Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH MPKSN
Lokasi : INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
Tarikh : 13-08-1996
 
1. Saya mengucapkan terima kasih oleh kerana dijemput dan diberi penghormatan untuk berucap di Majlis pada pagi ini dan seterusnya menyampaikan anugerah-anugerah Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Sains Negara (MPKSN) 1996 kepada para pemenang yang telah memberi sumbangan cemerlang dalam bidang sains dan teknologi (S&T).

2. Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sains dan teknologi (S&T) di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7). Kesungguhan Kerajaan itu adalah jelas apabila peruntukan berjumlah RM3 billion disediakan di bawah RMK-7 khusus untuk pembangunann sains dan teknologi yang bertujuan mencapai objektif-objektif seperti berikut:

(i) menyumbang ke arah pertumbuhan berasaskan produktiviti;

(ii) menyokong perubahan industri dan perkhidmatan yang berintensif teknologi;

(iii) meningkatkan persaingan nasional;

(iv) menggalakkan inovasi proses dan produk; dan

(v) mempercepatkanpenyebaran teknologi.

Bagi menjamin pencapaian objektif-objektif tersebut, beberapa strategi akan dilaksanakan seperti berikut:

(i) R&D dalam bidang- bidang keutamaan;

(ii) teknologi-teknologi strategik dan industri-industri yang memuncul;

(iii) pengkomersialan penyelidikan dan teknologi;

(iv) strategi untuk pelaburan sektor swasta dalam R&D;

(v) sumber manusia S&T; (vi) meningkatkan piawaian dan jaminan kualiti;

(vii) perlindungan harta intelektual; (vii) meningkatkan kesedaran S&T; dan

(viii) penyelarasan dan pengurusan strategi dan program-prrogram S&T.

3. Di sini saya ingin menarik perhatian kepada dua isu penting yang mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain, iaitu sumber manusia S&T dan kesedaran S&T. Objektif pembangunan sumber manusia ialah untuk menambahkan sasaran kebangsaan tenaga manusia R&D kepada 1,000 setiap satu juta penduduk sebelum tahun 2000. Beberapa langkah akan diambil untuk mencapai matlamat ini, antaranya:

(i) menyediakan satu pelan pembangunan sumber manusia S&T jangkamasa panjang;

(ii) mengembangkan dan memperbaiki sistem pendidikan dan latihan bagi membina keupayaan teknologi dalam bidang-bidang strategik;

(iii) menjamin bilangan graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan meningkat dua kali ganda;

(iv) menggalakkan pengambilan saintis, teknologis dan penyelidik negara asing;

(v) mengkaji semula kurikulum sekolah untuk menambah kandungan sains;

(vi) memperbaiki kemudahan-kemudahan di sekolah dan universiti bagi pengajaran sains dan subjek-subjek berkaitan;

(vii) memperkukuhkan lagi program pendidikan dan latihan yang sedia ada seperti latihan dalam perkhidmatan, pengajian luar kampus dan pengajian jarak jauh; dan

(viii) menubuhkan sebuah tabung dengan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk membangunkan keupayaan dalam bidang- bidang teknologi yang diutamakan.

4. Satu kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada tahun 1994 menunjukkan bahawa minat pelajar terhadap S&T semakin merosot. Sebahagian besar pelajar kita tidak berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sains dan teknologi. Kajian itu juga menunjukkan keupayaan dan tabiat membaca serta memahami S&T oleh masyarakat umum adalah di tahap yang membimbangkan. "Trend" ini jika dibiarkan akan membawa implikasi yang serius terhadap pencapaian matlamat Wawasan 2020, khususnya ke atas keperluan sumber manusia yang terlatih dalam S&T.

5. Kerajaan telah merancang dan melaksanakan Program penggalakan Sains dan Teknologi (PPST) untuk meningkatkan kesedaran S&T sebagai strategi utama untuk meningkatkan sumber manusia S&T. Di bawah program tahunan ini, pelbagai aktiviti diadakan untuk memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Antaranya ialah:

(i) pameran rekacipta dan rekabentuk (MINDEX);

(ii) pameran hasil penyelidikan (INNOTEX);

(iii) seminar kesedaran S&T;

(iv) bengkel dan anugerah kewartawanan sains;

(v) perkhemahan sains dan alam sekitar;

(vi) anugerah-anugerah sains; dan

(vii) kuiz sains nasional.

6. Kita perlu berusaha memupuk satu budaya S&T yang kukuh dan usahai ni adalah tanggungjawab semua pihak. Usaha memupuk budaya S&T ini tidak boleh dicapai melalui penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya memerlukan sumbangan semua pihak dan sektor, samada besar atau kecil, dalam ekonomi negara. Kemunculan budaya S&T yang kukuh bergantung kepada penghayatan yang meluas terhadap kepentingan dan kegunaan S&T. Kerajaan menyedari bahawa budaya ini menjadi asas pembangunan sistem S&T bagi masa akan datang. Generasi muda perlu memahami dan melihat faedah mempelajari sains dan kejuruteraan yang akan menjadi kritikal bagi kebanyakan pekerjaan pada masa hadapan.

7. MPKSN turut memainkan peranan dalam program kesedaran S&T dengan mengadakan dialog dengan pertubuhan bukan Kerajaan (S&T NGOs) dan dialog ini telah menghasilkan beberapa cadangan dan idea baru bagi meningkatkan kesedaran S&T. Antara cadangan yang telah dipersetujui ialah:

(i) meningkatkan peranan media cetak dan media elektronik supaya lebih banyak rencana S&T termasuk sumbangan tokoh- tokoh sains serta mengenai ciptaan dan inovasi dalam bidang S&T disiarkan;

(ii) menggalakkan NGO menjadikan sekolah-sekolah sebagai arank angkat untuk mengadakan pameran, ceramah dan aktiviti- aktiviti S&T yang lain bagi faedah pelajar;

(iii) mengadakan bimbingan kerjaya bagi mengatasi tanggapan negatif terhadap prospek kerjaya dalam bidang S&T; dan

(iv) menganjurkan anugerah untuk menggalakkan dan mengiktiraf sumbangan dalam bidang S&T.

8. Sehubungan ini, MPKSN buat pertama kalinya telah memperkenalkan Anugerah MPKSN mulai tahun ini bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pihak-pihak yang telah memberi sumbangan cemerlang dalam pendidikan matematik, R&D dan kefahaman awam terhadap S&T. Anugerah-anugerah ini ialah:

(i) Anugerah MPKSN bagi Pendidikan Matematik;

(ii) Anugerah MPKSN bagi Institusi R&D; dan

(iii) Anugerah MPKSN bagi Peningkatan Kefahaman Awam Terhadap S&T.

9. Majlis pagi ini sangat istimewa dan bermakna kerana tumpuan diberi kepada para pendidik, insititusi penyelidikan, NGO dan badan korporat yang telah mencapai tahap kecemerlangan dalam pelbagai bidang S&T. Acara ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para pemenang Anugerah tetapi juga bertujuan mendorong semua pihak khususnya golongan sainstis dan penyelidik, institusi R&D, para penyelidik, NGO dan swasta untuk terus berusaha ke arah pewujudan sebuah masyarakat yang progresif dan berpengetahuan S&T. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pemenang-pemenang anugerah tahun ini dan berharap mereka akan meneruskan usaha mereka untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya mereka serta menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi negara. Kepada mereka yang tidak berjaya saya berharap mereka tidak berputus asa dan sebaliknya bekerja lebih kuat lagi supaya berjaya di masa hadapan.

10. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Panel Penilai dan Panel Hakim yang telah berjaya melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama dalam pemilihan para pemenang Anugerah tahun ini.

11. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Anugerah MPKSN tahun ini. Saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah MPKSN 1996.

Kami menerima 6,616,818 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri