JKR telah berinteraksi dengan lebih aktif dan secara menyeluruh melibatkan semua peringkat kakitangan bagi memahami aspirasi, visi dan misi JKR. Kesannya ialah kefahaman dan penghayatan yang mendalam dikalangan semua pihak akan aspirasi dan matlamat JKR dalam konteks pembangunan negara. Melalui kefahaman dan penghayatan ini saya percaya telah terbentuk komitmen yang tinggi di kalangan semua anggota untuk merealisasikan matlamat serta visi JKR.

YB. Dato' Seri , tuan-tuan dan puan-puan.

13. Perkhidmatan Awam Malaysia hari ini dianggap sebagai yang terbaik di kalangan negara-negara membangun. Banyak negara-negara asing ingin mempelajari sistem pentadbiran dan pengurusan yang diamalkan oleh Perkhidmatan Awam kita. Ada yang ingin datang untuk berkursus di sini dan ada juga yang ingin mendapatkan pegawai-pegawai kita untuk memberi latihan dan khidmat nasihat di negara mereka. Berpandukan kepada semangat kerjasama Selatan-Selatan Kerajaan kita sentiasa memberi pertimbangan positif kepada permintaan- permintaan ini yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Manakala mereka mendapat latihan dan khidmat nasihat dari kita secara percuma, kita pula dapat menjalin hubungan serta networking dengan pegawai- pegawai dari negara berkenaan. Hubungan dan networking ini dapat membuka peluang perdagangan dan kerjasama ekonomi yang luas antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan. Saya percaya dengan adanya persijilan ISO ini, nama JKR akan lebih terkenal di luar negeri dan khidmatnya akan sentiasa mendapat permintaan dari negara- negara asing. Dengan itu pegawai-pegawai JKR akan dapat menyumbang ke arah pengharuman nama baik Perkhidmatan Awam Malaysia keseluruhannya di samping membantu ke arah pengembangan hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara- negara membangun.

14. Menyentuh tentang nama baik Perkhidmatan Awam, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap pegawai Kerajaan, termasuklah pegawai-pegawai JKR memelihara nama baik dan integrity Perkhidmatan Awam kita. Walaupun berhadapan dengan berbagai tekanan dan pengaruh, kita mesti akur kepada peraturan serta etika kerja Perkhidmatan Awam. Perkataan "Bersih, Cekap, Amanah" yang sentiasa dipaparkan dalam surat-surat kita mestilah menjadi amalan sebenarnya dan bukan slogan semata-mata.

15. Dalam pergolakan politik negara sekarang ini ada pihak-pihak tertentu yang cuba mempengaruhi pegawai supaya bertindak bertentangan dengan prinsip neutraliti Perkhidmatan Awam, iaitu satu prinsip teras yang telah menjamin keutuhan dan perpaduan semua anggota-anggota Perkhidmatan Awam. Jika prinsip ini diketepikan, hilanglah perpaduan serta kemampuan Perkhidmatan Awam melaksanakan dasar-dasar Kerajaan dan hilanglah keyakinan masyarakat kepada kita semua. Oleh itu saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan semua, jagalah nama baik Perkhidmatan Awam kita selama-lamanya.

16. Akhir kata, sekali lagi ingin saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga JKR yang telah bekerja kuat untuk mendapat persijilan MS ISO 9001, semoga usaha ini benar-benar akan mencetuskan budaya kerja berkualiti di kalangan semua bahagian dan semua warga JKR. Pencapaian tuan-tuan dan puan-puan menjadi kebanggaan seluruh Perkhidmatan Awam Malaysia.

17. Kepada pucuk pimpinan JKR yang menerajui usaha ke arah pencapaian ini saya ucapakan juga tahniah dan syabas. Kepada YB Menteri, Dato' Seri Samy Velly, thank you for your guidance and leadership of this important organisation. Rumbe nandri.

Kami menerima 4,454,996 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri