TEKS VERBATIM YAB PM : MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN KEBANGSAAN PROFESION PEGUAM SYARIE 2026

27 Jun 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

SEMPENA

 MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN KEBANGSAAN PROFESION PEGUAM SYARIE 2026

27 JUN 2026 (SABTU) | 12.00 TENGAHARI

HOTEL DOUBLE TREE BY HILTON, PUTRAJAYA

 

  

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Saudara Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Yang Berhormat Senator Puan Marhamah Rosli,

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Ketua-ketua Hakim Syarie;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar,

Peguam Negara;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

 

  1. Alhamdulillah, ini bukan perhimpunan biasa, dan tentunya satu usaha untuk mengangkat keupayaan dan memberi pengiktirafan sesuai dengan perkembangan masa dan tuntutan dalam dasar dan keutamaan Negara MADANI.

 

  1. Izinkan saya selain daripada menyatakan penghargaan, terutama inisiatif atau ikhtiar Saudara Zulkifli dan rakan-rakan, untuk menghimpunkan Peguam-peguam Mahkamah Syariah dan juga penyertaan Yang Amat Berbahagia Hakim-hakim ialah untuk menyingkap sedikit pengalaman dalam memartabatkan mahkamah ini.

 

  1. Saya mula bergiat dalam Kerajaan ketika dulu, dan tentunya di antara keutamaannya ialah untuk memberi pengiktirafan dan mengangkat peranan yang kita sebut dulu penerapan nilai-nilai Islam. Saya diminta semasa saya Timbalan Menteri lagi menjadi pengerusi badan perunding Islam yang dianggotai oleh beberapa tokoh termasuk Almarhum Tan Sri Ahmad Ibrahim, yang masa itu masih dekan Universiti Malaya dan kemudian kita bawa Dekan Kulliyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa.

 

  1. Saya menyinggung hal ini kerana sebenarnya Tan Sri Ahmad Ibrahim itu besar peranan dan pengaruhnya dalam memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah. Kita iktiraf dalam sistem negara kita duality Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, tetapi kebijaksanaan Saudara atau Almarhum Tan Sri Ahmad Ibrahim ini adalah kerana kefahaman dia tentang kekuatan Mahkamah Sivil, kelemahan dia dan kekurangan yang ketara dalam sistem Mahkamah Syariah pada ketika itu.

 

  1. Bagi dia selagi tidak diberi pengiktirafan kerana akhir 70-an, awal 80-an, banyak sekali keputusan-keputusan Mahkamah Sivil yang mengenepikan, menidakkan atau menolak keputusan Mahkamah Syariah. Dengan sendirinya persepsi rakyat ialah bahawa Mahkamah Syariah itu dalam keadaan yang lebih rendah dan kurang berwibawa.

 

  1. Tan Sri Ahmad Ibrahim tentu bawa kepada saya dan saya tahu kesukarannya pada ketika itu. Saudara jangan bayangkan keadaannya sekarang, bayangkan, menoleh ke belakang sedikit dan renung tahun awal 80-an. Kesedaran Islam belum meningkat begitu rupa. Dan malah kalau tahun 70-an lagi pun, semalam saya bincang dengan teman-teman, semasa saya aktif akhir tahun 60-an dan 70-an di Universiti Malaya, itu kalau kita di Universiti Malaya, kalau bukan daripada aliran agama yang sudah tentunya, 99% bukan daripada aliran agama. Nak ucap Assalamualaikum pun sambutannya dengan senyum. Cuba panggil Ustaz. Sebab itu saya dia orang panggil Pak Sheikh dahulu. Bukan saya pandai, bukan saya ada ilmu lebih, cuma saya popularkan Assalamualaikum. Itu dia tahap kefahaman ketika itu.

 

  1. Tapi Tan Sri Ahmad Ibrahim, dia tiga kali dalam perbincangan. Saya rapat dengan dia. Dia beritahu selagi tidak ada perubahan artikel 121(1A), apa juga perubahan tidak akan memberikan kesan dan saya sedar kesukarannya. Saya baru bertapak dalam parti, dalam Kerajaan. Saya tidak boleh umpamanya menggesa dan mendesak dalam fahaman dan sistem pimpinan pada ketika itu.

 

  1. Jadi akhirnya beliau guna ruang Badan Perundingan Islam, beliau bincang, perlembutkan, tidak sepertimana yang draf asalnya, artikel 121(1A), sekadar memberi ruang bahawa keputusan Mahkamah Syariah dalam soal yang jelas tidak boleh dirombak oleh Mahkamah Sivil, prinsipnya okey.

 

  1. Cabarannya bagi saya pada masa itu sebagai Menteri, lepas itu jadi Menteri, tetapi yang tentunya lebih junior, itu sukar dalam keadaan sistem yang begitu rupa, di awal atau pertengahan tahun 80-an. Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Hashim Aman sangat simpati dan beliau memberi pedoman kepada saya bagaimana nak bawa, menghantarkan draf itu, selain daripada keputusan Menteri Agama kepada ketika itu, bagaimana untuk mendapat persetujuan dan kalau ada sanggahan, bagaimana untuk menjawab. Kerana masa itu Peguam Negara tak macam Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar. Dia komited dan menyokong. Pada masa itu berpuluh-puluh persoalan dibangkitkan, dan saya bukan peguam dan tidak terlatih masa itu. Lepas itu memang saya terlatih sebab hari-hari pergi ke mahkamah. Saya, sampai saya boleh hafal beberapa seksyen dalam mendengar penghujahan, puluh-puluh tahun dalam mahkamah. Tapi ini sebelum itu, sebelum.

 

  1. Jadi, sebab sebelum itu yang pengalaman saya hanya di tahanan ISA. Tahanan ISA itu tak apalah, tak perlu hujah mahkamah. Jadi oleh itu, baiknya ialah Tan Sri Ahmad Ibrahim ini, perwatakannya itu serius. Jadi kalau beliau minta saya usulkan, beliau minta saya faham keseluruhannya. Jadi buku The Islamic Law in Malaya itu beliau suruh saya hadam dulu. Beliau bagi dua minggu. Saya kata, “ini aku ini menteri, dia buat aku macam anak murid dia”. Tapi begitu kalau pengalaman saya dengan tokoh-tokoh ini.

 

 

  1. Saya ingat lagi sama macam Sheikh Dr. Taha Jabir Al-Alwani yang menulis beberapa buku, termasuk tentang-tentang ‘La Ikraha Fid-Din’, yang semasa saya mengajar di Washington itu beliau jiran sebelah. Itu kalau beliau sebut buku, beliau mengharapkan dalam tempoh dua minggu kita membaca, memahami dan beliau akan tanya.

 

  1. Pengalaman saya satu yang paling berat ialah dengan Almarhum Professor Ismail al-Faruqi. Sebab Professor Ismail al-Faruqi itu, beliau ada di sini pada ketika itu. Dalam tempoh tiga minggu lepas itu ada Mesyuarat Maahad Fiqh di International Institute of Islamic Thought di Reston, Virginia. Saya akan hadir. Masa itu saya sudah menteri. Jadi beliau kata buku Muslim Society oleh ahli sosiologi Ernest Gellner, ada buku tentang kupasan Ibn Khaldun sedikit, tentang masyarakat Islam Utara Afrika. Dia kata, “Anwar baca, kerana saya nak bincang masa kita jumpa nanti”.

 

  1. Tapi saya tahu fe’el Kalau beliau sebut begitu, beliau anggap serius. Beliau tidak anggap kita baca lebih kurang, kemudian ulas, tidak. Dan soalan-soalan beliau itu mampu dijawab hanya kalau kita membaca. Jadi saya tahu itu maka tentulah kita cuba hadam betul-betul dan memang benar, sampai pagi itu beliau minta kita join dia breakfast. Soalan pertama beliau tanya, ‘in Ibn Khaldun in that thesis, what is the difference between his general theory and his specific recommendation for North Africa?’ Kalau tak baca, tak boleh goreng.

 

  1. Itu dia cara guru-guru kita mengajar kita, memaksa kita menghadam karya-karya. Tan Sri Ahmad Ibrahim itu di antara yang begitu. Saya tidak tahu dengan pelajar-pelajar lain. Dengan pengalaman saya, kerana dia kata, “Anwar, you cannot present this draft bill, if you do not have a full comprehension about Islamic law in this country. The faults, the weaknesses, the limitations, what we need to do as a form of priority to enhance the capability”.

 

  1. Jadi, itulah yang menyebabkan kita kemukakan artikel 121(1A). Walaupun sukar sekali jalannya, tapi alhamdulillah, akhirnya dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu. Tentunya dengan pelbagai tekanan. Dan maksud dia apa? Kita tidak sama sekali nak melanggar hak yang bukan Islam. Ini yang menjadi isu juga.

 

  1. Bagi saya, kepada Peguam-peguam Syarie, untuk menjamin keberkesanannya, tentu kita akan melaksanakan tapi perlu, dalam masa yang sama memberikan gambaran bahawa yang kita nak tegakkan ini keadilan, dan tidak menafikan hak bukan Islam dalam urusan agama mereka. Bagi saya itu prinsip. Walaupun sebahagian mereka kawan-kawan saya dianggap ini kerana nak ambil hati orang Cina, India. Tidak timbul.

 

  1. Ini saya ingat lagi Tan Sri Ahmad Ibrahim daripada awal, artikel 121(1A) itu bagi dia spesifik. Kita nak tingkatkan keupayaan Mahkamah Syariah, tidak ada maksud sama sekali untuk mengganggu, menggugat kefahaman dan pelaksanaan hukum bagi bukan Islam. Dan itu bagi dia sangat jelas dan kita bawa. Dan kalau untuk itu, makanya Mahkamah Sivil tidak ada hak untuk mengganggu urusan Mahkamah Syariah, menyinggung tentang hukum Islam dan kepada masyarakat Islam.

 

  1. Bagi saya, sangat adil dan saya beri juga jaminan kepada Menteri-menteri dan pimpinan pada ketika itu yang bukan Islam. Walaupun kuat sanggahan dan bantahan, tetapi akhirnya jaminan itu terpakai.

 

  1. Itu yang saya maksudkan artikel 121(1A). Tentunya di bawah Peguam Negara sekarang, berbincang dengan JAKIM dan rakan-rakan Peguam Syarie dan Ketua-ketua Hakim Mahkamah Syariah, melihat bagaimana boleh diperkukuh, diperketat dan dipertingkatkan sesuai dengan zaman kerana yang saya sebut ini akhir tahun 80-an dan sekarang mungkin diperkemaskan.
  2. Apa hujah Tan Sri Ahmad Ibrahim pada masa itu? Beliau kata untuk melaksanakan, kita tahu Islam ini just administration, tadi yang dia sebut dalam bahasa Inggeris. Tapi a just administration of just laws itu prinsip dia. Tanpa perubahan-perubahan ini, dia akan jadi just laws tetapi administered unjustly.

 

  1. Sebab itu, Tan Sri Ahmad Ibrahim selepas beliau pergi ke UIA dan bila kita tingkatkan 121(1A), dan kebetulan kita ada perhimpunan wanita, ada satu majlis dan umumnya wanita, kebanyakan wakil-wakil persatuan wanita tidak senang dengan beberapa keputusan Mahkamah Syariah. Katanya, qadi-qadi ini biased. Ini kata dia, bukan saya kata, jangan marah, pada masa itu. Dia kata sebab, selalu judgement itu prejudicial terhadap wanita. Hukum jelas. Dia kata, ‘we are not questioning the law’. Dia bagi beberapa contoh pada masa itu kepada saya. Dia bagi contoh dan saya catat, kesnya sebagainya dan memang betul qadi nasihat dengan baik, iaitu ada pergaduhan suami isteri, jadi nasihatnya balik bincanglah lagi. Isteri dia kata nak bincang macam mana aku balik rumah kena pukul.

 

  1. Saya bawa kepada Tan Sri Ahmad Ibrahim. Tan Sri Ahmad Ibrahim kata begini, kita perkenalkan kursus diploma tentang Criminal Procedure Code (CPC), betul ya Tan Sri?. Jadi untuk memperkemas, mempertingkatkan. Itu evolusi untuk meningkat mutu profesion Peguam-peguam Syarie ini. Dan alhamdulillah, itu diperkenalkan dan tentunya harus dikembangkan, dipertingkatkan dan juga syukur alhamdulillah, sekurang-kurangnya sekarang kita tidak dengar isu-isu itu dibangkitkan.

 

  1. Orang lihat keupayaan peguam, keupayaan hakim dan Hakim Mahkamah Syariah termasuk Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi. Dan beliau juga mencadangkan supaya ada mahkamah selain Mahkamah Syariah ini, mahkamah di Wilayah Persekutuan, Mahkamah Utama. Tapi masa itu saya perkenalkan, saya cadangkan, itulah Almarhum Sheikh Azmi Mufti Pulau Pinang, dia orang Kedah, menjadi Mufti yang pertama di Kuala Lumpur. Kesian dia, dia jalankan dengan baik. Bila dia jalankan dengan baik, saya masuk penjara. Dia datang bagi khutbah di Sungai Buloh. Saya kata, “Sheikh Azmi, bertandinglah pilihan raya’. Kesian dia, dia pun sami’na wa ata’na, bertandinglah. Bertanding padahal dia bukan ada sosok tokoh politik sama sekali. Lepas itu kalah.

 

  1. Sebab itu saya minta maaf, ada nostalgia jadi saya terkesan sikit. Sebab itu apabila Senator Dr. Zulkifli cadang saya rasa eh kena pergi, nak cerita bahawa ini dia evolution

 

  1. So, tekad politik itu harus jelas. Komitmen bagaimana cari kaedah dengan kebijaksanaan untuk mengangkat martabat. Di samping itu, bagaimana boleh diberi keyakinan supaya pelaksanaannya itu jelas, baik. Di samping itu, beri jaminan kepada yang bukan Islam supaya jangan jadi ini satu menimbulkan ketegangan. Ya, ada sedikit-sedikit, tapi kita elakkan, tapi sekurang-kurangnya, kita yakin bahawa ini bukan bermaksud menafikan amalan agama mereka, tetapi kita tetap harus mengangkat martabat dan kedudukan Mahkamah Syariah setimpal dengan pengiktirafan kita sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan.

 

  1. Jadi, selepas itu tentunya perkembangan yang berlaku sekarang dan saya bangga alhamdulillah, kerana di bawah pimpinan sekarang usaha-usaha ke arah itu dan Senator Dr. Zulkifli. Dan sebelum ini juga kita dalam Jemaah Menteri dengan Kerajaan MADANI ini, bila angkat hal-hal yang sedemikian itu tidak langsung ada usaha menolak, menggagalkan.

 

  1. Ini berbeza dari tohmahan di luar, kerana dia kata kita ini terlalu takut dan tunduk. Tanya Senator Dr. Zulkifli atau Peguam Negara, setiap isu dibawa. Cuma bezanya apa? Saya ambil usaha untuk menerangkan. I don’t assume. Saya rasa wajar semua ahli dan berhak. Dia dengar apa salahnya. Termasuk cadangan hukum Islam. Apa masalah orang bukan Islam tanya? Ini pandangan, “oh tidak boleh kerana PMX kata ini soal Islam, orang Islam tak boleh tanya”. Saya tak setuju. Apa salah dia tanya? Keputusan kita. Tetapi sebagai warganegara, dia nak tahu dalam jawatankuasa, apa yang nak dipinda, apa yang nak diperkenalkan, dia nak tahu apakah ia menyentuh kedudukan dia. Bagi saya, tidak ada masalah. Dan sebab itu, saya mohon secara saudara-saudara, faham yang kita nak apa?

 

  1. Apa dia matlamat akhirnya? Matlamat akhirnya pelaksanaannya, kaedah yang nak kita bawa, bagi penjelasan. Penjelasan dari Islam? Ya. Bukan Islam tanya? Jawablah. Saya yakin bahawa hujah mempertahankan syariah dan kekuatan Islam itu cukup kuat untuk menangkis segala seruan. Walaupun dalam zaman Islamophobia dan latihan sekular yang terlalu tebal termasuk di kalangan masyarakat Malaysia bukan Islam dan juga sebagai orang-orang Islam.

 

  1. Sebab itu kalau peringkat awal nak bawa apa saja perubahan Islam ini, sukar. Bukan sahaja untuk menghadapi bukan Islam, menghadapi orang Islam sendiri pun sukar, kerana terlalu tebal dengan pengaruh aliran sekular dalam sistem pendidikan kita. Itu kita bincang tajuk lain, tapi saudara fahamlah bahawa pengaruh itu tidak terkikis.

 

  1. Jadi jangan buat kemudahan, kita nak ini laksana ini, tapi kaedahnya, pelaksanaannya, kefahamannya, menyantuni, tidak ada masalah. Kalau kita boleh pilih umpamanya tangguh dua bulan sekadar menyantuni dan mendapatkan pandangan dan memberikan hujah, penjelasan kepada masyarakat Islam, termasuk yang sekular dan juga yang bukan Islam. Saya pilih jalan itu. Saya tidak mahu pilih jalan untuk terus bertempur dalam keadaan yang tidak perlu. Tapi akhirnya, andai kata terpaksa dilaksanakan juga setelah dijelaskan mereka menolak, itu kita akan tegaskan. Itu tentunya tekad politik yang ada.

 

  1. Tapi sepertimana yang saya jelaskan, setakat yang pengalaman saya, tiga tahun lebih sebagai Perdana Menteri sekarang, belum ada satu hujah yang ditimbulkan, yang dibangkitkan termasuk tambahan peruntukan, kedudukan Mahkamah Syariah yang menjadi masalah, yang diungkit atau dibantah oleh mana-mana menteri termasuk menteri bukan Melayu.

 

 

  1. Ini berbeza daripada tohmahan di luar, hangat sekarang di Johor dan di Negeri Sembilan. Now, I’m telling you the truth. Nak pertikai, pertikai tapi this is a fact. Baik, kalau ditanya, saya tak ada masalah. Sebab itu, saya bagi contoh yang agak sukar. Sejak tahun 1957, tidak pernah ada mana-mana Kerajaan di Malaysia yang memutuskan untuk mewujudkan kawasan di kota, di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu. Saya memutuskan bila kita ambil alih Bandar Malaysia, tanah Bandar Malaysia yang lingkup oleh kerana salah guna kuasa sebelumnya, 480 ekar begitu ambil balik, setelah dirampas, jadi hak milik Kerajaan, 100% milik kita, saya kata, saya nak peruntukkan 50 ekar sebagai tanah rizab Melayu.

 

  1. 50 ekar itu sama macam 5,000 ekar di Kedah, di Ulu Terengganu dan sebagainya, bukan kecil dari segi value, dan saya tahu ini kontroversi kalau tidak di handle dengan baik. Jadi saya panggil beberapa pimpinan, termasuk terus terang dengan DAP. Tentunya mereka tanya apa alasan? Saya sebut alasan tanah Melayu begitu banyak dah diambil, ini takkan isu 50 ekar jadi isu. Saya tidak rampas tanah-tanah yang bukan Melayu, ini tanah yang sudah menjadi milik Kerajaan. Jadi bila bentang di Jemaah Menteri, tidak ada soalan kerana kita jelas dengan baik. Tapi saya nak tegaskan di sini, itu satu keputusan dari sudut membela kepentingan bumiputera yang amat besar dan kritikal bagi saya. It’s a test case.

 

  1. Kalau dia bagi 5,000 ekar di Ulu Perak, no issue. But 50 acres in the heart of the city is a major issue. It takes a lot of political courage and wisdom in engaging with all sectors. And this is also the principle of law. It is not the technicalities of the law, but also the wisdom to ensure justice is accorded.

 

  1. Dan kalau saya tahu semua kitab-kitab yang ada ni, yang lebih, Yang Amat Arif, Yang Arif dan yang lebih arif daripada saya, bahawa prinsipnya, prinsip menegakkan keadilan. Saya membawa ini supaya saudara-saudara ini menjadi satu kelompok yang sangat penting dari segi kebangkitan Islam dan pelaksanaan Islam. Ini satu kumpulan yang terlatih, kemudian yang ditugaskan untuk melaksanakannya.

 

  1. Jadi, sebab itu saya memilih untuk memberikan sedikit pandangan tambahan dan minta maaflah Yang Arif, Yang Amat Arif, Dato’ Haji Mohd Amran pun ada, bukanlah saya cuba nak kupas pasal hukum, tidak ada, ini cuma nak bagi pandangan tentang susur galur, perkembangan yang menjadikan kita ke tahap ini dan membuka ruang Persatuan Peguam Syarie, Ketua-ketua Hakim Syarie dan mahkamah itu harus rasa terbuka. Guna kebijaksanaan, beri nasihat kepada kami, apa yang perlu kami lakukan untuk meningkatkan upaya dan meninggikan martabat mahkamah, kerana ia tidak harus tamat dengan slogan dan janji, tetapi dengan pelaksanaan.

 

  1. Mudah-mudahan dalam menyingkap sikit pengalaman saya dan komitmen, menunjukkan bahawa saya tentunya ada sentimen di sini dan di antara hal yang kuat saya diserang oleh yang menentang pun ada, bukan yang dalam kalangan Islam. Dia kata yang punca, yang bawa isu ini, pertama, penerapan nilai Islam, keduanya artikel 121(1A) ini, Anwar. Jadi salah saya juga. Tapi saya jelaskan di sini, kita buat itu dengan komitmen, dan saya bila diberikan penjelasan oleh pakar-pakar pada masa itu, yakin bahawa ini tanpa pindaan ini apapun pindaan-pindaan lain tidak akan beri martabat.

 

  1. Dan saya ucap terima kasih terutama kerana Peguam Negara sekarang ini sangat mendukung sangat menyokong langkah-langkah kita ambil. Dan kalau sudah begitu, dah betul-betul sokong, macam mana Persatuan Peguam Syarie ini, takkan tak sokong? Saya sambut baik dan saya percaya harus ada juga kalau boleh selain daripada urusan-urusan lain, saya ingat Peguam Negara setuju untuk ada satu sesi perbincangan dengan rakan-rakan, sama ada Yang Amat Arif Hakim, JAKIM sebagai satu separate sesi yang lain, dan juga dengan wakil-wakil dari Majlis Peguam Syarie Wilayah dan juga persatuan untuk bincang dan memberikan mendengar pandangan, hujah. Senator Dr. Zulkifli boleh selaraskan dan pandangan-pandangan yang dirasa perlu, yang kita harus beri perhatian, saya akan beri keutamaan, tetapi tunggu selepas Pilihan Raya Negeri dulu lah.

 

  1. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ada rencana untuk memastikan access, ini masalah access ni, saya daripada dulu saya perhati begitu. Kita ada undang-undang yang baik, best laws, best courts, good lawyers and best judges. Tetapi access itu belum tentu.

 

  1. Selalunya dalam sistem perundangan ini, orang yang kadang berada, dia ada antara the best lawyers dan tentunya court terpaksa dengar sepenuhnya, tapi orang yang paling miskin, kadang-kadang tidak ada access. Sebab itu, golongan yang memerlukan, yang kurang kemampuan, ibu tunggal yang perlu representasi guaman dan pembelaan itu harus dibantu.

 

 

  1. Dan kita bantu ini, sebahagian besarnya melalui, ini pengumuman penting, melalui Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Kita bagi RM1.5 juta ringgit. Saya kebetulan Menteri Kewangan, nak umum duit ini berat sungguh, terutamanya dengan keadaan sekarang ini, tidak mudah. Baik, jadi RM1.5 juta, saya minta nanti Majlis Agama Wilayah Persekutuan tolong salurkan secepat mungkin, kalau lambat, dia orang mesti salahkan saya. Jadi kalau lambat, salahkan Senator Dr. Zulkifli dan Marhamah, mereka yang diberi dipertanggungjawab penuh untuk menguruskan hal yang sedemikian.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih, jazakumullah khairan kathiran dan mendoakan mudah-mudahan dapat kita beri tumpuan. Kerana sebenarnya, ini satu daripada kerangka strategi kita mengangkat martabat bukan sahaja mahkamah, tapi kesedaran Islam dan juga pelaksanaannya.

 

  1. Tapi saya harus beringat, dalam soal kerencaman sistem kita yang ada, negara, kebijaksanaan, bil hikmah, wal ma’uzatil hasanah, itu sangat penting. Jangan diremehkan kerana peguam ini suaranya, pengaruhnya itu lebih tinggi. Jadi kebijaksanaan itu diperlukan.

 

  1. Semoga Allah S.W.T. memberikan kekuatan dan merestui usaha kita bersama.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: