TEKS VERBATIM YAB PM : SESI SANTAI MESRA YAB PERDANA MENTERI DAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA DENGAN WARGA PERKHIDMATAN AWAM ZON TENGAH

20 Julai 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

SESI SANTAI MESRA

YAB PERDANA MENTERI DAN

KETUA SETIAUSAHA NEGARA DENGAN WARGA PERKHIDMATAN AWAM ZON TENGAH 

20 JULAI 2026 | ISNIN | 10.00 PAGI

DEWAN SULTAN IDRIS SHAH,

UNIVERSITI ISLAM SELANGOR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillahil-ladhi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba wa lam yaj’al lahu ‘iwaja,

 

Wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari,

Dato’ Menteri Besar Selangor;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Dato’ Professor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah,

Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS)

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat teruskan sesi ini, utara sudah, Sabah Sarawak sudah, selatan sudah, dan ini di wilayah Tengah. Saya ucap tahniah kepada KSN dan KPPA kerana memulakan suatu acara libat urus yang lebih inovatif, mendengar pandangan penjawat awam peringkat rendah.

 

  1. Sepanjang ingatan saya dan saya semak rekod perkhidmatan ini, memang ada libat urus, tapi saya belum lihat pernah ada kesediaan KSN, KPPA turun ke bawah sepertimana berlaku sekarang. Begitu juga saya tengok rekod sejak merdeka, belum pernah seorang Perdana Menteri ada program penjawat awam paling kerap sepertimana yang dilakukan sekarang. Sehinggakan ada kawan-kawan tegur saya, dia kata, “Anwar, you ini jangan lupa, Anwar juga pemimpin politik, jadi harus santuni lebih ramai pimpinan politik, nampak banyak sangat saya bergantung kepada penjawat awam”.

 

  1. Saya jawab, sistem politik tentu kita pertahankan, tapi bagi saya, kalau penjawat awam itu mantap, kukuh dan ia lebih menjamin kesinambungan negara dan dasar. Kalau penjawat awam itu umumnya dapat menangkap dan memahami falsafah pembangunan kita, dan komited dan ia akan memberi sumbangan besar kepada negara, dan sebab keyakinan itulah maka saya rasa sesuai untuk saya tumpu perhatian dalam beberapa mesyuarat dengan rakan-rakan pimpinan penjawat awam, dan dengan keputusan untuk menyantuni rakan-rakan penjawat awam di semua peringkat.

 

  1. Jadi, I think I made a right decision. Walaupun di antara kritikan yang saya terima daripada rakan-rakan saya yang bukan penjawat awam ialah tumpuan saya dan dukungan, malah kepercayaan yang tinggi kepada penjawat awam.

 

  1. Saudara-saudara, angka-angka terbaru memang alhamdulillah, Dalam keadaan negara dunia umumnya terpaksa bergelut dengan tekanan akibat Perang Teluk dan ketidaktentuan ekonomi, angka terakhir ini diterbitkan minggu lalu tunjukkan Malaysia kekal gagah. Kita catat 5.8% pertumbuhan. Ini jauh lebih baik daripada unjuran Kementerian Kewangan, Ekonomi dan juga Bank Negara Malaysia. Kalau saudara umpamanya, sejarah kita dan unjuran pertumbuhan ekonomi ini beberapa kejutan yang luar biasa. Pencapaian pertumbuhan kita jauh lebih baik daripada jangkaan kita dalam belanjawan yang lalu dan juga unjuran ini.

 

  1. Tentunya orang pertama, dia tahniah kepada Perdana Menteri, tapi saya dengan penuh tawaduk ingin mengatakan, ia tidak mudah berlaku kalau tidak ada komitmen, kesungguhan, tahap kecekapan dan kesungguhan rakan-rakan penjawat awam dan tahap keselamatan negara kita capai.

 

  1. Jadi saya salute kepada saudara-saudara yang telah menentukan dan dapat menjayakan, sepertimana yang kita lihat catatan di Selangor, di Negeri Sembilan dan seluruh di Malaysia, kerana sumbangan dan komitmen, Perak juga ya. Takut Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dah tak sebut Perak ni, aaya ahli parlimen tambun, takut dia tak bagi balik (nada seloroh). Jadi, tentunya dengan komitmen ini. Jadi, sebab itu saya berulang kali menegaskan, begitu juga kepada rakan-rakan media, dalam penghargaan kita itu, memang boleh dikeluarkan ada kelewatan di sana, sampah di sini, parit. Memang betul. Dan kita harus terima dengan baik teguran-teguran itu.

 

  1. Tetapi ia tidak boleh memadamkan satu kenyataan. Apa yang kita capai? Keamanan negara, keselamatan, itu polis, tentera, badan penguatkuasaan. Kecekapan yang dapat menarik pelabur datang, kelulusan yang lebih cepat, dan cara kita berhemah menyantuni pelabur-pelabur domestik dan juga asing, itu penjawat awam.

 

  1. Peranan saya dan rakan-rakan itu adalah menentukan penggubalan dasar. Penggubalan dasar pun saya tidak lakukan bersendirian, dengan sumbangan dan tenaga fikir, perit rakan-rakan penjawat awam. Jadi saya hadir sebelum tekankan isu-isu lain untuk menyatakan bahawa saya juga bernasib baik kerana jadi pengemudi sebagai Perdana Menteri negara ini, tapi dengan dukungan dan sokongan rakan-rakan setia penjawat awam yang bekerja bertungkus lumus. Jadi terima kasih, Jazakumullahu khairan katsiran.

 

  1. Saudara-saudara, tapi negara sepertimana yang saya ungkapkan semalam di Ipoh, tatkala kita meluncurkan kempen pengibaran bendera menjelang kemerdekaan, bulan kemerdekaan 31 Ogos, kita juga harus berdepan dengan beberapa masalah yang kita warisi atau harus kita depani.

 

  1. Negara ini merdeka, bukan sepontan. Ada urutan tahun-tahun di mana ada pengorbanan dengan darah, keringat dan air mata. Nenek moyang kita, ibu bapa kita bergelut membawa perubahan. Kalau tanya mereka, tentunya mereka tidak dapat mencerakin dan mengupas secara canggih apa itu dasar ekonomi, dasar pendidikan baru, apa itu pertembungan idea dan pembenturan pemikiran, tak mungkin. Tetapi yang ada apa? Satu hasrat cetusan dari hati nurani mereka, mahu negara ini merdeka. Merdeka ertinya tidak mahu menerima kenyataan negara yang majoriti Melayu, Persekutuan Tanah Melayu, kemudian disertai Sabah Sarawak itu, terus dikuasai oleh kuasa asing, dijajah oleh negara yang ribu batu daripada kita, yang menentukan dasar kita, memunggah kekayaan kita, menentukan dasar pendidikan kita, menipiskan fahaman agama kita.

 

  1. Jadi ada kesedaran itu. Bagaimana nak lakukan? Mereka tidak ada jawapan semuanya. Kalau baca karya-karya dulu, Raja Ali Haji, atau malah Pak Sako dalam novelnya, itu menentang penjejahan jelas. Atau Zaa’ba, pemikir dia tahu perlu pembaharuan, perlu islah, kupasan detail-nya itu tidak ada. Hanya kemudian, zaman Ungku Aziz, Syed Muhammad Naquib al-Attas yang melepasi zaman Dato’ Onn Ja’afar dan lain-lain, Tunku Abdul Rahman yang memberikan sedikit gambaran tentang halatuju negara kita.

 

  1. Tetapi kekuatan ibu bapa kita dan nenek moyang kita yang mahu merdeka ini kerana dia tidak fikir orang kulit sawo matang begini harus terima orang asing Inggeris yang budayanya, agamanya, pemikirannya yang berlainan dengan kita, malah senang dengan merompak kekayaan negara dan menjajah negara kita. Apakah mudah? Tidak mudah. Apakah mereka bergelut dengan segala kepayahan? Iya. Apakah tidak ada penentangan terhadap usaha mereka? Ada. Tetapi alhamdulillah, ditakdirkan mereka berhasil.

 

  1. Tanggungjawab generasi saudara-saudari ini yang banyak pangkat adik-adik saya, ataupun anak-anak saya, itu memenuhi maksud memaknai kemerdekaan. Dan itu memang tanggungjawab besar. Ada yang generasi pertama yang merdeka, pemikirannya macam separuh Inggeris, kulitnya sawo matang, tapi kalau tanya program pendidikan, harus Inggeris. Bahasa, harus Inggeris. Budaya, harus Inggeris. Sistem ekonomi, harus Barat. Sistem politik dan kenegaraan, harus Barat. Kerana sementara merdeka, bagi mereka itu hanya menggantikan Inggeris itu dengan Melayu dan dianggap beres.

 

  1. Sebab itu proses sepertimana kupasan Syeikh Jaafar Syeikh Idris, salah seorang sarjana pemikir Islam dari Sudan, saya ingat lagi. Dia kata bahawa kefahaman Islam itu sendiri pun, perubahan itu pun dia ada proses, yang disebut the process of Islamization. Dia ada kesedaran, dia ada tahap-tahap di mana kita mantapkan kefahaman itu. Tidak boleh sergah dan bawa perubahan mendadak, akan memusnahkan dan merosakkan.

 

  1. Semalam di Ipoh, kebetulan mantan mufti ada di situ, Sahibul Samahah Datuk Dr. Haji Wan Zahidi bin Wan Teh. Saya masih ingat tahun 90-an, tak ada kita bergelut dengan fahaman orang mengkafirkan dan memunafikkan dengan mudah dan minta perubahan, mahu menegakkan Islam segera. Saya kata bagaimana nak jawab, bagaimana nak tangani masalah ini? Kalau kita buat, hancur. Jadi dia beritahu saya tentang kupasan, tadi saya sebut Jaafar Sheikh Idris tentang proses itu mengambil masa, sebelum saya sebut tentang kupasan buku yang kedua ini. Ini saya nak bagi homework, kerana KSN, KPPA dia bagi tentang IT, digital yang benda-benda yang canggih. Jadi, saya bagi yang balance

 

  1. Jaafar Sheikh Idris dia kata begini, “perubahan itu mesti dari hati nurani dan ketara dari ungkapan Al-Quran, “Wa nafsin wa maa sawwaahaa. Fa-alhamahaa fujuurahaa wa taqwaahaa. Qad aflaha man zakkaahaa. Wa qad khaaba man dassaahaa.” (Surah Asy-Syams, ayat 7 sehingga 10) -hidup seorang muslim itu tidak pernah selesa dengan apa yang ada. Syukurnya yang ada, tapi sentiasa mahu bawa perubahan, kebaikan dan kepada ketakwaan.

 

  1. Saya dah solat, saya dah puasa. Tak pernah orang kata, oh Alhamdulillah. Saya balik daripada haji, ada saya pernah dengar seorang sahabat, mungkin fahaman dia, “saya sudah balik daripada haji dan mabrur.” Mana kamu tahu? Kita doakan. Kerana tahap itu ujian daripada Allah SWT.

 

  1. Jadi, sebab itu dalam “Wa nafsin wa maa sawwaahaa.”, beruntung, berjayalah orang yang dapat menyucikan nafsu ke arah ketakwaan, rosak, binasa, celakalah orang yang disebaliknya. Maknanya, perubahan itu dituntut. Pembangunan itu ke arah itu. Dia mengupas sebenarnya dari segi keimanan dan pembangunan. Nak bangunkan itu mesti ada, sepertimana yang kita cuba ungkapkan dalam MADANI ini, nilai dan akhlak. Ya, kita “menggapai yang di langit” teknologi baharu, artificial intelligence, quantum computing. Tak ambil itu, kita tercorot, terkebelakang. Tetapi kalau ambil yang itu, kemudian tinggal. Kata dia apa? Sementara “kita menggapai yang di langit, kita mengakar ke bumi.” Apa dia “akar ke bumi?” Mesti akidah, akhlak, nilai, ihsan. Itu yang “mengakar ke bumi.” Budaya kita. Jati diri dan itu dia mengisi kemerdekaan.

 

  1. Itu Jaafar Sheikh Idris Saya sebut tadi tentang mantan mufti dia bila dalam keadaan saya bergelut macam mana nak jawab ini. Kalau silap sikit kita dah kafir, kalau buat macam itu kita tidak Islam, kita tidak ikut sunah, dia senang sangat. Jadi dia ingatkan saya baca kitab klasik yang lama oleh Imam al-Syatibi. Imam besar ini menulis kitab namanya Al-Muwafaqat, betul ya? Mana syeikh-syeikh banyak sini, minta maaf kalau silap sikit, tunggu-tunggu. Mana? Ustaz? Tanya dekan-dekan Ustaz satu dua. Al-Muwafaqat, Imam al-Syatibi. Dia bagi satu ungkapan yang sangat seolah-olah memberi pencerahan kepada saya. Apa kata dia? Dia kata, “khalifah besar kita selain daripada khalifah empat ini yang disebut Omar Thani yang kelima itu, bukan khalifah kelima, tetapi yang dianggap kategorinya selain khalifah empat ialah Khalifah Umar Abdul Aziz. Umar Abdul Aziz itu orang yang zuhud, alim, tapi juga pentadbir dan pengurusan yang baik.

 

  1. Ini kita kena ingat, setengah orang ingat mesti lurus, mesti ulama, mesti alim. Itu syarat, tetapi syarat juga mesti tahu urusan yang baik, tahu ekonominya, tahu pengurusan ekonomi yang baik. Itu kupasan Imam al-Syatibi tentang Umar Abdul Aziz. Jadi Umar ini ambil alih dalam keadaan ekonomi dan negara masih pincang, setelah saya tahu kisah pembunuhan Saidina Uthman bin Affan dan kemudian pergelutan Perang Siffin di mana Saidina Ali dan cucunya juga dibunuh dan timbulnya Yazid dan sebagainya. Itu kita faham.

 

  1. Jadi, anak dia namanya Abdul Malik. Abdul Malik jumpa ayah dia “wahai ayahku, dia ketahui komitmen kamu, iltizam kamu terhadap Islam dan pelaksanaan syariah itu tegas, dan kamu seorang yang muncul sebagai tokoh dengan tekad bawa perubahan ke arah Islam. Jadi mengapa masih teragak-agak dan terlambat dalam beberapa perubahan ini? Bukankah tanggungjawab kita itu melaksanakan syariah sepenuhnya?” Apa jawab Khalifah Umar Abdul Aziz? jangan lupa, jangan lupa. Orang kata Anwar ini nak bagi alasan tidak buat apa-apa. Tidak, tidak, dengar jawapan ini jawapan Khalifah Umar Abdul Aziz. Dia kata, “La ta’jal ya bunayya” – jangan gopoh wahai anaku yang dikasihi.” Maknanya tuntut perubahan mendadak itu dianggap oleh Umar Abdul Aziz, bukan yang kita-kita ini. Kegopohan kerana kata dia, dia bagi contohlah, pengharaman arak oleh Nabi Muhammad SAW yang dituntut dalam al-Quran juga bertahap.

 

 

  1. Kefahaman rakyat semua harus ada. Dan katanya sebagai seorang khalifah, maknanya pimpinan negara, dasar utamanya adalah keselamatan negara – National Security dan perpaduan. Itu yang utama. Cuba bayangkan naratif kita di luar ini. Sekarang ini di Negeri Sembilan lah, di mana-mana, di Johor, bukan itu. Masalah keselamatan, perpaduan rakyat itu dia bukan yang kedua, dia sentimen yang pertama.

 

  1. Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyebut dengan tegas, “aku ini diamanahkan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara, itu raqqam wahid, yang pertama.” Jawapan Umar bin Abdul Aziz kepada anaknya Abdul Malik. Kalau tidak dijaga ini, kamu buat perubahan, orang kata reformasi lambat, buat cepat, tidak terjamin perpaduan dan keselamatan. Tapi tekad jangan hilang. Perubahan mesti dilakukan walaupun kadarnya berperingkat.

 

  1. Ini jawapan dalam Al-Muwafaqat, karya Imam Al-Syatibi mengenai kisah Umar Abdul Aziz dan anaknya Abdul Malik. Sebab itu bagi saya umpamanya, keselamatan negara ini, tentunya PDRM, Angkatan Tentera Malaysia, itu diletakkan dalam kategori yang baik. Bila kita ambil alih Kerajaan, selain daripada penjawat awam, soal gaji, upah mereka, tetapi saya lihat perumahan penjawat awam, guru, perumahan pentera, polis itu sangat yang daif. Maka, sebab itu Belanjawan Negara sejak 2023, Kor Kejuruteraan ATM dan perumahan polis itu kita bawa perubahan bertahap kerana bagi saya masih keselamatan.

 

  1. Dan keduanya, tentang penjawat awam itunya sebab gaji, tanyalah KPPA ada sini, KSN, mereka pun tidak yakin cadangan untuk naikkan gaji itu. Saya boleh terima, sebab mereka tahu tentang kekangan kita dan kedudukan kewangan negara dan hutang-piutang yang dilonggokkan ke atas kita, begitu banyak, jadi kita terpaksa warisi. Tetapi ini, KSN, KPPA ada, bila dicadang, saya kata saya tak sanggup kemukakan yang ini. Dia ingat kita tolak. Saya tak sanggup kerana cadangan mereka itu bagi saya tak cukup tinggi, maka akhirnya saya tekankan yang lebih tinggi dan ini kenyataan. Bukanlah nak ungkit tapi ini kenyataan.

 

  1. Saudara bayangkan, ini selalunya dia cadangkan maksima bagi dia lah, KPPA tahulah. Dia nak cadangkan yang maksima untuk penjawat awam. Dan selalunya bila sampai kat saya dan Menteri Kewangan, dia turunkan sedikit. Tapi kali ini tidak. Dia cadangkan dan saya naikkan. Bagi saya, saya tanya keupayaan kita dan saya kata berupaya. Kerana saya tak mahu balik-balik suruh kami kerja lebih, strict, salah tangkap, kalau tak betul, marah. Kemudian, kerja kena lebih kuat, tapi tak ada peduli tentang nasib kami. Jadi, itu yang saya nak betulkan.

 

  1. Apakah sepenuhnya cukup? Belum. Sebab itu dalam libat urus KSN, KPPA dengan rakan-rakan, input itu diberikan. Betul, gaji naik tapi kadang-kadang naik ke pangkat sesetengah kategori, tunggu sampai 8 tahun, umpamanya. Ini yang saya dengarlah. Betulkah you all complain dekat KSN? Tentang sesetengah kategori itu tunggu berapa lama dah. Tanya KSN, KSN beritahu saya, next meeting, we will have to review this. Mana yang kenaikan yang terlalu lambat itu harus prosesnya dipercepatkan. Itu arahan yang diberikan.

 

  1. Sebab itu saya fikir, itu dilakukan sebab kita mahu satu komitmen yang menyeluruh saudara jayakan konsep negara MADANI ini. Kerana dari segi ekonomi, alhamdulillah, kita bolehlah kalau banding dengan negara-negara jiran, harga minyak turun, walaupun saya tak tahu, saya tengok dalam media sosial, Anwar tak turun harga minyak. Saya pun tak faham apa dia? Dia kata tak turun, sepatutnya RM1.50. Saya kata masa kita cadang RM1.50 itu, harga minyak Saudi RM0.50. Sekarang harga minyak Saudi itu RM2.50, RM2.40. Saudi, the largest producer of petrol in the world. Dia punya kapasiti berlebihan, tapi harga RM2.40. Kita masih import 50% keperluan kita dan kita turunkan RM1.99. Alhamdulillah

 

  1. Berapa peruntukan kerajaan satu tahun kerana diesel dan minyak? RM40 bilion. Saudara ingat, tiap kali you ambil minyak tu ada suntikan subsidi kerajaan dan keseluruhannya RM40 bilion, one year untuk minyak dan diesel. Boleh kalau nak suruh turun lagi, tapi then siapa nak bayar? Saya tak mahu hutang berlonggok banyak-banyak, orang kata hutang bertambah, tak. Hutang kerajaan sekarang berkurangan, tetapi jumlah hutang bertambah kerana interest Interest daripada bayar apa? Bayar hutang lama. Bayar hutang 1MDB. Nak nafi macam mana?

 

  1. Tadi ditanya pasal Tabung Haji. Sama juga. Saya macam mana nak lupa. Hutangnya puluh bilion. FELDA, sekarang saya jaga FELDA. Dulu masa Raja Alias, siapa kata orang Melayu tak pandai jadi pengurus? Raja Alias, Taib Andak. Brilliant, good civil servants, FELDA itu their lives. Peneroka itu sebagai keluarga dia. Kemudian ganti, tukar jadi FGV, ganti. 2-3 tokoh politik, jahanam. Beli hotel patut RM100 juta, kos RM160 juta. Mana saya tahu? Report datang kat saya, masa saya nak kena bayar. FELDA kata kena jual. Saya kata macam mana ini? Kita beli dulu RM160 juta, nak jual jadi RM100 juta. Saudara, this is the reality. Nak suruh saya popular dengan orang-orang ini? Tak popular. Ingat orang itu tak marah saya, dia marah. Dia kata nak ungkit kes lama. Tak ungkit apa? Aku kena bayar sekarang. 1MDB we’re paying now. Salah saudara tak? Salah pengurusan FELDA? Tidak.

 

  1. Tapi kita kena bayar sekarang berapa? Tiap tahun RM980 million tiap tahun. Media cakap Anwar cakap suka marah. Bukan marah. Saya pun manusia dan masih ada yang kata, oh no, kita bagus. Bagus apa ni? Setiap tahun RM980 juta, hampir RM1 billion kena bayar kerana penyalahgunaan, corruption, tamak haloba orang yang kita amanahkan sebagai pejuang Melayu dan pemimpin Melayu.

 

  1. Itu saudara. Sebab itu saya minta saudara faham. Kalau pegawai pun tak faham tak apa, my duty, tanggungjawab saya menjelaskan. Ini realitinya. Kempenlah. Nak “hidup Melayu” ke nak “ketuanan Melayu” ke, bagi amanah rosak. Sebab itu saya kata soal nilai itu penting, soal akhlak itu penting. Masalah kita ini bukan masalah Cina, bukan masalah India atau kita ingatkan orang India dan Cina, ini bukan masalah Melayu. Masalahnya masalah akhlak, masalah rasuah. Masalah yang tak disebut tadi, “Wa nafsin wa maa sawwaahaa. Fa-alhamahaa fujuurahaa wa taqwaahaa.” Tidak mengamalkan prinsip ini.

 

  1. Jadi ini saudara-saudara, saya harap apa relevannya penjawat awam? Satu bilion setahun, FELDA? Hutang Tabung Haji tapi naratifnya lain. Biar Menteri Agama jawab secara terperinci. Tapi apakah semua penjawat awam terlepas? Tidak juga. Ada yang mungkin sebahagian kecilnya bersekongkol, sebab itu mesej kita, kecekapannya, akhlaknya, ketulusan, harus kepada semua. Mengapa saya sampaikan? Kerana dalam pengalaman saya lebih tiga setengah tahun Perdana Menteri, saya lihat ramai yang mahu negara ini selamat. Masih ramai, majoriti masih mahu keadaan baik dan tidak mahu imej sama ada orang politik atau orang pedagang atau penjawat awam tercemar kerana khianat dan kerana tamak haloba.

 

  1. Saya yakin negara ini boleh capai ke tahap cemerlang. Saya yakin anak-anak kita boleh diberikan pendedahan, pencerahan, mutu pendidikan yang terbaik. Jadi tanggungjawab kita ialah berikan khidmat sebaik mungkin. Saudara mewakili negeri-negeri, itu yang relatif jauh lebih baik daripada setengah-setengah negeri kita. Tapi saudara juga ada yang dari keluarga yang tidak semuanya senang, Saya dari kelas pertengahan, betul. Tapi saya dibesarkan juga di kota kecil Bukit Mertajam dan di kampung Cherok To’Kun, dan saya syukur alhamdulillah, kerana pendedahan di kota kecil dan di kampung itu mengajar saya bahawa tidak semuanya indah yang dilihat dari Putrajaya atau di dewan yang indah ini.

 

  1. Tanggungjawab kita buatlah sebaiknya. In urīdu illal-iṣlāḥa mas-taṭa‘tu – bawa perubahan sebaiknya untuk semua. Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada adik-adik, anak-anak yang hadir dan khususnya kepada KSN, KPPA dan rakan saya, Menteri Besar, saudara Amiruddin yang sudi bersama, dan memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan acara ini.

 

  1. Kepada saudara-saudara, mohon maaf kalau tadi nada tinggi sikit. Banyak orang pesan, “sekarang Anwar you dah Perdana Menteri you tak boleh tinggikan suara. You kena cakap tenang, dengan baik, menyantuni rakyat.” Saya cuba. Kadang-kadang bila menyentuh soal-soal yang menyentuh hati nurani dan perasaan, saya mohon maaf kalau ada orang kata itu bukan sepatutnya wajah seorang Perdana Menteri. Saya tidak tahu wajah mana Perdana Menteri mesti tenang terus. Jadi kalau dianggap kesilapan, saya mohon maaf, tapi percayalah saya luahkan apa yang saya rasa. Bagi siapa lagi saya nak luahkan? Kalau tidak kepada anak-anak buah saya, jentera yang boleh menjayakan program negara kita.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

       

Share: