TEKS VERBATIM YAB PM : WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA SOALAN KEDUA

6 Oktober 2026

TEKS VERBATIM

WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA

PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2026 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DARIPADA

:

DATO’ SRI SAIFUDDIN BIN ABDULLAH

[INDERA MAHKOTA]

TARIKH

:

6 OKTOBER 2026 (SELASA)

 

SOALAN

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Indera Mahkota minta PERDANA MENTERI menyatakan mengapa kes-kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan telah ditetapkan oleh Kerajaan.

JAWAPAN

 Terima kasih, Indera Mahkota. Hal ini tentunya memprihatinkan kerana ini melibatkan keselamatan dan nyawa anak-anak kita di sekolah. Yang terakhir, tentunya kisah anak-anak kita, Irene Sofiya di Johor. Sebelum ini, hebah soal Zara Qairina di Sabah, Wan Ahmad Faris di Kelantan, Shing Xuen di Selangor, Muhammad Idlan Fareeq di Negeri Sembilan.

 

Sebab itu, Kementerian Pendidikan adakan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan dengan kerjasama polis dan ibu bapa. CCTV dipasang, tetapi dalam kes terakhir CCTV dipasang, tak mungkin dipasang sampai keseluruhan sekolah. Jadi kejadian berlaku di tempat tidak dapat dirakam oleh CCTV.

Walau bagaimanapun, saya ucap tahniah kerana pihak PDRM telah mengambil tindakan tegas, ada yang ditangkap dan soal pendakwaan tunggu keputusan Jabatan Peguam Negara.

Saya setuju dalam kes-kes seperti ini, apa jua pun alasan, tindakan harus cepat dan tegas. Tetapi kita sebenarnya bicara mengenai sekolah yang begitu banyak dan bilangan sekolah rendah dan menengah, mencecah ribuan, tengok angka:

 

Sekolah    : 10,259 buah

Murid         : 5,133,158 orang

Guru          : 428,379 orang

 

Apakah langkah yang munasabah kita lakukan? Ya, tindakan harus tegas. Kesedaran guru, anak-anak, kita harus tingkatkan. Kita membesar, ada kes-kes ini berlaku dulu, zaman kita, tetapi saya, pengalaman saya tak pernah dengar kes separah sekarang.

 

Kes yang baru-baru ini berlaku, walaupun belum sempat terjun, dimarah oleh ibu bapa, pergi ke sekolah, bapa nak semak keputusan di sekolah, terus pergi nak terjun. Jadi, didikan asas agama, akhlak, kecintaan kepada ibu bapa, hormat kepada guru-guru itu harus kita tingkatkan dan saya setuju. Tetapi sekadar langkah yang diambil oleh Kementerian ini, ya soal pemantauan, asrama, audit keselamatan, kapasiti penyeliaan murid, kaunseling, tentang mental issues, inisiatif kesejahteraan, itu semua telah dilakukan. Apakah mencukupi? Saya fikir belum. Saya percaya Indera Mahkota juga tahu berdasarkan pengalaman beliau di Kementerian Pendidikan, tentang hal yang begitu mencabar.

 

Apakah langkah-langkah yang lain perlu diambil? Saya setuju harus diambil, tetapi kalau berlaku adil, yang sepatutnya dia harus melibatkan semua. Mengapa harus ada ibu bapa yang hampir tidak ambil tahu langsung kebajikan anak-anak mereka? Atau sekolah tidak segera melaporkan? Kementerian Pendidikan, apa yang perlu diambil tindakan segera, sekarang ini garis panduan sudah lakukan. Tetapi saya tidak percaya kes ini boleh selesai tanpa kesedaran dan penglibatan semua pihak. Jabatan Pendidikan tentunya, guru, guru besar atau pengetua. Asrama sekarang sudah ada, kalau di asrama ada kawalan yang lebih ketat.

 

Tetapi kesedaran ibu bapa yang betul. Bagaimana boleh ibu bapa sampai tidak ambil tahu sama ada anak balik atau tidak balik dari semalam? Anak sekolah rendah atau menengah rendah? Bagaimana boleh berlaku dan dari kenyataan-kenyataan, hampir semua yang terlibat itu, semua merasa kecewa, benar-benar rasa kecewa kerana tidak dilayan baik oleh ibu bapa.

 

Saya tidak bermaksud nak salahkan ibu bapa, tetapi maknanya tanggungjawab keluarga. Unit keluarga itu mesti menjadi asas. Negara tertegak dengan unit keluarga yang kukuh. Jadi, dalam bidang ini, bila kita lihat masalah, janganlah kita hanya merasa kesal setelah ada laporan. Ini sudah, saya kata kesnya berapa kes? Hampir semua negeri sekarang. Kelantan, Sabah, Selangor, Negeri Sembilan, Johor. Ini yang mati. Yang cedera parah, yang cuba nak bunuh diri, yang sempat diselamatkan, yang kes buli dan penderaan di sekolah, itu masih berlaku. Dan saya percaya kita harus bersama-sama ambil langkah yang perlu.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 1

Ya, terima kasih, Yang Amat Berhormat Tambun atas jawapan. Kalau Menteri Pendidikan jawab macam Yang Amat Berhormat, banyak masalah boleh selesai. Cuma saya tak pernah di Kementerian Pendidikan. Saya pernah di Kementerian Pengajian Tinggi.

 

Angka-angka Yang Amat Berhormat sebut itu memang merisaukan. Ada kes kematian di sekolah mungkin tiada kaitan dengan buli. Ada kes mungkin ada kaitan dengan buli. Betul, ada kes-kes kecederaan yang tidak mengakibatkan kematian. Pokoknya, dia semakin meruncing akhir-akhir ini.

 

Jadi, mungkin nanti boleh dibekalkan data berapa sebenarnya yang meninggal dunia akibat A, akibat B dan sebagainya. Cuma saya terbaca kenyataan Ketua Polis Negara semalam mengatakan, jangan sembunyikan isu keselamatan di sekolah demi jaga nama baik, kerana tindakan itu menyukarkan usaha polis menangani sesuatu kejadian.

 

Begini, Yang Amat Berhormat, Ahli-ahli Parlimen di sebelah sini dan di sebelah sana sama-sama concern. Dan kita bicara soal ini dan kita memberikan pandangan dalam Dewan ini juga. Kami memberikan pandangan dalam dua (2) bentuk yang komprehensif, termasuk ada dokumen berjudul Reformasi Pendidikan atau Cadangan Reformasi Pendidikan dan diserahkan kepada kedua-dua Menteri dan dibahas di sini.

Juga perkara-perkara atau cadangan spesifik, sebahagiannya disebut oleh Yang Amat Berhormat, Rondaan, SOP, CCTV, masalahnya ada blind spot, kawalan sistem keluar masuk, tambah guru kaunseling dan audit keselamatan. Kami faham bahawa perkara ini susah. Perkara ini bukan perkara yang mudah dan kita bukan berniat untuk menyalahkan sesiapa.

Yang kami terkilan Yang Amat Berhormat, ialah semacam ada kekurangan sense of urgency atau leadership. Saya tak nak sebutlah siapa Yang Amat Berhormat pun faham. Saya dah menghimbaunya dalam frasa pertama yang saya ungkapkan tadi. Dalam kes Zara, sebagai contoh, 2 minggu tiada penjelasan. Saya bangun di sini pada 30 Julai 2025. Saya bertanya lapan soalan. Menteri bertanggungjawab di depan saya. Soalan saya itu bukan semua berkaitan dengan polis. Tiga daripadanya bab sekolah. Satu pun dia tak jawab.

Isu buli, semasa perbahasan RMK 13, lebih 10 orang MP berbahas. Dari sana dan di sini, mungkin 15 orang. Ketika penggulungan, tak jawab. Kes Sofia, saya minta Menteri buat keterangan Menteri di Dewan Rakyat semalam. Mujurlah Yang Amat Berhormat datang menjawab. Jadi, adalah sedikit maklumat yang dapat kami terima. Kami tahu pegawai-pegawai, guru-guru bekerja keras dan kami sangat berterima kasih. Tetapi soal sense of urgency, leadership itu pada kami sangat mustahak. Kami bukan mahu membalun, kami mahu membantu. Yang kami harapkan ialah Yang Amat Berhormat pantau hal ini.

 

Sebab yang kami dapat, saya nak beritahu Yang Amat Berhormat, yang kami dapat ialah ungkapan, “Jangan ganggu kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru kami.” Come on. Terima kasih.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Terima kasih, Indera Mahkota. Saya tahu jiwa dia sebagai pendidik masih kekal. Saya kenal lama. Jadi, saya tidak pertikai hasrat Yang Berhormat dan keprihatinan Yang Berhormat. Cuma langkah-langkah yang diambil itu ada, cuma mungkin tidak dijelaskan sepenuh. Umpamanya, di sekolah sejak dihebahkan dulu, CCTV dipasang dan tiga juta sekolah, lima juta di Sekolah Asrama Penuh, ringgit. Dan tahun depan kita tambah lagi 15 juta untuk 1000 sekolah.

Untuk guru bimbingan dan kaunseling baharu, masa kita di sekolah tak bangkit hal ini, tapi sekarang 5107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling. Kita tambah kerana nak selesaikan masalah ini. Pembantu warden asrama, 300 MySTEP telah dilantik. PDRM masuk dan diberi izin untuk masuk ke sekolah bila-bila masa, secara rasmilah dengan pakaian seragam. Kemahiran dan sokongan psikososial, 400 warden diberi latihan setakat ini.

Yang ke-6, kuasa kepada pengetua, guru besar, iaitu kuasa disiplin lebih berat. Dan beda juga daripada generasi kita. Kalau kena pukul, kalau balik rumah beritahu ibu bapa, ibu bapa pukul lagi. Kalau sekarang kalau kena jentik sedikit, disaman. Jadi, ada juga beberapa permasalahan kesedaran keluarga dan rakyat.

Ke-7, kuasa disiplin boleh diturunkan kepada guru. Ke-8, sistem disiplin murid ditambah baik, ke-9, advokasi suara murid, kita dengar masalah murid. Yang ke-10, Polisi Pelindungan Murid sekolah, dan 11, Saringan Minda Sihat – mental issues yang dibangkitkan.

Jadi dari segi urgency, mungkin tidak dijelaskan dengan begitu baik, mungkin kita akan baiki. Tetapi saya mohon maaf, saya belum lihat kertas Reformasi Pendidikan. Itu memang dekat dengan jiwa saya. Saya akan minta khas kertas Reformasi Pendidikan yang dibentangkan oleh pihak pembangkang, khususnya Yang Berhormat Indera Mahkota. Kerana isu buli dan dera ini, saya dalam beberapa ucapan saya di sekolah itu saya keras sekali. Dan masalah ada kadang-kadang dilindungi, kadang dia tak mahu imej sekolah itu buruk. Jadi, nak jaga prestasi sekolah, jadi bagi laporan yang baik, padahal anak-anak di sekolah itu merasa terdera, tertekan masuk ke sekolah.

Jadi, saya setuju. Dan apa yang digesa oleh pihak PDRM, jangan sembunyikan. Kita sembunyikan nak jaga imej sekolah, ini yang rosak anak ini, kita tak fikir. Pendekatan tak betul. Jadi, saya akhirnya saya menyebutkan bahawa urgency harus ada.

Ada kelemahan awal, tatkala kita tangani kes Zara dulu. Itu semua diakui. Tetapi kita harus belajar dari kelemahan itu dan perbaiki, perketatkan peraturan. Tetapi akhirnya, walaupun ada yang disebut tadi, akhirnya kesedaran rakyat, ibu bapa kitalah dan keluarga pantau.

Saya anak-anak dah besar, tapi dengar juga pandangan daripada cucu-cucu. Dan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat itu memang relevan. Bagi semua kita. Mudah-mudahan kita dapat selamatkan negara kita daripada kes-kes yang sangat orang kata menyentuh perasaan kita. Terima kasih.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 2

YB TUAN HAJI AMINOLHUDA BIN HASSAN [ SRI GADING ]

 

Terima kasih Dato’ Speaker.

 

Kalau kita menghimbau zaman-zaman dululah, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Kisah kalau mak ayah kita hantar ke sekolah, mak ayah akan sebut kepada guru, “saya hantar anak saya untuk belajar. Patah tak apa, tapi jangan mati.” Dan zaman Perdana Menteri jugalah daripada sekolah yang namanya Kementerian Pelajaran dipindahkan kepada Kementerian Pendidikan, yang membawa maksud di sekolah itu adalah unsur-unsur pendidikan, membentuk generasi rakyat Malaysia kepada yang lebih baik.

 

Apa yang penting kepada kita pada hari ini, apabila berlaku kes-kes seumpama ini, ramai yang di kalangan rakyat negara kita menyalahkan banyak pihak. Ada yang menyalahkan pihak sekolah, ada yang menyalahkan kementerian dan masing-masing bergaduh dalam WhatsApp yang berkenaan.

 

Persoalan daripada Sri Gading, pertama sekali, apabila melihat kejadian seumpama ini, saya sebagai peranan pernah menjadi guru selama 30 tahun. Apabila kita melihat kalangan pelajar-pelajar yang bermasalah. Pertama tadi, jawapan daripada Yang Amat Berhormat, CCTV kurang. Tapi kita sedia maklum bahawa kes-kes yang berlaku ni kadang-kadang di luar daripada waktu pembelajaran. Contoh, kes yang terbaru di Ayer Hitam ini berlaku pada waktu hari Sabtu, bukan hari bekerja. Ada tuisyen. Dan di sinilah sebenarnya kelompangan-kelompangan penjagaan dari segi keselamatan kepada murid.

 

Sebab itu, adakah tuisyen yang menyebabkan mengejar pencapaian sesuatu pembelajaran ataupun keputusan itu menjadi matalamat utama menyebabkan guru terbeban dengan nak kejarkan pencapaian, maka terpaksa mengadakan tuisyen. Dan itu juga harapan ibu bapa, dan inilah yang sebenarnya kadang-kadang terbeban kepada guru.

 

Apa yang penting kepada kami sebagai ahli Parlimen pada hari ini, kita ingin dapat penjelasan daripada Perdana Menteri sendiri. Adakah peraturan rotan itu telah dimansuhkan? Sebab ini, ramai yang berkata sedemikian rupa, satu.

 

Yang kedua, bagaimanakah apabila peringkat ibu bapa dalam persatuan PIBG, adakah penglibatan ibu bapa dalam sesuatu mesyuarat agung khususnya, dapat memastikan kehadiran ibu bapa untuk hadir dan mendengar sendiri segala perkara yang berlaku di sekolah supaya apa tindakan-tindakan, ketegasan guru. Kadang-kadang ketegasan guru ini menyebabkan ibu bapa tak puas hati, menyebabkan guru-guru ada yang disaman oleh ibu bapa, sedangkan ketegasan guru tadi, pertama untuk mendidik. Yang kedua, untuk memastikan pencapaian pelajar itu sendiri berjaya dengan cemerlang.

 

Jadi, apakah harapan Perdana Menteri selaku Perdana Menteri-lah, nak melihat rakyat kita ni yang berada di sekolah ni, cikgunya diberikan peluang yang baik pada waktu yang sama tidak menyalahkan juga kepada pihak sekolah yang berkenaan. Terima kasih.

SPEAKER:

Saya ingin meingatkan ahli-ahli Yang Berhormat yang lain tu, adab ada. Saya bagi ruang. Don’t go overboard. Saya perhati. Saya perlu halau Yang Berhormat keluar, saya akan halau.

 

Silakan Yang Amat Berhormat.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Terima kasih, Yang Di-pertua.

Saya sebut adab betul. Dalam sistem pendidikan, kita mulakan motto, “menggapai yang di langit, mengakar di bumi.” “Mengakar di bumi” tentunya permasalahan adab. Dan di antara hadis Nabi Muhammad SAW yang kita jadikan teras dalam sistem pendidikan kita adalah ‘addabani rabbi fa-ahsana ta’dibi.’ Jadi pendidikan, ilmu, pencerahan, tidak boleh terlepas daripada soal akhlak, soal adab.

Tapi, ini satu ujian besar kepada kita. Apakah tidak ada perubahan? Ada. Umpamanya tahun ini, ketimbang tahun-tahun sebelumnya, dari segi laporan kes salah laku buli, umpamanya. Dari Januari sampai Ogos 2026, itu 5,681 yang dilapor. Tentunya lebih besar kalau dia tak lapor. Ini maknanya buli fizikal, buli lisan, buli bukan lisan, buli siber. Dan kita patut tingkatkan lagi kefahaman masyarakat dan ibu bapa supaya dapat mengekang perubahan ini.

Apakah peranan PIBG? Tentunya peranan ibu bapa selain daripada guru dan sekolah, kerana banyak juga kejadian ini berlaku selepas waktu persekolahan. Jadi tanggungjawab sekolah dan ibu bapa. PIBG, banyak PIBG yang bergerak, tapi kalau kita lihat PIBG itu penyertaan ibu bapa terbatas sekali.

Sebab it,u sekarang kita usulkan beberapa pembahagian bantuan itu yang selalu diluluskan langsung melalui akaun bank, kita minta diluluskan kepada ibu bapa di sekolah, sekurang-kurangnya mewajibkan ibu bapa datang ke sekolah dan di situ ada engagement dengan guru-guru.

 

Dan guru, macam cikgu juga tahu, saya pun guru. Jadi kalau panggil saya guru, saya bangga (nada berseloroh).

 

Terima kasih.

 

SOALAN TAMBAHAN 3

YB TUAN AFNAN HAMIMI BIN DATO’ HAJI TAIB AZAMUDDEN [ ALOR SETAR ]

 

Terima kasih Dato’ Speaker.

 

Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Isu kes-kes di sekolah ni, saya bersetuju dengan apa yang Yang Amat Berhormat sebut. Keluarga juga memainkan peranan.

Isunya Yang Amat Berhormat, kita ada tiga pihak. Satu sekolah, yang kedua rumah yang Yang Amat Berhormat sebut tadi. Yang ketiga di jalanan tu. So ada tiga ekosistem ni.

 

Di sekolah tak apalah dia dah buat CCTV, dah buat pelan apa yang telah dibentang Yang Amat Berhormat. Okey, selesai. Yang tu kita tengok progres dia. Tapi isunya ialah, macam mana kita nak mencegah daripada pelajar kita ni melakukan ataupun ada niat melakukan jenayah.

 

Contoh yang Yang Amat Berhormat, bila dia pada rumah, dia nak pergi sekolah, dia singgah kedai, dia beli vape. Kemudian on the way tu dia tengok dia punya phone, dia main game. Dalam game kita ni ada game yang ganas, yang membunuh orang, benda-benda yang merosakkan, Yang Amat Berhormat, dia tak membina. Jadi adakah Yang Amat Berhormat bercadang ataupun bersetuju supaya tindakan ini lebih bersepadu melibatkan merentasi kementerian.

 

Semua aspek-aspek yang nak mendorong orang untuk melakukan jenayah terutama pelajar ini, dicegah daripada awal. Bukan setakat kita merekod pembuatan jenayah, bahkan sebelum daripada itu lagi kita dah cuba mencegah daripada awal. Ataupun yang Yang Amat Berhormat selalu sebut sebelum ni, Karamah Insaniyah. Saya masih ingat lagi istilah yang Yang Amat Berhormat selalu guna sebelum ni.

 

Dan soalan yang kedua, yang terakhir Dato’ Speaker ialah. Apakah Kerajaan bersedia untuk mula mengkaji semula pelaksanaan syariah Islam dalam hukuman. Dalam kes yang ada sekarang ini, kalau pelajar tu bawah 18 tahun, dia dimasukkan kes juvana. Tapi dalam Islam, orang itu dah akil baligh, dia dikira dewasa dan dihukum sepertimana hukuman orang dewasa. Mungkin pelaksanaan syariat ini mungkin akan lebih menggerunkan orang untuk melakukan sesuatu jenayah. Adakah Kerajaan bersedia untuk mula mengkaji dari sudut aspek-aspek ini?

 

Terima kasih, Dato’ Speaker. Terima kasih Yang Amat Berhormat.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Terima kasih Alor Setar. Lama Alor Setar tak tanya saya. Saya setuju gesaan pertama, memperinci aspek pelaksanaan lebih bersepadu. Sekolah, ada percubaan sekarang yang lebih kemas dan berkesan. Rumah, tentunya melalui pendidikan, penjelasan dan saya rasa kalau harapan saya kalau dalam media, kenyataan-kenyataan Ahli Yang Berhormat, itu menggesa ibu bapa itu lebih bertanggungjawab.

 

Kerana semua kajian menunjukkan, ibu bapa bukan saja di desa, terutama di bandar, di kalangan yang miskin bandar, kerana kesibukan mereka, tekanan hidup mereka, kemiskinan dan sebagainya kadang-kadang langsung tidak diambil peduli.

 

Yang ketiga tentang di jalanan, di luar. Soal vape dan pelbagai bentuk jenis dadah yang diambil tindakan penyeludupan, saya setuju tindakan itu harus diambil semua oleh semua pihak, termasuk penguatkuasaan penyeludupan elemen-elemen dadah, pengedaran pada kanak-kanak itu masih berleluasa, walaupun tindakan badan penguatkuasaan itu ditingkatkan, tetapi kita berdepan dengan permasalahan yang sangat rumit dan insya-Allah badan-badan penguatkuasaan akan membuat sesuatu yang lebih baik.

 

Soal pelaksanaan syariat Islam. Ada cadangan pindaan baru-baru ini dalam Majlis Perundingan Islam yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak. Ada beberapa usul untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang kita telah lulus prinsipnya, dan kini dirujuk semula kepada Majlis Raja-Raja yang akan bersidang, insya-Allah beberapa minggu lagi.

 

Tapi saya, terima kasih Yang Berhormat Alor Setar kerana isu ini sebenarnya tak boleh kita ringan. Dia macam setiap keluarga, kita ada anak atau macam saya cucu, keluarga dan anak-anak sekolah, dan Yang Berhormat tahu benar masalah ini. Jadi saya tidak fikir ini yang dijawab, ini penyelesaian, belum, belum sehingga kita dapat selain daripada badan penguatkuasaan tadi, kesedaran yang menyeluruh daripada ibu bapa yang mendidik, tanggungjawab kita.

 

Kita bicara soal Islam, soal akhlak, soal falsafah pendidikan, soal latihan guru, soal ramainya ustaz-ustaz dan kelas-kelas agama dan solat berjemaah. Tapi masih belum menyelesaikan isu ini secara menyeluruh.

 

Terima kasih.

 

 

Share: