TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS 219 TAHUN 2026

25 Mac 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA  

SAMBUTAN PERINGATAN

HARI POLIS 219 TAHUN 2026

25 MAC 2026 (RABU) | 2.00 PETANG

DEWAN TAN SRI ABDUL RAHMAN HASHIM,

PULAPOL KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri;

Yang Amat Arif,

Ketua Hakim Negara;

Mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri;

Menteri-Menteri khususnya,

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara; dan

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah,

 Timbalan Menteri Dalam Negeri.

 

  1. Terima kasih kepada Ketua Polis Negara, Timbalan, rakan-rakan keluarga KDN, dan Polis khususnya, menyelenggarakan majlis ini, dan sepertimana yang lazim diadakan setiap tahun. Tugasnya adalah tugas kita mempertingati, mengenang jasa khidmat yang lalu dan meletakkan satu garis panduan, hala tuju baharu untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti pasukan polis.

 

  1. Dalam mana-mana pembaharuan atau reform, agenda itu harus bermula dengan beberapa prakarsa. Pertama, seperti kita telah tahu prasyaratnya tentulah keamanan. Dan tentunya kita sebagai rakyat, saya, rakan-rakan harus terus menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kerana khidmat, pengorbanan, kesetiaan yang ditunjukkan oleh PDRM sehingga kita dapat mencatat prestasi gemilang, negara yang aman dalam segala hirup-pikuk, kegetiran yang berlaku di dunia, Malaysia khususnya masih diiktiraf sebagai di antara negara yang paling aman di dunia dan tentunya kita harus tahu bahawa di antaranya adalah peranan pasukan keselamatan dan PDRM.

 

  1. Ini prasyaratnya, kalau tidak, tidak mungkin kita bicara soal dasar dan kerangka dasar besar dalam negara. Kita mungkin bicara soal hala tuju baru, reform dan langkah-langkah mengangkat martabat ekonomi dan program-program agenda IT, transformasi tenaga dan digital. Itu semua setelah kita dapat letakkan prasyarat pertama. Jadi sekali lagi bagi pihak Kerajaan dan saya percaya rakyat Malaysia keseluruhannya, tanpa menafikan wujudnya segelintir yang mungkin prasangkanya berbeda, tetapi umumnya rakyat menghargai jasa, khidmat, pengorbanan rakan-rakan anggota Polis Diraja Malaysia.

 

  1. Saudara-saudari, saya mulakan tadi menyebut tentang kerangka besar. Negara ini setelah aman, harus meletakkan beberapa asas. Pertama, sebagai negara hukum, harus sentiasa melihat keperluan mewujudkan bentuk perundangan dan langkah-langkah baru, supaya undang-undang itu dapat menjamin tertegaknya negara hukum. Dan undang-undang yang saya maksudkan ini melibatkan juga pelaksanaannya, kecekapan pengurusannya, sepertimana kita bicara dulu, kita pertamanya kita harus ada ‘just laws’. Undang-undang itu mesti dilihat adil. Undang-undang itu tidak boleh dirangka oleh satu pihak yang memihak kepada kelompok mereka, atau biasanya kelompok yang berkuasa dan kelompok yang punyai harta, kerana mereka boleh mempengaruhi sistem dan perundangan. Dan itu peringatan kepada semua yang dianggap penggubal undang-undang.

 

  1. Undang-undang itu mesti diasaskan pada prinsip keadilan. Sebab dia mungkin ‘unjust laws’, yang ditadbir secara adil. Ataupun ‘just laws’ yang berikutnya harus ditadbir secara ‘just’. Kalau tidak, ‘just laws’ boleh ditadbir secara ‘unjust’. Sebab itu kita sebut ‘just administration of just laws’, dan bukan ‘just administration of unjust laws’ ataupun ‘unjust administration of just laws’. Jadi sebab itu, soal reform undang-undang ini penting dan ini melibatkan terutamanya usul dari badan kehakiman punya pengalaman dalam melihat undang-undang, tentunya juga Ahli-ahli Parlimen dan masyarakat secara yang menyeluruh.

 

  1. Dan ini yang kita lakukan dalam negara MADANI ini. Paling banyak undang-undang yang dipinda, digubal semula, diperbaiki dan ditingkatkan. Kerana meneruskan sahaja itu tidak bermakna negara ini matang dan punya keupayaan meningkatkan harakat dan martabat bangsa dan negara. Dan setelah itu dilakukan, mungkin kita juga harus dapat input dari PDRM, kerana saudara secara langsung dan tidak terlibat dalam memahami dan memperkenalkan dan melaksanakan undang-undang itu. Jadi, pertama adalah merangka dan terus membawa perubahan supaya undang-undang kita itu terus matang, benar-benar menjiwai hasrat negara merdeka dan berdaulat, mempertahankan prinsip keadilan sejagat.

 

  1. Dan keduanya pelaksanaannya. Pelaksanaan yang tentunya yang bertanggungjawab bukan sahaja badan kehakiman, tapi yang pentingnya ialah badan penguatkuasaan. Sebab itu, pihak Polis Diraja Malaysia itu punyai satu amanah dan tanggungjawab yang besar. Apakah boleh kita yakinkan masyarakat bahawa kita ada upaya mengambil tindakan tanpa mengira pangkat, darjat, pendapatan, kekayaan seseorang itu. Dan saya setakat pengalaman saya, beberapa tahun kebelakangan ini, syukur kehadrat Allah SWT kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian bertindak bukan sahaja kepada perasuah-perasuah kecil, tapi perasuah-perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun, tapi tidak pernah berani disentuh dan disinggung.

 

  1. Saudara-saudari harus akui, ini kelemahan dari segi keupayaan kita bertindak tanpa memilih bulu. Dan ini memerlukan keberanian dan tentunya kebijaksanaan. Saya tidak boleh menafikan bahawa ada, masih ada kelemahan, masih ada beberapa langkah berani harus dilakukan, tetapi adalah paling tidak munasabah bagi kalangan yang hanya melihat beberapa kelemahan ini, dan mahu menafikan kejayaan besar dalam beberapa tahun ini dalam merungkai permasalahan yang begitu lama terbenam dalam sistem kita. Sindiket-sindiket haram yang besar puluhan tahun dibiarkan, dan saya ucap tahniah kerana berjaya dipatahkan kerana profesionalisme, tekad dan keberanian PDRM hari ini. Terima kasih.

 

  1. Begitu juga sindiket rasuah, saudara yang ikuti tahu sindiket yang disebut Pelabuhan Klang. Puluhan tahun berapa kelompok-kelompok, baik Pulau Pinang atau Kuala Lumpur ataupun Johor, Sabah dan Sarawak. Sebab itu saya katakan pelaksanaan yang menunjuk keberanian, ketekunan dan profesionalisme itu harus ada. Kerana orang yang menegur dan mengkritik pun tidak semuanya konsisten dan telus.

 

  1. Saya beberapa kali mencabar di Parlimen, Dato’ Seri Zahid ada di situ, Menteri Dalam Negeri pun ada, saya mencabar. Aneh, segerombolan perasuah besar dan kelompok besar tidak pernah menjadi isu dan masalah di kalangan beberapa Ahli Parlimen. Dipadamkan sama sekali, semua orang tahu bagi yang mengikuti perkembangan tentang wujudnya segerombolan, baik rasuah ataupun kelompok-kelompok sindiket haram ini selama puluhan tahun didiamkan, dan tentunya kita semua bertanggungjawab, termasuk PDRM, tetapi bila mereka mula bertindak, kerana pertamanya tekad politik, keduanya kesungguhan, profesionalisme dan integriti PDRM dan tentunya badan-badan penguatkuasaan yang lain: LHDN, Bank Negara, SPRM, AMLA, yang lain-lain. Kita bertanggungjawab untuk memberi semua segala sokongan dan dorongan supaya mereka boleh bertindak terus dengan berani dan tidak sekerat jalan. Dan ini tanggungjawab kami dalam Kerajaan dan saya terima kasih kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, kita bincang. Tugas kita bukan campur aduk dalam tindakan yang diambil, tetapi memberi laluan besar.

 

  1. Apa makna sambutan Hari Polis kalau tidak usaha bersama untuk mengangkat martabat integriti dan profesionalisme dan memastikan negara ini sebagai negara merdeka mampu dikenali sebagai negara yang bertindak secara telus dan adil. Membersihkan saki-baki jenayah. Bermula dengan jenayah skala besar. Sebab itu, rakan-rakan, Dato’ Sri Khalid, Ketua Polis, lebih-lebih lagi Menteri Dalam Negeri, sedia maklum pendirian saya dalam hal ini. Kerana kadang-kadang secara langsung dan tidak, yang melindungi itu orang-orang yang berpengaruh. Ini mempersulitkan kerja PDRM. Mereka kadang-kadang mengeluh. Sebab itu, di kalangan rakan-rakan saya, menteri sedia maklum tidak campur. Tapi masih ada lagi, kadang-kadang unsur-unsur luar yang cukup kuat pengaruh mereka yang campur.

 

 

  1. Jadi, elok saya gunakan kesempatan pada Hari Polis ini menyatakan, bahawa Kerajaan hari ini yang saya diamanahkan untuk memimpin dengan rakan-rakan memberikan suatu pengarahan yang sangat jelas. Kalau benar kita mahu bertindak, kita juga memberi nasihat kepada semua yang lain, percayalah negara ini harus aman, gagah kalau kita memberikan mesej yang jelas. Tindakan harus tegas tidak kira dari kelompok mana dan jangan ada campur tangan menghalang tindakan oleh PDRM dan badan-badan penguatkuasaan.

 

  1. Mudah dibicarakan, tapi percayalah Allah sahaja yang mengetahui tentang betapa sukarnya untuk kita cuba mempertahankan prinsip ini. Kita doakan ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan kita dapat kembangkan kerana simpang siur politik ini tidak berkesudahan. Dan orang hanya memilih ambil cebisan-cebisan yang memihak kepada mereka. Dan saudara percaya, tiap kali seorang tokoh besar atau berpengaruh, atau ada kaitan dengan mana-mana pihak itu disentuh, terus hebah dalam media, dalam media sosial, semuanya itu dikecam. Kerana tidak telus, dan ada motif politik.

 

  1. Saya, ingin tegaskan bahawa negara ini harus mampu diselamatkan daripada gerombolan ini sekiranya kita punyai kekuatan untuk bekerja sebagai satu pasukan. Itu yang saya sebut soal pelaksanaan. Undang-undang, pelaksanaan, tapi satu aspek ketiga, yang sangat dekat di hati Menteri Saifuddin, ialah soal kebajikan anggota. Sebab itu, dalam beberapa keputusan kita, kita terus memberi perhatian yang lebih. Dan saya syukur Alhamdulillah, kerana ketimbang tahun-tahun yang sebelum ini, peruntukan, perlaksanaan, kemudahan pejabat-pejabat polis yang kadang-kadang sangat daif, soal perumahan dan kelengkapan, itu kita beri perhatian.

 

  1. Tanggungjawab rakan-rakan di PDRM dan KDN, pastikan menjadikan contoh yang baik. Ketelusannya, mempertahankan integriti. Integriti bukan slogan tahunan. Integriti itu dalam amalan kita. Jadi, dalam perolehan itu, sebab itu, walaupun bermula beberapa masalah Kementerian Pertahanan pada peringkat awal, kita bekukan semua termasuk KDN. Tapi sekarang sudah kita lepaskan. Tetapi satu peringatan supaya perolehan itu dijadikan sebagai contoh terbaik secara lebih profesional dan telus.

 

  1. Dan ini aspek yang ketiga yang saya sebut tadi, kebajikan ini untuk melayakkan pasukan polis itu sebagai satu pasukan yang mantap dengan tahap profesional yang tinggi. Kepada JPA saya telah arahkan supaya program latihan yang diberikan, yang kita tingkatkan kali-kali ganda kepada pejabat awam, KSN ada, kita juga tumpukan kepada pasukan PDRM supaya latihan mereka, tahap profesionalisme mereka tidak semestinya latihan dari segi akademik, saya ingat bukan berebut ijazah lanjutan, kalau perlu tidak ada halangan, tapi yang paling penting dan kritikal ialah latihan peningkatan tak profesionalisme. Dan kita manfaatkan hubungan baik kita dengan semua negara untuk melayakkan rakan-rakan polis terutama di kalangan yang lebih muda untuk diberikan peluang. Dan saya mendapat jaminan daripada JPA supaya tumpuan ini dan Menteri, KSU dan Ketua Polis Negara patut pantau supaya manfaat ini betul-betul diperolehi.

 

  1. Rakan-rakan, akhirukalam secara ringkas, semalam kita adakan mesyuarat khas dengan Majlis Keselamatan Negara. Tadi Majlis Tindakan Ekonomi Negara, kerana negara tidak boleh terlepas daripada tempiasan dari kemelut politik dan peperangan akibat serangan zionis Israel dan Amerika ke atas Iran, dan keupayaan negara Islam Iran membalas dengan begitu berkesan. Tetapi tempiasannya, pertamanya di negara-negara teluk, Turkiye dan Azerbaijan. Tetapi sekarang melebar ke hampir semua negara di dunia. Dengan sekatan di Selat Hormuz dan tentunya kesan, sehingga di sini. Pagi tadi, CEO Petronas turut memberikan penjelasan. Ia bukan isu yang mudah, tetapi isu yang berat.

 

  1. Tetapi bagi PDRM, pertama untuk memahami permasalahan ini, tapi lebih utama ialah kesan keselamatan. Dalam keadaan kekacauan ini, jangan anggap kita terasing. Malaysia cukup, Alhamdulillah, di antara satu-satu negara yang dianggap yang membangun, berkembang, punya potensi dan paling aman. Dia menyenangkan rakyat kita, tetapi menimbulkan keresahan di galangan penyaing atau musuh-musuh kita. Jadi, harus waspada. Dan saya berikan maklumat ini kerana saya juga mendapat penjelasan, pencerahan dari rakan-rakan di peringkat antarabangsa, selain daripada badan-badan risikan kita. Dan percayalah, jangan pandang ringan dan enteng soal isu keselamatan negara kita.

 

  1. Dalam kemelut begini, signs of desperation timbul di mana-mana peringkat. Kita harus lebih waspada dan siapsiaga. Dalam mana-mana teori, negara dari segi keamanan, baik Sun Tzu, atau Clausewitz, Donald Kagan semuanya tanpa kecuali mengingatkan kita untuk meningkatkan kewaspadaan lebih-lebih lagi bila keadaan itu tidak menentu di luar. Dan ini pesan saya, saya harap Ketua Polis Negara yang juga turut hadir bersama Menteri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sebaik pulang ke pejabat, perlu juga memanggil semua pimpinan PDRM untuk menjelaskan kepada mereka dan meletakkan beberapa strategi baru untuk memastikan keselamatan kita dan negara kita terkawal.

 

  1. Mungkin dalam majlis begini umum, tak dapat saya cerakin secara terperinci, tapi percayalah, kesilapan paling besar negara-negara dunia adalah manakala mereka rasa selesa, culture of contentment yang menyebabkan mereka cuai dalam faktor pertama, menjamin keamanan dengan pasukan keselamatan yang luar biasa punyai keupayaan dan kemantapannya.

 

  1. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita. Dan saya sekali lagi lah mengucapkan syukur, Alhamdulillah dan mendoakan agar Sambutan Hari Polis ke-219, lama betul, tahun 2026 ini berjaya dan mampu mengangkat martabat dan keupayaan keselamatan negara kita.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: