1. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak GITN Sdn. Bhd. dan MAMPU oleh kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan pelancaran projek perintis GITN pada pagi ini.
2. Pelancaran projek ini membuka satu lagi lembaran baru dalam usaha Kerajaan ke arah mewujudkan satu sektor awam yang responsif, berorientasikan prestasi, inovatif serta berupaya memberi perkhidmatan yang berkualiti melalui penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang terkini.
3. Perkhidmatan awam Malaysia telah merangka dan melaksanakan pelbagai strategi pembaharuan; antara yang telah dilaksanakan ialah menggunakan pendekatan `business process re-engineering' untuk memperkemaskan proses-proses pengurusan di dalam perkhidmatan awam. Teknologi maklumat telah diberi perhatian yang sewajarnya; penubuhan pangkalan- pangkalan data `on-line' seperti CSL, SITTDEC dan SIRIMLINK serta pembangunan `home-page' di jabatan- jabatan Kerajaan adalah manifestasi kepada komitmen Kerajaan terhadap pewujudan sebuah masyarakat yang kaya maklumat atau `information-rich society'.
4. Dengan adanya asas-asas yang kukuh di bidang teknologi maklumat dan telekomunikasi, saya yakin kita telah bersedia untuk mempelopori bidang ini secara lebih luas dan mendalam. Projek GITN yang akan dilancarkan sebentar lagi akan memperkukuhkan infrastruktur telekomunikasi dan teknologi maklumat di sektor awam secara yang lebih berkesan. Ini akan membawa dimensi baru kepada tahap penguasaan teknologi ini dan juga mengubah cara perhubungan konvensyenal yang masih kita amalkan. Perubahan ini akan berlaku kerana GITN berpotensi menghasilkan satu infrastruktur yang mengintegrasikan keperluan komunikasi Kerajaan bagi data, suara, video dan imej. GITN adalah untuk mempertingkatkan keberkesanan komunikasi di dalam dan di antara agensi-agensi Kerajaan dan dibangunkan dengan mengambil kira keperluan-keperluan khusus Kerajaan, terutamanya keperluan keselamatan dalam penyimpanan, penggunaan, penjanaan dan pengaliran maklumat.
5. Pada masa yang lalu, agensi-agensi Kerajaan yang memerlukan rangkaian telekomunikasi terpaksa membangunkan rangkaian-rangkaian mereka sendiri. Ini telah mengakibatkan masalah penindihan dan duplikasi dalam rangkaian telekomunikasi yang digunakan oleh sektor awam. Wujudnya rangkaian-rangkaian telekomunikasi bersendirian tanpa unsur-unsur koordinasi di antara mereka sedikit sebanyak telah membantutkan atau memperlahankan usaha Kerajaan ke arah perkongsian maklumat di kalangan agensi- agensinya. Dengan pelaksanaan projek GITN ini, saya yakin bahawa kecekapan dan keberkesanan agensi- agensi Kerajaan akan dapat dipertingkatkan lagi melalui di antaranya, penghantaran maklumat yang lebih tepat dan menepati masa, pengurangan pertindihan data dan kemudahan perkongsian maklumat, dan penyelarasan usaha-usaha pembangunan dan perhubungan di antara pangkalan-pangkalan data.
6. Saya juga berkeyakinan penuh bahawa melalui penggunaan sebuah infrastruktur telekomunikasi yang dikongsi bersama ini, Kerajaan akan memperolehi penjimatan kos yang banyak jika dibandingkan dengan cara konvensyenal yang diamalkan pada masa yang lalu. Dengan memilih langkah menswastakan projek ini kepada dua buah syarikat gergasi di negara ini iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TMB), maka Kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan dalam pembangunan infrastruktur GITN tersebut.
7. Saya anggap projek GITN ini adalah sesuatu yang tepat pada masanya, lebih-lebih lagi kerana kita sedang menyaksikan percantuman dua teknologi yang dinamik iaitu teknologi maklumat dan teknologi media. Percantuman dua teknologi ini telah berjaya menghasilkan teknologi yang baru dan berlainan dari teknologi dan produk yang pernah kita lihat dahulu.
Teknologi maklumat yang dahulunya kita sering kaitkan hanya dengan komputer dan peralatan penyimpanan maklumat sahaja, sekarang ini telah dihubungkan pula dengan teknologi media yang merangkumi aplikasi audio-visual seperti televisyen, radio dan telefon. Kedua-dua teknologi ini dalam masa yang lalu wujud secara berasingan, tetapi dengan pencantuman ini garisan pemisah antara kedua bidang teknologi tersebut akan pudar dan lesap.
8. Aplikasi teknologi yang dibawa oleh GITN dalam konteks latihan umpamanya dapat mengubah pendekatan terhadap pembelajaran. Projek perintis pembelajaran jarak jauh INTAN di bawah GITN memberi definisi dan dimensi baru kepada konsep latihan dalam sektor awam. Pembelajaran tidak perlu berlaku dalam kelas- kelas berbentuk formal yang hanya dapat dilaksanakan dengan kewujudan kelas secara fizikal, kehadiran jurulatih dan pelatih serta dijalankan dalam waktu- waktu yang telah ditetapkan. Pembelajaran dan penyebaran maklumat boleh berlaku di mana-mana sahaja termasuk tempat-tempat kerja, asalkan tempat tersebut dapat dirangkaikan dalam satu rangkaian elektronik. Potensi seperti ini perlu digunakan sepenuhnya agar pelajaran dan latihan boleh diberikan kepada sasaran yang lebih besar dalam jangkamasa yang singkat.
9. Teknologi yang diperkenalkan melalui projek GITN memerlukan penguasaan dan penggunaan pelbagai kemahiran serta pengujudan budaya pengamalan sikap positif terhadap ilmu dan teknologi. Ini tidak bermakna teknologi akan menguasai manusia tetapi apa yang perlu berlaku ialah manusia harus bijak menafaatkan teknologi untuk kebaikan semua.
10. Saya mengucapkan syabas kepada GITN Sdn. Bhd.
di atas kejayaannya melaksanakan projek perintis ini dalam jangkamasa yang singkat. Saya yakin usaha- usaha GITN seterusnya akan meletakkan negara kita sebagai sebuah negara yang unggul dalam penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dan teknologi telekomunikasi terkini.
|