TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM SENTUHAN KASIH MADANI DAN PELUNCURAN PELAN TINDAKAN SARA HIDUP NEGARA 2030 (NCLAP30)

24 Oktober 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

PROGRAM SENTUHAN KASIH MADANI DAN

PELAN TINDAKAN SARA HIDUP NEGARA 2030 (NCLAP30)

 

 


24 OKTOBER 2026 | SABTU | 2.00 PETANG

PEKARANGAN STADIUM HANG JEBAT, MELAKA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahirabbil ‘alamin.

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim,

wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Datuk Armizan bin Mohd Ali,

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; 

 

Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;

 

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka;

SUK wanita yang baharu ini, tahniah!. Kalau tak silap SUK pertama dalam sejarah, wanita ya? Hebat!. Mana lagi? Melaka lah.

 

Dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dapat menjayakan satu acara yang sederhana tetapi sangat bermakna bagi kehidupan rakyat.

 

  1. Di antara strategi pembangunan kita, yang saya tekankan sebagai “Menggapai di langit, mengakar di bumi” apa maksudnya? Anak-anak lebih maklum, bahawa untuk maju mencatat kemajuan yang laju, segar dan bergaya, negara mesti memacu pertumbuhan dengan menguasai dan meneroka disiplin dan ilmu baharu: AI, digitalisation¸ dan semua yang dianggap sebagai disiplin baharu.

 

  1. Kemudian, pelaburan yang tertinggi. Memang kita catat pelaburan tertinggi dalam sejarah. Sementara negara-negara di dunia bergolak dengan pelbagai kepincangan, kita masih mencatat pertumbuhan. Anak-anak tahu, saya di acara MITI malam tadi dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan kita keluarkan catatan baru, negara-negara jiran banyak mengalami masalah, tapi Malaysia catat eksport meningkat 30% hanya untuk tahun 2027, bayangkan. Dan bidangnya apa? E&E, semikondoktur, bidang-bidang baru. Walaupun kita harus keras bekerja, meningkatkan latihan, meningkatkan mutu supaya kita menguasai bidang-bidang ini, dari apa yang dikatakan back end technology, ke arah pertengahan front end, tetapi setakat ini alhamdulillah.

 

  1. Saya tekankan bahawa pembangunan ini mesti menyeluruh. Pembangunan yang disebut pembangunan manusia yang seutuhnya. Maknanya, negara harus maju, makmur, tetapi menilai kekuatan kita adalah sejauh mana dapat kita santuni selesaikan masalah rakyat. Masalah bayi, masalah anak-anak di sekolah, masalah anak-anak kita di universiti, masalah belia di kampung, masalah pekerja, penjawat awam, ini bagaimana kita dapat kita santuni. Ini menyentuh kos sara hidup.

 

  1. Sebab itu, saya beritahu kepada saudara Armizan dan Fuziah, bahawa kementerian ini mesti menampung dan menangani permasalah besar selain daripada “menggapai di langit”, iaitu “mengakar di bumi”. “Mengakar di bumi” ini maknanya tidak tinggalkan akidah kita, nilai dan akhlak kita, kemanusiaan kita, budaya, seni kita, dan sara hidup dan kos hidup kita. Bagaimana kita santuni ibu bapa kita? Anak-anak kita? Bagaimana dengan kemudahan kesihatan? Kemudahan di sekolah? Makanan anak-anak di sekolah dan di pusat pengajian tinggi? Ini yang disebutkan “mengakar di bumi”.

 

  1. Kita tidak bicara hanya angka dan statistik, tetapi kita bicara soal manusia. Kerana apa? Kerana kita ini Allah angkatkan darjat kita, walaqad karramna bani adam dalam al-Quran, maknanya Allah angkat darjat kemanusiaan kita. Maknanya, titik pada akidah kita, akhlak kita, dan nilai hidup kita. Dasar ekonomi pun harus begitu. Kita bangga bila ekonomi melonjak, tetapi kita juga harus santuni apakah ekonomi yang melonjak itu dapat selesaikan masalah rakyat?

 

  1. Sebab itu, terima kasih Datuk Armizan, paparkan umpamanya. Ikut kenyataan, tambah di Melaka sekarang tengah panas ni, bukan panas jerebu, panas suasana politik ini. Kadang-kadang orang padam kenyataan. Dia ikut sentimen. Ada yang saya dengar ceramah, kita tak ada apa-apa Kerajaan MADANI, tak dapat apa-apa. Gaji minima pun naik. Itu gaji minima bagi penjawat awam dan pekerja-pekerja yang di syarikat-syarikat yang lebih besar, tetapi gaji minima bagi syarikat-syarikat kerajaan, ratus ribu orang juga. Maknanya, semua bank, TNB, TELEKOM, semua syarikat-syarikat kerajaan ini, gaji minimanya bila kita ambil alih, dari RM2400 jadi RM3000. Sekarang ini gaji minima, kalau ayah kerja di TELEKOM atau TENAGA (TNB) atau bank yang milik Kerajaan, gaji minimanya itu RM3,400.

 

  1. Ini yang dikatakan dasar. Kerana apa? Kerana dalam Negara MADANI ini, dia elemen atau ciri manusiawi itu penting, kemanusiaan ini, karamah insaniah. Sebab itu, kepada anak-anak saya pesan selalu, “menggapai di langit” tapi akhlak kena baik. Ini amalan buli di sekolah, di pusat pengajian tinggi ini amalan bodoh yang bukan melambangkan orang yang berpendidikan dan bertamadun. Kerana dia bertentangan dengan nilai manusiawi. Bertentangan dengan nilai MADANI. Dan ini hal-hal yang kita harus singgung.

 

  1. Jadi dalam konteks hari ini, tatkala kita meluncurkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030. Kasih MADANI ini kerana kita berikan ruang, Jualan Rahmah dan sebagainya supaya rakyat negeri Melaka menikmati dan dapat dikawal. Kita boleh seru, kadang-kadang peniaga-peniaga ini bila untung itu dia melonjak lebihan, pelbagai cara kita pergi harga dan sebagainya, tetapi kadang-kadang bila tak ada pengawal, penguatkuasa, dia kecoh juga. Oleh itu, kita menambah Jualan Rahmah ini dan melibatkan semua sebanyak mungkin petani, nelayan, pekebun untuk menyertai dengan harapan kos yang dapat dikawal.

 

 

Saudara-saudari dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

 

  1. Bila saya sebut kos, kita kena faham. Pagi tadi, saya dapat berita harga minyak antarabangsa, satu tong masa saya luncurkan belanjawan tahun lalu, satu tong minyak USD 70, kali empat. Pagi ini, satu tong minyak sudah mencecah USD 120-130 maknanya, dua kali ganda harga minyak di negara-negara. Di Eropah, anak-anak muda bertempiaran protes dari Perancis ke Itali. Negara-negara jiran pun sudah mempamerkan keresahan yang tinggi kerana kos sara hidup, kerana beban yang ditanggung oleh pelajar dan mahasiswa dan keluarga, ibu bapa, soal makan minum, soal kemudahan kesihatan, soal pengangkutan, tapi alhamdulillah, dalam keadaan harga minyak naik dua kali ganda dari USD70 jadi USD120 atau USD 30 satu tong, Malaysia kekal harga RON95, RM1.99.

 

  1. Alhamdulillah setengah orang dia tak syukur, mana ada perubahan? Mana yang MADANI buat? Dia tanya lagi pergi kampung-kampung, apa? Dia tak dapat apa-apa? Saudara bayangkan satu hari, berapa kita belanja? Jadi sebab itu disebut tadi, dia bukan percuma. Harga patut RM3.80, atau RM4.00 tapi Kerajaan tetapkan RM1.99, siapa bayar? Daripada wang negara. Berapa bayar? Untuk satu tahun, ikut perkiraan kita RM40,000,000 orang pakai naik motor, naik kereta, teksi, Grab semua ini minyak yang kita tampung.

 

  1. Jadi tiap kali ambil minyak jangan lupa ini yang dibayar oleh Kerajaan, kerana dasar Kerajaan MADANI ini mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan minyak digunakan semua. Nak pergi sekolah pakai minyak, nak pergi kerja pakai minyak, nak pergi hospital pakai minyak, pengangkutan minyak, pergi kenduri pakai minyak, nak pergi ziarah orang mati pakai minyak, semua tanpa kecuali.

 

  1. Sebab itu, kita turunkan harga minyak. Betul, Armizan sebut kita jangka RM40 bilion, tapi kalau harga minyak seperti pagi ini, saya nak beritahu kos yang ditanggung oleh Kerajaan akan mencecah di antara RM42 bilion hingga RM45 bilion satu tahun. Tapi apa pilihannya? Kalau ada yang pakar-pakar ekonomi, dia kata naiklah harga minyak. Tengok debat di Parlimen ada yang mengatakan, “subsidi banyak tu jangan, nanti rakyat itu akan jadi terpaksa bergantung kepada Kerajaan, dia tak ada motivasi untuk kerja.” Ini saya tak tahu dia cakap ini daripada dunia mana? Dia tak faham hidup orang kampung, dia tak faham nasib pekerja-pekerja, penjawat-penjawat awam peringkat rendah, kalau kita naik harga minyak ikut pasaran, tiap hari kena tambah 2 ringgit, 3 ringgit tiap hari, minima atau 5 ringgit tiap hari. Bayangkan kalau penggunaan itu lebih, hantar anak ke sekolah, dia sendiri pergi kerja, itu tiap hari 10 ringgit. Jadi sebab itu, kita turun harga minyak.

 

  1. Ada yang dalam debat Parlimen, pembangkang kata, “oh ini bebankan Kerajaan.” Saya jawab, ini saudara-saudara ada, anak-anak ada, lebih baik Kerajaan terbeban dari bebankan rakyat dan ibu bapa kita. Itu dasar Kerajaan MADANI yang kita pegang. Mudah? Tidak mudah, kerana ini harus kita tangani dengan baik. Kalau kita tak bertanggungjawab, nak bagi ikut selera orang sahaja, pelabur tak akan datang. Itu masalah.

 

  1. Dua hari yang lalu, Masayoshi Softbank, salah seorang pelabur terbesar dunia, video conferencing dengan saya, hari Selasa. Dia kata dia dah pilih Sarawak, Kuching dan Semenanjung untuk mengembangkan pelaburan di antara pelaburan terbesar di rantau ini, USD50 bilion. Dalam bidang apa? Dalam bidang AI, teknologi baharu, data center. Maknanya, anak-anak yang di pusat pengajian tinggi sekarang atau di sekolah, harus ingat. Peluang baru ada, peluang pekerjaan lebih baik. Kalau tidak ada pelaburan, kalau orang tak yakin dengan Kerajaan ni, kalau pimpinan itu asyik bergaduh terus, orang tidak akan berminat untuk datang. Lihat sahaja beberapa negara di rantau ini. Sebagai Perdana Menteri saya tak boleh sebut nama-nama negara, tak elok, tetapi lihat sahaja. Buka minda.

 

  1. Mengapa sesetengah negara dapat menarik pelaburan, setengah tidak dapat? Keadaan sama, cuaca sama. Sama-sama kena jerebu. Sebab negara ini pelbagai kaum, pelbagai agama, tetapi hidup dengan aman. Kita berbeda, tapi tidak bermusuh. Kita hormat satu sama lain. Kita tahu kekuatan kita itu sepertimana Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman memilih moto, jata kita apa? “Bersekutu Bertambah Mutu.” Maknanya, dalam persekutuan, perbedaan ini, kita manfaatkan untuk menambah mutu. Mana satu negara, di mana semua orang wajib berbahasa Melayu, sebahagiannya menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sebahagiannya bahasa Cina dengan baik, sebahagiannya bahasa Tamil dengan baik, sebahagian lagi bahasa Arab dengan baik. Ini kekuatan negara kita yang istimewa. Kita harus lihat dari segi itu.

 

  1. Jadi sebab itu, saya hadir pada tengah hari ini, selain daripada menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan saya. Terima kasih kerana kementerian ini di antara kementerian yang sangat ke depan, sangat proaktif, sangat sanggup turun ke bawah. Kalau kita bicara selesaikan masalah rakyat, menyantuni rakyat, program tidak ada. Kalau nak ada program, semua program besar-besar sahaja, tetapi ini, KPDN ini, adalah di antara kementerian yang saya bangga kerana pelannya, strateginya dan prakasanya itu untuk menyantuni rakyat dan sentiasa ada di bawah setiap kampung, setiap daerah, di bandar, desa dan ulu masih ada.

 

  1. Jadi terima kasih kepada Menteri, Timbalan Menteri, KSU, KP dan semua, dan terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Melaka, Ketua Menteri dan semua yang telah memberi kerjasama penuh bagi menjayakan acara ini.

 

  1. Jadi sekali lagi, saya doakan kepada Allah S.W.T, mudah-mudahan usaha kita ini diberkati, manfaatkan kemudahan yang ada. Terima kasih kepada semua yang hadir, terutama anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: