UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2026 KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII SULTAN IBRAHIM

1 Jun 2026

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI

ANWAR IBRAHIM

 

SEMPENA

 

ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2026

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII

SULTAN IBRAHIM

 

PADA

1 JUN 2026, ISNIN

 

BERTEMPAT DI

ISTANA NEGARA

KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

 

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastai’n,

 

Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad

SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian,

 

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka

Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

 

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka

Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

 

  1. Dengan penuh hormat dan takzimnya, Kerajaan serta sekalian rakyat jelata, merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari yang berbahagia ini.

 

  1. Patik dan sekalian rakyat dengan penuh rasa syukur merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan dan penuh kedaulatan.

 

  1. Dibawah naungan Tuanku, negara terus melangkah dengan penuh tertib dan keyakinan, berpaksikan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

 

  1. Kerajaan MADANI tertegak dan kukuh dengan kesetiaan dan perpaduan rakyat yang rata-rata dipupuk semangat serta tekad untuk membina negara meski berdepan dengan badai dan sikap perkauman.

 

  1. Demikian hikmah yang kita warisi dari leluhur bangsa dan pejuang kemerdekaan. Maka muafakat keramat negara tersebut telah menzahirkan Perlembagaan yang menyediakan sistem yang mewajarkan kehadiran sistem beraja sebagai pemelihara agama Islam serta menjamin keadilan dan kesaksamaan rakyat.

 

  1. Walhasil, dibawah naungan Tuanku Yang Dikasihi, usaha diteruskan bagi mematangkan proses demokrasi dan negara hukum. Malah, sejak awal Tuanku telah menekankan kepentingan tatakelola teratur, memerangi pemunggahan kekayaan kepada kelompok kecil. Kerajaan bertekad untuk melaksanakan dasar yang saksama, menjamin pengagihan kepada semua negeri dan wilayah; terutamanya kalangan miskin dan terpinggir.

 

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.

 

  1. Rakyat Malaysia pada hari ini berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan dunia, tekanan ekonomi global, perubahan iklim, ledakan teknologi kecerdasan buatan serta dinamika geopolitik serantau yang kian kompleks. Dampak dan tempiasan dikesan di seluruh pelusuk dunia. Maka, cabaran mengemudi bahtera negara harus lebih bijak dengan mengharungi kemelut dengan menetapkan dasar dan ikhtiar yang menjamin kestabilan dan mengurangkan beban ditanggung rakyat. Di antara prakarsa yang dihamparkan termasuk langkah penjimatan cermat, penyasaran subsidi minyak RON95 dan Budi MADANI.

 

  1. Alhamdulillah, di tengah badai yang mulai melanda, ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan yang meyakinkan. Pelaburan domestik dan asing mencatat peningkatan, kadar pengangguran kekal rendah, manakala keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia semakin kukuh. Reformasi fiskal yang dilaksanakan dengan berhemah, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana, serta agenda transformasi digital membuka ruang dan peluang pekerjaan bermutu khususnya buat generasi muda.

 

  1. Program bantuan bersasar diperhalusi, pengukuhan jaringan keselamatan sosial diperkukuh serta kemudahan kesihatan dan pendidikan terus ditambahbaik. Usaha membendung kos sara hidup dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.

 

  1. Akhirul kalam, Patik sekalian menjunjung kasih atas pemerintahan Seri Paduka Baginda yang bijaksana, dan yang sentiasa menjadi lambang penyatuan dan keluhuran negara. Didoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja dan semoga Seri Paduka Baginda kekal qarar memerintah dengan penuh daulat, hikmah dan kebesaran.

 

  1. Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda, serta memperteguh azam serta ikhtiar bersama demi kemajuan dan kesejahteraan tanah air tercinta.

 

Dirgahayu Tuanku!

 

Share: