Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS SEMINAR ETIKA HAKIM DAN PEGUAM
Lokasi : IKIM
Tarikh : 09-01-1996
 
1. Kehakiman adalah salah satu di antara perkara yang dianggap mulia dan dipandang tinggi oleh semua bangsa sejak dahulu kala lagi. Kewujudannya adalah satu kemestian. Untuk menyelesaikan pertikaian yang berlaku, Undang-undang sahaja tidak cukup untuk memberi jaminan keselesaan dan ketenteraman kepada masyarakat, tanpa ada satu badan yang teratur menjamin perlaksanaannya. Bangsa- bangsa yang bertamadun tinggi seperti Rome sejak dahulu lagi telah menubuhkan institusi kehakiman.

2. Kehakiman adalah sebuah institusi yang terpenting di dalam sesebuah negara yang bertamadun. Ia berfungsi bagi mentadbir keadilan dan melaksanakan Undang-undang supaya kebenaran dapat disaksikan dan diberikan kepada yang berhak dan menghalang orang yang zalim daripada melakukan sesuatu mengikut kehendak nafsunya. Rasulullah s.a.w ada mengingatkan bahawa bangsa yang dahulu telah binasa kerana apabila kesalahan dilakukan oleh orang atasan tidak diambil tindakan dan apabila dilakukan oleh orang bawahan dikenakan hukuman.

3. Qadi atau hakim adalah merupakan pihak yang terlibat secara langsung dalam mentadbir dan melaksanakan keadilan. Di atas bahu mereka terletak tanggungjawab dan tugas yang amat berat dalam menegakkan keadilan. Dari perspektif Islam kehakiman adalah merupakan suatu tuntutan syarak yang wajib dilaksanakan dan fardhu yang tidak boleh dielakkan.

4. Islam telah menetapkan garisan panduan dalam mentadbirkan keadilan. Hakim-hakim diperintah supaya berlaku adil, sehingga tidak ada kezaliman dalam pengadilan. Allah berfirman (dalam Surah Yunus ayat 47) bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap satu umat ada rasul (yang diutus kepadanya); setelah datang rasul mereka (menerangkan apa yang mesti diterangkan) diberikanlah keputusan antara mereka dengan adil dan mereka sedikit pun tidak dizalimi." Dalam Surah al-Sadd ayat 26 Allah berfirman bermaksud: "Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu khalifah di bumi maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariah) yang benar dan jangan engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah."

5. Jawatan kehakiman adalah satu jawatan yang mulia, penting dan kritikal dan hendaklah diberikan kepada orang yang benar-benar layak melaksanakannya.

6. Bagi menempuh tahun 1996 yang mencabar, IKIM telah merancang berbagai bentuk aktiviti untuk sepanjang tahun ini, iaitu meliputi penyelidikan, penerbitan, penulisan, persidangan dan beberapa program lain seperti ceramah, forum, sudut pandangan, sudut perbincangan dan sudut kefahaman. IKIM juga merancang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri dalam mengadakan seminar di peringkat negeri.

7. Dalam bidang perundangan IKIM merancang mengadakan dua seminar. Pertama Seminar Etika Hakim Dan Peguam yang diadakan pada hari ini dan kedua adalah seminar Serantau Pentadbiran Perundangan Islam.Seminar ini dijangka akan diadakan pada bulan Julai dan akan dihadiri oleh wakil-wakil dari negara- negara ASEAN dan termasuk juga dari negara Arab Saudi dan Pakistan.

8. Dalam bidang penyelidikan di antara penyelidikan yang menjurus kepada Undang-undang yang sedang dijalankan adalah mengenai tajuk Undang- undang Keluarga Islam. Projek ini dianggotai oleh beberapa tokoh akademi dan pegawai penyelidik kanan IKIM. Saya difahamkan penyelidikan Undang-undang Keluarga Islam itu nanti akan menghasilkan satu "manual" Undang-undang Keluarga Islam yang disusun secara sistematik yang akan memperjelaskan tiga aspek dalam perundangan Islam iaitu "teks statute" yang diperjelaskan dengan pandangan- pandangan ulama dari segi hukum fiqh dan dihuraikan dengan kes-kes yang diputuskan di Mahkamah. Ini akan menjadikannya satu-satu buku perundangan Islam Moden dan boleh digunakan oleh semua golongan masyarakat tertutama kepada pengamal Undang-undang di negara ini.

9. Selain dari itu IKIM dengan pegawai-pegawai yang ada dalam bidang perundangan akan mengeluarkan "JURNAL UNDANG-UNDANG" dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Dengan munculnya JURNAL itu nanti akan dapat menambahkan lagi bahan Legal Literature di negara ini. Mereka yang berkeahlian dalam Undang-undang termasuk bidang Syariah diharapkan dapat memberi sokong dan sumbang kepada Jurnal ini.

10. Dalam Seminar kali ini IKIM membuat complementary buku "Undang-undang Keterangan dan Prosedur di Mahkamah" kepada peserta-peserta. Semoga dengan cara begini akan dapat mendorong tuan-tuan dan puan-puan memberi sokongan yang lebih kepada penerbitan yang dikeluarkan oleh IKIM di masa-masa akan datang.

Kami menerima 6,617,259 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri