VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM SEMPENA MAJLIS PENYEMPURNAAN DAN PENGOPERASIAN LANDASAN BERKEMBAR ELEKTRIK GEMAS – JOHOR BAHRU

11 Disember 2025

 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA 

MAJLIS PENYEMPURNAAN DAN PENGOPERASIAN LANDASAN BERKEMBAR ELEKTRIK

GEMAS – JOHOR BAHRU 

11 DISEMBER 2025 (KHAMIS) | 12:00 TENGAH HARI

STESEN KERETA API KEMPAS BARU,

JOHOR BAHRU

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.

wa salli wa sallimu ala rasulihil karim

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in

 

Mengadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor;

Ampun Tunku.

  1. Izinkan Patik yang amat mulia Tunku Mahkota Ismail untuk menyampaikan pertamanya penghargaan dan junjung kasih di atas perkenan Tuanku bercemar Duli berangkat ke Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembang Elektrik Gemas-Johor Bahru.

 

  1. Seperti juga Ayahnda, Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Tuanku telah menunjukkan sangat penglibatan dan keprihatinan terhadap seluruh aspek pembangunan negeri Johor dan minat tentang perkembangan ekonomi Johor dan juga negara Malaysia. Jadi bagi pihak rakan-rakan patik, patik menjunjung kasih.

 

  1. Saudara Antony Loke, saudara Menteri Besar dan rakan-rakan yang dimuliakan. Projek ini sebenarnya akan menjadi satu lonjakan tambahan, nampak Johor sudah tercatat sekarang sebagai satu negeri yang gagah dari segi ekonominya dengan catatan pelaburan. Bulan lalu, kita sebut tentang kemajuannya, bulan ini tercatat rekod yang jauh lebih tinggi dan jangkaannya, unjuran seperti mana dimaklum oleh Menteri Besar Onn Hafiz, mungkin mencatat RM100 bilion.

 

  1. RM100 bilion ini rekod yang seperti mana yang saya sebut dalam pertemuan sebelum ini, tatkala Maharani Freeport, itu dah mengatasi prestasi Pulau Pinang dan Selangor. Patik tidak cemburu kerana ini juga satu negeri yang penting, yang mempunyai potensi besar.

 

  1. Minggu lalu, saya bersama Saudara Loke dan Saudara Menteri Besar ke Singapura untuk mengadakan pertemuan dua hala membincangkan langkah-langkah untuk mengangkat martabat rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih segar. Memacu ekonomi itu merupakan salah satu keutamaan dalam pembangunan negara. Jadi kita gunakan jalinan kerjasama dan hubungan baik dua negara ini untuk memastikan Zon Ekonomi Johor-Singapura ini sebagai catalyst untuk mengangkat ekonomi Johor dan dengan sendirinya seiring mengangkat ekonomi negara.

 

  1. Hari ini, yang juga kita laporkan kepada Perdana Menteri Singapura, kita selesaikan satu babak yang sangat penting yang menetapkan suatu rangkaian pengangkutan dan jaringan pengangkutan yang diperlukan kalau untuk membangunkan negara dan dalam kontek ini negeri Johor, kita perlukan lapangan terbang, pelabuhan, rangkaian lebuh raya dan pengangkutan termasuk yang agak canggih dalam apa yang kita saksikan hari ini dan kita sekurang-kurangnya hampir melengkapkan prasarana asas.

 

  1. Dan cabarannya seperti mana yang saya bincang dengan Menteri Besar, Saudara Onn Hafiz, ialah memastikan manfaat itu dapat menjajar kepada rakyat keseluruhannya. Jadi, rangkaian seperti yang disebut oleh Saudara Loke sebentar tadi, bila ada stesen-stesen yang banyak, maka usaha Kerajaan Persekutuan dan jentera Kementerian bersama Kerajaan Negeri ialah memastikan pembangunan stesen-stesen di kota-kota kecil itu dapat dipesatkan dan dapat memastikan pengagihan supaya penyertaan rakyat termasuk peniaga kecil itu terjamin.

 

  1. Ini cabaran kita, jika tidak ada trickle down, ini akan menimbulkan keresahan dan sebab itu saya ucap terima kasih kerana semua stesen-stesen ini seperti mana yang dilakukan dalam ECRL akan menjadi satu pusat kegiatan ekonomi baru yang juga melibatkan mana-mana pelaburan baru tetapi memerlukan campur tangan jentera Kementerian dan Jabatan dan Kerajaan Negeri memastikan pusat-pusat gerai makanan yang indah, yang bersih dan perumahan dan peluang-peluang pekerjaan yang lain yang boleh memberi manfaat termasuk perumahan rakyat di sekitar kawasan-kawasan tersebut.

 

  1. Dan ini bagi saya adalah kelainan dalam pendekatan Ekonomi MADANI yang menunjukkan keprihatinan kita bahawa pembangunan itu mesti dilonjakkan tentunya satu tingkat yang membanggakan tetapi dalam masa yang sama ia memerlukan suatu keprihatinan, campur tangan, moral suasion dan juga hidden hand daripada jentera Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta termasuk yang besar, misalnya hari ini kita lihat SIPP-YTL untuk memastikan bahawa ada program-program yang dapat memberi manfaat secara langsung di kalangan rakyat di semua peringkat.

 

  1. Jadi ini bagi saya penting rakan-rakan yang merancang ekonomi di peringkat Persekutuan dan Negeri mengambil perhatian yang khusus kerana sekurang-kurangnya Johor sekarang sudah bertapak sebagai suatu ekonomi gagah tetapi keistimewaan dan kelainannya ialah kerana pendekatan ekonomi kita itu membawa kepada peningkatan pendapatan rakyat dan juga pembangunan yang lebih menyeluruh.

 

  1. Dan oleh yang demikian, saya percaya awal tahun depan umpamanya kita akan lihat program-program yang dicadangkan yang mungkin memerlukan kerjasama dan bantuan Kerajaan Persekutuan dan input dari Negeri dan tentunya titah perkenaan dan nasihat daripada Kebawah Duli Tuanku bagaimana kita dapat pastikan satu program yang hebat dengan pengangkutan canggih dapat memberi manfaat yang lebih menyeru di semua peringkat dan saya tekankan tadi kelainan ini adalah dengan stesen-stesen yang kecil di seluruh rangkaian negeri Johor ini harus menjadi pusat yang boleh menjana kegiatan ekonomi bagi rakyat.

 

  1. Selain itu, pendekatan Kerajaan ialah juga mendengar pandangan negeri dalam meluncur, tatkala meluncurkan Rancangan Malaysia ke-13 baru-baru ini, malah dalam Belanjawan Negara, kelainan kita sekali lagi ialah bahawa inilah kali pertama dalam sejarah di mana pimpinan pusat turun ke negeri-negeri, ke semua negeri mendengar pandangan, cadangan, teguran dari pimpinan negeri dan dari situlah kita sesuaikan beberapa program keutamaan kerana apa yang kita fikirkan keutamaan di Putrajaya tidak semestinya memenuhi selera Johor, terutama Johor.

 

  1. Johor ini ada pengaruh yang lebih kuat tetapi yang saya nak tekankan di sini ialah bahawa pandangan Persekutuan itu kemudian mendengar pandangan negeri kemudian kita ubah suai keutamaan. Saudara Anthony Loke tahu dalam Jemaah Menteri ada beberapa keputusan kita yang kita ambil dulu yang kita pinda Tuanku. Kita pinda setelah mendengar input dari negeri kerana bagi saya pengertian participatory democracy itu adalah mendengar dengan semangat musyawarah kerana saya tidak fikir mana-mana kelompak sama ada di negeri atau di persekutuan yang boleh mendabik dada menganggap kita mempunyai penyelesaian dalam semua masalah, tanpa mendengar dan mengubahsuai beberapa pandangan kita.

 

  1. Jadi itu dari segi kerangka merancang kegiatan ekonomi dan hari ini saya tidak bermaksud menjelaskan lagi tentang Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru ini jelaskan sedikit oleh saudara Anthony Loke, dan saya tidak mempunyai kepakaran dari segi kejuruteraan, menerangkan aspek-aspek yang canggih tetapi menunjukkan saya turut syukur ke hadrat Allah SWT dan bangga kerana siap dan kita boleh jadikan ini sebagai suatu, sekali lagi model pembangunan yang baik dan hebat. Bukan sahaja bagi negeri Johor bagi negara Malaysia sepenuhnya dan kita manfaatkan kemudahan-kemudahan ini supaya menjana pertumbuhan tambahan dan mengangkat martabat negara kita.

 

  1. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana sudi mencemar duli dan menyerikan lagi majlis ini menjadi satu tahap kebanggaan nasional.

Terima kasih.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: