TEKS VERBATIM: MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN PROGRAM RANCAKKAN MADANI BERSAMA MALAYSIAKU 2025

7 Disember 2025

 

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN

PROGRAM RANCAKKAN MADANI

BERSAMA MALAYSIAKU 2025

 

 

 

7 DISEMBER 2025 (AHAD) | 11.00 PAGI

DATARAN PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

 

Alhamdulillahil quail

Waman ahsanu qawlan mimman daAAa ila Allahi waAAamila salihan

Waqala innanee mina almuslimeen.

 

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Saudara Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

Yang Berhormat Senator Dato’ Awang Bemee bin Awang Ali Basah,

Yang di-Pertua Dewan Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berhormat Menteri – Menteri dan Timbalan – Timbalan Menteri;

 

Pegawai-Pegawai;

 

Excellencies, Duta-Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi yang hadir; dan

 

Rakan-rakan yang saya kasihi sekalian.

 

 

  1. Kita mulakan tadi dengan mengatur dan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Tiga tahun berlalu dalam sejarah negara, tidak singkat. Tetapi saya, selain dari menyatakan syukur ke hadrat Allah SWT, ingin mengambil kesempatan majlis ini, menyatakan setinggi penghargaan kepada rakan-rakan saya, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, rakan-rakan Menteri, Timbalan Menteri, pimpinan penjawat awam, seluruh rakyat yang membantu meletakkan asas negara MADANI ini dan mengangkat percubaan permulaan, mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat dan berjaya.

 

  1. Sepertimana dipaparkan sebentar tadi, ia tidak mungkin berlaku tanpa muafakat dan kestabilan politik yang terumbang ambing tahun-tahun sebelumnya. Tidak mungkin berubah jika tidak ada wawasan serta tekad politik di kalangan pimpinan untuk menyatakan bahawa tanggungjawab kita adalah untuk melakar satu dasar dan melaksana yang sebaiknya dan ukuran kejayaan kita bukan saja pertumbuhan tetapi keselesaan kepada rakyat keseluruhannya.

 

  1. Dan inilah yang dirungkai dalam pengertian negara MADANI yang saya harap saudara-saudara, rakan-rakan hadam iaitu Kemampanan yang boleh menetapkan nilai termasuk kemanusiaan Ihsan. Ini kita lakarkan dan elok kita tekankan kerana tidak ada negara, pelbagai kaum, pelbagai agama seperti Malaysia ini yang boleh bertapak aman dengan mudah. Jadi, salute kita, penghargaan kita juga kepada rakyat, dari semua kaum, semua suku kaum, semua agama yang tahu dan belajar dari liku-liku dan pahit getir sejarah dunia yang mencabar.

 

  1. Kita menjelajah ke seluruh dunia, dari Eropah ke Afrika, Amerika Latin semua menghadapi bukan semua negara, sebahagian daripadanya masih terlantar akibat daripada perseteruan yang tidak berkesudahan. Permusuhan kaum semuanya dilihat dari pandangan satu suku kaum, semuanya dilihat daripada pandangan sisi agama yang tertentu dan semuanya ke arah perpecahan. Ada negara yang terpecah dua, ada negara yang berlarutan perang saudaranya, ada negara itu dihimpit dengan kemiskinan dan kepapaan menakutkan pelaburan domestik dan antarabangsa.

 

  1. Justeru kerana tidak fokus kepada makna pembinaan negara keamanan sebab itu kita tidak juga melepaskan kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazalidi antara ulama dan umarak, di antara agama yang menjadi paksi dan asas dan pimpinan yang menjadi pengawas, pengimbang, penentu, pelakaran dasar yang beri faedah kestabilan kemajuan kepada rakyat.

 

  1. Dan kita tekankan soal rakyat ini kerana dalam negara pelbagai kaum dan pelbagai agama masih ada tentunya tarikan-tarikan ke arah melihat dari satu corong yang terbatas. Saya ucapkan penghargaan kerana majoriti besar rakyat memilih untuk menjaga kaum mereka dalam konteks negara. Menjaga negeri mereka dalam konteks negara Malaysia dan tidak melihatnya dari segi corong yang sempit yang akan mengundang perpecahan dan malapetaka.

 

  1. Hari ini, tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara yang menyelenggarakan majlis yang memaparkan kejayaan-kejayaan. Saya tidak berhasrat untuk mengulanginya kerana kita tahu pertumbuhan suku ketiga 52 peratus, di antara yang tertinggi di rantau. Kita tahu prestasi ringgit yang tertinggi di Asia, kita tahu pelaburan yang meningkat besar mencecah peningkatan perdagangan, pelaburan yang tinggi, peningkatan perdagangan 44 peratus dengan nilai kumulatif RM2.335 trilion ringgit. Saudara, ini Malaysia, ini negara yang sederhana, negara dengan penduduknya sekitar 34.5 juta orang, tetapi kumulatif perdagangan, peningkatan perdagangan itu sekarang sudah mencecah RM2.235 trilion ringgit. Jadi mencatat keuntungan yang sangat mengagumkan dan membanggakan.

 

  1. Dan yang kita prihatinkan dalam selama membicara soal MADANI, supaya tidak ada yang terpinggir, terlantar, tersisih di arus pembangunan. Sebab itu dalam semua program, sekali lagi terima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang setuju Kampung Angkat, Sekolah Angkat, SejaTi MADANI yang mereka pantau secara langsung. Ini semua dengan maksud tidak ada kelompok yang tersisih dan tertinggal. Jadi akibatnya Malaysia dan itu diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar, itu di antara satu-satu negara di dunia, tidak Amerika Syarikat, tidak negara-negara Eropah kerana terlantar di pinggir-pinggir jalan itu masih tinggi jumlahnya.

 

  1. Malaysia, kita bersyukur kerana kemiskinan tegar sekarang tinggal 0.09 peratus sahaja. Dan saya beritahu kepada pegawai-pegawai termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), kalau 0.09 peratus jumlah yang terkecil yang boleh dan mampu kita selesaikan sebelum suku tahun pertama 2026.

 

  1. Begitu juga kadar pengangguran sekitar 3 peratus bulan September. Dan cara kita menangani, termasuk soal banjir. Ini satu negara yang dipantau oleh YAB Timbalan Perdana Menteri I dan NADMA dan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Negeri, kita lihat kejayaan kita menjangka banjir yang akan tiba menerjun secara mendadak tetapi persiapannya itu jauh lebih baik, daripada Yang di-Pertuan Agongnya, kepada rakyat di bawahnya, semuanya melakukan sesuatu untuk membantu meredakan dan mengurangkan bebanan rakyat. Terima kasih sekali lagi.

 

  1. Selain daripada itu, program-program seperti National Energy Transition Roadmap (NETR), Skim Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), itu kita teruskan termasuk platform e-mobility dan memudahkan penggunaan EV yang sedia kita tahu, baru-baru ini PERODUA, sebelumnya PROTON dan sudah dapat menjelajah ke beberapa negara di dunia, di Mesir, di Afrika Selatan, dan ke Brazil. Persahabatan kita dengan negara-negara asing itu sebenarnya memberi faedah kepada mereka untuk melabur dan berdagang di Malaysia dan faedah kepada Malaysia untuk melabur dan berdagang di negara mereka.

 

  1. Semalam saya di Sabah di Kota Kinabalu untuk menyatakan penghargaan kepada rakyat yang memilih wakil-wakil mereka secara aman dan damai. Bayangkan negeri Sabah, dengan suku kaum yang berbeda, dengan fahaman agama yang berbeda, berentap dalam pemilihan yang tegang, tetapi menjadi contoh kepada negara kita bagaimana dapat dileraikan dan ditenangkan dalam masa singkat selepas dan seusai pilihan raya. Saya ucap tahniah kepada rakyat Sabah termasuk pimpinan Kerajaan yang ada sekarang.

 

 

  1. Dan saya sebut di situ pilihan raya sudah berlalu, tanggungjawab kita menyegerakan apa yang kita janjikan. Ini berbeda, orang politik dan pimpinan politik berjanji sebelum pilihan raya dan meninggalkan janji itu. Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan.

 

  1. Di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan. Dan oleh itu, kita tetapkan supaya bulan Disember ini juga ada mesyuarat penyelarasan memantau pelaksanaan. Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu mesyuarat setiap bulan di antara Persekutuan dan Negeri dan ini jadi contoh terbaik yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan kata-kata kita.

 

  1. Pan Borneo yang mencecah belasan bilion ini juga, RM6.9 bilion ringgit untuk Sabah dan RM6 bilion ringgit untuk Sarawak itu akan diteruskan. Tahniah! kerana sudah beres dengan jayanya dengan Sarawak. Dan kita setuju untuk berikan laluan Red Line tambahan ke Sarawak. Dan Sabah nampak pertama kalinya sejak projek itu diluluskan sepuluh tahun yang lalu, ini kali pertama perjalanan pelaksanaannya jauh lebih teratur dan berkesan, dan insya-Allah mengikut jadual.

 

 

Saudara-saudara,

 

  1. Menyambung isu prasarana rakyat, kita sebut setengah-setengah angka itu tidak tertanam dalam fikiran dan tersemai. Tetapi bayangkan negara Malaysia mengiktiraf pertamanya, penjawat awam yang 12 tahun tidak dapat ganjaran perubahan sistem persaraan yang pada mereka amat dikesalkan. Kita dengar dan teliti, bawa ke Jemaah Menteri, bersetuju. Dan kalau nak difikirkan kenaikan, kenaikan kecil tidak munasabah setelah tertinggal 12 tahun, maka inilah kenaikan tertinggi dalam sejarah, yang mencecah 10 bilion ringgit tambahan tahun ini dan 18 bilion ringgit tambahan tahun depan.

 

  1. Dan dengan ini saya sudah beritahu kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) terutama Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) pantau supaya prestasi penjawat awam jauh lebih baik daripada yang pernah kita catat sebelumnya. Dan saya yakin, insya-Allah, boleh kita capai.

 

  1. Begitu juga dengan STR, Tunai Rahmah, SARA untuk rakyat sudah mencecah 15 bilion ringgit. Jadi bagi orang mengatakan tidak ada faedah dan nikmat, saya harap Majlis Rancakkan Madani ini, yang kita adakan pada hari ini dan hari-hari sebelumnya itu, kesempatan terbaik untuk rakyat sendiri yang ratusan ribu, sudah mencecah lebih 300 ribu. Wah! luar biasa. Saya tak tahu nak bagi kredit kepada KSN ke siapa ini, tapi sudah mencecah lebih 300 ribu yang memantau apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI selama tiga tahun ini. Dan tahniah kepada rakyat yang menyantuni dan menjayakan program ini.

 

  1. Ini untuk memberi ruang kepada kita untuk memahami. Saya bincang tadi dengan Dato’ Seri Zahid, Dato’ Seri Fadillah, dan saya dengar dalam forum tadi dibicarakan hal ini. 140 ikhtiar atau inisiatif baharu. Sebenarnya kalau kita kira, 167. Tetapi tidak sampai kadang-kadang kepada khalayak. Yang sampai itu hanya sampah, sumpah dan maki hamun kerana dalam negara demokrasi dan bebas ini, media sosial digunakan bukan untuk membina tetapi untuk menghina.

 

  1. Sebab itu saya mohon di kalangan penjawat awam, boleh sedikit beda pendapat, tetapi tugas kita menyampaikan apa yang dilakukan, dan menegur atau mencadang apa yang perlu ditambah, yang perlu diperbaiki.

 

  1. Sekali lagi saya sebut, di Sabah semalam, kita terangkan pelaksanaan. Orang mengatakan, “Ya, sudah 1.2 bilion ringgit untuk elektrik, tapi belum pasang.” Makna belum siap. Saya tak salahkan rakyat kadang-kadang dia tak sabar menunggu. Bekalan air itu dalam progres, jangkaannya awal tahun depan, mula siap secara berperingkat.

 

  1. Begitu juga kalau pengumuman-pengumuman, kita kena jelaskan. Dan sebab itu saya minta dan mohon pimpinan politik dan juga penjawat awam dan masyarakat umumnya beri ruang untuk mendengar dan menegur, untuk kita perbaiki. Apa yang kita perbaiki kalau di Sabah, selain daripada tiga perkara tadi api, air dan jalan? Peniaga-peniaga kecil itu mengeluh kerana rasional e-invoicing ini sesuai dengan dasar negara baharu. Bicara soal transformasi digital. E-invoicing pun tak boleh dilakukan. Jadi kita lakukan, tetapi maklumat dari peniaga-peniaga kecil itu dianggap sedikit membebankan kerana mereka rasa mereka harus diberi ruang dan tidak dibebankan dengan beberapa kerenah baru ini.

 

  1. Jadi semalam saya setuju dari threshold batas RM500,000 dinaikkan jadi RM1 juta ke bawah tidak perlu menggunakan e-invoicing. Jadi kita dengar, dan kita dengar walaupun pilihan raya sudah berlalu, tapi ini Kerajaan MADANI, kita tidak putuskan kerana pilihan raya, kita putuskan kerana mendengar keluhan rakyat.

 

  1. Begitu juga soal cukai. Dan saya telah sampaikan maklumatnya kepada Perbendaharaan dan LHDN. LHDN sekarang kita hargai kerana lebih efisien, lebih cekap dalam pengutipan cukai. Ketirisan jauh lebih kurang yang dapat dikesan, bahawa ketirisan itu tidak mudah kerana sistem itu lebih canggih dan digital. Tetapi kita dapat maklumat, di kalangan peniaga-peniaga kecil, ada keresahan. Bila dibayar cepat dia takut kalau tidak bayar. Tetapi sudah kalau bayar dan dibuat kiraan terlebih untuk dibayar balik itu ditangguhkan. Jadi saya fikir munasabah. Kerajaan tidak mahu rakyat berhutang. Kerajaan pun pada prinsipnya tidak boleh berhutang dengan rakyat.

 

  1. Sebab itu semalam saya umumkan, kita sediakan peruntukan 2 bilion ringgit untuk pulangan balik kutipan yang lebih, tetapi mulai bulan ini, sekarang juga, kita tambah lagi 2 bilion, jadi 4 bilion ringgit untuk diagihkan sekarang. Hari Isnin, LHDN akan cuba membayar kepada yang mana tertunggak ini. Ini belum cukup, tetapi Menteri Kewangan ke-2 dan KSP sedang meneliti bersama Ketua Pengarah LHDN untuk melihat bagaimana jumlah ini harus ditambah.

 

  1. Kerana pada prinsipnya, saya fikir masalah ini soal concerned. Ini soal MADANI. Ini soal ihsan dan hormat. Ini soal moral juga. Iaitu kita harus kutip, dan yang berhutang dengan negara harus cepat membayar. Jangan jadi amalan dulu, kalau orang itu kaya raya, billionaire, rundingan mengurangkan itu mudah. Kalau orang itu di peringkat kecil, dituntut bayar tanpa rundingan.

 

  1. Jadi ini sudah harus diubah. Tetapi hutang kerajaan daripada syarikat harus dilunaskan dengan seberapa segera yang boleh, walaupun ini satu masalah. Ini satu perkara yang saudara-saudara harus ingat, hutang negara itu masalah waris yang kita warisi. Mana mungkin 1 trilion, 1.5 trilion, 1.3 trilion ringgit itu dibayar tahun ini? Kita hutang puluhan tahun.

 

  1. Ini jumlah yang tidak dibayar kepada syarikat-syarikat berbilion ringgit, ini legacy issue yang kita warisi sekian lama. Jadi kita boleh bayar secara berperingkat, tetapi oleh kerana kita sedar ini satu masalah, dan tekad politik dan moral, kita segerakan dan menambah. Tapi untuk mengharapkan mesti selesai tahun ini, dan salahnya salah Kerajaan MADANI, ini tidak munasabah. Kerana kita akan lakukan sedaya upaya kita. Itu dua pengumuman yang saya lakukan semalam untuk membuktikan bahawa kita mendengar keluhan rakyat.

 

 

  1. Jadi yang lain ini tentu berfokus soal perpaduan, soal seni, soal fiesta unity, konsert lagu dan sebagainya kerana negara ini harus rencam, harus memberi ruang kepada semua. Ekonomi sebagai tonggak, betul. Nilai sebagai asas. Tetapi cabangnya dalam pelbagai bidang: sejarahnya, seninya, sasteranya, budayanya, itu semua dianggap penting dalam membina negara.

 

  1. Selain daripada itu, program-program mengukuh institusi – institutional reform negara diteruskan. Termasuk Fiscal Responsibility Act, termasuk soal pertanggungjawaban kerajaan dan kepentingan kewangan kepada Parlimen, perubahan-perubahan dalam sistem Parlimen, kadang-kadang orang lupa. Jawatankuasa Pilihan yang berfungsi di Parlimen itu, dengan Ketua-Ketua Speaker Dewan Rakyat dan Negara, itu hanya bermula baru, tidak dilakukan sebelumnya. Beri ruang kepada Ahli Parlimen kerajaan, Ahli Parlimen pembangkang. Dan ada Ahli Parlimen pembangkang yang mempengerusikannya. Itu perkembangan baru yang tidak pernah difikir, atau kalau pun difikir, tidak pernah dilaksanakan oleh mereka.

 

 

 

 

  1. Tapi kita dah umumkan juga beberapa perubahan penting yang harus dilaksanakan pada tahun depan, termasuk isu Ombudsman yang sedang dikerjakan oleh Menteri yang berkenaan.

 

  1. Ini Rang Undang-undang dari segi penjawat awam, tentunya ada Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, dan ini memberi tekanan kepada penjawat awam supaya lebih bertanggungjawab dan prestasi diperbaiki.

 

  1. Selain daripada itu, ada beberapa program Sejati MADANI yang diteruskan dan saya diminta untuk mengumumkan beberapa langkah tambahan pada pagi ini.

 

  1. Umpamanya, kita telah perkenalkan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0. Tetapi pada hari ini, bermula 26 Disember 2024 yang lalu, Kementerian Kewangan telah meluluskan skim tetapi peruntukan awal RM20 juta dan telah bermula sejak 1 Oktober 2025 sehingga 30 September 2026.

 

  1. Bagi Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR)3.0, kadar pampasan ditingkatkan kepada RM13,500 untuk kematian semulajadi, RM26,500 kematian akibat kemalangan serta RM13,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan. Maka saya cadangkan oleh itu, pertukaran untuk melaksanakan ini akan ada MOU di antara KP ICU, JPM dan CEO Prudential Takaful.

 

  1. Keduanya ialah peluncuran pada hari ini kerana kita bicara soal komunikasi, soal terus menyantuni rakyat, kita luncurkan Sahabat Penggerak MADANI. Ini bertujuan memperluas jangkauan agenda Malaysia MADANI dan menyokong pelaksanaan program lapangan Akademi Kenegaraan Malaysia. Dan setakat Disember 2025, kita sudah mengumpul 3,000 sukarelawan yang menjadi Sahabat Penggerak MADANI, sebahagiannya diwakili di sini. Terima kasih.

 

  1. Tanggungjawab mereka adalah menyampaikan naratif kenegaraan, menjadi penceramah, fasilitator dan jurulatih. Dan sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka, 3,000 orang ini akan punyai kad pengenalan rasmi, akses latihan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia, manfaat dari rakan strategik seperti Mydin dan Hotel Seri Malaysia, dan menyertai program nasional serta sijil penglibatan sebagai rekod rasmi sukarelawan negara.

 

  1. Jadi, saya sekali lagi ucap terima kasih atas kesediaan rakan-rakan bersama, dan kita akan berikan montaj ringkas menyusul acara ini.

 

  1. Saya ingin akhiri sedikit sahaja tentang sumbangan negara ini di Persada ASEAN, negara Islam dan antarabangsa. Semalam, Perdana Menteri Qatar maklumkan dan menghubungi, menyatakan bahawa sementara cara perdamaian yang dipelopori oleh Presiden Donald Trump itu disambut baik oleh negara-negara Islam, tetapi kita masih musykil kerana pelanggarannya oleh Israel berterusan. Pembunuhan berterusan, kekejaman berterusan, penjajahan dan penaklukan kawasan-kawasan di Tebing Barat juga diteruskan. Jadi, negara-negara Islam dan kita juga turut mengecam tindakan itu dan menggesa supaya fasa pertama perdamaian itu dilaksanakan.

 

  1. Malaysia mewakili satu pandangan, bahawa perdamaian sebenar adalah secara yang menyeluruh dan komprehensif. Dan kita akan menyuarakan dengan tegas dan berani bahawa penyelesaian mesti dengan mengiktiraf hak rakyat Palestin dan Gaza dan menghentikan kezaliman, penaklukan dan penjajahan oleh rejim Israel.

 

  1. Presiden Mesir telah menghubungi saya untuk menyatakan kesediaan Mesir menganjurkan satu sidang ke arah pemulihan Gaza dan minta Malaysia di antara co-convener sidang itu. Kita sedang bekerjasama dan meneliti kebijaksanaan acara program itu kerana tanggungjawab kita dari segi keadilan sejagat, itu harus kita sempurnakan.

 

  1. Saya juga ambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan luar biasa kepada semua rakan-rakan Menteri, Kementerian Luar Negeri, Dalam Negeri, Pelancongan, Komunikasi dan semua yang terlibat menjayakan acara ASEAN yang luar biasa suksesnya. Dan dalam hubungan antarabangsa ini, kita akan terus ke Asia tentunya, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Latin dan Afrika untuk menembus pasaran, meningkatkan perdagangan.

 

  1. Saya nak tegaskan, jangan pandang enteng soal ini. Kita tidak boleh berjaya sebagai negara dagang ‘a trading nation’ kalau kita hanya menumpu kepada rakan-rakan strategik sedia ada. Perdagangan yang sangat tinggi jumlahnya dengan Amerika Syarikat, dengan negara China dan sebahagian negara Eropah, itu tidak bermasalah dan akan kita teruskan. Tapi kalau mahu menjayakan Malaysia sebagai negara yang punyai ekonomi yang kukuh dan negara dagang, kita mesti dan wajib menembusi pasaran baru. Meningkatkan perdagangan inter-ASEAN di kalangan negara-negara ASEAN dan menembusi pasaran di Amerika Latin dan Afrika yang punyai potensi.Mudah-mudahan rakyat akan memahami keperluan kita dalam bidang antarabangsa ini.

 

  1. Jadi saudara-saudara, saya ucapkan jazakumullah khairan kathiran, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan saya, Jemaah Menteri dan pimpinan, dan dukungan mereka, semangat mereka. Tidak mudah mengendali satu kumpulan kelompok yang pernah berseteru dulu. Tetapi semuanya bertekad untuk menggunakan ruang mengangkat martabat negara. Saya yakin! insya-Allah, kalau kita teruskan dengan prestasi ini, Malaysia akan meningkat maju sebagai negara hebat di Asia ini.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

Share: