TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : SEMPENA ACARA PERASMIAN MAJLIS KEMUNCAK NATIONAL TRAINING WEEK (NTW) 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
ACARA PERASMIAN MAJLIS KEMUNCAK
NATIONAL TRAINING WEEK (NTW) 2026
25 JULAI | SABTU | 9.30 PAGI
UiTM CAWANGAN PULAU PINANG, PERMATANG PAUH
PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera.
Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin. Nahmaduhu wa nusalli ala Rasulihil Karim, wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan,
Menteri Sumber Manusia;
Timbalan-timbalan Menteri;
Ketua Setiausaha;
Ketua Pengarah Human Resource Development Corporation (HRD Corp); dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Pada hari ini kita teruskan satu acara. Bukan sekadar satu acara sambutan biasa. Ini acara mengangkat martabat golongan pekerja, memberikan mereka ruang dan menunjukkan bahawa kita tidak harus semata-mata puas hati dengan pencapaian sekarang kerana, walaupun kita dipaparkan kejayaan-kejayaan ringgit terkuat di Asia, pelaburan tertinggi dalam sejarah, negara aman dan pertumbuhan ekonomi yang membanggakan, memberangsangkan, di antara yang terbaik di ASEAN.
- Betul, angka-angka ini memerlukan kita harus berasa syukur ke hadrat Allah SWT. Kerana syukur itu tuntutan, “la’in shakartum la azeedannakum wa la’in kafartum inn’azaabee lashadeed.” Kita harus bersyukur. Petanda kita itu patuh dan terima kebaikan yang ada, kerana kufur atau menolak itu, terutama daripada anugerah Allah SWT, tidak akan memberikan kebaikan, malah azab yang pedih.
- Tetapi kesyukuran itu, tidak bermakna kita berpuas hati semata-mata. Dalam tradisi Islam disebut, “itqan fil amal.” Dalam teori pengurusan kini disebut “striving for excellence.” Maknanya, masyarakat itu tidak boleh statik. Anak muda hari ini harus mencapai prestasi yang lebih baik daripada generasi kami, baik dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan pendapatan.
- Sebab itu, saya ucap terima kasih kerana KESUMA, saudara Ramanan Ramakrishnan dan juga HRD, itu telah mengusahakan satu kerangka pelan yang kita lihat daripada peluang-peluang latihan, untuk mengangkat, sebab itu dikatakan reskilling, upskilling, kerana kita mahu pendapatan rakyat itu bertambah.
- Jadi, tanda syukur kita bukan sekadar nak minta terima kasih biasa, tetapi mendorong kita menuntut perubahan lebih baik, bekerja lebih keras, disiplin dan punyai sikap yang lebih lunak dan munasabah.
- Kita lihat yang hadir, betul, majoritinya anak-anak Melayu. Tapi kita ada anak-anak Cina, anak-anak India. Dan kalau wakil-wakil negeri lain, ada Orang Asli, ada anak-anak Sabah dan Sarawak. Mesti ingat dan mesti terpahat dalam hati sanubari kita, negara ini mesti memberi layanan dan peluang sebaiknya. Rakyat majoriti, termasuk majoriti yang miskin di kalangan Melayu Bumiputera dan rakan-rakan serta keluarga kita dari masyarakat Cina dan India, termasuk Sabah dan Sarawak.
- Semua ini saya sengaja tekankan dalam setiap perhimpunan, kerana ada perbenturan idea, ada pertelingkahan daripada setengah-setengah pandangan yang mengasak fahaman kebencian.
- Saudara, Malaysia tidak mungkin terangkat sebagai negara hebat dan maju kalau kita masih terperangkap dengan pemikiran lapuk lama untuk menanam kebencian antara satu sama lain. Anak-anak muda mesti bangkit sebagai satu pasukan raksasa, membawa perubahan, mengangkat martabat semua rakyat negara ini.
- Saya selalu sebut, masyarakat Melayu miskin bukan kerana salah orang Melayu. Masyarakat India terpinggir bukan kerana masyarakat India. Masalah budayanya, masalah peluang. Anak-anak yang ikuti program minggu ini dan acara NTW ini, harus sentiasa ingat bahawa NTW, bahawa yang menyebabkan kita lembab, kerana kita tidak bersatu, pecah belah antara sama lain. Yang menyebabkan kita merosot, kerana kita letakkan orang yang salah. Orang yang kerja mereka mengaut kekayaan, tidak mempedulikan rakyat, menghasut sampai membenci satu sama lain.
- Saya nak tanya, ini yang ada anak-anak ini perlu pekerjaan lebih baik. Apa untungnya kalau kita hasut, benci satu sama lain? Di Pulau Pinang ini saja, kita perlukan anak Melayu yang lebih berjaya membela nasib mereka di bandar, di desa dan pedalaman. Tapi kita Melayu, kita perlukan Cina yang lebih prihatin, termasuk di kalangan yang berjaya dalam perniagaan, tapi sanggup bekerjasama dan merangkul semua kekuatan. Kita perlukan anak-anak India, bukan saja di kawasan-kawasan Jelutong sehingga di Jawi dan Sungai Bakap, diberikan perhatian dan pembelaan. Apa salahnya kalau di Malaysia ini, di kalangan anak-anak muda, kita fikir kerangka lebih besar. Training, tentunya majoriti anak-anak Melayu, tapi apakah rugi kalau kita berikan tempat bagi yang layak, bagi yang memerlukan, di kalangan anak-anak Cina dan anak-anak India?
- Saya nak tekankan perkara ini, kerana naratif di luar tidak habis-habis dengan mengalih pandangan kita. Apakah fokus kerajaan MADANI ? Bersatu, angkat martabat rakyat. Apakah fokus kita? Setelah aman, punyai kerangka dasar yang baik. Strategi semikonduktor. Pulau Pinang muncul sebagai negeri hebat dalam bidang semikonduktor. Perhatian bukan sahaja Malaysia, bukan sahaja ASEAN, perhatian dunia. Dan kita ucap terima kasih kepada pimpinan Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow. Dan akan mendapat manfaat untuk semua.
- Ada pandangan daripada sarjana, daripada pengusaha Bumiputera, supaya jangan ketinggalan dalam bidang semikonduktor. Tak perlu kita tanam kebencian. Petang ini, umpamanya, Majlis Bumiputera nak kumpulkan syarikat-syarikat Melayu, anak-anak Melayu yang mampu kita ketengahkan dalam bidang semikonduktor. Ini pendekatan kita. We complement one another. We don’t preach hatred. We preach affection. We see flaws and we try to improve it. Dan saya ucap terima kasih kerana saudara Chow, Ketua Menteri, saudara Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, membantu dalam usaha ini.
- Kita lihat, umpamanya, ada keperluan memberi suntikan tambahan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam semikonduktor supaya pertumbuhan itu rancak, melambung naik, tetapi jangan ada kelompok yang ketinggalan. Maka kita hadapi secara positif. Itu kerja kita. Hari ini, pagi ini umpamanya National Training Week. Petang ini, kita kumpulkan anak-anak Bumiputera. Minggu lalu, beberapa hari yang lalu, saya dengan saudara Ramanan panggil semua badan-badan NGO India, dengar masalah mereka, bidang matriculation, bidang bantuan perniagaan, untuk pendedahan dalam syarikat, untuk HRD beri perhatian, untuk TEKUN beri perhatian, dan kita dengar dan kita cuba perbaiki. Untuk siapa? Untuk anak dan anak-anak India.
- Malam tadi saya dengan India Muslim, dia takut nanti Bumiputera pun tidak, India pun tidak, Cina pun tidak. Jadi, saya dengan Ketua Menteri dengar, dan oh, buat baik. kKita beri perhatian baiki apa yang diperlukan kita berikan suntikan tambahan. Saudara, this is Malaysia. Anak-anak ini, dia Malaysia, kita cuba angkat semua. Ada masalah-masalah, kita tangani dengan baik, kita beri penyelesaian, bukan menghasut. Ini saya seru anak-anak supaya lihat perkara ini. Bila saya katakan semalam India Muslim, petang nanti Bumiputera.
- Kemudian, bila kita dengar syarikat-syarikat SME Cina untuk sutikan tambahan dana, kita panggil perjumpaan dengan Bank Negara Malaysia dan bank-bank awal. Minggu ini dengan masyarakat India, NGO India. Saya kata malam tadi India Muslim, petang nanti Bumiputera. Pagi ini kita rangkul semua sekali dan lihat apa yang kita boleh lakukan kepada semua anak-anak muda Malaysia.
- Saya tekankan sekali lagi, ini dia Malaysia. Kita selesaikan dan kita dengar setiap kelompok dan kita bantu supaya kita perbaiki. Kalau ada kelemahan, kita perbaiki. Kalau ada apa-apa program baru, kita kemukakan dan ini cara kita.
- Kita boleh dengar umpamanya pihak yang mengatakan, oh tidak ada buat apa untuk Cina, tidak ada buat apa untuk Melayu, pergi belah India, tidak ada buat apa untuk India kemudian India Muslim, tidak ada tapi tidak selesai. Jadi saya nak gunakan ruang ini, menjelaskan kepada saudara-saudara, kita mampu, dan saya walaupun umur jauh lebih dewasa tua daripada saudara, saya nak katakan saya mempunyai cita-cita besar. Saya mempunyai keyakinan saya mahu bangsa saya, negara saya, Malaysia tercipta ini diangkat sebagai negara yang maju dan hebat di rantau dan Asia. Dan saya nak katakan, we can do it!, anak-anak muda, you can do it work together, work hard, improve ourselves make Malaysia a great country, a successful country!
- Jangan terpalit dengan fahaman-fahaman yang melemah dan merosakkan. Ini dia sebenarnya mengapa kita adakan National Training Week? Saudara lihat di luar, didedahkan semua peluang-peluang latihan. Pergi, catat apa yang diperlukan, bagi pandangan, bagi teguran, bagi kritikan, panggil pegawai-pegawai dari KESUMA, daripada HRD, menteri beri pandangan.
- Lihat umpamanya. Ada ruang masuk, ada kelemahan, ada kelompok yang tersisih, tertinggal, beri pandangan dan kita perbaiki. Saya tidak datang di sini mengatakan kita ada jawapan pada semua masalah. Saya tidak datang untuk menyatakan kita mampu segera selesaikan semua, tapi saya datang mengatakan kita mampu memulakan dan kita mempunyai sikap yang lebih sederhana, tawaduk, humanity untuk mengatakan yes! we can do better and we can do better when we work together.
- Ini yang saya nak bagi pandangan awal. Soal yang lain saudara tahu, Malaysia ini hari ini catatannya sangat baik. Dunia sekarang bergelut dengan permasalahan ekonomi yang rumit, Perang Teluk belum selesai, kita harapkan sudah selesai beberapa bulan, kemudian Amerika Syarikat ambil keputusan bom lagi Iran. Bila Iran di bom, dia lawan balik, tempiasannya kepada rantau termasuk negara-negara jiran di Teluk bergelut lagi.
- Apa kesannya kepada kita? Bila Selat Hormuz ditutup, barang yang kita import; minyak, gas, baja semua melambung naik. Berapa harga minyak sebelum perang semasa kita unjurkan harga semasa belanjawan tahun lalu? Untuk tahun ini USD70 satu tong. Berapa harga sekarang? USD80, USD85, pernah mencecah $100 Amerika Syarikat satu tong.
- Maknanya, untuk PETRONAS keluarkan, kita boleh kawal tapi PETRONAS hanya proses 50% keperluan, 50% import. Harga melonjak naik. Sebab itu, di semua negara di dunia, harga minyak naik termasuk di Arab Saudi. Arab Saudi, dulu harga minyaknya jauh lebih rendah daripada kita. Sekarang, Arab Saudi sebagai negara pengeluaran minyak di antara terbesar di dunia, harga minyaknya RON95, RM2.40. Alhamdulillah, Malaysia dalam semua kegawatan ini, masih pertahan harga RON95, RM1.99 dan harga diesel RM2.10 apa maknanya?
- Maknanya kerajaan, Kerajaan MADANI terpaksa bayar, dia bukan free saudara ambil minyak, saudara ingat ini memang harga RM1.99, tak! Harganya bukan RM1.99, yang lebih itu kerajaan terpaksa bayar. Saya bukan nak, nak, nak complaint. Tidak, saya hanya nak maklum kadang-kadang kita tidak tahu kita ingat automatik harga RM1.99, pergi beli di dunia. Pergi beli di mana? Semua negara jiran tidak ada harga begitu.
- Ada harga sampai RM10, ada paling kurang RM4.50 harga kita RM1.99. Berapa kerajaan harus bayar? Kita unjur di antara RM40 hingga RM50 bilion satu tahun. Nak tampung maknanya subsidi kerajaan bayar tiap kali you ambil minyak, kerajaan bayar. Ada RM2, ada RM5, ada RM10 berapa sebulan satu tahun? RM40 hingga RM50 bilion. Wang dari mana? Wang daripada kerajaan. Dari mana? Dari pendapatan rakyat negara. Dari mana? Dari cukai.
- Sebab itu, kita harus waspada. Kemudian, saudara juga tahu semua sini dapat STR, dapat SARA. STR mungkin yang kaya-kaya tak dapat, tapi SARA semua dapat. Berapa? RM15-16 bilion satu tahun. Tidak cukup. Sekolah anak-anak dulu kita bagi, nak masuk sekolah RM150, kemudian saya tambah, kerana anak-anak banyak yang merayu.
- Anak-anak universiti merayu masalah mereka, wang, dana untuk beli buku. Baru ini saya umum, RM100 lagi tambahan untuk menampung keperluan buku mereka. Masuk sekolah RM150 dan saya masih dengar lagi, ada yang kata tidak cukup kerana kos sara hidup meningkat. Betul ya, kita import minyak, kos minyak naik, baja. Baja urea cukup, baja fosfat untuk ladang, untuk ladang kelapa sawit untuk FELDA, tidak cukup dan kita import, dan harganya melambung kerana kita import melalui Selat Hormuz.
- Saudara, ini kenyataannya. Saya minta kawan-kawan faham ini, kerana bila jadi propaganda murahan di luar, kita tidak pernah tahu. Kita kena tahu, ini negara kita. Ini bukan nak lari daripada tanggungjawab, kerajaan RM40 bilion untuk minyak, ya tampung RM15 bilion untuk SARA dan STR. Ya tampung.
- Gaji naik untuk penjawat awam Sebab apa naik? Saya dah sebut di sini. 12 tahun tak kaji, tak naik, 12 tahun. Jadi bila saya jadi Perdana Menteri, saya tanya JPA, tak kaji? Tak ada. Jadi 2023 kita kaji, 2024 kita naikkan, 2025 naikkan. Berapa kos? Ini naik gaji penjawat awam, nurse, guru. Mengapa naik? Tak naik 12 tahun. Mengapa naik? Kos sara hidup meningkat, keluarga lebih besar, kos sewa rumah lebih meningkat. Jadi kita naik. Berapa kita naik? Kenaikan paling tinggi dalam sejarah dan pendekatan dia berbeda. Ini reformasi. Apa dia? Pegawai tinggi, KSU, KSN, naik 7%. Pegawai rendah, naik 25-30%. Paling minima, 15%. Kalau dulu, semua naik kata 8%. Saya kata kena tukar, sebab yang gaji rendah itu kena naik banyak, kalau tidak kesenjangan lebih berlaku. Berapa kos? satu tahun? Tambahan kerana naik gaji, RM18 bilion ringgit.
- Saya sebut perkara ini kerana saya bimbang kalau rakyat tidak tahu. Cuba bayangkan, ini yang besar-besar sahaja tambahan, ini bukan kos penyelenggaraan setiap tahun. Untuk kementerian-kementerian, itu yang kita buat dah berpuluh tahun sejak Merdeka yang saya katakan tambahan. Tambahan gaji RM18 bilion ringgit. Tambahan minyak RM40 bilion ringgit. Tambahan STR, SARA RM16 bilion ringgit.
- Jadi saya syukur Alhamdulillah, kerana dalam reformasi kita, dalam doa kita, untuk lakukan perubahan, “in uridu illal-islah mastata’tu.” kita bawa perubahan sebaik mungkin, kita cuba sedaya upaya. Anak-anak muda harus tahu, kita tak mahu kekal di tapak lama. Amalan, pimpinan agensi syarikat curi wang mesti dihentikan.
- Ada orang cabar saya, dia kata, Anwar sebut sakau-sakau, ambillah tindakan. Apa dia tak baca? Berapa puluh kes. Dulu pernahkah Tun, Tan Sri besar-besar kita dakwa? Sekarang kita dakwa. Bukan saya dakwa. Siasat – SPRM ke polis, pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara. Hukum itu daripada badan kehakiman, hakim. Bukan saya. Saya hanya menyatakan, kerja dengan baik. Kamu curi dana, kamu jawab. Dan ini seperti yang saudara saudari lihat, ada Tun yang telah didakwa, ada Tan Sri yang telah di dakwa. Kalau mahkamah putuskan mereka bersalah, mereka kena bayar dan menerima hukuman denda, tapi dalam ceramah-ceramah di luar, ada yang mengatakan, “mana ada pendakwaan!”, saya tak faham dia bercakap mengenai apa. Nak dakwa bukan keputusan saya. Saya minta siasat, jika perlu dakwa, kalau ada bukti hokum, kerja hakim. Mengapa kita lakukan begitu kalau tidak bocor?
- Sekarang, saya jaga FELDA. FELDA, Pulau Pinang tak ada FELDA, tau. Tapi, banyak negeri ada. Dulu, FELDA ini menjadi ladang, satu ladang terbesar di dunia. Siapa pimpinannya? Raja Alias, Taib Andak, pengurus Melayu yang wibawa, yang cekap, dilantik oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Semasa mereka, FELDA naik, berkembang, untung berbilion ringgit. Lepas itu, ada campur tangan politik. Lantik orang-orang yang gelojoh dan tamak. FELDA yang dulunya untung, rugi berbilion.
- Tahun ini, 2026. 2025 Kementerian Kewangan, Kerajaan Malaysia terpaksa bayar hampir RM1 bilion ringgit hutang FELDA setiap tahun. Tahun ini RM980 juta ringgit. Dulu untung berbilion, sekarang RM1 bilion setahun kena tampung bayar. Kalau saya tak bagi, siapa kena bayar? Peneroka? Sebab apa saya nak beban peneroka? Bukan salah dia, bukan salah dia urus, dia kerja. Jadi saya terpaksa ambil wang kerajaan untuk bayar kerana salah laku setengah orang.
- Jadi ini yang boleh saya katakan, tak boleh kita tinggalkan isu tatakelola, termasuk di kementerian-kementerian; baik KESUMA, HRD Corp, baik agensi-agensi, kita kena pastikan. Sekarang riuh soal RCI atau Suruhanjaya Diraja Tabung Haji. Orang cabar mengapa tak zahirkan kepada awam? Saya tak ada keberatan, saya setuju, tapi ikut proses, biar saya bawa kepada Jemaah Menteri pada hari Rabu ini, dan saya percaya Jemaah Menteri akan setuju kerana kalau dulu kita minta tangguh laporan itu kerana Tabung Haji menyatakan dia perlu masa untuk perbaiki. Ada pengurusan baru untuk baiki, kemudian sekarang kita bersedia untuk dihebahkan kepada awam.
- Kalau awal sangat dulu takut orang tidak ada keyakinan terhadap Tabung Haji. Tabung Haji hari ini berbeda. Putera Diraja, Mohammed bin Salman minggu lalu, hantar teks kepada saya, “Tahniah kerana Tabung Haji mendapat pingat pengurusan terbaik di antara semua syarikat-syarikat haji dunia.” Semalam Maybank diiktiraf di antara bank terbaik dari segi pengurusan dan corporate responsibility di antara bank-bank di dunia.
- Maknanya, anak-anak dikasihi sekalian, Malaysia ini boleh. Dia bukan dulu. Sekarang ini, kalau kita buat kerja dengan baik, bersihkan daripada sikap-sikap keterlanjuran dulu, kita mampu mengangkat martabat kita dan hari ini saya hanya mengambil peluang untuk menyokong langkah-langkah KESUMA dan juga HRD Corp, melakukan apa saja yang perlu.
- Bantuan kepada anak-anak muda, mendapat latihan terbaik, perbaiki proses kita, perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada dan pastikan anak-anak kita bangga bahawa negara ini punyai pimpinan dan kerajaan yang prihatin yang mahu mengangkat martabat anak-anak muda kita dan menjamin negara ini berjaya.
- Ini harapan saya kepada KESUMA dan HRD Corp dan harapan kepada anak-anak dikasih sekalian. Terima kasih kerana memberikan sokongan, terima kasih atas kehadiran dan mari kita bersama-sama angkat keupayaan negara kita. Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
