Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS TAKLIMAT DI JABATAN MUZIUM DAN ANTIKUITI
Lokasi : JABATAN MUZIUM DAN ANTIKUITI
Tarikh : 24-06-1996
 
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti, Dr. Kamarul Baharin bin Buyong keranatelah mengaturkan majlis taklimat pemugaran monumen-monumen bersejarah pada petang ini.

2. Berdasarkan penjelasan-penjelasan yang telah diberikan tadi saya dapat memahami bahawa peranan dan fungsi Muzium sebagai salah satu agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara warisan sejarah dan kebudayaan negara adalah sangat besar.

Justeru itu ianya hendaklah dilaksanakan berasaskan perancangan pelan tindakan yang sistematik dengan menggunakan teknik, metodologi yang sesuai dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

3. Dalam hal ini saya berpendapat jentera pengurusan Muzium perlu bertindak lebih dinamik dan mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif.

Latihan-latihan yang berterusan dalam pelbagai bidang permuziuman seperti pengurusan muzium, teknik pameran, metodologi penyelidikan, pengurusan koleksi, konservasi artifak dan arkeologi, pemugaran monumen-monumen bersejarah dan pelbagai bidang pengurusan hendaklah diberi kepada pegawai dan kakitangan muzium. Dengan adanya perancangan ini, kakitangan Jabatan Muzium mempunyai daya kekuatan bagi mengendalikan tugas mereka dengan lebih berkesan dan profesional.

4. Pihak pengurusan dan para pendokong muzium- muzium negeri juga perlu prihatin terhadap perubahan- perubahan yang berlaku dalam dunia permuziuman di seluruh dunia dalam usaha untuk menjadikan muzium sebagai pusat maklumat dan gedung ilmu pengetahuan yang boleh mencorakkan pemikiran positif rakyat.

Usaha-usaha yang lebih gigih perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pelawat ke Muzium dan memanfaatkan koleksi khazanah yang tersimpan di dalamnya. Dalam hal ini pihak pengurusan muzium perlu mempunyai wawasan yang perlu dituju untuk dekad-dekad yang akan datang.

5. Warisan-warisan sejarah yang dapat dilihat pada bangunan-bangunan sejarah dan juga peninggalan arkeologi merupakan bahan bukti yang sangat penting bagi menjelaskan sejarah tamadun silam yang mungkin tidak tertulis dalam bentuk dokumen. Sehingga kini kita sukar menggambarkan dengan jelas akan hal keadaan sebenar pada zaman kerajaan-kerajaan silam kerana sukar untuk membuktikan-nya secara fizikal.

Hanya artifak-artifak kecil yang ditemui di sana sini sahaja yang mungkin boleh dijadikan bukti dan dibuat tafsiran.

6. Selain daripada peninggalan-peninggalan candi kurun ke 10 - 12 Masihi di Lembah Bujang, kesan- kesan kota kesultanan Johor di sepanjang Sungai Johor dan juga gua-gua yang terdapat peninggalan manusia pra sejarah, kita tidak mempunyai bangunan yang melebihi 200 tahun. Sebahagian besar daripada bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara ini terletak di bandar-bandar yang dibina pada era pemerintahan kolonial Inggeris.

7. Kalau dilihat pada momentum pembangunan bandar sekarang besar kemungkinan sebahagian daripada bangunan-bangunan ini akan diruntuhkan bagi menempatkan bangunan-bangunan baru. Sekiranya sesuatu tidak dilakukan bangunan-bangunan lama ini akan hanya tinggal kenangan sahaja pada dekad-dekad akan datang. Mungkin kita tidak dapat menyelamatkan kesemua bangunan lama tetapi sesuatu perlu dilakukan bagi mengekalkan sekurang-kurangnya beberapa buah bangunan penting.

8. Dalam hal ini, saya berharap Jabatan Muzium dan Antikuiti bekerjasama dengan agensi-agensi tertentu bagi menangani masalah ini. Saya berharap Jabatan Muzium dapat mengeluar atau menerbitkan hasil-hasil penyelidikan terhadap pemugaran bangunan-bangunan lama yang telah selesai dilaksanakan bagi memberi panduan kepada masyarakat umum mengenai teknik pemugaran dan kepentingannya dalam kerja-kerja konservasi. Saya percaya masih banyak daripada agensi-agensi Kerajaan, swasta dan individu yang jahil terhadap aspek ini, maka tidak hairanlah mengapa pemusnahan terhadap warisan sejarah ini terus berlaku hingga ke saat ini.

9. Akhir sekali saya sangat mengharapkan agar Jabatan Muzium dapat meneruskan aktivitinya dengan lebih berkesan dalam usaha untuk memelihara identiti budaya dan kekayaan sejarah negara.

Kami menerima 6,617,231 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2024 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri