VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA PROGRAM RANCAKKAN MADANI SABAH

9 November 2025

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM

 

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM RANCAKKAN MADANI SABAH

 

9 NOVEMBER 2025 (AHAD) | 10.00 PAGI

 

DEWAN SIPADAN 2 DAN 3,

SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam sejahtera.

Al-ḥamdu lillāhil-ladzī anzala ‘alā ‘abdihil-kitāba wa lam yaj‘al lahu ‘iwajān. Wa ṣallū wa sallimū ‘alā rasūlihil-karīm wa ‘alā ālihi wa ṣaḥbihi ajma‘īn.

 

Yang Berhormat Ahli-ahli Jemaah Menteri dan Timbalan-timbalan Menteri;

 

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Roslan bin Hussin,

Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia;

 

Yang Berbahagia Datin Shonitah binti Terang,

Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Negeri Sabah;

 

dan seluruh keluarga Akademi Kenegaraan, persekutuan dan Sabah, dan yang penting peserta PIBG dan rakan-rakan dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Hebat sambutannya, hebat semangatnya, hebat harapan kita untuk mengangkat dan merancakkan MADANI di Sabah dan di Malaysia. Jadi, terima kasih kepada Dr Roslan dan keluarga Akademi Kenegaraan yang mengambil inisiatif ini dan menjadikannya sebagai suatu wadah mengangkat keupayaan dan martabat kita. Dan turut hadir Menteri Besar Negeri Selangor Amirudin Shari.

 

  1. Saya percaya dalam kerangka latihan dan program pendedahan MADANI ini diterangkan. Ini konsep negara, dari Perlis ke Sabah, apa lainnya? Kelainannya ialah kerana kita bicara soal kemampanan negara mesti maju ekonominya, negara mesti membela nasib rakyatnya, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan sebagainya untuk rakyat. Kemudahan asas mesti diperbaiki. Di jalan, sekolah, maktab perguruan, universiti, kinik-klinik desa, klinik bandar, hospital, mesti ditingkatkan.

 

  1. Ini direncanakan oleh banyak negara tapi ini juga menjadi pusat perhatian kita. Sekarang kita bicara soal teknologi baru, semikonduktor, AI, tapi kelainannya apa? Dalam semua hal ini kita bicara soal tatakelola, mau jadi pemimpin, guru, ketua jabatan, menteri mesti jaga nilai tatakelola ini. Kalau tidak, negara rosak.

 

  1. Negeri dengan hasil mahsul yang banyak, balak yang banyak, tapi kekayaan tidak melimpah kepada rakyat, hasil yang banyak dipunggah untuk memperkayakan beberapa kerat manusia. Sebab itu, saya katakan soal nilai, soal akhlak, soal karamah insaniah itu menjadi tunggak yang merentas semua perkara yang kita bicarakan soal negara MADANI. Ini isunya, bukan isu pertelagahan kita di antara negeri, bukan di antara kaum, bukan di antara agama. Muslim, Christian, Buddhis, Hindu, negara ini merangkul semua.

 

  1. Semua menjadi warga kita dan anak-anak kita. Kita tidak pilih jadi Melayu atau Dusun atau Murut atau Kadazan atau Dayak atau Iban atau India atau Cina, kita dilahirkan begitu. Bukan untuk bermusuh, untuk lita’arafu. Kenal menghormati dan mengangkat martabat manusia itu. Ini yang menjadi intisari latihan kita. Kalau tidak, kita akan berpecah, bertempur bukan isu pokok dan ketua-ketua yang mengajak kita bertempur itu kaya-kaya semua dan banyak dalam pengalaman curi-curi dan sakau-sakau, tapi anak-anak diminta bergaduh. Dan bila dibicara hak negeri, hak kaum, hak kawasan, bila ada kuasa, hak aku, hak isteri aku, hak anak aku. Faham apa yang saya nak maksudkan ni? Ya. Jadi kita kena fikir.

 

  1. Akademi Kenegaraan ini, Dato’ Roslan, itu memberikan ruang kita berfikir, critical thinking. Dengar boleh, nilai dengan cerdik dan pintar. Kalau tidak, kita jadi mangsa.

 

  1. Apalagi ini musim Sabah dekat pilihan raya, bertempur, semua jadi hero-hero Betul kalau hero, takkan masa pilihan raya saja. Di mana kamu tahun lalu? Di mana kamu dua tahun yang lalu? Di mana kamu semasa kamu jadi Menteri dan penguasa? Mengapa hal-hal yang kamu sebut itu tidak dilaksanakan ketika itu?

 

  1. Saya sangat ingat dan saya pesan kepada kawan-kawan saya, Jemaah Menteri, nak laksanakan masa kita berkuasa, buat sebaiknya, sebersihnya, untuk membela nasib rakyat. Besok dah bersara, berleter sana sini, cerca sana sini, tidak patut orang pakai lagi.

 

  1. Orang itu tanya, masa kamu berkuasa, kamu buat apa? Kamu tuntut apa? Ingat betul-betul, ini mukadimah dia. Orang akan bertanya, kita akan bertanya dan sekarang saya ditanya semasa saya ada kuasa. Sebab itu jawapan saya, kita lakukan sedaya upaya kita, melakukan perubahan dan pembaharuan dan reform untuk kebajikan rakyat. In urīdu illā al-iṣlāḥa mā isṭaṭa‘tu. Doa Nabi Allah S.A.W.

 

  1. Aku akan lakukan perubahan ke arah kebaikan sedaya upaya aku. Itu dia MADANI. Bukan selesa. Aku dah buat? Belum. Ya, kita dah buat. Kita luluskan berbilion-bilion tengok jalan kampong, tengok klinik desa, tengok tandas sekolah, tengok perpustakaannya, lihat kemudahan mahasiswa dan anak-anak. Ini kita nilai dari keberkesanan dan kita harus perbaiki.

 

  1. Benar, ada kebaikannya dan saya syukur Alhamdulillah bila kita adakan ASEAN baru-baru ini, kita mendapat jadi perhatian dunia. ASEAN itu, mesyuarat ASEAN itu tiap tahun, tahun lalu di Laos, sebelumnya di Jakarta, di Indonesia, dan tahun depan di Filipina, dan tahun berikutnya di Singapura, itu bergiliran. Tetapi, tidak dapat dimungkiri kenyataan, bahawa bila kita adakan ASEAN di Kuala Lumpur, itu ASEAN pertama kali mendapat perhatian dunia. Bukan sahaja kerana kehadiran pemimpin- pemimpin besar dunia, tapi cara rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, pelbagai agama bersatu mengangkat martabat negara kita. Orang lihat itu, polisnya dia tidak tanya polis itu dari mana, dari Sarawak, dari Sabah, dari Pulau Pinang, tidak, PDRM-nya, cekapnya, kecekalannya, disiplinnya.

 

  1. Anak-anak mahasiswa yang sukarelawan, ada dari Sabah, ada dari Perlis, dikumpulkan ratusan orang bekerja. Saya lihat, saya kagum anak-anak ini belum lagi selesai pengajian, tapi kerja dengan dedikasi, dengan semangat, dengan disiplin, untuk apa? Untuk angkat nama baik Malaysia sebagai negara yang hebat di dunia ini dan kita saksikan.

 

  1. Biasalah orang kritik, orang cemburu, orang hasad dengki itu ada. Duduk dengan Presiden Trump pun dia marah. Dia kata, kenapa duduk dengan Amerika? Duduk dengan negara China pun dia salah juga ‘orang China ni tak ada baik’. Kemudian, duduk dengan negara Afrika, dia kata, apa dia kena mengena Afrika dengan ASEAN? Semua tak kena. Ini orang yang berpenyakit. Apa penyakit dia? Penyakit tak kena. Tapi yang penting, bila nama kita harum bukan sekadar mesyuarat, bukan saja PM, ini mesyuarat orang lihat jalannya, orang lihat pembangunannya, orang lihat cara kita kendali, disiplin kita, keselamatan negara. Semuanya itu orang lihat dan lihat Malaysia ini diangkat dalam peta dunia sekarang. Alhamdulillah.

 

  1. Sebagai anak Malaysia, Kedah ke? Kelantan ke? Sabah ke? Kita bangga. Sebab itu saya katakan negara ini harus pertahankan keamanannya dan kestabilan politiknya. Jangan bila bertempur itu hiruk pikuk sehingga nak pecahbelahkan.

 

  1. Ada saya baca sentimennya. Yang kadang-kadang ada yang dari luar negara, anak Malaysia, semua tak betul. Cakap pasal Islam, tak betul. Cakap pasal bahasa, tak betul. Cakap pasal peruntukan Sabah, tak betul. Apa yang betul? Boleh tegur, biar membina. Negara ini, mesti saya katakan, mula dengan memilih wakil kita, pimpinan kita yang boleh mengangkat martabat negara, bukan nak timbulkan permusuhan.

 

  1. Senang saja saya nak jadi hero Melayu, sokongan Melayu akan bertabah, tapi saya bertempur dengan yang lain. Ada orang pula datang nak jadi hero India, ada orang pula nak jadi hero Kadazan atau Murut. Oh dia saja pejuang Murut yang hebat. Ya, dia menang di kalangan Murut, di kalangan lain apa jadi? Nak bertempur? Kalau hebat pemimpin Murut itu dan Kadazan itu atau Dayak itu ataupun Bugis atau Suluk, hebatnya kerana dia sanggup bekerjasama mengikat perpaduan di kalangan kita.

 

  1. Kalau dia tidak sanggup begitu, dia tidak akan bantu Sabah. Kita Kerajaan Persekutuan, Kerajaan MADANI, kita ada hubungan yang baik dengan Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Dato’ Sri Hajiji, untuk apa? Tanya dia. Saya pernah jadi belas tahun dulu Menteri Kewangan, menteri-menteri sebelum ini, sebelum masuk penjara. Kemudian, sekarang Perdana Menteri.

 

  1. Dalam tempoh tiga tahun, saya Perdana Menteri yang paling banyak kali datang ke Sabah. Apa? Saya minta balak? Tak ada. Saya minta kontrak? Tidak ada. Saya minta projek? Tidak ada. Saya hanya dengar untuk bantu rakyat Sabah, itu tujuan saya.

 

  1. Isteri pun tidak, cukup satu. Azizah di hatiku. Baik. Sekarang bicara Sabah ditinggalkan, diketepikan. Saya nak tanya kamu dulu jawatan apa? Menteri Sabah atau Menteri Persekutuan atau Ahli Parlimen, atau Ahli Dewan Negeri? Kalau dulu, itu soal dulu.

 

  1. Saya bicara ni tiga tahun, hampir tiga tahun, 22 November ini, tiga tahun saya Perdana Menteri Kerajaan MADANI, saya boleh jawab. Sejak kita ambil alih, lihat di paparan tadi, kita tambah peruntukkan pembangunan untuk Sabah. Meningkat peruntukan negeri tertinggi di Malaysia kepada negeri Sabah. Ini kenyataan.

 

  1. Saya anak Pulau Pinang, kalau ikut sentimen, saya nak bagi Pulau Pinang semua. Tapi tidak, saya Perdana Menteri Malaysia. Yang miskin ramai di Sabah, jalan lubang di Sabah, sekolah daif di Sabah. Bantu mereka!

 

  1. Dan ini tanggungjawab kita dalam kerajaan. Jerit-jerit apa? Musuh-musuh apa? Betul atau tidak? Ya! Jadi saya nak faham ini. Ini bawa musuh 40%, 40%. Saya nak jawab 40% ini.

 

  1. Berapa tadi saya di pasar, ada orang tanya ‘Dato’ Seri, bagi 40%, 40%’, ‘janji 40%’. Saya kata ‘Okey, 40% apa dia?’, (dia jawab) ‘40% daripada cukai’. Okey. ‘Bagi balik pada kita’. Okey, okey, okey. Boleh, boleh, dengar tak? Yang dia dah masuk 40%, jadi malam mimpi pun 40%, bangun esok 40%.

 

  1. Dengarlah dulu. Saya tak mau mempertahan yang dulu, sebelum ini. Saya nak jelaskan Kerajaan MADANI. Berapa tahun 2024, hasil cukai, hasil cukai pendapatan, hasil pelbagai cukai yang diambil oleh Kerajaan persekutuan. Berapa keseluruhannya? RM1 bilion, RM5 bilion, RM8 bilion? Keseluruhannya, RM10 bilion hasil Sabah ambil ke Putrajaya. Wah! Banyak!

 

  1. 40%, 40%… Dengar dulu. Baik. Berapa yang Kerajaan Persekutuan belanja untuk Sabah? Bangunkan sekolah, perubatan, kirim doktor, sempadan ESSCOM, kawal sempadan, pertahanan, semuanya. Kita ambil hasil RM10 bilion, kita bagi balik RM17 bilion. Sebab apa? Sebab kita pakat di antara persekutuan dan negeri, gunakan hasil kita membangunkan semua negara di Malaysia ini. Dan kebetulan Sabah sedikit ketinggalan, kita bantu lebih.

 

  1. Kelantan, negeri miskin, masalah banjir tiap tahun. Kita belanja berbilion ringgit walaupun negeri pembangkang. Hasil sedikit negeri miskin. Perlis, negeri miskin, cukai tidak cukup, gaji pun Kerajaan Persekutuan kena bayar. Bayangkan.

 

  1. Ini sekurang-kurangnya Sabah ini jauh lebih hebat. Gaji pegawai kerajaan negeri, kerajaan negeri yang bayar. Perlis, gaji pegawai kerajaan itu dibayar semuanya oleh Persekutuan, sebab cukai dia kecil. Ini baru negara. Saya kena jaga Sabah. Saya juga kena jaga Perlis.

 

  1. Anak-anak harus fikir, anak-anak ini anak Sabah, tetapi juga anak Malaysia. Kita nak semuanya banyak hasil. Jangan bila kempen, seolah-olah tak ada lainlah. Bukan setakat Sabah, kalau Ranau ‘Ranau, Ranau, Ranau’. Kalau Keningau ‘Keningau, Keningau, Keningau’. Eh, fikirlah Sabah. Fikirlah negara kita. Kita nak angkat ini negara kita. Angkat Sabah, angkat Malaysia.

 

  1. Bila saya sebut RM17 bilion, oh tak patut, tak patut, kena kira lain. Saya kata tak apalah, kiralah lain, saya dengar. Sebab, kata dia, patutnya lebih lagi. Saya nak tanya, masa kamu perintah, mantan-mantan Perdana Menteri datang kempen di sini. Masa dia Perdana Menteri, berapa dia bagi? Jauh lebih kurang. Kamu nak marah saya sebab apa? Saya bagi lebih. Masa kamu Perdana Menteri, kenapa kamu tak bagi?

 

  1. Jadi, ini yang menjadi persoalan. Apakah cukup? Tak cukup. Tak payah saudara beritahu, saya tahu jawabnya. Apakah cukup bagi penduduk Sabah? Tak cukup. Tanya Perlis, cukup? Tak cukup. Kelantan, cukup? Tak cukup. Ini Selangor, Menteri Besar, negeri paling kaya di Malaysia. Tanya dia, Kerajaan Persekutuan bagi cukup? Dia cakap tak cukup. Sebab? Negeri Selangor bagi hasil jauh lebih banyak, kita belanja kurang daripada itu. Jadi dia kata tak fair. Tetapi kalau saya kata kalau kita bagi semua yang kita ambil daripada Selangor, bagi balik kepada Selangor, siapa nak tolong Perlis? Siapa nak tolong masalah banjir di Kelantan? Siapa nak tolong Sabah? Jadi, tolong fikir sama.

 

  1. “No, kita ada MA63”. Betul, MA63. Eh, 3 tahun lalu siapa bincang. Ini sekarang pun kita bincang. Saya lantik Timbalan Perdana Menteri 2, Dato’ Sri Fadillah untuk pengerusikan technical committee. Tanya SUK, ada mesyuarat, bincang. Ini setuju, jalan. Ini belum setuju, nanti, kita runding lagi. Itu cara kita dalam kerjasama kita, bukan untuk berperang. Jadi, saya nak anak-anak faham. Ini, tolong bagi penerangan. Siapa cakap, tolong jawab dengan baik. Sebab kalau kata tak bagi, saya sedaya upaya kerja kuat. Saya bukan muda macam anak-anak. Tapi sedaya upaya kita.

 

  1. Nak baik dengan semua negara untuk apa? Oh, saya baik dengan Presiden Trump sebab dia bagi pen President United States. Adik, saya sebagai kawan, dia bagi pen, “thank you very much Mr. President, it’s a nice pen.” Itu pun saya ambil? Tak. Saya letak ini sebagai hak kerajaan Malaysia. Saya tidak ambil untuk diri saya. Jangan banding saya dengan pemimpin-pemimpin lain. Dapat kereta, dia ambil. Dapat jam, dia ambil. I don’t take those.

 

  1. Ya, lihat di Seri Perdana. Jam mahal-mahal yang diberi oleh negara-negara. Okey, saya boleh pakai tapi saya rekod hak Kerajaan. Saya berhenti Perdana Menteri, kena berserah kepada Kerajaan.

 

  1. Saya ada Mercedes, kurnia kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, bila dia tengok, dia kesian saya pakai Proton, pinggang saya tak berapa kuat. ‘Okey, Ya Tuanku, patik ni Perdana Menteri, tidak boleh’. Dia ‘no, no, no, you take’. Jadi Tuanku, atas ehsan dia, bagi Mercedes. Saya kata, ‘okey. Saya terima’. Saya daftar Jabatan Perdana Menteri Malaysia. bukan nama Anwar Ibrahim. Biar cek betul ke saya. Kurnia daripada Agong itu hak kerajaan Malaysia, bukan hak peribadi saya. Orang yang lain sebelum ini, semua jadi hak peribadi dia, yang cakap banyak. Kalau saya ambil peribadi, orang tidak soal sangat, tetapi saya nak bagitahu, kita kena cakap dan laksanakan dan tidak mudah, tidak mudah.

 

  1. Sebab itu saya kata, belum puas hati tak apa, tetapi bagaimana nak selesaikan? Untuk runding, pilih wakil, sama ada wakil saya cara langsung, parti yang saya pimpin ataupun yang boleh berkawan dengan saya. Runding dengan baik. Janganlah pilih orang yang benci dekat saya. Saya nak runding dengan apa? Saya tengok muka dia pun ‘Aduhai’. Faham tak? Jadi, mestilah cari jalan kerjasama yang baik.

 

  1. ‘Oh, tapi ada 112’ (Peruntukan 112C, Perlembagaan Persekutuan) Peruntukan khas, patut beri Sabah. Kerajaan patut bagi. Baik. Dulu berapa? Ada RM16 juta atau RM26 juta, bertahun-tahun. Kemudian, Kerajaan dahulu minta RM56 juta. Saya kata tidak boleh, biar kita runding. Jadi kita runding Sabah dan Sarawak. Bila kita runding, saya naikkan dari cadangan RM56 juta jadi RM300 juta ke Sabah, RM300 juta ke Sarawak. Baik. Belum cukup. Runding lagi.

 

  1. Tahun ini dalam Belanjawan, saya sebut interim. Sementara kita nak muktamadkan, kita bincang bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita luluskan RM600 juta untuk Sabah, RM600 juta untuk Sarawak. Itu pun saya sebut interim, sementara rundingan diadakan. Oh mahkamah kata runding, tidak apa lah, itu keputusan mahkamah. Kita dah runding belum? Kita runding. Sebelumnya ialah, sebelum 2022-an jangan tanya saya, tanya mereka. Tapi kita runding, ada jawatankuasa runding. Ada persetujuan muktamad? Belum. Ada persetujuan sementara, interim. Maka, kita bagi RM600 juta. Runding lagi. Itu hanya peruntukan khas.

 

  1. Kalau boleh, Dr. Roslan, bagi penjelasan keterangan ini. ini adalah soal dasar kerajaan yang diputarbelitkan. Cukup? Belum cukup. Memang Kerajaan Sabah dan Sarawak kata, belum. Ini hanya persetujuan sementara. Runding tidak? Ada runding. Setuju sementara? Setuju sementara. Sabah, Sarawak setuju sementara. Persekutuan pun setuju sementara. Kita runding. Kerana kita tengok juga kedudukan kewangan. Saya boleh janji bagi RM2 bilion. Duit dari mana? Hutang dulu. Boleh? Tidak boleh. Jadi, ini faktanya.

 

  1. Saya mengharap anak-anak faham. Yang penting ini apa dia? Saya tanya tadi daripada IPG, Tingkatan 6 ada. Yang penting apa kita? Sekolah kita, klinik kita, jalan kita, ini yang penting. Jadi, saya rakan-rakan ini nak bertanding pilihan raya, cakap wakil rakyat ni, carilah jalan, bantu rakyat. Jangan bagi rakyat marah, marah, marah. Kemudian bila kamu perintah, kamu yang kaya, rakyat kekal miskin. Jangan begitu. Negara ini bukan miskin. Sabah pun bukan miskin. Cari orang yang ada amanah, yang syukurkan nikmat Allah S.W.T. Tidak guna kuasa untuk kayakan diri mereka dan ada di kalangan kita.

 

  1. Jadi, saya harap hal ini difaham. Hari ini dalam majlis-majlis lain, saya akan jelaskan sekali lagi. Dengar baik-baik. Belum pernah, saya tak kata dulu Kerajaan-kerajaan negeri dulu atau Persekutuan tak buat apa-apa, mereka buat. Tetapi tak ada tolak tandingnya dari segi komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang, hari ini membantu rakyat Sabah. Saya boleh cabar kalau orang boleh bagi perhatian itu. If you say it’s not perfect, not satisfactory, fine, but you can never question the fact that we have done more. We are committed to assist as part and parcel of our agenda. None comparable to what has been done in the past.

 

  1. Jadi saya harap anak-anak bawa mesej ini. Ini kenegaraan kita. Ini mesej Akademik Kenegaraan. Ini kalau nak Rancakkan MADANI, mesti begitu. Sepakat. Bersatu. Ada tekad. Nilai yang baik, angkat martabat rakyat kita dan negara kita dan kita mampu lakukan begitu.

 

  1. Malaysia hari ini sudah menjadi negara yang dihormati dunia. Pelancongan meningkat cepat. Semua lapangan terbang kita terdesak sekarang kerana naik jumlah pelancongan itu terlalu pantas. Lapangan Terbang Kota Kinabalu kena baiki. Lapangan Terbang Tawau tak pernah kita fikir nak jadi besar, terpaksa dibaiki. Lapangan Kota Bharu, Kelantan sekarang jadi international airport. Lapangan Pulau Pinang yang sudah besar mesti dibesarkan lagi kerana terlalu sesak. Kuching kita besarkan. Saudara, ini Malaysia hari ini kerana komitmen kita untuk angkat martabat negara kita.

 

  1. Dan bayangkan umpamanya pertama kali dalam sejarah, bayangkan tahun ini, tahun lima tahun lalu, sepuluh tahun lalu, inilah tahun paling banyak, paling tinggi peruntukan untuk pendidikan di negeri Sabah — sekolah baru di Sabah, sekolah menengah agama di Sabah, sekolah menengah sains di Sabah. Ini tahun pertama yang kita lakukan.

 

  1. Berikan galakan, berikan sokongan ke arah itu. Kita boleh menjerit maki hamun sana dan cerca sini dan cabar sini, tetapi akhirnya rakyat yang harus mendapat manfaat. Kamu jerit jadi hero kaum, suku kaum, rakyat tidak dapat apa-apa. Kemudian yang pasti pemimpin-pemimpin itu senarai yang mendapat habuan yang tinggi. Kita kena tukar ini. Saya harap rakan-rakan, anak-anak faham dan bawa agenda ini.

 

  1. Saya lakukan sedaya upaya saya dan saya bersyukur kerana pasukan Menteri-menteri saya, kerjasama Kerajaan Negeri sangat baik, dan saya nak gunakan saki-baki umur saya, insya-Allah, sihat untuk bekerja. Saya nak Malaysia ni hebat dan harum namanya dan bahagia rakyatnya. Terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Share: