Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI ABDUL HALIM BIN ALI
Tajuk : MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH KUALITI PIHAKBERKUASA TEMPATAN 1998
Lokasi : KUALA TERENGGANU
Tarikh : 07-05-1998
 
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwa Taala kerana dengan izinNya, kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti Pihakberkuasa Tempatan bagi tahun 1998. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu di atas kerjasama yang diberi dalam menjayakan Majlis ini. Sesungguhnya kerjasama yang sentiasa terjalin di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri adalah salah satu kunci kejayaan bagi menjamin kelancaran usaha-usaha pembangunan dan pembaharuan dalam Perkhidmatan Awam negara.

2. Dalam Mesyuarat Kerja Pihakberkuasa Tempatan dan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah yang berlangsung selama 2 hari, tuan-tuan dan puan-puan telah dan akan diberi pendedahan yang luas kepada berbagai bidang berkaitan dengan pentadbiran awam.

Antara bidang-bidang itu ialah penggunaan IT dan Kerajaan Elektronik, Pelaksanaan MS ISO 9000, Penguatkuasaan Undang- undang dan Peraturan di kawasan Pihakberkuasa Tempatan, cabaran-cabaran Pihakberkuasa Tempatan bagi alaf yang akan datang dan berbagai lagi pembaharuan dalam Perkhidmatan Awam terutama sekali yang melibatkan peranan Pihakberkuasa Tempatan. Saya berharap pendedahan seperti ini akan membantu tuan-tuan melengkapkan diri untuk menjalankan peranan harian dengan lebih baik dan meningkatkan lagi kemahiran bagi mengatur strategi-strategi penambahbaikan di masa akan datang.

3. Pihakberkuasa Tempatan adalah suatu institusi di barisan hadapan yang memainkan peranan maha penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Dengan itu adalah amat perlu bagi semua pengurus Pihakberkuasa Tempatan dan kakitangannya supaya sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kaedah-kaedah yang terkini dan terbaru yang boleh meningkat prestasi dan produktiviti. Penambahbaikan kualiti perkhidmatan harus menjadi agenda utama dalam segala usaha yang dijalankan supaya negara terus maju dan mempunyai daya saing yang kuat. Sebab itulah komitmen dan kesungguhan dalam pengurusan kualiti hendaklah benar-benar diamalkan.

4. Pihakberkuasa Tempatan juga hendaklah dapat menjayakan segala projek-projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan. Pelaksanaan projek-projek pembangunan oleh Pihakberkuasa Tempatan sudah pasti akan meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan yang diberikan kepada para pelanggan. Walau bagaimanapun dalam kegawatan ekonomi yang dihadapi negara, hanya projek-projek yang benar-benar difikirkan perlu, wajar dilaksanakan. Saya percaya semua pengurus Pihakberkuasa Tempatan akan berganding bahu bersama-sama Kerajaan menangani masalah kegawatan ekonomi ini sehingga ianya dapat diatasi. Antara sumbangan terbaik ialah elakkan pembaziran sama sekali.

5. Akhir-akhir ini kita juga telah berhadapan dengan beberapa masalah yang melanda negara. Antara masalah itu ialah pencemaran udara akibat jerebu dan masalah kekurangan bekalan air di beberapa kawasan di negara ini.Cara pegawai-pegawai Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan bertindak mengatasi masalah-masalah ini telah dipersoalkan dan prestige serta kewibawaan kita dicabar. Maka eloklah kalau kita mengambil iktibar dari masalah-masalah tersebut dan mencari jalan bagaimana kita dapat bertindak dengan lebih berkesan, lebih bersepadu bagi mengatasinya di masa- masa akan datang. Adalah jelas bahawa pegawai-pegawai tinggi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan-Pihak Berkuasa Tempatan perlulah meningkatkan kebolehan mereka dalam 'crisis-management'. Menyedari hakikat ini, program latihan dalam crisis management akan diberi oleh Kerajaan kepada pegawai-pegawai termasuklah dari Pihak Berkuasa Tempatan. Saya berharap Pihak Berkuasa Tempatan juga akan mengambil inisiatif bagi menentukan semua pegawainya mahir dengan cara-cara membantu orang ramai dalam sesuatu krisis seperti kekurangan air, jerebu dan sebagainya. Dengan adanya sikap bertimbang rasa kepada rakyat secara berterusan, barulah imej serta pandangan rakyat terhadap pegawai Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan dapat dikekalkan pada tahap yang tinggi. Ini adalah penting kerana pandangan rakyat terhadap organisasi-organisasi kerajaan terutama sekali Pihakberkuasa Tempatan hanya dapat dipupuk melalui pemberian perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

6. Saya berasa sukacita apabila dimaklumkan bahawa secara keseluruhannya semua Pihakberkuasa Tempatan yang mengambil bahagian dalam Anugerah Kualiti Pihakberkuasa Tempatan tahun ini telah mencapai tahap pengurusan kualiti yang membanggakan. Disamping itu diperhatikan juga, bahawa kebanyakan Pihakberkuasa Tempatan di seluruh negara, walaupun tidak mengambil bahagian dalam Anugerah Kualiti Pihakberkuasa Tempatan, tidak ketinggalan dalam usaha meningkatkan kualiti. Oleh yang demikian saya ingin mencadangkan supaya Pihakberkuasa Tempatan-Pihakberkuasa Tempatan yang belum pernah mengambil bahagian dalam Anugerah Kualiti ini digalakkan untuk mengambil bahagian pada tahun yang akan datang.

7. Akhir sekali saya amat bersukacita dan bangga dengan prestasi empat Pihakberkuasa Tempatan yang telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Kualiti Pihakberkuasa Tempatan bagi tahun 1998. Keempat-empat Pihakberkuasa Tempatan ini telah benar-benar mengamalkan pengurusan kualiti cemerlang dan mencapai tahap pengurusan kualiti mengikut kriteria-kriteria Anugerah Kualiti Pihakberkuasa Tempatan.

8. Di sini saya ingin mengumumkan Pihakberkuasa Tempatan yang dipilih sebagai Penerima-penerima Anugerah Kualiti Pihakberkuasa Tempatan 1998. Mereka ialah: a. Majlis Perbandaran Kuantan, Pahang; b. Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah, Melaka; c. Dewan Bandaraya Kuching Utara, Sarawak; dan d. Majlis Daerah Kemaman, Terengganu.

9. Tahniah diucapkan kepada keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan. Kejayaan ini tentulah amat membanggakan. Saya berharap keempat-empat Pihakberkuasa Tempatan yang berjaya pada tahun ini akan terus menggiatkan lagi usaha mempertingkatkan prestasi masing-masing di masa hadapan. Serentak itu, semua Pihakberkuasa Tempatan lain bolehlah sedikit sebanyak mempelajari amalan-amalan terbaik pengurusan kualiti seperti yang diamalkan oleh Pihakberkuasa Tempatan yang terpilih tersebut. Ingatlah bahawa Kualiti ialah sesuatu keadaan yang cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan itu tidak terhad atau tetap pada sesuatu tahap. Ianya tidak statik. Ia bergerak sepanjang masa. Justeru itu, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang dikejar, kita mendapati ada lagi sasaran kualiti yang lebih tinggi tahapnya yang mesti kita kejar.

10. Saya juga sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih, yang tidak terhingga kepada Y.B. Dato Baharuddin bin Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, kerana sokongan beliau serta Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjayakan majlis ini. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada Y.Bhg. Dato' Che Mat, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu atas segala bantuan dan kerjasama yang diberi selama Mesyuarat Kerja Pihak Berkuasa Tempatan dan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah diadakan di sini.

Kami menerima 7,445,744 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri