TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : SESI RAMAH MESRA BERSAMA WARGA IPG DI KAMPUS TEMENGGUNG IBRAHIM

24 April 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

SESI RAMAH MESRA BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

24 APRIL 2026 (JUMAAT) | 2.30 PETANG

IPG KAMPUS TEMENGGUNG IBRAHIM

JOHOR BAHRU

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi,

Menteri Besar Johor;

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Yang Berhormat Tuan Aznan bin Tamin,

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Rektor IPG Malaysia;

 

Yang Berusaha Dr. Yazid bin Abdul Manap,

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia;

 

Pengetua, Pengarah, rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah; dan

 

Yang utamanya anak-anak yang saya kasihi sekalian.

 

  1. IPG yang masyhur, IPG Temenggung Ibrahim ini dan anak-anak Tingkatan 6 seluruh negeri Johor.

 

  1. Istimewa Tingkatan 6 ini, kerana Menteri Pendidikan, Fadhlina telah menggesa supaya kita naikkan taraf mereka ini tidak sebahagian daripada sekolah, tetapi sebagai pra-universiti, satu Keputusan yang penting dalam negara kita.

 

  1. Dalam beberapa kunjungan saya ke negeri-negeri, saya ambil kesempatan untuk mendengar, bertemu, berbincang dengan rakan-rakan dan terutamanya anak-anak dalam acara Temu Anwar dan ramah mesra, kerana yang menentukan garis masa depan kita.

 

  1. Saya masih ingat Munyatul Islam Imam al-Ghazali, dia kata nak tahu bentuk masa depan negara, lihat anak-anak mudanya dan persiapkan mereka. Kalau mereka itu ada disiplin, ada semangat yang kental, ada minat tentang ilmu, ada keinginan untuk memperbaiki akhlak mereka dan semangat daya juang mereka, itu masa depan kita itu lebih terjamin.

 

  1. Jadi, apa yang ingin saya sampaikan ialah semangat sedemikian. Bahawa masyarakat itu yang dibentuk dan negara itu tidak boleh bertahan setakat yang biasa. Apa yang dilakukan? Biasa. Rancangan Malaysia berikutnya biasa. Tidak. Dia mesti ada lonjakan. Ada orang gunakan anjakan. Saya gunakan lonjakan. Sebab itu dalam semangat hadis Nabi Muhammad SAW, dirumuskan sebagai Itqan fil amal, bukan sahaja amal tetapi kecemerlangan dalam amal itu. Striving for excellence itu berbeda dengan mempertahankan kebaikan dan kejayaan biasa.

 

  1. Jadi, saya memilih untuk bersama anak-anak ini, kerana saya tahu kalau mahu betul-betul capai menjana perubahan, meningkatkan khidmat, itu mesti ada minat Itqan fil amal – ke arah kecemerlangan.

 

  1. Kita ambil contoh dalam pengalaman Islam dalam pimpinan Nabi Muhammad SAW, dalam hijratun Nabi (hijrahnya Nabi) dari Makkah al-Mukarramah ke Yathrib yang kemudiannya disebut Madinal al-munawwarah. Bukan perpindahan biasa, tetapi perpindahan atau penghijrahan yang membawa mesej ke arah perubahan, mesej ke arah kecemerlangan. Bukan sekadar orang kata, oh! membetulkan akidah. Benar akidah, tetapi juga memperbaiki akhlak, memperbaiki sistem, membawa perubahan, pahaman ilmu yang lebih meningkat. Ini yang menyebabkan akhirnya dari Deen Islam meningkat menjadi tamadun. Kerana apa? Kerana keyakinan yang mendorong ke arah perubahan, yang menanam semangat, yang ada kekuatan, daya juang yang besar. Dan ini yang harus kita pupuk di kalangan kita.

 

  1. Jadi, hijratun Nabi Muhammad SAW itu, pernah dirumus oleh seorang sarjana yang kebetulan saya kenal, seorang sarjana Islam yang terkemuka dari Amerika Syarikat, almarhum Ismail al-Faruqi. Dia kata sebenarnya orang kata Nabi Muhammad SAW hanya membentuk masyarakat Islam. Tidak benar, kerana dia membentuk masyarakat itu yang Istimewa, generasi yang pernah disebut, jilul quraniyul farid – generasi Quran berdasarkan keyakinan, tetapi yang istimewa, yang unik. The unique Qur’anic generation kerana keyakinannya, kerana semangatnya, kerana ilmu yang dicapai negara-negara Arab dan sistem perubahan yang dibawa. Ini yang disebut The Unique Quranic Generationjilul quraniyul farid.

 

  1. Baik, tetapi Ismail al-Faruqi Almarhum ini kata apa? It is not just a community. It is a community is striving for excellence. Its uniqueness is because is based on faith and values. Striving for change and excellence. Jadi kata Ismail al-Faruqi, dalam hijratun Nabi itu, dari Makkah al-Mukarramah, simbol kezaliman, simbol rasuah, simbol penindasan, simbol masyarakat yang bobrok akhlak mereka, itu dirubah menjadi simbol keyakinan. Akhlak yang baik, motivasi berjuang yang tinggi, cinta pada ilmu. Apa yang disebut oleh Saidina Ali bin Abi Talib r.a., Lazzat al-Ma’rifah. Kasih. Love for scholarship. Kita pun love scholarship juga, love biasiswa sahaja (nada berseloroh). Scholarship ni means… bukan sahaja biasiswa, tapi scholarship, scholarly pursuit. Minat kepada ilmu. Cinta kepada ilmu. Itu yang disebut lazzat. Lazzat. Lazzat al-Ma’rifah

 

  1. Ini yang dibawa, yang disebut akhirnya oleh Ismail al-Faruqi sebagai ecumenical community. Maknanya, it’s not a normal community. Yang kita idam-idamkan dalam negara MADANI ini, bukan negara biasa. Bukan masyarakat biasa. Tetapi yang unik. Ada nilainya, ada akhlaknya, mahu maju, mahu teknologi, ada! Infineon, NVIDIA, artificial intelligence, data center, Ya! Banyak negara yang capai begitu. Tapi itu bukan the end. Yang kita nak bentuk itu manusia. Walaqad karramna bani adam. Allah angkatkan darjat kemanusiaan. Sebab itu, bicara soal Islam, bicara soal Melayu, bicara soal negara, tapi perangai haprak, rasuah menular, kezaliman ada. Menghina orang, menghina kaum, menjijikan suku kaum sama ada yang minoriti atau majoriti.

 

  1. Di mana nilainya? Di mana akhlaknya? Kalau akhlaknya itu akhlak Islam, dia membawa semangat, nilai, akhlak dan kemanusiaan. Tidak menghina kerana orang itu miskin. Tidak menghina kerana orang itu darjatnya berbeda. Tidak menghina kerana warna kulit. Atau malah paham agama sekalipun. Tidak dihina. Itu dia kekuatan amal. Ini yang disebut oleh Ismail al-Faruqi tadi. Apa? Ecumenical community.

 

 

  1. Ecumenical ini maknanya dia asas nilai ada. Asas akhlak ada. Asas kecintaan ilmu ada. Asas hidup bermasyarakat ada. Ada Hablum Minallah kasih kepada Allah SWT. Hablum minannas dan juga tanggungjawab kepada kemanusiaan. Tetapi bukan setakat itu. Par excellence kata dia. Ecumenical community par excellence, maknanya masyarakat yang bertaut kepada keyakinan, berpaut kepada akhlak dan nilai, termasuk kemanusiaan dan ilmu tetapi dia tambah par excellence. Dia ada itqan fil amal, dia ada minat untuk cari kejayaan dan keceberlangan. Ini dia, kalau orang tanya saya Anwar, apa dia cita-cita negara MADANI? Wah, kita nak membangun betul, ekonomi nak hebat, benar. Teknologi canggih, ya. Artificial intelligence, ya. Semua, ya okay. Tetapi, dia harus bertaut kepada nilai, kepada kemanusiaan, kepada akhlak dan tentunya dengan ilmu dan kecermerlangan.

 

  1. Ini nampak anak-anak serius, ini relaks, relaks. Nampak macam tension-tension, jangan-jangan ini kuliah dah tension banyak dah kuliah di universiti dan kolej, saya tak mahu tambah. Saya cuma dalam waktu yang terbatas saya ingin menegaskan, tapi tanggungjawab kita besar. Saya tidak mewakili pendapat kata, oh! kita ini the best, bagus semua. Itu tanya menteri, Menteri Besar. Tanya saya, betul kita baik, ada kejayaannya. Tapi, ada ruang untuk perbaiki.
  2. Kekuatan kita sebagai manusia, kalau tengok dalam semangat Hijratun Nabi itu ialah apa? Ruang untuk striving, struggle. Jihad ke arah excellence, ilmu. Ini kita ini masalah ilmu sedikit, hukumnya banyak. Belajar sikit, anggap kita yang paling pintar di dunia. Dengan arrogance, keangkuhan luar biasa. Aku tahu semua masalah. Tanyalah di kedai kopi, di kuliah, wah, semua masalah dunia dia boleh jawab. Jawapannya tidak semestinya mendalam dan tepat. Sebab itu saya kata, mesti ada kecintaan terhadap ilmu. Ada anak-anak muda yang mahu memilih, belum dengar apa-apa hanya 2 minit TikTok, terus hukum orang. 3 minit TikTok ataupun Instagram, whatever, terus hina orang. Kerana saya Cina, saya ingat perbodohkan Melayu. Kalau saya Melayu, saya hina Cina atau India.

 

  1. Ini bukan pendewasaan dan kematangan, bukan ilmu dan bukan akhlak. Sebab itu anak-anak yang dikasihi harus ingat, kita ada tanggungjawab yang besar. Benar, bila kita jadikan IPG tahap universiti, dengan sendirinya kita mengharapkan kematangan dan kecemerlangan. Bila kita interaf Tingkatan 6 itu bukan lagi dengan kaedah dan sistem sekolah, tapi diangkat sebagai pra-universiti, itu kita mengharapkan juga kematangan dan ke arah kecemerlangan dan bermula dengan kecemerlangan ilmu.

 

 

  1. Dalam sistem pendidikan kita, saya ucap terima kasihlah. Menterinya ada, saya dengar dia sampaikan sedikit sebanyak pandangan, tetapi dalam Rancangan Pendidikan Malaysia, saya harap rakan-rakan pensyarah dapat bantu, beri sedikit rumusan, kerana Rancangan Pendidikan Malaysia itu kita olah untuk melihat pendidikan itu dalam konteks tuntutan semasa dan ke arah masa depan. Bukan hendak menidakkan yang lalu. Ada orang kadang sensitif bila kita buat beberapa pendekatan, kaedah, prakarsa baru, difikirkan kita seolah menolak yang lama. Tidak.

 

  1. Mengapa menolak yang lama? Saya dulu juga Menteri Pendidikan, jadi bukan nak menolak, tapi tentunya kalau tanya saya, pengalaman saya sebagai Menteri Pendidikan, saya lakukan sebaiknya, tetapi keadaan ketika itu dengan sekarang jauh berbeda. Masa saya Menteri Pendidikan, pengajaran komputer baru dibicara. Belum diperkenalkan dengan meluas. Sekarang membicarakan digital technology, artificial intelligence, data center, itu tidak masuk dalam kamus pada ketika itu. Bukan dalam korpus bahasa.

 

  1. Jadi, sebab itu saya kata mesti cepat menangkap perubahan, itu yang strategi pendidikan sekarang dan keduanya mesti menguasai ilmu itu dengan pantas. Pimpinan dan pensyarah, dan juga pelajar harus terima bahawa setakat yang kita capai ini belum cukup. Janganlah banding dengan beberapa negara miskin, Afrika ke, tentu kita menang. Sebab itu bila ada perbandingan, saya tidak semestinya sangat kagum, kerana saya merasakan kita ada ruang untuk kita perbaiki. Mengapa kita ketinggalan umpamanya artificial intelligence? Dari segi prasarana okey, prasarana orang datang melabur, bagi RM2 bilion, dia bina. Tetapi perisian, pengisian, perisiannya itu, kontennya itu masalah. Malaysia itu di antara yang awal yang cakap soal komputer dan teknologi baharu sehingga kita ada Multimedia Super Corridor. Tapi, saya masih ingat pada masa itu Bill Gates datang Kuala Lumpur, dan beberapa orang lain, saya ingat yang buat di Pulau Pinang itu, masa itu saya baru diperkenalkan computer, dia minta staff dia, minta saya belajar penggunaan email baru start, baru mula pada masa, ketika itu.

 

  1. Tetapi apa kelemahan kita yang kita belajar pada masa itu? Kita tumpu infrastrukturnya, prasarananya, tetapi perisiannya, mana ada anak-anak yang dilatih supaya pintar menguasainya, itu Jadi saya belajar dari segi itu. Jadi saya bila-bila orang bicara tentang prasarana, saya kata baiklah itu biar pelabur datang bina, tanggungjawab kita beri content dan juga talent yang mampu menguasai. Saya bicara juga tadi dengan Menteri Besar isu ini. Universiti-universiti, Kolej, IPG itu tentu dari segi pedagogi, state of art, itu memang biasa, tetapi dalam beberapa bidang dan kaedah baru kita mesti tidak ada pilihan, kalau tidak kita akan ketinggalan. Dan inilah sebabnya mengapa dalam rencana kita, kita gunakan teras.

 

  1. Tetapi ada beza juga. Kalau kita tumpu centers of excellence sahaja, saya nasib baik saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar, dan tentunya pada masa itu diberikan perhatian yang lebih baik. Malah belum ada lagi Maktab Rendah Sains dan Sekolah Menengah Sains. Itu saya agak batch awal, tetapi saya tidak mahu tumpuannya itu hanya kepada beberapa sekolah, kerana dalam sistem pendidikan kita, dalam teras yang saya sebutkan tadi, itu mengoptimumkan potensi setiap murid. Kalau tidak murid anak orang kaya di kota itu cepat cemerlang, anak orang miskin di desa ketinggalan. Itu bukan mengoptimumkan mengikut strategi. Ini yang disebut dalam istilah UNESCO, sekarang menterinya dalam board UNESCO di Paris, dia kata, democratization of access to quality education. Apa maknanya? Pendemokrasian, maknanya melebar luaskan peluang bagi setiap pelajar yang kaya dan miskin di kota dan desa dan pendalaman, mendapat pendidikan yang baik.

 

  1. Maknanya democratization of access – peluang pada pendidikan bermutu, quality education. Apakah dia dari kampung, pendalaman di Ulu Kelantan atau di estet, anak India di estet atau anak Dayak, mesti diberi ruang semaksimakepada semua. Teras itu nanti rektor dan lain-lain boleh terangkan, saya cuma nak rumuskan keperluan kita untuk menggunakan peluang yang ada, tentunya ada keterbatasan, tapi menerima kenyataan kalau kita mahu berhasil dan berjaya, kita harus mempertahankan mutu yang baik dan meningkatkan usaha kita.

 

  1. Itu yang disebut, bergerak sedaya upaya membawa perubahan yang lebih bermakna. Dan oleh kerana saya di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, saya orang lama, Rektor. Jadi saya ingat yang saya dulu-dulu datang masa itu, Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim. Sekarang dah IPG, tahniah!. Dan kerana tidak sering datang kembali, dah berapa puluh tahun dah tak datang ke mari dan Rektor dan Pengarahnya baik, dia tidak sebut apa-apa, dia tidak minta apa-apa. Jadi saya ucap terima kasih. Inilah satu-satu tempat saya datang, orang datang kerana nak jumpa Anwar bukan kerana nak minta wang.

 

  1. Tapi bagaimanapun, kerana saya hadir, untuk apa-apa kemudahan nanti pihak IPG Temenggong Ibrahim putuskan sendiri. Saya luluskan apa-apa keperluan sama anak-anak atau kemudahan asas. Tengok saya bincang dengan Menteri, apa-apa keperluan lain tambah kita tambah. Tapi untuk hari ini kita luluskan RM200,000.

 

 

  1. Ini sebab kerana untuk Kolej Tingkatan 6 sepertimana kita tahu, kita dah perluaskan bantuan anak-anak sekolah yang dulunya kita beri dari darjah 1 sampai tingkatan 5, kita dah tambah sehingga ke tingkatan 6, Pra-Universiti ya? Kita dah luluskan. D ah dapat ke belum? Yang tingkatan 6 Pra-Universiti ini. Sudah? Kalau tidak dapat lagi, tanya Menteri Pendidikan.

 

  1. Baik, jadi sekali lagi saya nak ucap terima kasih dan penghargaan dan seperti biasa saya pergi ruang, tak payah ada protokol-protokol, tanya saja Pak Anwar ke Pak Cik Anwar ke, ikutlah tapi tanya apa-apa soalan dan saya cuba jawab dalam masa waktu terbatas, saya kena balik ke Kuala Lumpur, malam ini jumpa Tuanku Sultan Brunei. Baik, sila.

 

SESI SOAL JAWAB

 

SOALAN 1:

 

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ucapkan kepada Dato’ Seri. Soalan saya berbunyi, memandangkan peningkatan kos sara hidup yang memberi impak kepada siswa guru, khususnya kepada siswa guru yang menetap di luar kampus, saya ingin bertanya, adakah pihak Kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan semula elaun praktikum sebagai satu bentuk sokongan kebajikan kepada pelajar sepanjang tempoh praktikum dan juga latihan industry, iaitu internship terutamanya kepada pelajar tahun akhir. Terima kasih.

 

 

JAWAPAN SOALAN 1:

 

Kalau terang banyak lagi dia potong (nada berseloroh). Saya tahu perkara yang telah dibangkitkan, kita akan teliti keseluruhannya. Sekarang ini masa krisis. Berapa jumlah tambahan kita akibat naik harga minyak dan diesel? Saya tahu di luar sana di media sosial orang kecam. Tapi anak-anak harus tahu, Malaysia satu-satu negara di rantau ini yang tak buat catuan bekalan. Minyak RON95 diberikan dengan kos yang paling rendah di dunia RM1.99. Diesel tinggi tetapi untuk petani, nelayan, bas sekolah, pengangkutan rakyat, semuanya diturunkan. Berapa kos kita tanggung setiap bulan? Tambahan, tambahan tambahan daripada bulan – RM70 bilion satu bulan. Bayang, tengok, RM70 bilion tambahan kerana kita tak mahu bebankan ibu bapa, abang-abang, kakak yang bekerja, kerana terpaksa membayar kos minyak yang tinggi.

 

Berapa kos di beberapa negara jiran? RON95, ada yang mencecah RM10.50. Ada yang RM4, ada yang RM6. Berapa kita? RM1.99. Saya bukan nak bagi alasan. Tapi saya nak anak-anak itu di antara orang yang faham. Saya boleh bagi. Saya kena potong daripada petani, nelayan, peneroka felda. Dari mana wang itu? Wang kita sebanyak ini. Dah kita tambah RM70 bilion. Satu bulan, 10 bulan, RM70 bilion yang kita kena ambil dan kita kena pinjam. Ini kena faham.

 

Jadi, walaupun saya setuju kita teliti, tapi bukan masanya. Jawapan-jawapan begini kadang-kadang tidak begitu popular. Kadang-kadang dicerca. Kalau saya lihat dalam media sosial. Dia bukan bagi penyelesaian. Saya tanya orang yang tak setuju, baik bagi. Tetapi saya nak tanya dari mana wangnya dapat? Cukai? Tak boleh cukai. Dalam keadaan ekonomi sekarang bagaimana kita nak tambah cukai? Penyasaran subsidi itu kita lakukan. Kita selamatkan dana yang dulunya tiris dan bocor.

 

 

Mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita tambah polis dan agensi sempadan 100 orang setiap tempat, kerana minyak kita terlalu murah dan penyeludupan terlalu tinggi. Bila seludup ini maknanya kita kena bayar subsidi dan orang negara luar guna. Jadi kita terpaksa kawal kerana bilion ringgit hilang, kerana penyeludupan dan sempadan-sempadan diperkuatkan.

 

Walaupun kita telah hadapi sekarang krisis yang baru mula, tapi rakyat kita belum terkesan sebab belum berbaris ikut catuan. Di beberapa negara jiran ASEAN ini dah ada catuan. Ada stesen minyak satu negara ASEAN, 400 stesen minyak telah ditutup. Anak-anak mesti tahu. Fakta dan kenyataan ini, sementara kita cari jalan melindungi. Kita tubuh sekarang Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Dan saya bagi taklimat kepada semua, selain daripada Menteri-menteri, Menteri-menteri Besar, Premier, Ketua Menteri. Sebab mereka juga ambil langkah-langkah yang perlu.

 

Apa akan jadi bulan depan? Ini bukan masalah kita. Itu pun nasib baik mana dan negara yang dilepaskan tangki minyak. Menyeberangi Selat Hormuz. Itu pun bila kita kata laluan Selat Hormuz, ada pemimpin Parti Politik Pembangkang jawab, mana ada, tak lalu Selat Hormuz. Saya kata, dia ini mengaji dia mana? Sampai tak tahu perkara basic, tapi bercakap, seolah-olah dia tahu semua. Ini masalahnya. Tidak ada sikap humility atau tawadduk untuk mencari fakta. Memang betul mereka dipermainkan.

Tapi kita bernasib baik, kenal, ada hubungan baik dengan negara-negara luar, termasuk Iran. Memang benar, saya telefon Presiden Iran. Saya kata, kapal-kapal Petronas dan kapal Malaysia tersadai di Selat Hormuz. Saya ucap terima kasih, kerana bila saya lepas telefon, Presiden Iran bagitahu saya, dia kata Anwar saya bagi jaminan selepas telefon ini, saya akan bagi arahan supaya dilepaskan segera kapal-kapal Malaysia. Jadi kapal Malaysia, satu dah sampai di Pengerang, satu dalam perjalanan, tetapi yang diluluskan itu banyak belum dapat lepas daripada Selat Hormuz. Satu rosak di pelabuhan di Selat Hormuz. Yang ini kita kena tunggu.

 

Amerika, terutama Israel dalam keadaan aman tengah berunding, ambil keputusan serang Iran. Sebab itu anak-anak harus tahu ikuti perkembangan ini, kerana ada kesan kepada ekonomi kita. Ada yang berkata, oh! ini politik dunia. Geopolitik. Saya tak minat. Saudara tahu, bila Israel dengan Amerika serang Iran, Iran ambil tindak balas, tutup Selat Hormuz, rosak kilang-kilang minyak dan gas, harga minyak melambung dari $70 naik sampai $105. Gas berlambung tinggi, diesel lagi. Diesel ini, Perdana Menteri Australia datang ke Malaysia, bincang boleh tak ambil diesel daripada Malaysia. Saya kata diesel tak ada. Minyak kalau lebih kita boleh eksport. Tapi ada orang marah, sebab apa saya bincang baik dengan dia? Pasal apa kita nak fikir nak jual kepada dia? Sebab kita beli daripada dia. Apa yang kita beli daripada dia? Baja phosphate, kalau tidak Felda, peladang-peladang kita akan terjejas. Kita ambil, beli. Dia eksport phosphate daripada kita, kita eksport urea daripada dia, dan kita beri jaminan kalau ada lebihan minyak kita jual kepada dia. Kalau tidak tak boleh lah.

 

Ini dia hubungan masalah ekonomi kita. Saya tahu bagaimana, saya di Kelantan 2-3 minggu lalu, sebelum itu di Kuala Tengganu dan 2-3 minggu lalu di Pengerang, saya lihat macam kadang-kadang masyarakat dia okey-okey, tak ada masalah. Tak betul. Ini masalah yang dihadapi di peringkat dunia dan kita cari jalan menyelesaikan tanpa membebankan rakyat.

 

 

SOALAN 2:

Assalamualaikum. Saya Nur Zahida, daripada Maktab Sultan Abu Bakar saya ada dua soalan kepada Yang Amat Berhormat, yang pertama, mengapa pelajar Tingkatan 6 tidak mendapat elaun seperti pelajar Matrik sedangkan kedua-duanya berada di tahap pendidikan Pra-universiti? Yang kedua pula, kita tahu yang Tingkatan 6 dalam proses berpindah di bawah KPT, jadi saya nak tahu apa kelebihan dan manfaat pelajar Tingkatan 6 sebaik sahaja kami di bawah KPT. Itu sahaja daripada saya. Terima kasih.

 

 

JAWAPAN SOALAN 2:

Pertama, elaun ini Tingkatan 6 dengan Matrik saya setuju patut disamakan. Ya, tapi kita akan teliti sebab keputusan dasar kita dah buat cuma ingat kaedah pelaksanaannya, sebab itu sementara itu kita dah bagi elaun yang dulunyaTingkatan 5 ke bawah sekarang kita sampaikan, bantuan kepadaTingkatan 6.

 

Baik, tetapi kita sedang teliti keseluruhannya yang keduanya mengenai apa bezanya? Dia begini, dalam sistem pendidikan dari prasekolah sehingga Tingkatan 5 dan IPG kerana IPG itu melatih guru-guru itu, Kementerian Pendidikan Malaysia. Matrikulasi dari Tingkatan 6 itu kita alih kepada KPT sebab dia masuk dalam kategori pendidikan tinggi. Jadi supaya Tingkatan 6 itu bukan sekolah, bukan sebagian daripada sekolah, tapi sebahagian daripada post- secondary, jadi pasca sekolah. Itu konsep dia. Tentunya kemudahan-kemudahan dapat untuk mahasiswa atau Pra-Universiti dan Matrikulasi itu harus disampaikan kepada pelajar ini, tapi proses ini baru dalam transisi kita, akan diperkemaskan dan Menteri-menteri akan umumkan.

 

SOALAN 3:

 

Assalamualaikum Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya selaku pelajar IPG, pertama sekali kami nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan kerana menaikkan elaun kami RM100, dari RM430 ke RM530.

 

Saya ini Bendahari Agong Kehormat JPP di sini, saya melihat biro-biro saya JPP, berpotensi besar untuk melaksanakan program-program yang berimpak tinggi, yang memberikan pembangunan-pembangunan kepada pelajar dari segi insaniah dan sebagainya. Kalau saya lihat NGO – Non-Government Organization dan bukan kerajaan kalau mereka nak buat sesuatu program atau sesuatu aktiviti mereka boleh memohon dana direct dengan Jabatan Perdana Menteri. Harapan saya, mungkin pihak Jabatan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memperluaskan supaya kami pihak Jawatan Kuasa Perwakilan Pelajar boleh juga memohon direct kepada PMO.

JAWAPAN SOALAN 3: 

Nanti saya rujuk kepada Menteri dulu. Kalau ada setakat ini pun, kalau ada kadang-kadang projek khas kita beri pertimbangan, walaupun bantuan kepada NGO itu lebih menjurus kepada beberapa keperluan, tapi saya tidak ada pandangan untuk menolak, sebab kita melihat dari segi keperluan tiap permohonan.

 

Cuma NGO seperti saudara tahu dalam media baru-baru ini, banyak NGO termasuk yang guna nama Islam, yang nyata telah mengutip dana, dulu ingat kes kutip dana puluhan juta untuk bantu rakyat Palestine, tetapi akhirnya belanja untuk pembangunan harta-harta di Kuala Lumpur.

 

Sekarang kita dengar pula ada kutipan daripada dana untuk khairat dan sebagainya, tetapi beli kemudahan-kemudahan peribadi dan sebagainya. Saya sedang meneliti taklimat mengenai ini, jadi semua NGO juga harus mengikuti beberapa kaedah yang ketat, sebab nampak penyelewengan ini itu dapat berleluasa, pergi ke masjid kutip derma, kemudian buat untuk Palestin tapi tidak sampai. Jadi bagaimana pengawasannya.

 

Jadi saya akan bawa perkara ni dan bincang supaya semua harus-harus dipertanggungjawabkan untuk pastikan dana itu tidak disalahguna. Kalau tidak budaya dia begitu. Nak kata rasuah bukan, sebab dia kutip sah, ada sijilnya,  tapi dia kata nak belanja untuk Palestine, dia belanja juga untuk Palestin. Kalau dia kutip RM100 juta, dia boleh belanja RM20 juta untuk Palestine RM80 Juta untuk kos. Begitu juga sekarang ini bila dengar dan ini bukan satu. Saudara dengar di Kuala Lumpur, kemudian di Melaka, kemudia yang terakhir.

 

Jadi, sementara isu yang saudara, anak bangkitkan itu tidak terkait secara langsung di sini, tapi saya ambil kesempatan menjelaskan harus ada peraturan yang lebih ketat mengawal perbelanjaan mana-mana badan termasuk badan kebajikan atau khairat atau amanah atau yayasan yang mengutip derma, tetapi menyeleweng dan menyalahgunakan. Dan saya minita, umpamanya pendaftar syarikat dipertanggungjawabkan untuk melihat dan memastikan ada report yang diteriti secara lebih telus.

SOALAN 4:

 Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Malaysia Madani dan salam Sejahtera, saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya Alif Ardian yang di Pertua Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan 6 Johor Bahru, merangkap EXCO Akademik JPTA Kebangsaan.

Baiklah, saya tidak mahu menyentuh tentang isu kewangan seperti 3 soalan sebelum ini. Tetapi saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri. Saya tertarik dengan apa yang Dato’ Seri katakan semasa awal sesi kita tadi. Yang mana, jika ingin melihat masa depan negara, lihatlah dan latihlah anak muda sekarang.

 

Jadi apabila kita melihat kepada pengalaman luas YAB Perdana Menteri dalam bidang kepimpinan khususnya, setahu saya, Dato’ Seri merupakan mantan Ketua Pengawas di MCKK. Jadi apakah nilai murni dan ciri kepimpinan yang perlu diterapkan dalam diri kami agar kami bersedia sebagai waris kepimpinan negara? Terima kasih.

 

JAWAPAN SOALAN 4:

 

Terima kasih. Saya bukanlah pakar dalam bidang ini ataupun saya anggap saya contoh terbaik. Tidak. Tapi tentunya ada sedikit pengalaman dan harus kita tahu dan terima kenyataan bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki.

 

Apa yang diperlukan untuk anak muda untuk jadi pemimpin? Pertama, mesti menguasai ilmu. Bagaimana kita nak pimpin kalau kita malas membaca, kita buat keputusan berdasarkan dua tiga kerat dalam media sosial. Itu sebagai satu prinsip juga. Jadi pertama mesti menguasai ilmu.

Mungkin sudah lihat hari ini saya beri ucapan tak payah baca atau pakai teks, tapi tentunya ini bukan permulaannya. Permulaannya puluh tahun dulu saya terpaksa membaca, kemudian melihat nota. Jangan ikut semua ini pakai pandangan umum, tidak. Jadi harus ada itu, ada catatan. Kalau dulu saya ingat, rakan-rakan yang ikuti saya semasa memimpin mahasiswa atau ABIM, saya selalu bawa buku kecil. Buku kecil dan saya catat sama ada ayat-ayat Al-Quran yang saya hafal untuk baca, ataupun beberapa hadis ataupun beberapa quotation yang penting ataupun nota, point-point. Saya mesti catat dan saya gunakan dalam ceramah. Maknanya menguasai ilmu dalam bidang tertentu.

 

Jangan kita anggap kita sampaikan pandangan dan kita pintar dalam semua perkara. Ini manusia. Ada juga pemimpin begitu. Ini jadi satu kelemahan besar. Dan bila dia anggap dia pintar, dia tahu semua, dia perbodohkan orang dan orang lain tak tahu semua, ini jadi masalah. Jadi, harus ada sifat tawaduk, humility.

 

Selalu saya ikut pandangan seorang pejangga Inggeris, T.S. Eliot dalam soal humility. Humility ni maknanya rendah diri, tawaduk, hormat. Ia prinsip di antara prinsip dalam MADANI. Apa dia humility mengikut T.S. Eliot? Dianggap ini, satu-satunya kebijaksanaan yang boleh kita kuasai adalah sikap rendah diri, humility, tawaduk. Kata dia, the only wisdom, we can hope to acquire is the wisdom of humility or is humility. Humility is endless. Kalau ada satu-satu kewarasan, kebijaksanaan, kepintaran dan wisdom yang boleh kita kuasai, garapi, ianya adalah wisdom atau humility, sikap rendah diri. Humility itu katanya is endless. Tak ada batasnya. Kalau kita lihat dekat mana diri kita menimba ilmu?

 

Confucius, pernah menyatakan orang yang kadang-kadang bertanya soalan-soalan yang diketahui oleh sebahagian orang, itu nampak kejahilannya beberapa ketika. Dia tak tahu dia tanya, tapi oleh kerana ada humility dan dia tanya, maka kelemahan dan apa yang dikatakan kebodohannya itu sebentar. Dia tak tahu dia tanya, maka ada jawapannya. Jadi kata dia, orang yang berasa dirinya itu humble – rendah diri, ingin tahu, mendengar, yang setengah orang jumpa dia, dia cakap sahaja sampai tak ada peluang orang lain campur terus. Ada kawan-kawan begitu. Dia jumpa kawan tu, dia asyik ni dia je aku gini, aku gini, aku gini, aku, aku, aku, aku. Menyampah aku dengar. Ada. Kau tanya dia, aku, masalah aku, semua aku je. Itu masalah.

 

Jadi, kata Confucius, kalau kita bertanya, nampaklah kita tak tahu berapa minit dan setelah ada jawapan, kita tahu. Tapi kalau kita tak tahu dan kita sombong, tak pernah nak dengar pandangan orang, fikir sendiri, kebodohan kita itu kekal selama-lamanya. Jadi, itu tentang humility. Bagi saya tentang ilmu.

 

Yang keduanya, kalau kita ada ilmu, kita kena ada keikhlasan. Ikhlas al-amalillah. Ini keikhlasannya bertumpu kepada kalau keyakinan agama, itu akhlak. Bicara menentang rasuah. Maksudnya, kita tidak harus menerima toleran terhadap penyalahgunaan kekuasaan dan rasuah tapi bila berkuasa kekayaannya berlonggok-longgok. Jadi maknanya, dia bukan bicara dari hati nurani dan keyakinannya. Dia bicara sekadar menarik perhatian dan tidak yakin. Pertama kena ada ilmu, kedua kena ada ikhlas al-amalillah. Dan ketiga tentunya, kena usaha. Mahu capai kemenangan, mahu capai kepintaran, keputusan terbaik. Generasi yang unik yang disebut Jilun Qur’aniyun Farid – istimewa. Tetapi, kerjanya sambil lalu. Tidak ada kesungguhan.

 

Jadi, saya rasa tiga faktor itu penting. Ilmu, itu kena ada dan itu ilmu memerlukan humility. Maknanya ikhlas jadi ada dasar perjuangan yang baik kena ada. Faham. Dan ketiganya kesungguhan, ketekunan kegigihan, kesabaran semua sifat-sifat yang membolehkan kita maju terus pentang undur.

 

 

SOALAN 5:

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dato’, nama saya Muhammad Abzalul Rahman bin Adil Syam dan saya ada satu soalan, ini untuk kamilah lantikan guru yang baharu. Seperti semua sedia maklum, lantikan guru yang baharu ini kita akan terima sebagai KWSP. Saya nak tanya kepada Dato’ lah, adakah skim pencen itu sendiri akan dikembalikan untuk lantikan baharu? Kami sebagai guru-guru inilah. Jadi, ramai juga kawan saya yang bertanya dan sebagainya.

 

 

JAWAPAN SOALAN 6:

Skim ini kita kena faham. Ya, mengapa kita beri pilihan. Apakah sistem negara tolak pencen? Tak. Dia ada pilihan sebab tu kita kena study.

 

Pertama, ada choice. You kena belajar itu mengapa dalam sistem pencen kemudian diganti? Apa kerugiannya? Dari segi dana, dari segi khidmat, tak ada. Sebab itu, bagi saya mungkin kalau perlu anak-anak nak ambil tahu, kita bagi satu sesi mendengar penjelasan KWSP ataupun pegawai-pegawai yang berkenaan untuk memberikan penerangan kerana apa-apa saja perubahan itu ia menimbulkan kontroversi dan apalagi kalau di politikkan.

 

Apakah boleh? Berapa tanggungan Kerajaan sekarang dalam sistem yang ada? Apakah wajar diteruskan? Apakah dapat di ubah suai? Kalau di ubah suai apakah kerugian? Itu kita teliti, tapi buat sementara ini kerja lambat lagi nak pencen. Okey? Boleh tak sabar sekejap? Muda remaja fikir pencen, tapi bagus juga. Ini orang pandang jauh ni? Hmm. Kahwin belum? Dah ada dah tunang? Ada tapi rahsia okey lah. Tunang pun belum ada, kahwin pun belum, dia fikir pencen. Ini maknanya pandangan jauhlah. Esok bila nak tunang tanya pula isteri, kamu bila kerja? Bila pencen? Kalau you tanya itu memang dia tak dapat lah tu (nada berseloroh). Okay, okay gurau-gurau. Tapi it’s a good question.

 

Baik, terima kasih sekali lagi anak-anak saya. Terima kasih kepada Pengarah Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim. Siapa tu? Siapa tu? Ya. Bangun-bangun. Terima kasih, terima kasih banyak. Terima kasih. Kopi ada, kuih ada. Ada makanan juga. Terima kasih banyak. Terima kasih banyak.

 

Sebab kita beri masa singkat sebab begini, saya datang mengapa orang tanya pasal apa notis singkat sangat sebab saya menghadap Tuanku Agong. Selalunya Perdana Menteri dia menghadap, tapi Tuanku Agong rehat sekejap, jadi saya kena turun ke sini. Kemudian jumpa juga PMJ, jadi bila ada waktu untuk solat Jumaat, saya kata lebih baiklah ada ruang, saya jumpa anak-anak. Itu sahaja, sebab itu tak ada notis panjang.

 

Dalam puluhan institusi yang ada di Johor ini, saya pilih Temenggong Ibrahim, dan dalam ribuan anak-anak Tingkatan 6 ini, saya pergi Tingkatan 6 Johor Bahru.

Jadi, terima kasih sekali lagi ingat pesan saya daripada awal, menimba ilmu, menguasai ilmu, jaga akhlak. Balik jangan lupa mesej kepada ibu bapa, salam kepada mereka, jumpa mereka, cium tangan mereka. Ini kadang-kadang anak-anak kadang-kadang lupa. Jangan, ingat ini ya. Apa-apa pintar kita itu ibu bapa kita. Ingat jasa guru-guru kita, pensyarah-pensyarah kita. Orang-orang ini berjasa kalau ikut sebaiknya, kalau ikut nilai akhlak ini, hormat kepada mereka itu harus tinggi. Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: