VERBATIM : TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-30 PUTRAJAYA HOLDINGS

17 Oktober 2025

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KE-30

PUTRAJAYA HOLDINGS

17 OKTOBER 2025 (JUMAAT) | 8:15 MALAM

HOTEL EVERLY, PUTRAJAYA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillahi Rabbil Alamin,

Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berbahagia Dato’ Kamil Khalid Ariff,

Pengerusi Putrajaya Holdings Sdn Bhd;

 

Yang Berbahagia Datuk Sr. Mohd Salem Kailany,

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC Holdings Sdn Bhd; dan seluruh penggerak Putrajaya Holdings serta tetamu-tetamu yang saya muliakan.

  1. Tentunya kita mulakan dengan pernyataan syukur kepada Allah SWT, kerana 30 tahun Putrajaya Holdings ini sejarah gemilang, kerana kita saksikan pelaksanaan yang membanggakan bukan sahaja Putrajaya tapi Malaysia dan menjadi perhatian serantau. Tahniah kepada seluruh jentera yang bertukus lumus.
  2. Kebetulan seperti saudara-saudara tahu bahawa ini digerakkan sejak tahun 1995 dikala ekonomi kita segar, memacu pertumbuhan sekitar 10% – 12% setahun.
  3. Dan kita tentunya juga mengucapkan penghargaan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang membantu menggerakkan dan menggesa pertumbuhan ini. Saya pada masa itu, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, tentunya berulang kali diberi taklimat. Kadang-kadang, banyak sangat taklimat yang melelahkan daripada Tan Sri Azizan dan Tan Sri Rashid Hussain, taklimat-taklimat yang panjang. Tapi ternyata pandangan mereka dengan keluarga Putrajaya Holdings itu memberikan pandangan tentang pembangunan kota yang baru, yang menarik dan tidak terikat dari sudut pandangan pembangunan kota yang konvensional.
  4. Kota itu harus memenuhi beberapa keperluan. Tentunya, fizikal, infrastruktur yang diperlukan pada masa itu. Kita sudah setuju untuk pindahkan ibu kota ke Putrajaya, dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Ada beberapa pertimbangan yang rasionalnya, tetapi ternyata tumpuannya ialah pejabat-pejabat kerajaan. Kemudian perubahan bagi penjawat awam dan juga menimbulkan kegelisahan yang besar juga di kalangan penjawat awam pada peringkat awal kerana rasa tidak selesa untuk pindah dari Kuala Lumpur. Tetapi bila mereka saksikan kemudahan dan dengan masjid-masjidnya, dengan kemudahan sekolahnya, prasarana biasa, hospital dan sebagainya, itu lebih tertarik dengan untuk berpindah.
  5. Saudara-saudara harus juga faham, kita sekarang telah menyaksikan pertumbuhannya dan setiap kali umpamanya ada Perdana Menteri, Presiden atau Raja yang melawat dari pejabat saya di Seri Perdana itu, tentunya pejabat dia juga, rumah rasmi bukan rumah saya. Kita dapat saksikan umpamanya pandangan sebahagian yang indah dari Putrajaya dan sangat mengagumkan. Mereka kagum dengan perancangannya, dengan pelaksanaannya, dengan keindahannya. Ada identiti.
  6. Selalu saya gesa bukan baru, sejak dari 90-an, saudara yang biasa tahu saya di antara yang paling keras bagi keteguran terhadap pertumbuhan yang tidak manusiawi. Pembangunan yang menggantikan hutan dengan concrete jungle. Jadi, apa maknanya kota? Kota itu concrete jungle, ganti hutan jadi concrete jungle.
  7. Ini yang saya berulang kali menyebut pandangan pemikir, filasuf Mark Twain. Kritikan yang pertama dalam kunjungan dekat Washington DC, selalu dia sebut impressive buildings, modern, and maybe functional but culturally, ini maknanya dari segi budaya itu gersang. Jadi, ada kekuatan pembangunan, tetapi tidak ada identiti dan juga keindahan seni, budaya menyebabkan kota itu menjadi kota yang disebut kota konkrit, concrete jungle.
  8. Jadi, oleh yang demikian kita lihat ada kelainannya di Putrajaya dan tentunya pada malam ini setelah menghimbau 30 tahun, saya sempat dalam perancangan itu berulang kali melihat satu persatu tapi tidak sempat lihat siapnya sehingga enam tahun kemudian. Selain daripada Istana Keadilan masa itu, tapi oleh kerana Parti Keadilan, nama Istana Keadilan bertukar. Demikianlah sejarah.
  9. Sekarang umpamanya kita tercabar juga untuk pastikan supaya pengisiannya dengan tuntutan baru, dengan peranan swasta dan Tan Sri Jeffrey Cheah dengan konsep Hospital Sunway, di antara yang punyai keupayaan jadi saingan. Pertama, tarikan dari segi kemudahan kesihatan, keduanya saingan di peringkat rantau ini sebagai suatu kemudahan perubatan yang menarik dan menunjukkan prestasi yang membangga dan cemerlang. Apalagi cabang Universiti Sunway yang wujud di merata tempat yang menunjukkan penumpuan kepada bukan saja pendidikan tapi pendidikan yang bermutu.
  10. Saya usulkan setahun yang lebih yang lalu tentang pembinaan Kota Madani. Itu pada hemat saya, kalaupun di antara yang mampu, tentunya Putrajaya Holdings, dan saya ucapkan terima kasih kepada Perbadanan Putrajaya yang memberi kerjasama penuh untuk mempercepatkan proses lulusan itu. Mengapa? Kerana saya kata konsep MADANI ini harus diterjemahkan, pertama dari segi nilai, dan ini penting. Bila kita bincang masalah pendidikan, dengan segala permasalahan fizikal perlu, kebersihan juga perlu, digital perlu, AI perlu. Tapi kadang-kadang kita lupa ialah yang kita bangunkan itu bukan gedung, yang kita bangunkan itu bukan kota, yang kita bangunkan itu manusia. Maka, nilai kemanusiaan atau manusiawi yang disebut dalam Al-Quran, ‘karamah insaniah’ itu hanya titik tolak dari keyakinan, dari nilai. Dan kalau dinilai daripada pembangunan bandar itu harus, tentunya bersih, indah, lestari, ada hijaunya, prihatin tentang perubahan iklim dan tekanan baru, harus moden, harus smart city, harus AI, okey, semua itu.
  11. Tetapi dalam mengambil kira semua faktor ini, yang kita hendak bangunkan sekali lagi itu manusia. Dan ini cabaran terbesar dalam bidang pendidikan dan juga pembangunan kota. Jangan bicara soal nilai di sekolah, tapi tidak bicara soal nilai di rumah. Ataupun tatkala membangunkan gedung-gedung dan kota.
  12. Sebab itulah maka kita cuba. Saya usulkan kepada Putrajaya Holdings ini, ini suatu cabaran. Kerana ini adalah keupayaan Putrajaya Holdings membangunkan satu kota baharu, indah, lestari dan memenuhi beberapa konsep yang agak MADANI. Tetapi zaman berubah, dan keadaan, masa menuntut beberapa perubahan dan pengenalan teknologi baharu. Sebab itu kita sebut smart city, sebut AI.
  13. Keperluan perumahan tentunya keperluan kemudahan-kemudahan lain yang mungkin tidak sempat terjangkau dalam pemikiran tiga dasawarsa atau tiga dekad yang lalu. Jadi, saya juga setelah melihat perancangan, saya ucap sekali lagi penghargaan terima kasih kerana dapat menanggapi dan hadam maksud MADANI dari sudut kemanusiaan atau insaniah itu. Mudah-mudahan kita dapat lihat dalam masa yang singkat. Yang saya tak boleh tolak ansur ialah kalau lambat, jadi kena cepat.
  14. Jadi syarikat perbadanan dan semua jentera kerajaan diberikan kerjasama penuh. Ini tunggu Putrajaya Holdings untuk bubuh full speed ahead. Saya yakin itu, saya gurau sahaja. Karang dia tak bagi makan pula (nada berseloroh).
  15. Jadi sekali lagi saya nak ucap malam ini santai sahaja. Kalau saudara lihat macam-macam acara, saya jarang nak hadir majlis-majlis seperti ini. Saya wakil sahaja sebab yang penting kerja, sambutan-sambutan, jamuan-jamuan itu saya sudah jarang sangat kerana saya tumpu masa untuk membaca dan menulis waktu malam, sedaya upaya saya. Tetapi mengenangkan Putrajaya Holdings itu diasaskan oleh Mantan Perdana Menteri semasa saya pembantu setia masa itu, tapi dia start nak siap sahaja saya diberikan cuti panjang masa itu, kena tunggu enam tahun baru dapat lihat apa dia Putrajaya ini.
  16. Dan kalaupun sempat lihat itu, kadang-kadang masa hanya di, seperti saya katakan tadi di mahkamah, apalah nasib. Walaubagaimanapun, pada malam ini saya hadir nak tunjukkan bahawa saya rasa bagi pihak kerajaan, bagi pihak rakyat dan negara, kita harus mengiktiraf dan menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan yang telah memberikan sumbangan dulu dan sehingga kini yang membanggakan. Semoga Allah SWT merestui usaha kita semua.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: