English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN BUKU "PEMELIHARAAN WARISAN RUPA BANDAR"
Lokasi : INTAN, BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 07-05-1996
 
1. Apakah maknanya "warisan? "Warisan" boleh ditakrifkan sebagai sebagai suatu peninggalan kepada seseorang oleh tuan punya sebelumnya atau oleh sesuatu generasi kepada generasi yang terkemudian; ringkasnya, suatu pusaka daripada zaman silam.

Dalam konteks seni bina, ia membawa maksud bangunan- bangunan lama yang merangkumi rumah-rumah kedai, bangunan-bangunan kolonial, awam dan keagamaan yang mencerminkan sejarah, budaya dan ugama kita.

Pengaruh kemasukan para peniaga daripada negeri Cina, India semasa zaman kegemilangan Melaka sebagai pusat perdagangan pada kurun ke-15 dan orang-orang Portugis, Dutch dan British jelas kelihatan pada bangunan-bangunan lama. Ahli-ahli tukang zaman dahulu boleh menzahirkan seni ukiran yang halus.

Seberapa yang boleh kita haruslah memelihara dan mengekalkan bangunan-bangunan warisan seperti ini, untuk memupuk rasa cinta kepada tanah air.

2. Badan Warisan Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1983 mempunyai satu misi yang jelas iaitu untuk memelihara dan mengekalkan warisan seni bina Malaysia bagi kepentingan rakyatnya dan generasi akan datang. Pada mulanya Badan Warisan Malaysia menumpukan perhatian mereka kepada usaha-usaha untuk menyelamatkan bangunan-bangunan seperti Bangunan Pertubuhan Akitek Malaysia yang telah dibina oleh Low Chow Kit pada tahun 1907 dan Bangunan Central Market, sebuah pasar yang yang dibina pada tahun 1936. Kedua-dua bangunan ini telah berjaya diselamatkan. Aktiviti-aktiviti Badan Warisan Malaysia kemudiannya telah bercabang kepada aspek- aspek lain seperti projek-projek pemulihan bangunan dan rumah-rumah lama, menerbit dan menjual buku-buku yang berkaitan dengan warisan seni bina, memberi khidmat nasihat mengenai bidang pemeliharaan dan pengekalan serta mengadakan aktiviti untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan warisan seni bina menerusi seminar-seminar, kursus serta program-program pendidikan. Baru-baru ini saya telah melancarkan program biasiswa Hadiah Memorial Mubin Sheppard yang merupakan sebuah anugerah penyelidikan untuk pelajar-pelajar institusi tinggi.

Objektif program biasiswa ini adalah untuk mendorong para pelajar membuat kajian dan penulisan pelbagai aspek pemeliharaan dan pengekalan bangunan-banguna warisan di Malaysia. Badan Warisan Malaysia juga telah menderma sebanyak 1600 buah video yang bertajuk Demi Masa Depan Warisan Yang Lebih Gemilang atau dalam Bahasa Inggerisnya - Give Our Past A Future, berserta buku panduan kepada sekolah- sekolah.

3. Salah satu bidang pengkhususan Badan Warisan Malaysia ialah melaksanakan projek-projek pemulihan.

Di antara projek-projek baik pulih yang berjaya adalah Gedung Raja Abdullah di Kelang yang dibina pada tahun 1890an oleh Raja Abdullah. Dengan kerjasama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri, bangunan ini telah dapat dibaik pulih dan sekarang ia menjadi Muzium Sejarah Kelang.

Baru-baru ini Badan Warisan Malaysia telah membaik pulih Rumah Bomoh yang terletak di Changkat Jering, Perak. Rumah tradisi Melayu ini adalah merupakan warisan kebudayaan Melayu dari segi ketrampilan kreatif dan artistik. Rumah kepunyaan tiga generasi bomoh ini dibina pada tahun 1875 kaya dengan seni ukiran dan mempunyai bentuk seni bina yang unik. Tujuan pembaik pulihan rumah ini adalah untuk menyedarkan penduduk kampung bahawa rumah- rumah mereka mempunyai nilai ukiran yang tinggi dan boleh disesuaikan dengan kehidupan moden. Projek baik pulih rumah tradisi Melayu yang terbaru adalah Projek Rumah Penghulu yang terletak di Bandar Baharu, Kedah. Rumah kepunyaan seorang Penghulu yang masyhur suatu masa dulu ini sungguh unik dari segi seni bina dan ukiran. Badan Warisan Malaysia telah membeli rumah ini yang telah lama terbiar dan akan membukanya untuk dipindahkan ke tapak barunya di kawasan pejabat kami di No.2, Jalan Stonor, Kuala Lumpur.

4. Dalam rangka membantu para perancang dan Pihak- pihak Berkuasa Tempatan, serta pejabat-pejabat daerah, Badan Warisan Malaysia telah mengambil inisiatif menjalankan sebuah kajian perintis mengenai bangunan-bangunan warisan di kawasan- kawasan bandar. Pada pagi ini saya berasa bangga untuk melancarkan sebuah buku yang bertajuk Pemeliharaan Warisan Rupa Bandar . Usaha ini telah dijalankan oleh Badan Warisan Malaysia dengan bantuan pihak-pihak berkuasa tempatan untuk membuat kajian awalan bagi merekod bangunan-bangunan sebelum perang (pra 1945) di bandar-bandar di seluruh Malaysia. Lanjutan daripada itu pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancungan berserta Universiti Teknologi Malaysia telah berjaya menjalankan Kajian Inventori Bangunan Warisan Malaysia. Ianya mengandungi peta-peta, gambar dan rujukan sejarah bangunan-bangunan, jalan dan kawasan-kawasan penting di 49 buah pekan di Malaysia dan akan dapat menolong pihak kuasa tempatan mengenali kawasan-kawasan warisan senibina di persekitaran pekan atau bandar mereka. Adalah diharapkan bahawa pihak-pihak berkuasa tempatan dan pejabat-pejabat daerah lebih menyedari terhadap aspek pengekalan warisan senibina di pekan-pekan mereka.

5. Bagi pihak Badan Warisan Malaysia saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengarang - Tuan Syed Zainol Abidin Idid, pensyarah di- Universiti Teknologi Malaysia dan kepada Jurureka Bentuk - Cik Susan Lau. Terima kasih diucapkan juga kepada pihak-pihak kerajaan dan swasta dan semua penyumbang-penyumbang terutama sekali VISA.

Kami menerima 4,413,474 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri