VERBATIM TEKS UCAPAN YAB PM : MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT BAHARU MAYBANK

30 Julai 2026

 TEKS UCAPAN VERBATIM 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA 

MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT BAHARU

MAYBANK 

30 JULAI 2026 | KHAMIS | 2.30 PETANG

MERDEKA 118

KUALA LUMPUR

 

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,

Menteri Kewangan II;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Ir. Zamzamzairani Mohd Isa,

Pengerusi Kumpulan Maybank dan seluruh keluarga Kumpulan Maybank;

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairussaleh Ramli,

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank;

 

Tidak ketinggalan sahabat lama saya walaupun kekal muda Raja Arshad (Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad bin Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana kehadiran kita di persada Maybank, menara yang mempamerkan kejayaan negara, mercu tanda yang membanggakan dan di sini juga letak institusi kewangan yang mantap, terkenal, didukung bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, tetapi merupakan institusi kewangan tersohor di rantau ASEAN. Jadi, saya ucap tahniah kepada seluruh keluarga Maybank.

 

  1. Hari ini juga kita melakar sejarah, diambang sambutan kemerdekaan Malaysia negara tercinta, kita juga bersama dalam majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu Maybank. Ibu pejabat ini, melakar sejarah tersendiri, dan kejayaan yang kita catat dengan titik peluh, kegetiran, usaha dan khidmat puluhan ribu anggota dan keluarga selama berdekad. Oelh, itu eloklah kita kenang jasa, khidmat mereka yang memberi tapak institusi kewangan yang megah dan handal.
  2. Dan kekuatan mereka bukan sahaja kepintaran, keterampilan, kecanggihan, tetapi kekuatan mereka juga kerana kegigihan, kerana khidmat, kerana kecintaan mereka kepada institusi, mahu melakar perubahan, tetapi berpijak kepada prinsip integriti, dan memastikan institusi kewangan ini kekal kepada institusi yang mendapat perhatian dan pengiktirafan.

 

  1. Dalam sejarah institusi kewangan dunia, termasuk di Malaysia, kita tidak terlepas dari terpaksa bergelut dengan isu permasalahan integriti, tatakelola yang baik, pengurusan cekap dan amanah. Lebih mudah dipaparkan sebagai satu slogan atau retorik, tetapi lebih sukar mengamalkannya, kerana tabiat manusia itu kalau tidak diperingatkan seringkali mudah terjebak dengan tarikan-tarikan yang akan memusnahkan nilai, moral dan akhlak peribadi, keluarga, masyarakat dan negara.

 

  1. Paling akhir semalam, Jemaah Menteri bersetuju untuk menghebahkan seluruh Laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji (Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Menyiasat Isu-Isu Pengurusan dan Pengendalian Lembaga Tabung Haji). Gedung mewah, gagah, institusi yang punyai sejarah gemilang, diusulkan oleh seorang pejuang, pemikir, sarjana ulung, Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz, dan mencatat prestasi gemilang, memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah, tetapi hampir kecundang kerana kecuaian, tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya, kerana kegelojohan, tamak haloba, dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan insititusi.

 

  1. Alhamdulillah, dapat dikesan awal, dan kita telah pulihkan dan saya yakin masa depan Tabung Haji itu akan lebih gemilang. Tetapi berbalik kepada permasalahan utama, integriti berpaksikan tatakelola yang baik dan juga melahirkan profesional berkemahiran dan berkepakaran yang punyai integriti dan berakhlak.

 

  1. Bila kita tonton tadi, video yang dikeluarkan dengan gagah oleh Maybank, kita saksikan bagaimana permulaan awal dengan cita-cita besar. Selalu saya ungkapkan kepada anak-anak sekolah dan universiti, seolah-olah kita ini mahu “menggapai yang di langit”, mahu jadikan bank yang kecil pada mulanya, gergasi di rantau dan kalau boleh di dunia. Teknologi yang paling canggih dan sekarang dengan artificial intelligence, quantum computing, yang akan menentukan arah tuju kita, masa depan.

 

  1. Dan sebab itu, saya ucapkan sekali lagi tahniah kepada keluarga dan kumpulan Maybank, bukan sahaja kerana menjaga prestasi dari segi kewangan, mutakhir saya sudah lebih tiga setengah tahun jadi Menteri Kewangan, Amir Hamzah bersama, saya syukur alhamdulillah, Maybank masih kekal dan mantap, bukan sahaja kejayaan kewangannya, tetapi prestasi tatakelola dan khidmat yang cemerlang.

 

  1. Cabaran bagi keluarga kumpulan, kerana Dato’ Sri Salleh tahu, jaga. Bukan sahaja prestasi kewangan, tetapi integritinya kerana imej baik, dihormati, bukan kerana kejayaan kewangan semata-mata, tetapi kerana prestasi dan integriti profesional di dalamnya.

 

  1. Dan satu aspek yang juga menarik ialah kerana ditekankan tentang manusiawi, karamah insaniah, humanizing financial services, wah, ini seolah-olah ada satu, bukan misnomer, satu kontradiksi, pertentangan institusi kewangan itu, selalunya dikaitkan dengan keghairahan mencatat keuntungan. Mana dia kemanusiaan dan manusiawinya.

 

  1. Jadi saya juga tertarik, selain daripada apa yang saya ungkapkan pada peringkat awal, ternyata humanizing financial services initially can be contradiction in terms because people associate financial services with the pure motivation and profit, but I believe and I trust Maybank can make a difference. And it has proven so.
  2. Sebab itu, beberapa ikhtiar yang telah diperkenalkan, kerana institusi bank ini mesti mahu memenuhi kehendak rakyat. Apa erti demokrasi? Bukan undi masa pilihan raya sahaja. Demokrasi itu maknanya menjamin. A democratization of access. Democratization of access to quality services, to financial services, to quality education. Kalau tidak, demokrasi itu hanya mainan golongan elit yang menentukan semuanya dan penyertaan orang ramai itu terkebelakang.

 

  1. Jadi, masyarakat terbanyak akan terpinggir, tersisih di arus pembangunan. Tak ada peluang mendapat manfaat daripada kecanggihan sistem kewangan, dari lambakan kemudahan yang disampaikan, kerana kebetulan mereka dilahir dari keluarga yang miskin. Sebab itu, marilah kita dengan semangat kemerdekaan ini, memaknai humanizing financial services. Memberi makna kepada mengadakan prinsip kemanusiaan atau manusiawi.

 

  1. Dan saya percaya, dengan tekad yang betul kita boleh buat. Lihat prestasi Maybank. Lihat prestasi dan kejayaan negara kita dalam keributan akibat perang Teluk yang tidak kunjung padam. Masih mencatat pertumbuhan suku kedua ini, 5.8%. Satu rekod. Masih mencatat pelaburan tertinggi dalam sejarah. Pengangguran terendah. Inflasi terkawal. Benar. Pengurus-pengurus bank lebih cekap dari saya, tentang memahami dan menganalisa semua angka-angka ini.

 

  1. Walaupun saya Menteri Kewangan, angka-angka ini kadang-kadang membosankan dan melelahkan, kerana saya ini orang sains sosial, bukan ahli kewangan macam Raja Arshad, dia minat dengan angka, tidak ada angka, dia tidak boleh tidur. Saya kalau banyak sangat angka, saya demam. Tapi, inilah kenyataan bahawa angka ini menunjukkan prestasi kita itu membanggakan.

 

  1. Sementara dunia terhambat dengan permasalahan ekonomi dan kenaikan harga minyak melambung dan melonjak Malaysia masih berdegil dan berkeras menetapkan harga minyak terendah RON 95, RM1.99. Sepatutnya orang Maybank tak payah bayar, dia bayar patut lebih tinggi, tapi inilah Alhamdulillah. Kerana apa? Kerana usaha semua, usaha bank, usaha institusi kewangan, usaha kita mengurus ekonomi negara yang boleh melegakan rakyat.

 

 

  1. Sebab itu saya bawa isu yang kedua ini tentang humanizing, memanusiakan, memberikan faedah kepada masyarakat terbanyak, kerana kekuatan bank secara tradisionalnya adalah institusi kewangan yang memenuhi keperluan peniaga dan golongan kaya. Secara hakikinya dalam negara merdeka dan berdaulat, ia harus menjalankan tugas pertama, tetapi tambahan tentang memanusiawikan, iaitu menjamin supaya demokrasi dan kehidupan dan kejayaan itu lebih participatory, lebih melibatkan penyertaan yang lebih ramai, barulah kita beri jamin angka-angka yang lebih baik.

 

  1. Dan mendapat liputan beberapa mesyuarat, terima kasih banyak, dalam semua usaha kita. Nampak dalam yang disebut oleh pengerusi tadi, dan juga yang kita rangka bersama dengan kerajaan, dengan Kementerian Kewangan khususnya, saya tidak dapat nafikan bahawa banyak kejayaan yang kita capai ini berkat kerjasama penuh rakan-rakan dari kumpulan Maybank terima kasih banyak.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Menjelang merdeka 70 tahun, mari kita kerja bersungguh-sungguh, memastikan bahawa negara ini aman dan stabil, menumpukan dan fokus pada pertumbuhan ekonomi manusiawi – human economy yang tentunya berpaksi kepada economic fundamentals. Dan bila kita bicara tentang economic fundamentals, tonggaknya masih institusi kewangan tidak boleh elak.

 

  1. Rasulullah SAW setelah hijratun Nabi Muhammad SAW dari Makkahtul Mukaramah ke Madinah, sebelum itu Yathrib, Madinah Al-Munawarah, di antara tugas pertama selain dari mendirikan masjid, Al-Masjid ut-Taqwa yang pertama, Rasululah SAW menetapkan seorang pakar ekonomi Abdul Rahman Auf untuk menjaga urusan ekonomi umat dan antaranya isu pinjaman dan institusi kewangan.

 

  1. Jadi saudara-saudara, pengemudi Maybank harus ingat, ini tugas murni, tugas yang pernah dijalankan di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. Sebab itu, dalam negara MADANI ini saya sebut, betul kita “menggapai yang di langit”, new technology yang lebih sofistikated dan canggih, termasuk AI quantum computing, etc tetapi, jangan kita lupa kita mesti “mengakar ke bumi”.

 

  1. “Mengakar ke bumi” maknanya, memahami kenyataan hidup masyarakat, berakar kepada nilai dan akhlak, dan budaya tempatan. Mudah-mudahan dengan matlamat ini, “menggapai yang di langit, mengakar di bumi”, itu memberi mesej yang jelas kepada kumpulan Maybank bahawa kita menuju masa depan Malaysia yang lebih gemilang insya-Allah.

 

  1. Hari ini kita lebih syukur, Alhamdulillah kerana kita, saudara-saudara terutamanya. Bayangkan pejabat saudara ini, Amir ya, KSN pun, ini jauh lebih indah, megah dan hebat daripada Pejabat Perdana Menteri Malaysia. Jadi saya ucap tahniah semua.

 

  1. Dan dengan segala sukacitanya, saya dengan segala pengiktirafan dan penghargaan kepada rakan-rakan, merasmikan Ibu Pejabat Baharu Maybank ini di Menara Merdeka Maybank.

 

 

Share: