English | Bahasa Malaysia

Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO SERI AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID
Tajuk : MAJLIS PELANCARAN TELE KERJA SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
Lokasi : HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 11-04-1996
 
1. Saya bersyukur kerana kita dapat berkumpul di majlis ini bagi menyempurnakan satu lagi usaha memajukan perkhidmatan awam negara kita iaitu dengan Pelancaran Tele SPA. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Telekom Malaysia kerana sudi mengundang saya untuk melancarkan projek ini, yang akan bermula dengan 3 jenis maklumat iaitu keputusan temuduga, penempatan calon serta maklumat umum yang akan berkembang untuk meliputi beberapa jenis maklumat lagi dalam tahun 1996 ini. Dalam konteks ini, saya berharap Tele SPA ini boleh memenuhi 3 hasrat, iaitu:-  i) mengadakan sistem kerja yang lebeh efisyen dan berkesan; ii) memberi kepuasan kepada pelanggan; iii) Mengatasi kesukaran orang ramai untuk mendapat maklumat terkini kerana masalah perhubungan dalam negara yang berada dalam pelbagai tahap pembangunan fizikal.

2. Saya yakin pengurusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam senantiasa memberi penekanan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan memudahkan cara kerja yang berorientasikan `cost effective', yang mana akan memperkukuhkan lagi sistem persuratan dan perhubungan di antara SPA dengan pelanggan- pelanggannya. Saya percaya dengan adanya Tele SPA ini akan dapat memberi manfaat kepada semua pihak.Sebagai contoh pada masa hadapan penuntut-penuntut Malaysia di seberang laut yang bakal menjadi penjawat awam mungkin boleh terus memohon jawatan melalui internet atau fax.

3. Kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti dalam perkhidmatan awam. Dalam aspek ini, penggunaan teknologi moden adalah digalakkan. Tiga faktor utama telah menyumbang ke arah meningkatkan kegiatan penggunaan kaedah teknologi maklumat di jabatan- jabatan kerajaan masakini. Faktor pertama ialah penekanan kepada kualiti dan produktiviti; beberapa jabatan kerajaan telah memperkenalkan teknologi maklumat untuk membantu proses-proses penghasilan perkhidmatan serta produk mereka. Keduanya, melaksanakan program kualiti dan penglibatan produktiviti di sektor awam, seperti meningkatkan mutu perkhidmatan kaunter, mengurus projek dan perakaunan mikro, memerlukan penggunaan kaedah teknologi maklumat yang meluas. Ketiga, pemodenan pentadbiran awam memerlukan organisasi yang berorientasikan pelanggan. Teknologi maklumat tidak seharusnya dilihat hanya dari konteks pemprosesan urusniaga (transaction processing) atau sistem maklumat pengurusan (MIS) sahaja tetapi hendaklah dilihat dari segi keupayaannya untuk meningkatkan prestasi individu dalam Jabatan masing-masing.

4. Penggunaan teknologi maklumat di sektor awam masakini mencerminkan perubahan kepada beberapa aspek pengurusan. Selain dari perlaksanaan sistem dalam bidang-bidang tradisional seperti kutipan hasil, perkhidmatan kaunter dan sistem maklumat pengurusan, terdapat juga perlaksanaan sistem dalam bidang-bidang baru seperti retrieval systems, automasi kerja (workflow automation) dan pemprosesan imej. Disamping itu usaha-usaha untuk membangunkan infrastruktur teknologi maklumat yang merangkumi pangkalan-pangkalan data dan telekomunikasi telah diteruskan dan telah mencapai beberapa kejayaan.

Kegiatan dalam bidang EDI misalnya, telah pun dilancarkan. Penggunaan komputer yang pesat dapat dilihat di semua sektor dalam perkhidmatan awam iaitu: perdagangan dan perindustrian, keselamatan, pentadbiran dan kewangnan, tanah dan pertanian, pendidikan, sosial dan perkhidmatan sokongan serta di negeri-negeri.

5. Sebagaimana yang kita semua ketahui, pengurusan personel adalah merupakan satu bidang yang kompleks.

Ia mencakupi pelbagai bidang - dari kerja hingga kebajikan, luas - dari mula kerja sampai bersara malah selepas meninggal, tempoh masa - semasa bekerja atau luar masa kerja dan penglibatan - dari individu hingga kelompok yang besar seperti kesatuan. Itulah sebabnya pengurusan personal sangat penting dalam sesuatu organisasi. Wang dan mesin sahaja tidak menjamin kejayaan. Pekerja yang mempunyai ilmu, pengalaman, kepakaran dan bakat adalah amat penting. Kita boleh nampak hakikat ini melalui kemajuan yang di bawa oleh manusia dalam pelbagai kapasiti dan kedudukan mereka.

6. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempunyai tugas yang terhad kepada perlantikan, pengesahan, pemberian taraf berpencen, pertukaran perkhidmatan, rayuan kenaikan pangkat dan tatatertib. Namun begitu `volume'nya adalah besar dan Pelanggannya juga ramai. Dalam keadaan sekarang ia perlu cekap dan berkesan. Hakikat ini sangat penting diberi perhatian kerana tugas-tugas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan menentukan juga mutu pegawai dan perkhidmatan awam pada masa hadapan.

7. Saya berharap Tele SPA ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh semua pihak terutama sekali pemohon jawatan-jawatan kerajaan. Saya juga berharap Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan memberi kerjasama sepenuhnya kerana mereka terlibat dalam memohon pengisian jawatan dan membuat tawaran atau penempatan pegawai yang telah dipilih. Oleh itu mereka perlu membuat pengubahsuaian yang sewajarnya bagi menjamin kelancaran Tele SPA ini.

Kami menerima 4,471,784 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2019 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri