VERBATIM: TEKS AMANAT YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA MAJLIS AMANAT PERDANA INTEGRITI NASIONAL (MAPIN) DAN ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS DAN ANTIRASUAH (AIGA) 2025

22 Oktober 2025

TEKS AMANAT

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS AMANAT PERDANA INTEGRITI NASIONAL (MAPIN) DAN ANUGERAH INTEGRITI, GOVERNANS DAN ANTIRASUAH (AIGA) 2025

22 OKTOBER 2025 (RABU) | 11.30 PAGI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA

(PICC)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillahillazi anzala ala abdihil kitaba

walam yaj’allahu a’i wajah

wa salli wa sallimu ala rasulihil karim

 wa ala alihi wa sahbihi ajma’in

Yang Amat Berhomat Dato’ Seri Amirudin Bin Shari,

Menteri Besar Selangor;

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia;

Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

Yang Berbahagia Ketua-ketua Perkhidmatan;

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Yang Berbahagia Datuk Teknologis Ahmad Ramdzan bin Daud,

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM);

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Akhbar bin Satar,

Pengerusi Jawatankuasa Induk AIGA 2025;

Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin sekalian.

  1. Tahniah dan khususnya kepada Institut Integriti yang dapat menyelenggarakan majlis pada hari ini.
  2. Saya mohon maaf kerana tiba lewat dari jadual, kerana kita putuskan untuk membentangkan kenyataan Menteri di Parlimen susulan dari keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menuntut supaya ada perundingan melaksanakan 112 C dan D dalam perlembagaan tentang bayaran kepada negeri Sabah.
  3. Jadi, saya telah mengambil kesempatan itu dalam menghormati keputusan mahkamah, tetapi perlu menjelaskan bahawa sebagai sebuah negara yang terkait juga dengan integriti kita mesti memenuhi dan melaksanakan janji kita terutama dalam semangat persekutuan.
  4. Tetapi kerana keputusan itu tentunya mengundang pelbagai tafsiran atau tohmahan maka saya perlu memberi penjelasan.
  5. Saudara-saudari yang ramai pernah bertugas di pelbagai negeri termasuk Sabah, saudara-saudari yang memegang jawatan di peringkat Persekutuan tahu bahawa tanggungjawab kita ialah mengangkat kedudukan martabat ekonomi sosial semua negeri dan dalam memutuskan kerangka besar kelulusan projek-projek, Rancangan Malaysia ke-13 umpamanya, dan belanjawan negara itu diambil kira.
  6. Jadi sebab itu kita tidak boleh lihat, meneropong dari sudut satu kaum, satu kabilah, satu negeri dan mengetepikan kepentingan yang lain itu yang bagi saya semangat yang merentas semua peruntukkan dalam perlembagaan negara kita. Jadi saya telah rumuskan umpamanya ada satu peruntukan, 122C dan D yang menetapkan pemberian khas. Ini terkait hanya bagi Sabah dan Sarawak dan memang sejak Malaysia ditubuhkan pemberian itu sekitar RM26 juta dan ada kerajaan terdahulu, negeri yang memohon sekitar RM56 juta pada tahun 2019, 2022 dinaikkan sekitar RM126 juta.
  7. Tetapi bila saya mengambil alih dan berunding dengan rakan-rakan di Jemaah Menteri dan juga di kalangan penjawat awam melihat semula, berunding dengan negeri-negeri, maka kita fikirkan wajar dinaikkan. Jadi pada tahun 2023, dinaikkan kepada RM300 juta sebagai interim untuk memikirkan 112C itu menetapkan 40% 112D menyatakan 40% dengan mengambil kira keupayaan kerajaan, kewangan kerajaan persekutuan pada suatu ketika.
  8. Jadi pada tahun 2025, sekali lagi saya naikkan dari RM300 juta. Bermakna dari RM126 juta naik RM300 juta kita naikkan RM600 juta itu pun kita sebut interim kerana apa maksud hasil negeri Sabah. Maka, Kementerian Kewangan, KSP diarah supaya mengumpulkan semua data yang menunjukkan hasil, dari cukai, dari langsung dan tidak langsung, LHDN, Kastam dan pelbagai sistem percukaian. Jadi dalam perkiraan amaun itu, sekitar RM10 bilion ringgit hasil daripada negeri Sabah.
  9. Berapakah belanja yang kita peruntukkan pada tahun 2025 dan unjuran 2026, RM17 bilion ringgit. Ini bukan kerana pertimbangan khusus Sabah tetapi kerana keperluan kita membina lebuh raya yang belum ada atau belum siap. Bekalan air yang masih belum siap. Jadi diluluskan tahun 2024 dan insya Allah siap tahun depan.
  10. Elektrik, Sabah Elektrik yang dulunya di bawah pusat diserahkan kepada Negeri. Tapi Negeri tentunya tidak upaya untuk menjana pelaburan awal. Maka Kerajaan Persekutuan walaupun diserah kepada Negeri, masih membelanjakan RM1.2 bilion bantuan dan juga pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan.
  11. Saya terangkan hal ini kerana bila kita bicarakan soal governans, tata kelola dan integriti maka dia mesti dilihat secara menyeluruh. Kalau tidak kita ini jadi mangsa orang-orang politik picisan. Sebab itu di Parlimen saya kata sebenarnya yang bantah ini juga dulu Menteri-menteri. Ada mantan Perdana Menteri, itu Menteri Kewangan. Ya, ada pelbagai menteri. Menteri wilayah, Menteri Sabah dan Sarawak. Tapi dia bicara seolah-olah sekarang tidak lakukan. Saya tentunya harus jawab, masa kamu menteri, kamu beri RM26 juta. Masa kami pegang jawatan, kami naikkan RM600 juta.
  12. Tapi perbalahan itu satu. Soalnya dalam mengendali Negara, urusan ekonomi, sosial negara, hal-hal kepentingan negara itu harus dijaga. Negara ini harus aman dan utuh. Boleh ada perbezaan pandangan. Kalau ada pandangan mengatakan dana untuk pendidikan di Sabah harus ditingkatkan, saya tidak ada masalah. Kerana masih banyak sekolah-sekolah di Sabah, Saudara Amiruddin banyak hari di sana, dia tinggal Selangor kejap pasal nak tumpu zon Sabah ini, dan semuanya berpendapat begitu. Jadi soal hasil dari Sabah RM10 bilion, belanja untuk Sabah RM17 bilion, bagi saya bukan isu, ttu ikut keperluan.
  13. Perlis, sampai sekarang masih dibantu termasuk dari segi gaji penjawat awam kerana hasilnya sangat terbatas. Tetapi tidak wajar untuk beberapa negeri yang dikuasai oleh pembangkang di semenanjung yang mengatakan kami dianak tiri, kami dizalimi kerana kenyataannya berbeza dengan apa yang kita lakukan dalam beberapa tahun Kerajaan MADANI ini membuktikan peruntukan untuk Kelantan, Tengganu Kedah dan Perlis itu ditambah. Bukan kerana kita pilih untuk tambah, tapi kerana banjir paling parah di Kelantan.
  14. Jadi Tan Sri Wan Dahlan walaupun dia KPPA, dia semangat Kelantan itu luar biasa. Jadi kalau jumpa saya itu masih banjir di Kelantan. Dan oleh kerana keperluan itu maka lonjakan perbelanjaan untuk Kelantan tentunya harus tinggi.
  15. Ini saya jelaskan tentang bagaimana urus governans yang punya integriti. Dan ambil kes lain umpamanya, tahun 2003-2004, mantan Perdana Menteri yang menjadi jaguh besar mereka sekarang, membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya masih di Sungai Buloh waktu itu, istirehat. Tapi, saya tidak setuju. Betul ada masalah kurikulum, ada masalah kadang-kadang kita rasa aliran kurang wajar, tetapi ratusan ribu anak-anak itu tidak harus dikorbankan kerana perbezaan pandangan politik. Ini soal integriti. Kita nak jaga negara atau nak jaga parti sehingga menidakkan hak yang lain.
  16. Jadi, sejak kita ambil alih dalam Kerajaan MADANI, kita bukan sahaja kembalikan dana itu kepada sekolah agama rakyat yang banyak dimanfaati oleh rakan-rakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Saya tak harap dia terima kasih. Tapi dia masih berkata, “kami dizalimi dan MADANI ini tidak adil”. Tak apalah. Dari segi politik ini saya akan jawab. Jadi orang tanya, kadang-kadang mengapa saya jawab dalam majlis-majlis begini? Saya terpaksa jawab. Saya nak penjawat awam faham dan melihat integriti dan governans ini sebagai suatu konsep dasar yang harus konsisten.
  17. Bukan setakat itu, setelah menjalankan tugas saya mula hadir ke beberapa pondok-pondok dan saya lihat terlalu usang, terlalu daif. Jadi peruntukan yang dulu diberikan kepada sekolah agama tidak cukup. Jadi saya ambil keputusan, sediakan segera sekitar RM 36 juta untuk baiki sekolah-sekolah daif. Itu sekolah-sekolah anak kita, mungkin bukan anak-anak kita di sini, tapi anak-anak kita di kampung, di desa, di pedalaman yang miskin.
  18. Tentunya untuk tahun-tahun berikut, kita akan tambah. Bila saya suruh tambah, KSU KE dia tak angguk. Dia kata “mana nak cari ni?” (dengan nada berseloroh). Kita tambah, tetapi dalam rundingan saya dengan Tok-tok Guru Pondok itu menarik. Sebab itu saya kata governans ini, dia lebih canggih. Dia tidak semudah. Sekolah dhaif, harus dibantu? Ya. Tetapi zeitgeist, tuntutan zaman ini menunjukkan bahawa governans, integriti, dan keperluan semasa.
  19. Kalau dulu, sebelum kemerdekaan, permulaan penjajahan, apa yang berlaku? Ini saya pernah ungkapkan dahulu. Seluruh sistem itu dirobohkan dan diganti dengan sistem Inggeris atau Belanda di Indonesia, Mesir, Inggeris, Perancis, Algeria, Libya, Itali. Apa yang dirobohkan? Pertamanya kuasa politik hancur digantikan oleh mereka. Sistem ekonomi, hanya sistem ekonomi yang ditentukan oleh penjajah dan dipunggah kekayaan dikembalikan negara mereka. Sistem pendidikan diganti dengan sistem pendidikan mereka, bahasa-bahasa mereka, budaya-budaya mereka, dan seluruhnya.
  20. Pondok yang kita panggil di sini, pesantren di Indonesia, itulah satu-satunya benteng yang pertahankan akidah, akhlak dan ilmu agama umat Islam, betapa lemah pun, betapa kurangnya pun, itulah satu-satunya benteng pertahanan, iman, ilmu, dan di banyak tempat roh perjuangan. Sebab itu, pengkaji Islam yang kemudian menjadi penasihat penjajah Belanda, Snouck Hugronje, dalam buku dia The Achehnese dan satu lagi Mekka in the Latter Part of the 19th Century, menulis tentang masa dia mengaku masuk Islam, namanya Abdul Rafad. Nama betulnya Snouck Hungronje, kahwin dengan anak orang Jawa. Kemudian telah beberapa tahun dikesan oleh mukhabarat intelligence risikan Saudi, ditangkap, diusir keluar.
  21. Tapi yang penting dalam dua buku yang saya sebut tadi, Mekka in the Latter Part of the 19th Century, dia lihat bagaimana bapa-bapa, ibu-ibu kita dulu, orang-orang Jawi ini pergi ke Mekah bukan sahaja pergi ambil haji, tapi menimba ilmu. Ada kelas-kelas dia, dia duduk di situ, dia timba ilmu. Di antara guru yang terkenal, Syaikh Ahmad Khatib dan ditanam keyakinan tentang kekuatan negara yang harus merdeka dan menolak sistem asing penjajahan. Jadi ditanam apa yang disebut ruh Islam, Ruhul Jihad. Jadi dia balik itu dia buka pesantren di Indonesia dan dia buka pesantren itu tentunya berbeda. Sistem pendidikannya berbeda, budayanya berbeda, akidahnya berbeda. Jadi dimula bibit-bibit pertentangan dengan penjajah Belanda.
  22. Sebab itulah dalam rencana The Ethical Policy 1901, my history is still not bad Zaid Rashid, masih ingat Queen Wilhelmina, Belanda. Dia menganjurkan supaya dihalang atau dipersulitkan pergi ambil haji. Kerana bila dia pergi haji itu dia kembali dengan satu semangat dan jiwa. Kita balik juga tapi ganti daripada haji ke al-haj. Tapi yang lain itu kita nilai sendiri lah ya.
  23. Baik, apa kaitan dengan yang nak sebut ini? Saya nak sebut ini pasal pondok dan pesantren. Jadi walaupun kita ada pandangan, saya secara terus terang saya beritahu kepada Syeikh-syeikh termasuk Syeikh Wazir dari Kelantan. Dia kata, Syeikh okey boleh terima.
  24. Saya tak ada masalah nak baca kitab-kitab lama: Kimiyaus Sa’adah (Hujjjatul Islam Al-Ghazali) atau Munyatul Musolli (Syeikh Daud Abdullah Al-Fatoni). Tetapi saya kata “Syeikh, anak-anak ini kena tahu apa dia teknologi baru, apa dia AI, apa dia digital, apa dia 5G” Dia kata, “Gapo dia?” Jadi ambo terang sikit. Kita terang, dan saudara-saudara, tok-tok guru ini kata okay. Jangan ganggu sistem pendidikan dia. Nak tambah, dipersilakan.
  25. Jadi saya kata, kalau begitu baik, kita baiki. Kita kata teruskan dengan sistem dia yang ada. Kitab-kitab ini yang selesai, tetapi masukkan input yang baru. Tetapi tak tinggal soal integriti kerana saya katakan tadi ya, soal nilai, soal akhlak itu masih mereka beri penekanan tetapi soal governans itu penting.
  26. Dan ini bukan perkara baru. Governans ni: Al-Ahkam as-Sultaniyyah – Al Mawardi, Al-Farabi dengan Al-Madinah al-Fadilah. Itu Islam, rituals, ilmu tapi dikaitkan dengan governans, kerana governans juga penting.
  27. Kalau tidak saudara dengar umpamanya ada orang politik daripada sana dia kata, ‘sistem sekarang ini ditolak kerana kerajaan hanya cukai orang miskin dan orang kaya diberi bantuan.’ Saya rasa ini dari kitab mana dia baca? Jadi sebab itu Pendidikan, pencerahan itu perlu. Itu soal governans dan integriti yang saya kaitkan dari segi pemerintahan keseluruhannya. Dan saya percaya dari segi governans dan integriti, saya percaya Institut Integriti Malaysia dan KSN ulas dengan begitu baik, tapi saudara faham betapa pentingnya.
  28. Dan ini termasuk anti-rasuah. Kalau man of integrity is, of course, a man who is not corrupt, and good governance essentially means good values, proper humanitarian aspirations.
  29. Jadi kalau konteks itu saudara faham mengapa selain daripada kehebatan kita, kejayaan kita dalam MADANI framework ini, kerangka MADANI, saya sangat kuat tekankan tata kelola.
  30. Dan saudara lihat, tahniah kepada Institut Integriti Malaysia kerana memberi asakan itu kuat. Tengok SPRM, LHDN, Polis Diraja Malaysia, AKPS — itu kerana kejayaan mereka itu menyebabkan kita boleh kumpul dari kartel, dari cukai tak terbayar, dari pelbagai sumber rasuah, itu RM15.5 bilion.
  31. Saudara bayangkan, what is wrong with our system? Why is it that despite all this incessant propaganda and message about integrity, good governance, and anti-corruption, we still have these huge leakages?
  32. Dua tahun kita dapat kumpul RM15.5 bilion. Apa yang jadi wang itu sebelum ini? Lima tahun lalu? Sepuluh tahun lalu? Ke mana? Apakah ini sahaja? Ada lagi.
  33. Oleh sebab itu saya gunakan majlis ini sebagai khulasahnya untuk merayu kepada saudara-saudari, faham, mahu selamatkan diri kita, keluarga kita, menjamin masa depan anak-anak kita, dan jamin hebatnya negara Malaysia tercinta ini, dia mesti bermula dengan governans, dengan integriti, dengan penolakan rasuah.
  34. Kerana sistem di kalangan elit ini tidak senang. Saudara bayangkan polemik wacana, debat di Parlimen, paling kurang ini soal-soal ini. Kalau ada pun soal corruption, itu hanya dituju untuk salah satu dua kes politik. Tetapi tidak ada sambutan. Itulah sebabnya mengapa saya sambut.
  35. Saya tahu saudara-saudara dah lapar, “bila lah nak habis ni ya Allah” (nada berseloroh) Jadi saya ingin ucap terima kasih kepada saudara-saudara, tahniah Institut Integriti Malaysia, KSN, KPPA yang membantu dan kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor dan lain-lain. Semoga Allah SWT merestui usaha kita.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Share: