VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KOMUNIVERSITI KOLABORATIF: USAS & YAPIEM

8 November 2025

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

SEMPENA

  

MAJLIS PERASMIAN KOMUNIVERSITI

KOLABORATIF: USAS DAN YAPIEM

 

8 NOVEMBER 2025 (SABTU) | 01:30 PETANG

KAMPUNG CHEROK TO’KUN,

 BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

 

Alhamdulillah Rabbil Alamin,

Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong,

Menteri Sumber Manusia;

 

Menteri Kesihatan;

 

Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Ahli-ahli Yang Berhormat;

 

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof,

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah;

Yang Berusaha Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim, Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YAPIEM);

 

Rakan-rakan yang saya muliakan;

 

Yang lebih utama, orang kampung Cherok To’kun dan yang kedua mahasiswa yang bersama, terima kasih.

 

  1. Saya selaku anak Cherok To’kun, tentunya berasa bangga, terima kasih Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri dan Tuan Abdul Khudus jayakan antara USAS dan YAPIEM untuk memilih Cherok To’kun sumbangan mahasiswa bersama dengan keluarga untuk memberi sedikit pencerahan dan mendapat pengalaman kehidupan rakyat di sini, dan memberikan pandangan, teguran dan usul.

 

  1. Jadi, Cherok To’kun ini dua perkara, bukan soal tempat saya sahaja, tetapi saudara tahu keputusan kita dalam kerajaan sekarang, semua pimpinan negara, Menteri, Timbalan Menteri, KSU, Ketua Pengarah mesti pilih satu kampung sebagai Kampung Angkat mereka. Saya pilih Cherok To’kun walaupun saya jarang balik. Jadi kita kena ambil tahu. Sekarang memang ada jawatankuasa, jadi terima kasih Pegawai Daerah, dan rakan-rakan ICU yang tolong, ADUN pun ada yang banyak membantu.

 

  1. Apa bezanya sikit. Projek jalan, tetapi kita ada Menteri, kita ada Ketua Pengarah, kita ada KSU, SS. Semua bagi arahan-arahan. Tapi dia tak pernah, bukan tak pernah, tapi dia tak tahu masalah langsung, keseluruhan masalah di kampung. Jadi, kita buat dua program sekarang. Satu, pilih satu kampung. Dan di situ, dia boleh tahu masalah dadah ke, masalah masjid ke, orang miskin, mutu pendidikan anak-anak, kemudahan di sekolah. Semua itu menjadi maklumat kepada dia dan usaha dia untuk perbaiki. Dan dia tahu masalah. Kita rancang ribuan program. Satu Kementerian, satu Kerajaan, satu Jabatan, pelbagai agensi. Tetapi, bila kita lihat, masalah di akar umbi kadang-kadang tidak sama. Kadang maklumat tak sampai. Kalau sampai dia tak tahu bagaimana nak membuat permohonan dan sebagainya. Itu tujuan yang satu.

 

  1. Keduanya, kita ada SejaTi MADANI di mana kita berikan peruntukan kepada kampung. Ini, dia akan mencecah berbilion ringgit. Selalunya projek itu dicadangkan di peringkat Kerajaan, Kementerian, Jabatan, Kerajaan Negeri bagi cadangan kepada orang kampung, tetapi dalam program ini tiap kampung saya beri di antara 50 hingga 100 ribu ringgit. Dia putuskan sendiri jawatankuasa kampung, belianya, wanitanya, jawatankuasa masjidnya, dia mesyuarat, dan dia yang pilih apa projek ekonomi dia dan kita bantu selaraskan dan dana ada 100 ribu ringgit.

 

  1. Saya tengok ada kampung di Parit Buntar, dia beli dua drone buat kerja di kampung, kemudian dia sewakan ada keuntungan. Ada yang buat ternakan ikan, ada ternakan lembu, ada sayur-sayuran. Itu terpulang kepada orang kampung kelolakan dan dia bertanggungjawab. Gagal, ada kelemahan, orang kampung, jadi dia pilih projek, dia tentukan keutamaan. Wang dana di kirim terus kepada kampung dan ini kita lihat sekarang ini sudah bertapak baik di banyak kampung. Detakat ini projek-projek yang kita luluskan belum hadapi masalah. Cuma kita strict lah pengawasannya, perbelanjaannya, mesti ada rekod, mesti ada jawatankuasa, mesti ada akaun dan teratur.

 

  1. Ini pendekatan kita dalam Kerajaan MADANI ini. Maknanya, menyantuni rakyat, bukan soal turun jumpa rakyat. Menyantuni maknanya beri pemerkasaan, beri ruang kepada rakyat. Tentukan sendiri dan pilih sendiri apa yang perlu dilakukan. Selain daripada Kampung Angkat MADANI, saya panggil semua korporat-korporat di Malaysia ini. Syarikat-syarikat, bank yang kaya-kaya semua. Saya kata setiap syarikat, macam Maybank, dia ada keupayaan, pilihlah 10 sekolah. Public Bank, CIMB, kemudian KLK, Guthrie. Semua ini, dia mesti pilih Sekolah Angkat. Ada yang pilih 1, ada yang pilih 2, ada yang pilih 5. Jadi, tiap syarikat besar ini, dia pilih Sekolah Angkat. Baru ada makna MADANI ini. Kalau tidak, kita bunyi je gah MADANI, sama macam slogan-slogan dahulu, tapi tidak ada kesan di bawah.

 

  1. Jadi, tiap 2 bulan, 3 bulan sekali syarikat-syarikat ini bagi laporan, Sekolah Angkat sekian, masalahnya sekian. Dan kalau setakat dia perlu 3 – 4 ribu takkanlah BNB tak boleh bantu, PETRONAS tak boleh bantu. Ini cadangan yang kita lakukan dan dilaksanakan. Tidak salah saya sudah cecah 500 sekolah. 500 buah sekolah yang mendapatkan bantuan syarikat-syarikat besar.

 

  1. Jadi bukan masalah dia bagi dana sahaja, dia turun. Kalau umpamanya PETRONAS, Eksekutif Kanan dia, sampai ke sekolah, jadi anak-anak nanti kagum, dan dia akan cerita, dia anak cikgu atau dia anak ketua kampung. Tapi dia boleh sampai ke peringkat itu, bagaimana? Kerja dia, disiplin dia, ketekunan dia. Maknanya ini yang kita lakukan. Sebahagian daripada program yang kita laksanakan dalam Kerajaan MADANI ini.
  2. Kadang-kadang, saudara saudari, dalam kempen-kempen ceramah-ceramah politik dia tak cerita yang ini? Dia cerita kita kianat kepada negara, jual negeri ini kepada Donald Trump. Apa benda ni? Kadang saya pun lemas dengar, pasal kita buat kerja. Takkanlah, orang Cherok To’kun tahu, takkanlah berhempas pulas buat kerja, kena terajang, masuk keluar penjara, kemudian jadi Perdana Menteri lepas itu jual negeri kepada orang asing. Ingat kita murah macam itu ke? Apa buktinya? Oh kerana kita sign

 

  1. Betul kita sign, kita negara dagang. Berapa banyak kita jual semikonduktor E&E, banyak di Pulau Pinang ini, Ketua Menteri Chow dia tahu. Ratus bilion, 200 bilion ringgit. Berapa syarikat yang kata supply chain? Berapa pekerja? Puluh ribu, jadi kita baik sebagai negara dagang. Eksport kita paling tinggi ke Amerika Syarikat dalam semikondoktor E&E. Baik, kalau kita gaduh dengan dia, saya elaun serupa itu juga, Perdana Menteri juga, tetapi yang kerja, anak-anak kita yang menganggur akan ketinggalan.

 

 

 

  1. Sebab itu saya tanya, mana negara di dunia ini yang tidak mahu berunding dan buat perjanjian dengan Amerika Syarikat? Tidak ada. Semua hendak buat. Jadi kita ini pasal apa? Walaupun kita buat perjanjian dengan Amerika, hari Ahad saya tandatangan dengan Presiden Donald Trump, dia tengok signature saya dia berkenan pulak, dia kata artistik. Kemudian, hari Isnin, Perdana Menteri, Premier Li Qiang China datang, kita buat perjanjian Malaysia – ASEAN dengan Li Qiang, negara China. Kita janji buat perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat tidak bermakna kita tidak boleh buat dengan negara China.

 

  1. Semalam, Presiden Donald Trump kata siapa pun tidak dibenarkan terutama yang Amerika dan pro Amerika hadir ke Mesyuarat G20 di Afrika Selatan. Saya akan hadir. Walaupun kita baik dengan Amerika Syarikat, kita bukan dengar arahan dia semua, yang betul kita terima, yang tidak betul kita tidak terima. Kita jaga kepentingan kita.

 

  1. Mesyuarat ASEAN, betul ASEAN undang Presiden Donald Trump, kita undang juga negara China. Kita undang juga dua negara yang tak disenangi oleh Amerika Syarikat, Brazil Presiden, Luiz Inácio Lula da Silva, dan Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa. Trump arah siapa pun tak boleh pergi Afrika Selatan masyarakat G20. Tapi kita jemput dia ke mari dan kita akan hadir ke persidangan G20. Ini dia makna negara bebas dan berdaulat dan bermaruah Malaysia ini.

 

  1. Jadi, jangan kita terkeliru dengan tohmahan-tohmahan itu. Saya dengar ada cadangan nak tengok, dia kata, kerana tidak setuju dagang dengan Amerika, dan perjanjian. Mereka nak buat lagi satu perhimpunan turun Anwar. Eh, tiap-tiap bulan nak turun Anwar, yang turun minyak. Harga minyak memang turun. Saya sedang cuba jaga supaya harga ayam turun dan semuanya. Kemudian dia sibuk-sibuk yang nak dia suruh turun, nanti orang lain pulak. Biarlah, itu masalah dia pula.

 

  1. Jadi saudara-saudara, ini yang kita kena faham kerana kalau kita tiada pencerahan ini, kita mudah terpedaya. Senang, oh! negeri nak dijual. Oh marah. Apa dia? Jual di mana? Oh, ada peruntukkan mengatakan, kamu mesti runding dengan negara Amerika Syarikat. Ya, runding. Ada tak perjanjian mesti bincang dengan China? Ada. Tapi yang putuskan muktamad siapa? Kita lah.

 

  1. Oh, nadir bumi – rare earth, kita runding hanya dengan Amerika Syarikat, ini orang Cherok To’kun terutamanya, Pulau Pinang tahu nadir bumi ini di Pulau Pinang belum adalah, tidak ada. Tidak ada Chow? tapi di Pahang ada, kita buat dengan syarikat Amerika? Tak. Kita buat dengan syarikat Australia, Lynas dan syarikat Korea, buat supermagnet. Bukan Amerika sahaja. “Hanya dengan Amerika”. Tidak betul. Perak, Menteri Besar buat rundingan dengan negara China. Negara China ada nadir bumi di Perak. Amerika nak datang? Kita kata boleh.

 

  1. Ini kedudukan yang saya saja pilih untuk terangkan kepada kawan-kawan di Cherok To’kun kerana kadang-kadang di sini pun mereka cuba kalau dia tegur, Anwar patut buat lebih lagi lah, tolong rakyat begini, saya tidak ada masalah. Kalau dia tegur, dia kata, Anwar belum selesai bab ini, kemiskinan masih ada, saya boleh terima. Tapi nak kata kita ini dengan caci, dah habis tiada modal saya dengar ada jeneral, mantan jeneral Siam dia kritik saya, wah riuh, pemimpin Siam kritik kita ini. Apa yang tidak cerdik sangat ini, kawan itu macam parti pejuang. Bertanding tidak pernah menang, bukan saja tak pernah menang, hilang deposit macam pejuang lah sama, sebab itu mereka boleh berkawan. Dah orang itu dia, tiada masalah, orang nak kritik kita, saya tidak ada masalah, kritik lah. Tapi kita harus jawab supaya maklumat itu sampai.
  2. Yang penting ni apa dia? Kita Allah Subhanahu Wa’taala beri kesempatan tadbir negara, jangan curi duit, jangan tipu, kayakan diri. Jangan teruskan amal rasuah dan sakau. Ini tidak boleh lagi dah. Oh! mana ada bukti? Tak ada bukti? 2 tahun kita perintah, 2 tahun, 2023, 2024 kita jimat berapa belanja, kita rampas, kita hentikan penyeludupan, kita serang kartel, berapa kita selamatkan? RM15.5 bilion ringgit.

 

  1. Ya saya nak tanya, orang yang berdegar-degar cakap Islam, cakap Melayu, masa mereka perintah, kenapa tidak serang mereka? Mengapa diizinkan orang-orang ini bergerak puluh tahun tanpa ada kekuatan untuk bertindak? Sekarang kita bertindak, 15 bilion 2 tahun. Sama ada melalui cukai, rampasan oleh SPRM, cukai LHDN, kegiatan polis, sama ada commercial crime (CID). Tindakan yang pantas, pecah kartel, penyeludupan, arak, rokok haram, penyeludupan itu berbilion dapat dipatahkan, bukan sepenuhnya, baru sebahagiannya. Ini yang dikatakan pimpinan.

 

  1. Nak bersyarah, tegang leher, duk maki orang di kampung, semua berani. Bila ada kuasa, hampa tak buat pun. Ya, jangan kata yang besar, judi pun naik balik daripada masa mereka perintah daripada 8, naik 22. Oh, bukan kami. Bukan kami apa, hampa dalam kerajaan. Saya minta maaf lah kalau memang saya pilih majlis-majlis ini untuk memberi penjelasan. Kalau tidak, kita tidak jawab. Ada di Permatang Pauh, ustaz itu kata, “Anwar ni, arwah Anwar ni” Dia kata, “bukan dia tolong rakyat, dia cukai orang miskin. Dia tak cukai orang kaya”.

 

  1. Cuba tanya dia, cukai apa dekat orang miskin yang tidak cukai orang kaya? Elektrik, cukai orang kaya. Orang miskin tidak naik tarif. Minyak mentah, supply untuk orang miskin banyak. SARA untuk orang miskin. STR kepada rakyat. Berapa bilion? 15 bilion. Orang maha kaya tidak dapat. Cukai pendapatan tinggi, itu orang kaya. Orang kampung tidak ada cukai pendapatan.

 

  1. Dia tidak cerita bagaimana kita boleh guna Islam dan putar belit macam ini saya tidak faham. Kalau dia kata kritik tidak cukup, Anwar cakap tetapi dia tidak cukup buat untuk tolong orang miskin saya terima tidak apa lah bagi cadangan baru tetapi jangan kata kita cukai orang miskin, tidak cukai orang kaya.

 

  1. Marah LRT dulu kata sekian bilion lah ni, tambah 2 bilion, 3 bilion lagi. Saya terang tadi, LRT ini cadangan awal, Ketua Menteri ada, itu hanya di pulau. Bila diberi taklimat kepada saya, saya pegang kuasa sekarang. Saya kata, “pasal apa buat di pulau saja. Ini kami seberang macam mana tertinggal, kami nak juga LRT”. Boleh gunakan untuk kembangkan pembangunan di kawasan-kawasan di seberang, termasuk Seberang Perai. Kawasan-kawasan Melayu yang ketinggalan. Jadi, yang hebat-hebat di Pulau Pinang sahaja. Jadi saya minta LRT seberang laut masuk ke seberang. Salah juga kah? Jadi tambah lah, saya tak apa, bukan hang cari duit, aku yang cari. Ya, orang marah buat membazir, saya tidak setuju, kita tambah STR, Tunai Rahmah ini Semua dapat, Tunai Rahmah. Semua dapat 15 bilion.

 

  1. Berapa ramai pegawai-pegawai kerajaan? Terutama pegawai-pegawai rendah. Polis pangkat rendah. Kita naikkan. Berapa tahun tidak naik gaji? 12 tahun. Berapa banyak kita naik? Yang peringkat rendah tu sampai 30%, 20%. Tengok gaji bulan Disember ini naik, bulan Januari ini naik. Banyak mana? Ini yang dikatakan tekad politik. Ada kuasa, guna kuasa sebaiknya untuk membela nasib rakyat.

 

  1. Ini yang kita lakukan dan saya harap kita terus kerja kita, amalan kita, makmurkan masjid kita. Saya pantau juga semalam masjid kita ini cepat 29 hari. Setiap 2 minggu saya minta laporan. Saya ucap terima kasih kerana Jawatankuasa masjid dan juga kontraktor siap awal, sebulan. Baik, mana kena pantau. Tidak saat ni, saya pergi luncurkan masjid MADANI. Masjid Cherok To’kun memang duit kerajaan ada.

 

  1. Masjid MADANI Permatang Pauh ini memang besar sikit. Harga habis lebih 75 juta. Tanah, memang Kerajaan Negeri tolong, terima kasih Saudara Chow dan Majlis Agama Islam. Tanah 53 ekar Kerajaan bayar, persekutuan bayar sedikit Kerajaan Negeri tolong. Tetapi bangunannya 75 juta, saya tidak ambil duit kerajaan. Dari mana? Saya ada kawan-kawan di luar, dah bayar 42 juta. Kawan-kawan saya di luar pemimpin-pemimpin Islam dah bayar 42 juta. Jadi, tinggal dalam 25 juta lagi ini, saya cari tokey-tokey Melayu yang besar, yang kaya, hangpa buatlah sedekah, amal jariah.

 

  1. Tetapi masjid ini akan jadi mercu tanda penting, kerana dia bangunan lengkap, dengan perpustakaan, dewan, perumahan, untuk pameran, pendidikan, semua sekali kita rangkul dalam konsep masjid, mengimarahkan masjid. Mudah-mudahan Allah S.W.T. memberkati usaha kita.

 

 

  1. Jadi sekali lagi saya nak ucap terima kasih kepada saudara-saudara, terutama ibu bapa, rakan-rakan dari Cherok To’kun yang ambil anak-anak sebagai anak-anak angkat, dan saya harap anak-anak pun jangan putus begitu saja, dah duduk sini balik adalah hubungan dengan mereka dan berilah umpamanya kasih sayang. Selain itu, kirim salam kepada ibu bapa dan terima kasih kepada Naib Canselor dan rakan-rakan termasuk YAPEIM kerana menjayakan program ini.

 

  1. Saya kata oleh kerana di Cherok To’kun macam mana pun saya mari juga lah, saya terlambat sikit kerana saya pergi ziarah jenazah Allahyarham Pak Rahman di Simpang Empat. Jadi, saya terpaksa lari ke sana sekejap. Sebab itu terlambat sikit, 15 minit. Minta maaf.

 

  1. Tetapi, saya tengok di Cherok To’kun ni, ni padang tempat kita lah dulu kan. Saya tengok-tengok, eh, lain macam rumah-rumah. Dulu semua rumah atap, bumbung atap. Saya pun dah tak berapa kenal dah. Dulu sekali, bumbung atap, jadi saya berebut pergi mana, daripada sini nak pergi Perlis masa, Timbalan Pedana Menteri. Jadi, dia cari-cari, dia berkata Helikopter turun sini, TUDM punya helikopter. Turun tak apa-apa lah. Selepas itu, atap, bumbung banyak terbang, ya Allah, sekarang tak apa-apa lah kot? Tidak apa-apa lah, tidak terbang lah. Dulu, tahun 90-an lah, terbang. Tapi daripada 90-an dengan sekarang ni, saya tengok berbeda besar. Alhamdulillah, kita syukur atas nikmat Allah Subhanahu Wa’taala.

 

  1. Tetapi itu, saya kata, saya balik dia kata, “Anwar, hang pergi kampung, orang duduk mengeluh. Dia tidak marah sebab depa sayang hang, tetapi hang kena ganti balik bumbung depa”. Jadi, masa itu saya minta maaf dan sudah diganti bumbung. Tapi dia kata, “dah lah depa bagi, dia pun seronok hang mai sini, dia pun tengok helikopter. Tapi jangan lah bagi bumbung depa terbang.” Jadi, 5-6 rumah terkesan daripada bumbung masa itu lah.

 

  1. Jadi, sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan hargai sumbangan rakan-rakan. Doa kepada Allah Subhanahu Wa’taala, mudah-mudahan usaha kita diberkati.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

Share: