TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI PARLIME KELIMA BELAS SOALAN SATU

30 Jun 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA

PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA

:

DATO’ SRI DORIS SOPHIA ANAK BRODI

[SRI AMAN]

 

TARIKH

:

30 JUN 2026 (SELASA)

 

SOALAN:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

 

Sri Aman minta PERDANA MENTERI menyatakan penjelasan berhubung dakwaan bahawa peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yang tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip. Apakah usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan MADANI dalam menambah baik penyaluran peruntukan supaya memenuhi keperluan rakyat di setiap negeri. Mohon jawapan, terima kasih.

 

JAWAPAN

 

Terima kasih, Tan  Sri Yang di-Pertua.

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera.

Terima kasih kepada Sri Aman.

 

  1. Saya ambil pada kesempatan ini mulakan dengan menyatakan bahawa perkembangan dengan Negeri Sarawak membanggakan. Inilah kali pertama dalam sejarah bila ada rundingan, memenuhi keperluan perlembagaan, mengiktiraf hak negeri dalam soal pelabuhan, dan bila ada kesepakatan penyerahan milik Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri telah menyerahkan wang tunai, bayaran RM1.8 bilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan. Ini adalah rekod dalam sejarah kerana ini adalah kali pertama, satu Kerajaan Negeri menyerahkan wang tunai dan dia bagi cek tunai kepada saya. Terima kasih.

 

  1. Dan ini melambangkan keperluan mengadakan rundingan secara sihat. Sebab itu kadang-kadang, di dewan ini juga, ahli-ahli Parlimen telah membangkitkan isu ketidakadilan, kezaliman, haram yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen. Seolah-olah tidak diberikan pertimbangan. Sebab itu, saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskan. Seluruh senarai negeri ada pada saya, saya akan bacakan. Semua negeri perolehi peruntukan yang lebih ketimbang sebelumnya dan juga ketimbang purata hasil cukai, melainkan Selangor dan Pulau Pinang.

 

  1. Selangor dan Pulau Pinang kerana kebetulan kedudukan yang strategik, mendapat hasil yang tinggi, tetapi perbelanjaan peruntukan persekutuan lebih kurang. Umpamanya, untuk purata hasil cukai Selangor tahun 2023 hingga 2025 adalah RM43.6 bilion ringgit. Yang dibelanjakan untuk Selangor pada waktu yang sama adalah RM15 bilion ringgit peruntukan Kerajaan Persekutuan.

 

  1. Untuk Pulau Pinang, purata hasil yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan untuk 2023 hingga 2025 adalah RM10.7 bilion ringgit. Perbelanjaan adalah RM7.9 bilion ringgit. Ini tentunya bertentangan dengan dakwaan diberikan mengatakan peruntukan Pulau Pinang itu lebih.

 

  1. Baik, tetapi saya berikan beberapa tumpuan kepada negeri-negeri yang memerlukan perhatian khusus, dan projek-projek seperti tebatan banjir yang tidak boleh dilengahkan, naik taraf lebuh raya atau jalan baru Pan Borneo, Sabah Sarawak, dan beberapa pusat penting seperti saliran air baru, atau persimpangan.

 

  1. Maka untuk Kelantan, hasil purata 2023 – 2025 adalah RM946 juta ringgit. Saya harap ahli-ahli Parlimen Kelantan catat, kerana perbelanjaan persekutuan bagi 2023 – 2025 untuk Negeri Kelantan adalah RM8.9 bilion.

 

  1. Untuk Kedah, 2023 – 2025, RM3.7 bilion ringgit, purata hasil yang diperolehi, cukai untuk Kerajaan Persekutuan, perbelanjaan ialah RM9.5 bilion.

 

  1. Untuk Terengganu, RM1.2 bilion ringgit, kita tambah RM1.2 bilion ringgit lagi dari hasil minyak, maka dia jadi RM2.4 bilion hasil yang dipulangkan kepada Kerajaan Persekutuan. Perbelanjaannya ialah RM7.8 bilion pada tahun yang sama.

 

  1. Perlis, hasil RM419. Perbelanjaan RM2.2 bilion ringgit.

 

  1. Johor, sepertimana saya umumkan baru-baru ini, hasil sekitar RM14 bilion ringgit, perbelanjaan RM16 bilion ringgit.

 

  1. Dan ini semua negeri bertambah, tetapi kita pertahankan keputusan ini berdasar keperluan yang mendesak, iaitu sepertimana saya senaraikan beberapa projek-projek, termasuk pembahasan kemiskinan, kenaikan taraf kemudahan-kemudahan infrastruktur, sekolah, dan sebagainya, terutama bagi masyarakat yang miskin dan juga terpinggir.

 

  1. Selain daripada itu, negeri ini kita telah tambah peruntukan seperti EFT(Ecological Fiscal Transfer), pemberian tahap, capitation grant, yang telah diumumkan di hadapan Premier, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

 

  1. Jadi saya harap dengan penjelasan ini boleh mengundang pandangan tambahan, cadangan, tetapi tidak benar sama sekali tohmahan bahawa negeri-negeri tertentu dianaktirikan atau dipinggirkan.

 

  1. Kalau nak banding, saya nak tegaskan di sini bahawa kerajaan MADANI-lah di mana peruntukan tertinggi untuk negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, ketimbang sebelumnya.

 

  1. Jadi, saya harap penjelasan ini akan dengan sedikit memadamkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas. Terima kasih.

 

 

[SOALAN 1 TAMBAHAN 1]

Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua.

 

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas jawapan yang saya rasa agak jelas.

 

Sebelum saya mengajukan soalan tambahan saya, Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya dengan peluang ini merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah menyerahkan Pelabuhan Bintulu seperti yang telah dinyatakan tadi kepada Kerajaan Sarawak, dan Kerajaan Sarawak balas seperti telah disebut Yang Amat Berhormat Tambun tadi dengan penyerahan cek sebanyak RM1.8 bilion.

 

Ini bukti bahawa Kerajaan MADANI di bawah pentadbiran Tambun bukan saja mengiktirafkan hak dan kedudukan Sarawak, malah turut membuktikan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pelaksanaan perjanjian Malaysia 1963.

 

Soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua,

Susulan keputusan Kerajaan menaikkan kadar interim pemberian khas Sabah kepada RM1.5 bilion. Jadi soalan saya, apakah Kerajaan Persekutuan turut bercadang menaikkan kadar pemberian khas untuk Sarawak juga?

Kedua, adakah Sarawak turut berhak menerima pemberian khas atas sebahagian hasil yang dikutip dari Sarawak?

Sekian, terima kasih.

 

 

JAWAPAN

 

Terima kasih Sri Aman.

 

  1. Kadar interim Sabah itu memang tinggi berdasarkan persefahaman dalam Perjanjian MA63. Beberapa siri rundingan diadakan di antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, dan disusuli oleh Jawatankuasa, dipengerusikan oleh TPM2, tetapi kita masih meneruskan perundingan dengan Sarawak, dan dalam perundingan terkini dengan Premier baru-baru ini di Bintulu dan di Kuching memang kita tidak umumkan, kerana kita nak beri tumpuan kepada RM1.8 bilion ringgit yang diberikan kepada Kerajaan Persekutuan, julung-julung kalinya dalam sejarah dan saya telah beri jaminan, rundingan diteruskan dan memang wajar diberi peningkatan berdasarkan semangat Perjanjian MA63.

 

 

 

  1. Jadi ini akan diluluskan dalam masa secepat mungkin dan rundingan telah diadakan di antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

 

 

[SOALAN 1 TAMBAHAN 2]

PENDANG (YB DATUK HAJI AWANG BIN HASHIM)

 

Terima Kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

Selamat pagi dan Assalamualaikum.

 

Saya meneliti nasihat Tan Sri Yang di-Pertua pagi tadi berkenaan dengan keharmonian dalam dewan ini, alhamdulillah. Insya-Allah, kita sentiasa berpandukan kepada peraturan. Terima kasih, Tan Sri Yang di-pertua.

 

Cuma saya nak beritahu, kalau tak ada Hulu Langat dengan Jelutong, insya-Allah harmoni. Jadi kena ambil juga tindakan, mereka dah melanggar beberapa kali, cuma tidak pernah ada tindakan sepertimana kepada saya, menyebabkan mereka terus macam tu je, okay, baiklah. Alhamdulillah.

 

Terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun. Saya lama tak jumpa berdepan. Alhamdulillah, saya ucap terima kasihlah di atas jawapan Yang Amat Berhormat Tambun berkenaan dengan keadilan terhadap sistem federalisme dengan negeri ini dan kita harap benda ini berlanjutanlah selagi Yang Amat Berhormat Tambun menjadi Perdana Menteri.

 

Jadi ada benda yang masih lagi tidak lengkap itu kita harap Yang Berhormat Tambun ambil perhatian dan memberi nasihat kepada Menteri-menteri yang dalam kabinet itu. Ada benda lagi yang masih lagi di antara negeri dengan federal ini belum lagi sempurna. Saya pun terima, kita manusia bukannya sempurna seperti Tuhan. Jadi insya-Allah, kelemahan-kelemahan ini akan dilengkapkan oleh kita dengan kita berbincang dalam ini.

 

Balik pada soalan ini, saya nak menyentuh berkenaan dengan peruntukan dalam negeri Kedah, terutamanya berkenaan dengan air. Tan Sri Yang di-Pertua, projek menaik taraf, sebab ini berkaitan dengan hak federal dengan state yang dibangkitkan oleh Sarawak tadi. Jadi saya nak terus kepada hak federal dengan state Kedah. Iaitu, berkenaan dengan projek rawatan air LRA Pelubang, sebenarnya dilaksanakan melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri, bukannya geran. Pinjaman tersebut akan dibayar semula oleh Kerajaan Negeri melalui operator bekalan air bersama kadar faedah sebanyak 3%. Ini jelas. Saya pun nak bagi faktalah sebab ada yang Menteri cakap macam ni, pasal apa tidak laksanakan, apa ini projek-projek di negeri Kedah tak lengkap beberapa tahun dah. Daripada sampai tujuh lapan tahun masih lagi tidak sempurna.

 

Oleh sebab itu, ini jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk terus melabur dalam pembangunan industri air demi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong kawasan-kawasan perindustrian yang menjadi pemacu ekonomi negara dan turut menyumbang hasil kepada Kerajaan Persekutuan.

 

Namun begitu, projek ini kini memerlukan kelulusan Notice of Change (NOC), melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM113 juta. Kalau nak bagi dalam bentuk geran lagi bagus lah tetapi pinjaman pun tidak apa. Yang penting projek ini dapat disiapkan dengan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

 

Oleh sebab itu, kita tengok proses penyaluran pinjaman mengambil masa sehingga hampir lima bulan, menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa mendahulukan bayaran projek melebihi RM40 juta bagi memastikan kerja-kerja tidak terhenti. Dalam masa yang sama, beberapa projek persekutuan di Kedah seperti RTB Sungai Kedah, Anak Bukit, ini saya tak tahulah dekat 20 tahun lah tak siap-siap sampai sekarang. Apa ni seperti mana yang Kuala Sungai. Dan juga RTB Pendang, tempat saya, yang mana katanya ditangguhkan pelaksanaannya, jadi turut mengalami kelewatan pelaksanaan untuk disiapkan.

Dia banyak gangguan sekarang ni, termasuk apa ni, dia kesan kepada pesawah-pesawah padi yang merajuk kerana kenaikan kos sekarang ini. Ada yang tak nak buat bendang tak boleh, sebab itu apa ni food security.

 

Oleh sebab itu, persoalannya, memandangkan projek-projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kedah malah menyokong pertumbuhan ekonomi negara, adakah Kerajaan bersedia mempercepatkan kelulusan NOC, menyegerakan penyaluran pinjaman serta menyediakan mekanisme pembiayaan yang lebih cekap supaya projek-projek strategik di Kedah tidak lagi tertangguh akibat kelewatan proses di peringkat Kerajaan Persekutuan?

 

Mohon Penjelasan, Terima kasih Yang Amat Berhormat Tambun.

 

JAWAPAN

Yang di-Pertua, terima kasih, Pendang.

 

  1. Soalan itu agak spesifik dan saya percaya Menteri PETRA akan beri penjelasan terperinci. Cuma saya nak tegaskan, bila ada notice of change, dia melibatkan dana tambahan, dia kena runding semula.

 

  1. Pertama, peranan kontraktor. Dalam kes ini, permasalahan juga dengan kontraktor. Keduanya, bila ada penambahan, dia melibatkan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan tidak boleh umpamanya terperangkap dengan keputusan negeri. Kemudian bila ada masalah, automatik harus mendapat dana sama ada peruntukan atau pinjaman dari Kerajaan Persekutuan. Sebab itu saya katakan hubungan itu harus baik dan dipercepatkan.

 

  1. Jadi saya setuju projek-projek seperti tebatan banjir RTB, TPM II tahu, kita beri keutamaan. Sebab itu projek-projek sepertimana yang kita lihat yang dilaksanakan di Kelantan itu, fasa pertama itu ikut jadual. Pengambilan tanah harus dipercepatkan dan hubungan dengan kontraktor, pemilihan kontraktor yang lebih telus, yang lebih cekap dan berupaya.

 

  1. Tapi khusus untuk perkara yang dibangkitkan ini, saya minta TPM II nanti dalam berikan penjelasan cara lebih terperinci. Terima kasih.

[SOALAN 1 TAMBAHAN 3]

BETONG (YB DATO DR. RICHARD RAPU @ AMAN ANAK BEGRI.)

 

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

Salam Sejahtera.

 

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tambun di atas kejayaan Malaysia melonjak ke kedudukan ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026, meningkat 8 anak tangga berbanding tahun lalu. Pencapaian ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar, tadbir urus serta hala tuju ekonomi negara.

 

Soalan saya, apakah pendirian Kerajaan MADANI dalam mengimbangi tuntutan negeri-negeri terhadap perkongsian hasil dan pulangan ekonomi supaya prinsip keadilan, semangat kesatuan serta kesimbangan pembangunan antara negeri dapat terus dipelihara dan keduanya, memandangkan wilayah selatan tanah air yang bersempadan dengan negara Singapura yang merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

 

Apakah strategi dan inisiatif baharu Kerajaan bagi kita memperkukuhkan pembangunan ekonomi di wilayah tersebut, termasuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, serta memanfaatkan sepenuhnya potensi kerjasama ekonomi rentas sempadan. Sekian, terima kasih.

 

JAWAPAN


Terima kasih Betong.

 

  1. Pertama tentang perkongsian hasil sepertimana saya dah umumkan tadi, memang ada peningkatan ketara sebelum dan selepas 2023 yang saya telah baca jumlah peningkatan itu di mana hasil bukan saja dipulangkan tapi lebih daripada perbelanjaan lebih tinggi daripada hasil dan ini menjadi trend yang biasa. Walaupun ada kekeluhan dari Selangor dan Pulau Pinang tetapi kebetulan, Selangor ramai yang di Selangor dan industri dan juga bayaran pendapatan itu bagi orang-orang negeri lain juga dibayar di Selangor.

 

  1. Jadi itu menyebabkan peningkatan yang sangat tinggi saya bacakan tadi, umpamanya di Selangor RM40.36 bilion hasil tapi belanjanya hanya RM15 bilion. Maknanya lebih rendah daripada Johor. Johor kita belanja RM16 bilion. Sebab itu saya ambil kesempatan untuk memberi penjelasan angka.

 

  1. Baik, yang keduanya dibangkitkan soal mana pungutan hasil, itu terus dirundingkan. Kalau ditanya mengapa beberapa kawasan sepertimana Kelantan dapat peningkatan tinggi atau Sabah, Sarawak, itu kebetulan kerana beberapa projek yang mendesak. Kalau di Kelantan, tebatan banjir diberi keutamaan. Kalau di Sarawak dan Sabah, prasarana asas, termasuk lebuh raya, banjir, tebatan banjir dan beberapa projek yang dianggap kritikal untuk pembangunan. Beberapa kawasan dalaman itu memerlukan perhatian yang lebih. Ia tak boleh ikut unjuran biasa. Kalau unjuran biasa mungkin siap 5-10 tahun lagi. Tapi ada sekolah-sekolah yang perlu diberikan pengiktirafan yang segera.

 

  1. Tentang beberapa kawasan strategik, kawasan pembangunan, seperti mana kita lihat Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan perkembangan tumpuan sekarang ini beberapa kawasan yang agak baru, termasuk Kerian di Perak Utara, Kuching dan Sabah. Kuching seperti umpamanya, walaupun ia banyak ikhtiar dari Kerajaan Negeri. Tapi Kerajaan Persekutuan telah memberikan tumpuan, memberi sokongan kerana beberapa aspek industri bukan sahaja berkait dengan tenaga tetapi dengan teknologi baharu. Sarawak adalah satu negeri yang agak kedepan dari segi usaha dalam data center dan IT dan juga pembikinan cip yang diselenggarakan dengan beberapa kepakaran negara asing. Hal-hal itu kalau diberikan tumpuan, sendirinya akan melonjak pertumbuhan.

 

  1. Dalam soal pelaburan dan juga perdagangan dalam negara, kita dapat pertahan dari segi prestasi ekonomi, di antara lain kerana pertumbuhan E&E, semikonduktor dan sekarang data center dan AI. Ini yang menyebabkan kita dapat bertahan dalam keadaan gelombang dan keparahan ekonomi yang tidak menentu. Soal IMD rating baru-baru ini memang melegakan dan saya ucap terima kasih kepada Betong. Tetapi saya telah tekankan bahawa ini akibat dari kesungguhan semua pihak. Bukan sahaja pimpinan, tetapi penjawat awam yang lebih efisyen dan pekerja swasta yang menekankan soal inovasi dan teknologi baharu. Terima kasih.

 

 

Share: