TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN PRASARANA AWAM SEMENYIH

27 Januari 2026

TEKS VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PELUNCURAN PEMBANGUNAN  PRASARANA AWAM SEMENYIH

27 JANUARI 2026 (SELASA) | 3.00 PETANG

KAMPUNG SUNGAI PENING, JALAN SG LALANG

SEMENYIH, SELANGOR

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’

Menteri Besar Selangor;

 

Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh Tseow Suan, Menteri di

Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);

 

Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Ahli-ahli Yang Berhormat;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Kong Hon Kong,

Pengasas KHK Land;

 

Yang Berbahagia Dato’ Zainol Abidin bin Mohamed,

Pengerusi KHK Land;

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya muliakan sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Saya ucap terima kasih dan penghargaan tinggi atas sambutan majlis ini dan saya difahamkan bahawa projek ini memang lama tertangguh dan kesesakan itu sedia maklum. Tadi saya datang pun nampak sesak betul tetapi saya ingat itu memang disengajakan untuk buktikan bahawa memang betul sesak.

 

Jadi, ada beberapa isu yang terkait dengan projek ini yang rakan-rakan kita telah membantu. Jadi saya harus menyatakan penghargaan. Pertama kepada Menteri Besar yang mengambil perhatian secara peribadi untuk menyelenggara dan juga mempercepatkan kelulusan. Tentunya, Datuk Bandar melalui Hannah Yeoh dan Dr. Zaliha sebelum ini yang mengambil perhatian dan mengemukakan isu-isu yang harus diselesaikan.

 

Kemudian, rakan-rakan dalam menyelenggara projek ini, baik di peringkat persekutuan, negeri dan juga di daerah. Dan saya ucap terima kasih dan penghargaan kerana semuanya mempercepatkan dan Tan Sri Kong dan Zainal telah juga membantu menyelesaikan.

 

Projek-projek seperti ini, kalau tidak ada usaha tolak ansur dia sukar berjalan kerana dia merempuh banyak kawasan dan ada yang sensitif kerana menyentuh juga kawasan Rizab Melayu. Tetapi saya ucap terima kasih kerana sementara kita terpaksa selesaikan soal tanah kubur, tanah pembangunan, tanah kubur yang agak besar juga, memenuhi keperluan perkuburan, permintaan perkuburan di kawasan Wilayah Persekutuan, bandaraya.

 

Jadi, kita cuba selesaikan dengan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih. Di samping itu, kita juga telah cuba melihat kepentingan pembangunan yang lebih menyeluruh. Pembangunan supaya projek itu dapat memberi pulangan dalam pelaburan yang munasabah.

 

Jadi sebab itu, saya beri perhatian bagaimana boleh kita jana pertumbuhan ekonomi dan menjamin keselesaan, persekitaran dan soal keindahan dan juga keperluan rakyat tempatan. Di antara yang banyak dibangkitkan oleh penduduk di sini ialah kesesakan. Jadi, kita terpaksa hadapi dan kos pembangunan lebuh raya itu agak tinggi dan termasuk juga penggantian kawasan perkuburan sebahagian besar bagi orang Islam yang di Wilayah Persekutuan. Jadi hal ini semua diambil kira. Saya tentunya rakan-rakan di Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar pun ada. Terima kasih banyak atas semua yang dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.

 

Projek Pembinaan Jalan Pintas Sungai Lalang ini sepanjang 4.3km menghubungkan Jalan Sungai Lalang dan Lebuh raya SILK dan juga yang saya katakan tadi, pembinaan tapak perkuburan Islam yang dibina dan akan diserahkan kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.

 

Ini bukan Tan Sri Kong yang jaga kubur ini, kita serah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (nada berseloroh) dan seperti mana yang kita lalui tadi, kesesakan lalu lintas itu dah sampai ke tahap yang agak serius dan saya tahu Ahli Parlimen di sini memang banyak bangkitkan perkara ini, tidak habis-habis bising, bukan bising sebab projek, bising sebab Jalan Raya dan tentunya bila siap, dia akan beri keselesaan kepada penduduk.

 

Projek Pembangunan Jalan Pintas ini akan dilaksanakan secara perswastaan melalui kaedah pertukaran tanah yang dimiliki oleh Road Edge Sdn. Bhd. dan pembinaan tapak perkuburan awam orang Islam tentunya, seperti yang saya sebut, diserahkan sepenuhnya untuk diselenggara oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Dan selain itu, harus kita tekankan bahawa jumlah keperluan kerana kematian yang meningkat di Wilayah Persekutuan itu, menuntut kita menyegerakan dan memberikan kemudahan yang secukup saja mengikut unjuran jumlah kematian pada lima tahun akan datang, dianggar lebih daripada 3,000 orang.

 

Saya pun tidak tahu sebab apa ramai yang mati (nada berseloroh) tapi mengikut-ikut jangkaan unjuran dia 3,000 setahun. Jadi keperluan menggantikan tempat kerana tidak dapat ditampung di wilayah Persekutuan kerana Kokwai kata dia tidak mahu banyak sangat di situ kerana tidak ada tempat dah.

 

JAWI menganggarkan baki tanah perkuburan Islam, Raudah Sakinah Kuala Lumpur boleh digunakan dan bertahan sekitar 3 maksimal 4 tahun sahaja. Sebab itu, projek ini disegerakan dan sebaik siap boleh menampung keperluan baru yang akan disediakan di sekitar 100,000 plot tapak kubur yang akan dibina.

 

Jadi saya percaya Majlis Agama JAWI khususnya akan berikan perhatian supaya perancangan itu, Menteri Agama ada, perancangan itu memenuhi keperluan melalui program yang lebih teratur, jalan, terus keluar, masuk supaya jangan tidak membebankan pengguna nanti.

 

Hal ini semua kita harus beri perhatian dari awal supaya kita tidak hadapi masalah yang besar dan kerja-kerja seperti mengambilalih tanah persendirian, soal tanah rizab Melayu ganti, itu semua kita dapat jaminan daripada Kerajaan Negeri Selangor akan membantu supaya dapat dileraikan cara baik.

 

Saya hendak ambil kesempatan ini ucapkan penghargaan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan dan juga UKAS kerana banyak bantu menyelenggarakan, JAWI kerana patutnya Menteri Besar berucap, dia boleh bagi terima kasih semua jadi tak berucap, saya kena ulang terima kasih ini dan dicatat nota penting, terima kasih khas kepada Menteri Besar Selangor, yang tu draf yang Menteri Besar tulis tadi (nada berseloroh) dan Tan Sri Kong terima kasih, terutama kepada syarikat kerana telah memberikan perhatian, baik habis bab rasmi ini.

 

Saya hendak sebut di sini, kita syukur, alhamdulillah kerana, kalau lihat angka-angka terkini prestasi ekonomi kita baik. Kita lihat umpamanya pertumbuhannya itu dirantau membanggakan kita lihat kekuatan ringgit itu cukup meyakinkan sekarang kita lihat angka pelaburan yang saya baca tadi itu tertinggi dalam sejarah.

 

Semua angka-angka ini penting untuk menambah keyakinan supaya rakyat termasuk di Semenyih ini tumpu perhatian. Ada yang lemah, ada yang kelemahan lain, ada yang harus kita perbaiki kita perbaiki, ambil sikap yang positif. Mana ada satu keadaan di mana semuanya perfect.

 

Ada kelemahan kita cuba baiki, kerja sebagai satu pasukan tetapi kita gunakan peluang ini untuk membina dan membangun. Potensi negara ini hebat, saudara. Potensi yang ada di Malaysia sekarang dengan kekuatan ekonominya, dengan keupayaan kita, dengan tahap pekerjaan dan prestasi pekerja semua angka-angka ini menunjukkan kita ada upaya untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat di Asia.

 

Kalau kita punyai pendirian itu maka kita mesti betulkan sikap kita dan usaha kita kerana kalau ekonomi kita ini dalam keadaan lemah, kalau ekonomi tak mampu bangun kita akan hadapi peluang-peluang pekerjaan pengangguran tinggi kalau dulu, kemiskinan bertambah.

 

Hari ini walaupun ada masalah kemiskinan tapi dia jauh berkurangan. Dan Kerajaan MADANI bertekad untuk cuba menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dan saya percaya Tan Sri Kong, syarikat dengan rakan-rakan cuba. Ini soal-soal kecil, selesaikan masalah rakyat supaya jangan mereka rasa gelisah.

 

Let them feel comfortable. They had a role to play in this country. A positive attitude must be there. And I believe that with your commitment, your support we can do it. I mean a combinations of factors. The effort of the private sector together with the government missionary and a very positive attitude to try assist and help. We want everyone in Malaysia respective of race or creed to feel that their a part of this great country that we can together build a new Malaysia. And that is precisely is our aim.

 

Jadi saya harap rakan-rakan harus gunakan peluang ini. Betul kita tengok pembangunan. Kita lihat yang gagah akan timbul, kita lihat beberapa perancangan yang cukup indah, cukup hebat, benar. Dan kita harus beri sokongan kerana negara sudah berkembang. Tetapi kita harus juga ingat bahawa dalam keadaan begitu yang mana orang senang ramai, masih ada kelompok-kelompok yang tersisih, yang miskin, yang sukar untuk hidup dengan baik.

 

Tanggungjawab kita, kerajaan, swasta, yang kaya, yang miskin, bergelut untuk cuba perbaiki. Dan ini patut jadi sikap kita masing-masing. Makna, bekerjasama untuk membawa perubahan dalam negara kita. Kemudian angka ini memang memukau saudara bayangkan, jangan anggap ini mudah, jangan anggap ini biasa. Lihat banyak negara-negara lain. Tengok ekonomi mereka, lihat pengangguran, lihat tahap kemiskinan, lihat soal banjir dan masalah-masalah alam sekitar mereka. Itu bergelut untuk hidup, bergelut untuk dapat nafkah yang halal, bergelut untuk dapat satu suasana yang agak munasabah tetapi kita alhamdulillah. Sebab itu saya katakan, cuba baiki dan Tanggungjawab kita, dari Kerajaan Persekutuan, Negeri, Ahli-Ahli Majlis, mesti ambil sikap yang positif. Bantu kalau rakyat, jangan tunggu mereka datang. Cari apa-apa penyelesaian yang baik. Baru boleh kita dapat rasa rakyat merasakan mereka ini sebahagian daripada hidup yang lebih lumayan dan selesa dalam negara kita. Ini yang saya nak gesa dan pesan, kerana saya tidak bermaksud mengulang semua angka-angka yang terlalu baik.

 

Pagi tadi di Parlimen, saya baca sekali lagi untuk Ahli-ahli Parlimen angka-angka pelaburan, projek-projek baharu, perdagangan. Perdagangan kita, kita ini bukan negara besar. Negara relatif kecil, tetapi perdagangan sudah cecah lebih daripada RM1 trilion. Bukan kecil. Ini sebab apa? Sebab kerja pekerja yang bawah yang bertungkus-lumus. Peniaga-peniaga dan pengusaha, semua mereka bekerja untuk mengangkat tahap ekonomi negara kita.

 

Dan ini yang saya menggesa semua pihak. Kalau kita pandang ringan hal-hal ini, kita akan terus bergaduh. Tidak selesai, tidak habis-habis. Gaduh soal kaum, gaduh soal bahasa. Tidak selesai semua masalah. Padahal kita mesti cari jalan penyelesaian.

 

Tengok soal bahasa baru ini  kita ambil sikap tegas. Tinggal di Malaysia, kuasai Bahasa Malaysia, faham sejarah Malaysia. Kemudian beri ruang. Apa sistem pun Sekolah Agama Rakyat, UEC, apa juga beri ruang supaya mereka boleh bersama-sama naik kedudukan.

 

Kita tidak tolak ansur penguasaan bahasa, faham sejarah. Kalau dia faham bahasa, faham sejarah, biar dia maju bersama sebagai satu pasukan yang padu. Itu sebagai contoh dari segi bahasa. Begitu juga dari segi kelayakan anak-anak kita mesti beri ruang sebaik mungkin. Negara Malaysia tahun 2026 tak boleh ke belakang. Pagi tadi saya umumkan bersama dengan Menteri Pendidikan. Masuk Darjah 1 umur 5 tahun daftar prasekolah, Darjah 1 umur 6 tahun. Biarlah dua tiga orang merengek, “Oh, tak sedia lagi lah, belum matang lagi, masih minum susu.” Tak apalah. Siapa nak cakap, as a free country, orang boleh bicara.

 

Tetapi seratus lebih negara, seratus lebih negara, mula persekolahan umur 6 tahun. Kenapa kita harus ke belakang? Kita baru nak maju ke depan, kita nak maju ke depan. Ya, ada masalah. Siapa kata tak ada masalah? Nak masuk sekolah, nak percepat program, memang ada masalah. Tapi kita cuba selesaikan.

 

Ini yang kita harus ambil pendekatan yang sangat positif. Sampai bulan Februari, cukup 5 tahun, daftar. Ada setahun lagi untuk belajar. Nak masuk Darjah 1, satu tahun, siaplah. Jangan ketinggalan.

 

Ada orang sebut pada saya, dia kata nanti orang Melayu di kampung akan ketinggalan. Kerahkan ahli jawatankuasa, JKKK ada, Ketua Kampung ada. Masa inilah kita gerakkan. Jangan ada rakyat kita sama ada orang di bandar, di kota, Cina atau Melayu di kampung dan desa. Semuanya harus dikerahkan untuk memanfaatkan kemudahan ini. Kerana kalau tidak, kita ketinggalan. Kita tak mampu wajibkan tahun ini. Kalau ikut saya, saya nak wajibkan. Tetapi kementerian kata, sabar-sabar, nanti wajibkan marah pula. Okey, jangan wajibkan.

 

Tetapi, saya nak gerakkan. Jangan ada anak kita yang ketinggalan. Jadi, sebaik mungkin setiap pelajar daftar. “Oh, kita ada masalah.” “Apa dia?” “Kita nak dapatkan RM800 juta tambahan. Untuk tahun ini sahaja, nak perlu tambahan lebih RM800 juta ringgit. “Tak apa.” Saya jawab, “kita cari ikhtiar.”

 

Nak kata money is not a problem, itu tanya Tan Sri Kong. To him, money is not a problem. To me, it is (nada berseloroh). Tapi kita cari. Sebab apa? Bukan untuk kita boros. Kita nak ambil wang ini, nak bagi anak-anak, bagi guru, nak bayar guru baharu, nak sediakan bilik-bilik darjah tambahan. Berapa kita perlu? Hampir RM1 bilion ringgit tahun ini. Boleh cari? Kita cari juga. Sebab kita nak anak-anak kita merasa nikmat pendidikan yang baik di negara kita. Itu sikap kita saudara-saudara.

 

Jadi, tahun ini kita mula dan saya harap ibu bapa beri kerjasama, beri galakan. Kalau tidak, kita gaduh soal aliran mana dan sebagainya. No. Tumpu mutu pendidikan. Quality of education. Itu cabaran kita terbesar.

 

Negara ini kalau mahu angkat martabat, mahu maju, mutu pendidikan mesti dibaiki. Mesti baik penguasaan bahasanya, Bahasa Inggerisnya, Bahasa Cina atau Bahasa Tamil. Mesti baik pemahaman tentang Matematik dan Sainsnya. Mesti baik dari segi artificial intelligence-nya dan new technology. Ini yang patut menjadi matlamat kita.

 

Jadi, cukup ceramah saya petang ini. Saya cuma nak manfaatkan ini, baiknya kerana kita datang ke Semenyih, ramai juga kawan-kawan saya, orang-orang kampung berada di sini. Saya nak beritahu bahawa pembangunan ya, bila ada pembangunan, ada sedikit sebanyak masalah, kita cuba selesaikan. Jangan jadi masalah. Bukan saya kata tangguh, saya kata selesaikan.

 

Dan saya pun dengar sendiri daripada Menteri Besar, Amirudin sebentar tadi, dia kata soal termasuk ada status Tanah Rizab Melayu. Saya tak mahu tolak ansur. Tanah Rizab Melayu, kalaupun kita terpaksa ambil kerana pembangunan jalan, kita akan ganti. Ini jaminan daripada Menteri Besar.

 

Kemudian, projek yang lain kita uruskan sebaik mungkin. Dan Tan Sri Kong tahu, saya kalau dah setuju, semua in order, percepatkan proses. Kalau boleh siap tiga (3) bulan, sebab apa nak tangguh enam (6) bulan? Jadi, kita berpendapat projek ini harus, kalau dah setuju semua, ikut semua peraturan, segerakan dan jangan lengahkan.

 

Saya lihat umpamanya some projects di Kuala Lumpur umpamanya, nak lulus, kalau ikut lama lah. Datuk Bandar sekarang okey. Kalau dulu, enam (6) bulan, lapan (8) bulan. Saya tak faham. Yang boleh lulus dua (2) bulan, sebab apa nak tunggu enam (6) bulan? Ikut peraturan, prosedur mesti betul. Kalau boleh lulus dua (2) bulan, lulus dua (2) bulan. Tidak ada sebab nak tangguh.

 

Ini negara Malaysia baharu. Malaysia yang mahu mencatat pertumbuhan yang lebih baik. Kita tak boleh lengahkan. Saya harap mesej ini jelas, sama ada di bandar, di kota ataupun di desa. Projek-projek kecil, KP ICU pun ada. Projek kecil, projek jalan kecil, projek bina surau. Ini yang dianggap umpamanya projek-projek kecil, itu pun bagi saya projek utama. Kalau harus disiapkan, siapkan segera. Dan Ahli Parlimen pun ada, kita tak mahu hal-hal ini dilengahkan. Sebab kita nak rakyat itu rasa selesa. Dia mesti tahu nikmat pembangunan ini.

 

Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri Kong, Zainal, Hannah Yeoh, Menteri Besar dan semua yang hadir. Kerana hari ini memang Tan Sri Kong dia bawa semua geng-geng dia bagi depan saya ini, untuk tunjuk sokongan yang padu. Terima kasih atas kehadiran saudara-saudara, dan saya harap dengan ini keputusan-keputusan telah dibuat, kita dapat kerjasama sepenuhnya supaya dipercepatkan dan dijadikan satu contoh.

 

Saya tidak sentuh umpamanya tentang keindahan dia dan sebagainya, environment dan sebagainya. I’m sure Tan Sri Kong boleh beri perhatian. Jangan pandang ringan soal semua, soal persekitaran, soal pembangunan, rakyat dan sebagainya. Terima kasih sekali lagi kepada semua.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: