Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : PERASMIAN BENGKEL KOMUNIKASI BERKESAN DI ANTARA IBUBAPA DAN ANAK-ANAK
Lokasi : RUMAH PUSPANITA
Tarikh : 07-06-1996
 
1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PUSPANITA yang telah memilih tajuk Komunikasi berkesan di antara ibubapa dan anak-anak bagi bengkel ini. Tajuk perbincangan ini adalah perlu kepada masyarakat sekarang, kerana ianya adalah selaras dengan cita-cita murni Kerajaan untuk mewujudkan keluarga- keluarga bahagia. Nilai atau kualiti interaksi di antara ibu bapa dan anak-anak adalah bergantung di atas didikan agama anak-anak kita sendiri.

2. Menurut ajaran Islam anak adalah amanah Allah yang dikurniakan kepada ibubapa. Ia juga merupakan cahayamata yang sangat diingini dan dikehendaki oleh sesebuah keluarga terutama dalam meneruskan bakti terhadap agama, bangsa dan negara, dan juga untuk memikul tanggungjawab menjaga dan memimpin keluarga terutama apabila ibubapa sudah berada di peringkat umur yang tua.

3. Islam meletakkan tanggungjawab ke atas ibubapa untuk memelihara anak-anak dengan sempurna termasuklah makan minum, pakaian, tempat tinggal; malah memberi pendidikan dan memperkuatkan iman serta akhlak yang mulia. Dalam sebuah Hadith, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Ajarlah anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai kaum keluarganya dan membaca Al-Quran".

4. Islam menjelaskan tanggungjawab ibubapa kepada anak-anak dan juga memberi penghargaan yang tinggi dan meletakkan kedudukan ibubapa begitu mulia. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Isra' ayat 23 & 24 yang bermaksud: "Dan Tuhan telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun berkata "Ha" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".

5. Sekarang saya berdiri di hadapan dewan ini dan cuba berkomunikasi dengan tuan-tuan dan puan-puan. Jika saya mendapat perhatian dan tuan-tuan dan puan-puan percaya dengan apa yang saya katakan, maka saya berjaya memindahkan niat dan isi kandungan ucapan ini kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Sungguhpun saya seorang sahaja yang bercakap di hadapan ini, pada kebetulannya peristiwa ini merupakan komunikasi yang melibatkan dua pihak, saya dan tuan-tuan dan puan-puan. Suasana ini sering berlaku, di mana anak-anak kita berdiam diri apabila seorang bapa bercakap dengannya. Apabila didapati sukar untuk kita mendapatkan buah fikiran atau pandangan daripada anak-anak kita, maka timbullah satu keadaan di mana kita tidak berkesan dalam berkomunikasi dengan mereka.

Oleh itu penggunaan teknik komunikasi yang berkesan adalah penting untuk membina keluarga bahagia.

6. Setelah anak-anak kita diberi pendidikan Islam dan mengenal Allah secukupnya, mereka hendaklah diajar tentang tatasusila pergaulan dan berkomunikasi dengan orang lain.

Sebenarnya, pergaulan atau cara berkomunikasi itu bermula dari rumah dan buruk atau baik pergaulan itu adalah bergantung kepada pergaulan dan cara berkomunikasi yang ditunjukkan oleh para ibubapa ketika di rumah. Ini kerana anak-anak akan mencontohi pola-pola pergaulan dari ibubapa ketika mereka berinteraksi sesama mereka. Dalam Islam, pergaulan anak-anak dengan Allah mestilah diajar lebih awal. Maka itu, Rasulullah (s.a.w) telah menceritakan kepada ibubapa supaya menyuruh anak- anak mereka mendirikan solat ketika berusia seawal tujuh tahun dan sekiranya mereka engkar hendaklah dipukul secara wajar sebagaimana menurut sebuah hadis baginda, riwayat oleh al Hakim dan Abu Daud bermaksud `...suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka masih engkar setelah berusia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka....' Selain dari itu, pergaulan sesama adik-beradik juga hendaklah sentiasa diawasi supaya perilaku yang mencemar nama baik keluarga tidak berlaku. Batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan perlulah dijelaskan kepada mereka. Maka itu, Rasulullah (s.a.w.) telah memerintahkan agar anak-anak itu diasingkan tempat tidur mereka antara lelaki dengan perempuan dan dari para ibubapa mereka sendiri sebagaimana menurut hadis di atas kerana ini mempunyai implikasi moral yang amat besar sekali dalam kehidupan mereka.

7. Dalam mengasuh dan mendidik anak lelaki perlu menggunakan pendekatan yang berbeza daripada pendekatan yang digunakan apabila mendidik anak perempuan, sementara amalan pilih kasih dan melebihkan seorang anak dari seorang anak yang lain pula perlu dihindarkan. Oleh itu, perkara utama yang perlu diingat apabila hendak mewujudkan kemesraan dan komunikasi yang amat baik sesama ahli keluarga ialah bahawa para ibubapa hendaklah menunjukkan rasa kasih sayang, belas dan mesra kepada anak- anak dan berlaku adil kepada mereka. Islam sendiri telah memberikan panduan dan tunjuk ajar yang serba lengkap dalam pendidikan anak-anak. Islam menganggap bahawa anak-anak adalah satu anugerah Allah yang paling berharga dan perlu dipelihara sebaiknya. Islam sendiri telah menganjurkan supaya setiap anak yang lahir itu diberi kasih sayang dan pendidikan Islam yang secukupnya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab para ibubapa untuk mendidik dan mencorak anak-anak mereka supaya menjadi seorang insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah. Ini bertepatan sekali dengan sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud `setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci lagi bersih), maka para ibubapalah yang mencorakkan mereka sama ada menjadi seorang Majusi atau Nasrani'. Rasulullah (s.a.w.) merupakan contoh yang terbaik dan paling hampir dengan umat Islam untuk diteladani cara gaya Baginda ketika berinteraksi dengan anak-anak kecil. Baginda sentiasa menunjukkan rasa belas dan kasih sayang terhadap anak- anak. Pernah pada suatu masa, ketika Baginda sedang sujud dalam solat, dua orang cucunya, Hasan dan Husin naik dan bermain-main di atas belakang Baginda. Menyedari perkara ini, Baginda telah memanjangkan tempoh sujud sehingga kedua-dua anak itu selesai bermain. Baginda juga pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud `...barangsiapa yang tidak mengasihi, nescaya tidak akan dikasihi oleh orang lain...' 8. Ada keluarga-keluarga pada hari ini sedang menghadapi suatu dilema di mana hubungan kekeluargaan, tahap kasih sayang dan kemesraan kian merosot sehingga mengakibatkan terlerainya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak. Gejala kurangnya kemesraan antara ibubapa dan anak-anak boleh menjejaskan keadaan masyarakat. Kedapatan pada masa akhir- akhir ini ada gulungan ibubapa yang sanggup melepaskan tanggungjawab terhadap anak-anak dengan membiarkan mereka tanpa diberi perhatian yang sempurna, baik dari segi pertumbuhan fizikal, mahupun spiritual dan kerohanian.

Antaranya ada kalangan ibubapa yang sanggup menganiaya ataupun mendera anak-anak mereka. Di samping itu, ada pula kalangan anak-anak atau keluarga sendiri yang sanggup menghantar orang tua mereka ke rumah orang-orang tua semata-mata untuk melepaskan tanggungjawab dan tidak mahu bersusah payah menjaga dan melayani mereka di rumah sendiri. Kebaikan yang dapat dilakukan oleh seseorang kepada ibubapanya, sebenarnya menjadi contoh yang akan mendorong anak-anak mereka sendiri untuk berbuat baik kepada mereka pula. Ini jelas dari Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Berbuat baiklah kepada kedua ibubapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".

9. Amalan-amalan terpuji hendaklah ditanamkan dalam perlakuan harian anak-anak di peringkat muda, terutamanya ketika ia hendak makan, tidur, dan memakai pakaian, bagi mentabiatkan amalan-amalan yang murni dalam diri anak-anak tersebut. Kaedah ini jika digunakan dengan baik oleh setiap ibu bapa akan menjamin kesejahteraan dan kebahagian hidup anak- anak di masa hadapan. Menurut imam al Ghazali: "If the father accustoms the child to goodness and teaches it to him, he will grow up in it and be happy in this life and in the next... If the father safeguards the child from the fire of this world, it is even more necessary for him to safeguard him from the fire of the next. The father's safeguarding of the child consists in disciplining him, refining him, teaching him good character-traits, keeping him from evil companions, not accustoming him to indulgence, and in not making ornaments or the means towards the comforts of life beloved by him, otherwise he will waste his time in seeking them when he is advanced in age, and thus he will meet eternal perdition." 10. Ibu bapa hendaklah mebiasakan diri anak-anak mereka dengan amalan-amalan yang mengarah kepada kesucian diri.

Tarbiyah kepada anak-anak di semua peringkat hidup mereka juga hendaklah dilakukan secara seimbang iaitu yang tertumpu kepada latihan kerohanian bagi menajamkan akal budi, dan latihan fizikal bagi menghasilkan kesihatan tubuh badan. Nilai-nilai murni yang perlu ditekankan ialah menghormati ibu bapa, guru, dan orang yang lebih tua, sambil ditanamkan sifat keberanian bagi menegakkan kebaikan.

11. Saya akui bahawa bukanlah mudah menjadi seorang ibu atau bapa yang disayangi dan dihormati oleh anak-anak kita. Oleh itu, kita sendiri mestilah berazam menjadi role model kepada anak-anak kita dan memberi motivasi kepada mereka, mengadakan komunikasi terbuka dengan mereka, mengujudkan pengurusan yang telus dalam keluarga di mana menghormati tindak-tanduk kita dan berjaya mengawal emosi kita dan mereka, dan seterusnya berpegang teguh kepada falasafah yang betul supaya kita mengurangkan kuasa bapa dan memberi keadilan yang cukup dalam sesi perundingan dengan mereka. Kita perlu mengambil pandangan yang baik dari anak-anak kita dan menjadikan pandangan tersebut sebagai panduan keluarga kita. InsyaAllah dengan cara sedemikian, kita akan lebih berjaya dalam membimbing anak-anak kita dan tidak syak lagi komunikasi berkesan memainkan peranan terpenting dalam kehidupan satu keluarga yang inginkan kebahagiaan dan kesejahteraan.

Kami menerima 6,616,809 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri